Off Walls Off Pedestals

Lawatan Pameran: Figura dan Sahabat-sahabat Lama di ARTI Gallery

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on February 13, 2011

Muka Depan Katalog Pameran 'Kami'

1.

Saya jadi sungguh rindu apabila Hushinaidi Abdul Hamid (Hushinaidi) membawa kad jemputan dan katalog pameran ‘Kami’; sebuah pameran oleh 15 orang artis yang menggunakan figura manusia sebagai subjek utama di ARTI Gallery (ARTI). Menurut Hushinaidi pameran ini adalah lanjutan dari sesi ‘Life Drawing’ yang diadakan di ARTI sejak awal tahun ini. Dan orang yang mengendalikan sesi ‘Life Drawing’ ini adalah tidak lain dari Amron Omar, artis figura manusia yang hebat dan terkenal dengan karya-karya yang bertemakan ‘Silat Melayu.’ Saya juga teringat kepada catannya yang bertajuk ‘Potret Diri’, 1982, yang sekarang berada dalam himpunan BSLN. Catan itu amat hebat. Kenangan berbual dan bertukar pendapat dengan Amron di tahun-tahun akhir 1980an di Hulu Kelang kembali meruap. Dan kata Hushinaidi lagi, karya terbaru Rosli Mat (Rosli) juga akan turut dipamerkan, begitu juga dengan arca Mad Anuar (Mad). Catan Roslilah yang selalu diangkut oleh Sulaiman Esa ke studio kami semasa mengikuti kelas catan figura di ITM dulu untuk dijadikan contoh, dan arca Madlah yang selalu membuat saya gelisah dan cemburu! Har har har… Dan lagi; saya juga bangga apabila melihat Iruadee Husin (Wadi) menulis sebuah esei pengenalan untuk pameran ini.

Tidak mudah melukis figura manusia. Ia memerlukan kefahaman menyeluruh mengenai anatomi dan struktur tubuh manusia – dari kedudukan tulang-temulang, kedudukan dan geliat daging (muscles) hinggalah kepada kadar-banding, dan tentu sekali ketrampilan atau kemahiran teknik dalam menggunakan bahan dan bahantara. Kesabaran tinggi sememangnya menjadi keperluan utama bagi sesiapa yang mahu mendalami lukisan figura manusia. Dia harus setiap masa/hari rajin membuat latihan-latihan melalui lakaran dan pemerhatian terus.

Amron Omar | Potret Diri | Cat Minyak atas Kanvas | 1982 | 160.5 x 170.5 cm | Himpunan Balai Seni Lukis Negara

Catan di atas bukan di ‘Pameran Kami’, tetapi imej catan inilah yang selalu terbayang apabila nama Amron disebut, selain daripada catan-catan dari siri ‘Silat Melayu’nya.

2.

Keberadaan ARTI sangat memikat hati. Ia terletak di tingkat dua sebuah bangunan kedai-pejabat di pinggir bandaraya Kuala Lumpur, di Desa Melawati. Dicatat bahawa ARTI ditubuhkan (secara rasmi mengikut pemflet ARTI) dalam tahun 2010. Namun mengikut Hushinaidi, sahabat baik kepada pengusaha ARTI, En Yusri, ARTI sebenarnya telah ditubuhkan sejak tahun 1999. Ruang galeri ARTI yang tidak luas dan tidak kecil itu adalah gambaran kesederhanaan, keterbukaan dan rendah diri, serta juga tekad dan cita-cita besar seorang anak muda Melayu menceburi dunia perdagangan seni rupa. Syabas!

3.

‘Kami’ mengenengahkan 24 buah karya: lukisan arang, catan minyak, catan akrilik dan arca kimpalan besi. Walaupun bertemakan figura manusia, tetapi terdapat tiga buah karya yang tidak memungkinkan pameran ini dikatakan sebagai ‘Pameran Figuratif’ sepenuhnya. Sungguhpun dua darinya, karya Rohaizad Shaari iaitu ‘Arus Pembangunan’, 2011, dan ‘Tanduk Kerbau’, 2011, boleh dikatakan ‘semi-figuratif’ kerana kata ‘figuratif’ itu tidak semestinya menampilkan figura atau imej manusia semata; namun kedua-duanya lebih kepada genre alam benda (Still-Life) dengan salah satu darinya bergayakan surrealisme – ‘Arus Pembangunan’. ‘Submission’, 2010, karya Khairina Khairuddin sangat jauh sekali dari genre figuratif malah boleh dikatakan sebuah karya yang ‘janggal’ dalam pameran ini.

