Off Walls Off Pedestals

Lawatan Pameran: ‘Kehilangan’ di Pameran Malaysian Art Friends

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on August 24, 2010

Kulit Depan Katalog Malaysian Art Friends

Nota ini terbit dari kunjungan ke Majlis Pelancaran Buku 30 Art Friends: Appreciating Southeast Asian Art (30AF) dan Pameran Malaysian Art Friends: Highlights from 15 Private Collections (MAF15), pada Jun 26, 2010 dan juga menghadiri sesi perbincangan pada Julai 3, 2010 di BSLN.

Tahniah kepada kolektor-kolektor SERUM yang persahabatan mereka dinamakan Malaysian Art Friends (MAF) itu.
_______
Bila saya berpeluang ke sesebuah pameran seni rupa, saya mengingatkan diri bahawa itulah masanya untuk mendapat pengalaman estetika yang baru: yang boleh membuat saya jadi reflektif dan juga spekulatif bila berdepan dengan berbagai bentuk dan isi kandungan karya sekaligus pameran itu secara keseluruhannya. Saya akan mencari sesuatu yang dapat menyemarakkan imaginasi saya, baik sesuatu itu terletak dalam objektif dan kerangka konseptual pameran, tanda-tanda yang ditonjolkan melalui tajuk atau imajan yang diketengahkan, atau pun pada naratif yang dapat saya tanggap. Jadi, saya akan memastikan pendengaran dan penglihatan saya bersedia untuk membuat penilaian yang saksama.

Pameran MAF15 di BSLN itu menarik saya mencari sesuatu seperti yang disebut. Saya mahu belajar tentang peranan kolektor, apa yang mereka simpan dan bagaimana mereka menyumbang kepada SERUM. Kolektor-kolektor ini adalah sebahagian daripada Manusia SERUM (lihat Nota 3: Peta Dinamika SERUM). Mereka lazimnya bertempat di hujung atau akhir perjalanan sesebuah karya seni sebagai pemilik. Jadi, bila mereka sepakat untuk membuat pameran karya-karya milik mereka, minat khalayak SERUM sewajarnya tertarik.

Saya teringat kepada beberapa idea lazim yang sering diperkatakan dalam perbincangan seputar karya seni dan pamerannya apabila MAF15 mula kedengaran.

1. Kehilangan Pertalian:

Sesebuah karya itu dikatakan akan ‘hilang pertalian’nya dengan artis bila ia sudah siap, apa lagi kalau ia ‘terus keluar’ dari studio untuk menyertai sesebuah pameran atau dibeli pengumpul seni. ‘Kehilangan’ yang dimaksudkan di sini adalah artis tidak lagi dapat menguasai keseluruhan isi kandungan atau ‘semangat’ yang selama ini dicanainya. Audien pula akan mengambil peranan mengikut citarasa atau pandangan masing-masing. Paling-paling artis hanya dapat membekalkan tanda-tanda yang mungkin dapat dikenali audien. Ada juga artis yang menyediakan pernyataan (statement) secara bertulis untuk memberitahu apa yang dibawa karya itu. Interpretasi terhadap karya itu mula bertukar tangan dan menjadi berbagai.

Dalam konteks ini, ‘kehilangan’ yang disebut itu sebenarnya juga adalah satu ‘pengkayaan’ kepada isi kandungan atau makna yang asalnya dicetus oleh artis. Karya akan menjadi sarat dengan interpretasi-interpretasi baru dari audien yang datang dari berbagai latarbelakang. Makna atau isi kandungan karya akan menjadi berlapis-lapis. ‘Kehilangan’ atau terputusnya hubungan artis dengan karyanya itu sebenarnya ‘memperkayakan’ lagi makna pada sesebuah karya itu.

2. Karya Koleksi Peribadi Keluar ke Pameran:

Bagaimana pula dengan MAF15, yang bahan-bahannya didatangkan dari koleksi peribadi kolektor-kolektor seni yang bergabung di bawah nama MAF ini? Apakah perkara ‘kehilangan/pengkayaan’ seperti yang disebut berlaku? Bagaimana?

Saya berteori yang ‘kehilangan/pengkayaan’ ini berlaku sekurang-kurangnya dua kali: pertama, ketika karya-karya itu keluar dari studio artis yang menghasilkannya (bila dibeli oleh kolektor), dan kedua ketika karya-karya itu keluar dari koleksi anggota MAF untuk pameran ini. Koleksi MAF adalah milik peribadi anggota-anggotanya. Masing-masing mempunyai cerita tersendiri mengenai koleksi mereka. Namun, apabila mereka mengambil keputusan untuk mempamerkan karya-karya pilihan mereka kepada umum, mereka tidak sepenuhnya lagi bertanggung-jawab atas bagaimana sesuatu interpretasi dibuat atau akan dibuat. Audien bebas untuk datang menikmati sambil ‘melapiskan’ lagi sebuah makna kepada karya dan pameran yang sudah ‘berlapis-lapis’ itu.

