Off Walls Off Pedestals

‘Pengarca atau Arcawan?’ (An Early 1990s Autobiographical Piece Written in the Form of A Story-Monologue)

Posted in Other Works by tsabri on March 25, 2010

I wrote a piece of writing, which I called ‘story-monologue’, about my own self sometime in 1992. The autobiographical piece was written in Bahasa Melayu and parts of it have been rewritten in other forms, like to suit the Tanpa Tajuk: Cerita-cerita Seni Rupa. (http://www.tintapublishers.com/). I published here the writing, Pengarca Atau Arcawan?, in it’s original form. It is yet to be translated.

PENGARCA ATAU ARCAWAN?

Beberapa garis ditempatkan, atau tepatnya dipaksakan, ke hujung permukaan gubahan lalu memberi sedikit ruang kepada rupa organik berwarna merah tua itu untuk bernafas – sedikit lega. Kesan bunyi palitan berus bergema, berhenti seketika dan membiarkan jerit-pekik warna-warna yang tertindih atau bertindihan itu untuk menjadi diam – berbunyi dan bergema kembali – lalu melantun jauh ke hujung pendengaran.

Aku melukis gelisah. Aku melukis resah. Entah – aku sendiri kurang pasti dengan apa yang aku lukis ini (sekurang-kurangnya untuk ketika ini). Tapi yang pasti – gubahan harus bagus, biar mata senang melihat.

Entah apa yang aku lukis ini?

Semuanya senyap. Garis, titik dan yang lainnya diam. Pekik pedih dan ketawa ria sudah lama berhenti. Berhenti.

Orang itu adalah seorang artis. Umum mungkin terkeliru, menganggapnya sebagai seorang penyanyi rok (rambutnya panjang) atau pelakon filem kerana kata ‘artis’ itu. Kata ‘artis’ sering saja dikaitkan dengan pekerja-pekerja dunia hiburan – seperti yang dididik oleh akhbar-akhbar dan majalah popular tempatan. Tapi dia bukan seorang penyanyi, pelawak, pengacara atau pelakon filem, dia adalah seorang pengarca.

Orang itu adalah seorang pengarca – seseorang yang membuat arca. Arca pula adalah salah satu jenis bentuk seni rupa moden yang umumnya bersifat 3 dimensi. Kalau dalam bahasa Inggeris, arca disebut sebagai ‘sculpture’. Ada juga penulis seni tempatan yang memanggil seseorang yang membuat arca itu sebagai ‘arcawan’, akhiran ‘wan’ seperti dalam perkataan ‘sasterawan’, ‘angkasawan’ atai ‘cendikiawan’ – tapi bukan pula ‘cendawan’.

Orang itu adalah seorang pengarca. Pernah juga jirannya menegur: apakah dia membuat ‘patung’ apabila jiran itu melihat banyak bentuk-bentuk 3 dimensi di tempat kerja atau studio yang sempit itu. Jika dalam Bahasa Indonesia, memang arca itu dipanggil ‘patung’ dan pembuatnya dipanggil ‘pematung’.

Orang itu adalah seorang pengarca. Ada ketikanya dia terasa janggal apabila ditanya orang tentang kerjanya. Sememangnya masyarakat banyak belum mengenali siapa itu pengarca dan apa yang dibuatnya. Apa gunanya arca? Kalau jadi pelukis, mungkin mudah difahami orang – itu pun ramai yang beranggapan yang pelukis itu semestinya pandai melukis potret dan lanskap yang lebih dikenali sebagai ‘gambar pemandangan’. Pelukis juga sering dikatkan dengan pembuatan papan iklan, nombor plet kenderaan atau pelan rumah.

Orang itu adalah seorang pengarca, Dia membelai-belai janggutnya_ memandang kosong ke arah cawan kopi. Berusia 36 tahun sekarang dan sudah membuat arca kurang lebih sebelas tahun. Lulusan Diploma Seni Lukis & Seni Reka dari Institut Teknologi MARA, dalam bidang Seni Halus dengan pengkhususan Seni Arca. Sekarang diploma itu sudah dinaikkan taraf dan dipanggil Sarjana Muda Seni Lukis & Seni Reka (Seni Halus).

Pengarca mencapai sebatang pensil. Dia melihat hujung mata pensil. Masih elok, belum tumpul. Dia meletakkan mata pensil itu dipermukaan kertas_ lalu jadilah satu titik, kemudian ditariknya pensil itu ke kanan_ maka jadilah satu garisan.

Pengarca sudah beberapa kali menyertai pameran seni rupa, baik yang khusus untuk seni arca sahaja atau yang dicampur-campur dengan bentuk-bentuk lain – lukisan, catan, cetakan atau fotografi. Di antara pameran-pameran yang disertainya, ada juga yang diadakan di luar Malaysia.