Selain itu terdapat dua buah karya yang memasukkan teks perkataan dan ayat, iaitu karya Bayu Utomo Radjikin (Bayu), ‘Terlerai’, 2010, dan Ahmad Fuad Osman (Fuad), ‘Untitled’, 2009. Namun kedua karya ini tidaklah mencacatkan kalau pameran ini mahu dikatakan ‘Pameran Figuratif’. Saya memang dari seawal menerima kad jemputan ingin sekali melihat pameran ini sebagai ‘Pameran Figuratif’ atau ‘Pameran Figura’ kerana terdapat nama-nama besar SERUM yang selama ini menjadikan figura manusia sebagai tema rujukan dan subjek penampilan utama mereka. Lagipun sudah lama tidak berdepan dengan pameran seni rupa yang hanya mengenengahkan figura manusia sebagai subjek utama.

Di dalam pameran, saya menemui sekurang-kurangnya tiga ragam stail yang berbeda – yang diwakili oleh cara sentuhan (treatment) artis terhadap karya masing-masing. Cara sentuhan ini berkaitan dengan perlukisan subjek, pengolahan bahan dan juga mungkin dengan tema yang dipersembahkan.

Yang pertama ialah ‘kajian figura’ yang sangat memberatkan ketepatan perlukisan subjek dengan pendekatan yang akademis – struktur figura, pembahagian satah permukaan, kadar-banding, dan tidak terkecuali teknik penggunaan bahan. Ini dapat kita temui dalam karya-karya Amron, Rosli, Hushinaidi dan Nurfadilah Abdul Karim. Mereka ini telah berjaya mempamerkan ketrampilan melukis figura manusia.

Ragam stail yang kedua ialah ‘figura ekspresif’ di mana pendekatan realisme yang diambil hampir melangkaui batas menjadi sedikit ekspresif dengan terdapat unsur-unsur idealisme, surrealisme dan ekspresionisme. Karya-karya Bayu, Fuad dan Mad boleh kita letakkan di sini.

Yang terakhir adalah ‘komposisi figura’ di mana kita dapat melihat artis cuba bermain dengan ‘figura dan permukaan’ (figure and ground) dalam permasalahan komposisi. Ini boleh kita saksikan dalam karya-karya Khalil Ibrahim, Samsuddin Lappo, Nasharudin Ahmad, Arif Fauzan Othman, Ali Nurazmal Yusoff dan Zulkiflee Zainul Abidin.

4.

Tulisan ringkas Wadi untuk katalog ‘Kami’ juga memberikan kita serba sedikit idea tentang perkembangan artis-artis yang terlibat. Wadi membahagikan artis-artis ini mengikutseniority yang dikumpulkan mengikut dekad-dekad 1970/80an, 1990an dan sekarang. Dia juga mengenengahkan cara bekerja Amron dan Mad yang penuh ketrampilan dan semangat yang didasari dari kesenian Melayu. Tulisan ringkas dengan bahasa mudah itu boleh menjadi lebih baik jika Wadi boleh mencatatkan rujukannya dengan lebih tepat; seperti nama buku/sumber penulisan, tahun dan penerbit. Catatan biografi ringkas setiap artis yang terlibat juga boleh menjadikan katalog ini lebih baik.

5.

Harapan saya semuga orang-orang dibelakang ‘Kami’ akan dapat merencanakan sesuatu yang lebih besar – bertolak dari pameran ini menjadi mungkin ‘Pameran Figuratif Malaysia’ pula. Syabas untuk semua.

Kami | Pandangan Pameran 1 | ARTI Gallery | 12 Februari 2011

Kami | Pandangan Pameran 2 | ARTI Gallery | 12 Februari 2011

Kami | Pandangan Pameran 3 | ARTI Gallery | 12 Februari 2011

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s