3. Pameran dan Pembogelan Minda:

Saya suka juga mengaitkan satu lagi idea mengenai pameran atau aktiviti berpameran dalam seni rupa. Kalau tidak silap ingatan saya, Arwah Ismail Zain (harap betulkan jika salah) pernah menulis kurang lebih yang aktiviti berpameran itu sepertinya kita membuka pakaian di tengah khalayak ramai – kita ‘membogelkan minda’ atau apa yang kita fikirkan/tanggapi untuk tontonan ramai. Idea ‘pembogelan minda’ ini berlaku pada setiap bentuk interaksi manusia sesama manusia maupun manusia dengan objek, apalagi dalam bentuk pameran. Dalam kata mudah, setiap pameran atau karya yang hendak dipamerkan itu harus betul-betul bersedia untuk berdepan dengan berbagai kritikan dan interpretasi. Persediaan ini tidak lain untuk terus memberi kualiti kepada apa yang dilakukan, dan juga untuk mengisi ‘kehilangan’ yang terjadi di antara artis dan karyanya bila karya itu keluar dari studionya, serta ‘kehilangan’ di antara kolektor dengan karya ‘milik’nya bila ia dipamerkan kepada umum.

Sebelum ke MAF15, saya berkesempatan membelek-belek buku 30AF di rumah kawan saya, Zainal Abidin Musa. Buku itu seperti sebuah katalog besar: ada esei, ada portret kolektor berserta deskripsi atau biografi ringkas mereka, ada karya-karya pilihan dari koleksi mereka dan juga catatan kolektor mengenai karya-karya pilihan mereka. Bagus, sebuah penerbitan yang bagus – ia mendokumen kesukaan dan pengalaman 30 kolektor Malaysia dan Singapore. Cukupkah dengan itu? Saya mula membentuk beberapa persoalan – apa signifikan karya-karya pilihan kolektor atau buku 30AF itu dengan perkembangan SERUM? Bagaimana kedudukan karya-karya itu dalam SERUM, kerana karya-karya itu telah diterbitkan dan bakal dipertontonkan pula. Saya akur dengan design sebuah buku seperti 30AF itu: ia wajar seperti sebuah katalog – dimulakan dengan esei pengenalan atau perbincangan mengenai apa yang dikandungkan dan memuatkan satu persatu profail kolektor, karya pilihan dan pernyataan mereka.

Saya ke majlis pelancaran 30AF dan MAF15.

Majlis diperantarakan hampir keseluruhannya dalam Bahasa Inggeris, kecuali Tan Sri Kamarul Ariffin, tetamu kehormat majlis yang melancarkan buku dan merasmikan pameran, memilih untuk berucap dalam Bahasa Melayu. Saya secara peribadi suka majlis itu diperantarakan dalam Bahasa Melayu, apalagi ia dibuat dalam BSLN dan disebut sebagai salah satu dari program-programnya.

Saya memasuki galeri pameran. Saya berlegar menatap bahan pameran (karya) dan cuba menghadamkan semuanya. Saya berlegar beberapa kali. Saya keluar sambil bertanyakan diri pengalaman estetika apa yang saya perolehi. Apa yang saya temui untuk menjustifikasi idea-idea ‘karya dan pameran ‘yang saya bentuk sebelum ke MAF15 tadi? Saya masuk ke galeri lagi.

Saya seperti memasuki buku tebal 30AF. Kalau di dalam 30AF, setiap kolektor akan diberi beberapa muka surat; di MAF15 pula, setiap kolektor di beri ruang atau dinding yang khas memuatkan karya-karya pilihan mereka. Ada ruang masing-masing dan setiapnya disertakan pula dengan teks dinding pernyataan kolektor. Saya rasa saya sedang memasuki buku tebal 30AF yang saja diterjemahkan ke dalam sebuah pameran!

Saya mengharapkan pengalaman yang lain dari ‘memasuki’ sebuah ‘buku’. Saya mahu merasakan dinamika karya-karya yang selama ini dianggap peribadi itu. Saya mahu melihat karya-karya itu menjadi bebas: ‘menghilangkan pertalian’ dengan pemiliknya buat seketika selama pameran ini. Tapi saya tidak menemui ini.

Saya ke majlis perbincangan MAF15. Perbincangan ini diperantarakan lagi dalam Bahasa Inggeris. Panelis yang terdiri dari anggota MAF bercerita tentang pengalaman mereka mengumpul seni rupa, dan spesifik lagi mengenai karya-karya pilihan mereka yang dipamerkan. Saya tidak dapat memusatkan perhatian kerana gangguan teknikal – masalah teknikal dalam majlis-majlis kita rupa-rupanya belum dapat dibereskan dengan baik lagi.

Mengikut orang kuat MAF, Pakharuddin Sulaiman, usaha ini (30AF, MAF & MAF15) hanyalah langkah permulaan MAF untuk menyemarakkan SERUM. Banyak lagi usaha dan langkah yang perlu dibuat, yang memerlukan sokongan dari pencinta-pencinta SERUM. Dan menurutnya lagi, semua ini dibuat dalam keadaan keterbatasan waktu.

Saya menyokong penuh usaha MAF, dan saya percaya juga manusia SERUM yang lain juga menyokong. Sebagai sokongan ikhlas, saya berikan beberapa soalan yang boleh kita fikirkan demi kebaikan bersama:

1. Langkah pemula harus betul dan rapi kalau tidakpun hebat: Apa yang kalian (MAF) kejarkan? Dalam perlumbaan apakah MAF?

2. Kalian memilih sendiri karya dari koleksi peribadi untuk dipamerkan: Semata untuk memperagakan taste atau kesukaan kalian sajakah?

3. Bagaimana peranan kurator pameran? Bebaskah mereka membuat kerja-kerja kuratorial? Kerja kuratorial yang bagaimanakah sesuai untuk membuat pameran karya-karya koleksi kalian?

4. Apakah topik yang dibicarakan semasa sesi perbincangan benar-benar memberi manafaat kepada perkembangan SERUM atau cuma pengkisahan kalian dengan karya-karya pilihan?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s