Orang itu adalah seorang pengarca. Seorang artis. Seorang yang terlibat dengan bidang kesenian – menghasilkan arca sebagai karya seni. Dia meluahkan sedikit sebanyak pandangan dan pendapatnya mengenai hal-hal tertentu mengikut pengetahuan dan pengalaman yang ada padanya. Dia kadang-kadang menyentuh soal-soal kemasyarakatan atau kemanusiaan dalam karya-karyanya. Mungkin selain daripada panggilan ‘artis’, pengarca juga boleh dipanggil sebagai ‘aktivisi’ budaya. Mungkin.

Orang itu adalah seorang pengarca. Banyak sudah arca-arcanya dibeli oleh pengumpul seni atau dipanggil ‘kolektor seni’ – menjadi himpunan atau koleksi umum mahupun persendirian. Ada di antara karyanya diberi penghargaan dan mendapat pula puji-pujian. Dan ada juga yang dihentam, dikutuk dan direndah-rendah orang (malangnya sering pula oleh orang-orang yang mengaku tahu tentang seni rupa atau seni arca sendiri!)

Pengarca bangun dari meja kerjanya. Berjalan menghampiri tingkap kaca. Beberapa gugus daun menggeliat di bawah matahari pagi.

Orang itu adalah seorang pengarca. Ketika dia tidak mengarca, atau tidak membuat arca, dan melukis, pengarca akan membaca. Dia seorang pembaca yang gigih. Dia juga mempunyai sebuah perpustakaan peribadi yang kecil. Judul-judul bidang falsafah, kesenian dan kesusateraan banyak sekali dikumpulkannya. Pengarca juga ada cuba-cuba menulis. Dia suka sekali menulis sajak, adakalanya dia cuba menulis esei_ tetapi tidak pula dihantar kemana-mana penerbitan.

Pengarca tidaklah semata-mata hidup dari hasil jualan arca. Dia sedang berusaha keras. Tidak ada orang, kolektor seni, yang membeli arca setiap hari – setiap minggu – setiap bulan. Dia terpaksa bekerja sambilan – menjadi pengajar yang digelar ‘pensyarah sambilan’ di sebuah kolej seni persendirian. Dia mengajar dua hari, enam jam sehari, seminggu. Dengan itu, tidaklah dia kesempitan sangat. Pengarca memang mempunyai masalah kewangan, Dia bukan dari keluarga yang kaya-raya. Pernah dia kehabisan wang dan terpaksa meminjam untuk meneruskan hidup. Namun, pengarca tidak pula merungut dan tidak pula bersusah-payah mencari kerja, mengambil upah, membuat kerja-kerja grafik atau seni reka seperti rekaan logo, ilustrasi atau projek-projek lain. Dia bukan pembuat kerja mengambil komisyen itu ini. Tidak ada istilah ‘freelance job’ dalam hidupnya. Tidak pernah.

Beberapa gugus daun menggeliat di bawah metahari pagi. Udara lembap terasa mejamah muka. Pengarca kembali ke meja kerja, Dikeluarkan sebatang rokok.

Orang itu adalah seorang pengarca. Tidak ramai sebenarnya yang memilih kerjaya sebagai pengarca di Malaysia pada ketika ini. Malah yang memilih untuk menjadi pelukis (painter) pun tidaklah ramai. Kerjaya dalam bidang seni halus di Malaysia agak ‘baru’ dan menjadi sesuatu yang agak ‘asing’ kepada masyarakat umum.

Pengarca melalui pendidikan seni yang kurikulumnya banyak dipengaruhi oleh kesenian Barat. Buku-buku rujukan, karya-karya dan falsafah seni yang dipelajari rata-ratanya adalah didatangkan dari Barat (namun pengarca tidak pula mengatakan yang Barat itu tidak baik: baik atau tidak baik itu banyak sekali bergantung kepada perhitungan sendiri). Kesenian tradisional dalam bentuk seni rupa tidak banyak dipelajari baik dari segi amali atau teori. Jika adapun, rujukan hanyalah untuk mencari motif-motif atau ragam hias yang sesuai untuk dimanipulasikan/digunakan. Tidak lebih dari itu. Pengarca maklum yang guru-gurunya semasa di ITM dulu tidak ramai yang mengetahui seni tradisional tempatan secara mendalam. Tidak banyak kajian yang dilakukan. Motif-motif tradisional selalunya digabung atau diolah mengikut gaya persembahan seni Barat.

Pengarca menghembus asap rokok. Dia bangun semula dan bergerak menghampiri tingkap kaca lagi. Hawa terasa panas dan lembap. Angin tidak pula bertiup. Seekor rama-rama terbang di celah daun-daun.

Orang itu adalah seorang pengarca. Sering dia terpaksa menggaru kepala apabila ditanya orang tentang kerja-kerjanya. Dia cuba memberitahu – tapi banyak pula yang terpaksa dijelaskan – dan itupun ramai yang masih tidak faham-faham.

  • Bagaimana dengan bisnes?
  • Bisnes?
  • Yalah, apa yang abang buat tu…
  • O… biasa saja la. Tak ada apa-apa yang…err yang…tidak ada apa-apa yang luar biasa.
  • Abang harus lebih professional. Mesti cekap. Mungkin abang kekurangan modal. Tapi, saya rasa itu bukan masalah besar – abang boleh buat loan, atau cari financier yang betul-betul percayakan abang. Abang kena buktikan kemampuan yang ada. Kita tidak boleh duduk saja. Kena rangka strategi. Marketing strategy. Tentu abang ada contact luar negara. Apa lagi bang? Boleh ekspot apa…

Pengarca cuba memberitahu, tapi banyak pula yang terpaksa dijelaskan – dan itupun ramai yang masih tidak faham-faham.

  • Apa yang engkau buat ni? Aku tidak pernah tengok benda seperti ni seumur hidup aku. Orang mati kena tembak pun pernah aku tengok, tapi tidak benda ni. Apa ni? Malam tadi abang bermimpi benda-benda ini, apa ni? Arca? …ya, arca. Mungkin petang semalam aku tertengok benda-benda ni untuk pertama kali…kau tahu, benda-benda ini, apa tu? Arca… arca, ya… bunyi macam dalca saja… arca-arca ini semuanya membesar. Besar – aku jadi kecil sekali. Kerdil. Tiba-tiba semuanya bergerak, mengejar aku. Aku ketakutan… lari. Kecut sekali. Kakak kau naik hairan – jarang sekali aku mengigau.

Pengarca cuba memberitahu, tapi banyak pula yang terpaksa dijelaskan – dan itupun ramai yang masih tidak faham-faham.

  • Wah, lama betul kita tidak bertemu. Ada tujuh lapan tahun begitu? Hah, apa kabar kau? Buat apa sekarang? Tak main gitar lagi ke?
  • Aku baik-baik saja. Aku… aku jadi artis sekarang ni. Ya… artis.
  • Artis? Kah! Kah!! Kah!!! Bolehkah kau menyanyi? Aku tahulah kau boleh main gitar, tapi menyanyi? Apatah lagi berlakon? Kau seorang pemalu, kan? Artis? Bila masa kau rakam album ni? Tak pernah dengar pun? Keluar album solo ke bersama grup? Kau ada grup sendiri ke?

Pengarca cuba memberitahu, tapi banyak pula yang terpaksa dijelaskan – dan itupun ramai yang masih tidak faham-faham.

Pengarca kembali semula ke meja.

  • ‘Apa pandangan saudara dengan pendapat yang mengatakan Islam melarang kita membuat rupa bentuk manusia, bentuk arca?’

Islam melarang? Islam tidak melarang membuat arca. Islam melarang, malah melaknat, pembuatan berhala yang disembah, dipuja. Pengarca tahu dia tidak membuat berhala. Konteks masa dan budaya bebeza sama sekali. Kalau disbanding-samakan dengan zaman Arab jahiliah (zaman orang bodoh) dengan zaman orang cerdik, sekarang (betul kah?), tentu sekali penilaian kita akan menjadi aneh, malah lucu. Di zaman Arab jahiliah, ‘arca’ berkemungkinan besar adalah ‘berhala’ – yang disembah dipuja. Orang ramai menyembah Al Atta, Al Uzza, Al Manah dan lain-lainnya – yang dijelmakan melalui bentuk-bentuk 3 dimensi; kita panggil patung. Patung-patung ini lambang kekuasaan dan kesaktian atau tuhan-tuhan yang dipercayai mereka (Arab jahiliah). Mereka tidak menganggap bentuk-bentuk 3 dimensi itu sebagai satu bentuk seni rupa sebagaimana yang kita anggapi hari ini. Mereka malah menganggap bentuk-bentuk itu melebihi dari bentuk seni – itu bentuk-bentuk tuhan sembahan mereka. Arca yang dihasilkan hari ini tidak mempunyai tujuan keagamaan, kecuali bentuk-bentuk yang sudah diinstitusikan sebagai bentuk agama seperti dalam kepercayaan agama Kristian, Hindu, Buddha atau kepercayaan peribumi. Arca hari ini dihasilkan untuk tujuan-tujuan ekspresi atau estetika.

Pengarca kembali berdiri, memandang keluar tingkap. Beberapa gugus daun menggeliat di bawah metahari pagi. Udara lembap terasa menjamah muka.

1992

The Handwritten Story-Monologue

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s