Off Walls Off Pedestals

Johari, Makalah dan Pelukis Palsu

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on February 14, 2011

Muka surat 25

Mari kita perhatikan sebuah makalah dua mukasurat yang bertajuk ‘Pemikiran Zakaria Ali “Dunia Seni kita Penuh dengan Pelukis Palsu.” ’ Makalah ini ditulis oleh Mohd. Johari Ab. Hamid (Johari). Ia dimuatkan dalam ruangan ‘seni’ majalah Dewan Budaya, bulan Oktober 2010 di mukasurat 25 dan 26.

Johari

Saya dan Johari tidaklah rapat. Kalau bertemu, kami hanya berbalas senyuman, bersalam dan bertanya-kabar sedikit sebanyak. Johari pernah belajar seni halus di UiTM di tahun-tahun 1990an. Sekarang dia menjawat kerusi Ketua Jabatan Seni, di Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim. Di laman facebooknya, Johari memberitahu kita bahawa dia adalah seorang penulis dan pengkritik seni. Dia telah menulis sebanyak 6 buah buku dan merupakan seorang penyumbang regular di majalah Dewan Budaya dan Anjung Seni.

Muka surat 26

Makalah

Tajuknya memberitahu kita bahawa ianya berkaitan dengan pemikiran Zakaria Ali (Zakaria) yang disebut sebagai seorang ‘pelukis, penyair, penulis, pengkritik dan penggiat seni’ mengenai ‘dunia seni kita penuh dengan pelukis palsu.’

  • Kita akan dihidangkan dengan pemikiran Zakaria mengenai SERUM yang ‘penuh dengan Pelukis Palsu.’

Ada dua ilustrasi menghiasi makalah ini, satu foto diri Zakaria di bahagian depan dan satu foto karya Zakaria di bahagian belakang. Foto karya itu tidak diberi keterangan karya kecuali caption ‘salah satu karya Zakaria Ali yang mempamerkan kreativiti yang tinggi.’

Karya Zakaria

  • Kita jadi tertanya-tanya dengan karya yang menjadi ilustrasi mukasurat makalah – apa tajuknya? Apa bentuknya, catan atau lukisan? Apa bahan dan bahantaranya? Berapa saiznya? Dibuat bila? Sikap saya bertanya apa tajuknya, apa bentuknya, berapa saiznya dan lain-lain ini, sebahagiannya tumbuh dari pertanyaan atau teguran Zakaria kepada saya lama dahulu apabila saya menunjukkan foto-foto arca saya. Dia memberitahu yang sekurang-kurangnya kita boleh meletakkan kotak filem (waktu itu bukan zaman kamera digital) berhampiran dengan objek yang ingin difoto. Ini akan membantu untuk mengetahui anggaran saiz sesuatu objek seperti arca.
  • Apakah ciri-ciri kreativiti tinggi yang ada pada karya Zakaria yang menjadi ilustrasi itu?

Johari memulakan pengenalannya dengan memberitahu bahawa bakat dan kesungguhan adalah dua elemen penting yang dapat membantu seseorang pelukis itu ‘terus berkarya tanpa jemu.’ Terus Johari mendefinisikan pelukis sebagai ‘seniman semulajadi yang dikurniakan keistimewaan dan bakat.’

Kemudian Johari bercerita tentang ‘pelukis serba-boleh’ yang katanya sukar untuk ditemui. Saya agak keliru (?) membaca perenggan ini:

[‘Pelukis serba boleh merupakan sesuatu yang jarang-jarang didengari, malah sukar dikesan pada kebanyakan orang. Namun di sebalik kesukaran itu, penulis dapat mengesan seseorang yang bukan serba boleh, tetapi sekurang-kurangnya terbukti ada kelebihan jika dibandingkan dengan orang yang lain misalnya dalam seni visual atau seni tampak juga. Penulis cuba mengenal pasti beberapa individu yang mempunyai kebolehan seperti itu, iaitu seseorang yang boleh menguasai bidang seni sastera seperti cerpen, novel dan puisi. Pada masa yang sama, ada juga yang berbakat dalam bidang seni, boleh melukis serta boleh berbicara tentang sejarah seni dan sebagainya. Mengikut penelitian penulis, ada beberapa pelukis tempatan seperti Abdul Latif Mohidin, Zakaria Ali dan Siti Zainon Ismail yang boleh menguasai beberapa genre seni terutamanya seni visual.’]

  • Kekeliruan saya:

1. Ayat 1, 2 dan 3 agak kabur, malah mungkin kesemua ayat yang membentuk perenggan ini, dengan kesalahan nahu dan ketidak-jelasan makna yang ingin disampaikan.

2. Ayat 4 menunjukkan Johari sudah membuat satu penyelidikan untuk mengenal-pasti individu-individu yang ‘serba boleh’ atau ‘sekurang-kurang terbukti ada kelebihan.’ Apakah kaedah yang dipakai Johari sehingga dia menemui Abdul Latif Mohidin, Zakaria Ali dan Siti Zainon Ismail?

3. Kenapa ‘serba boleh’ atau ‘sekurang-kurang terbukti ada kelebihan’ itu dengan bidang kesusasteraan sahaja? Bagaimana dengan Syed Ahmad Jamal, misalnya yang juga seorang pentadbir dan penulis? Atau arwah Ismail Zain?

Terus, Johari menonjolkan biografi Zakaria dan kebolehan serta pencapaiannya dalam bidang seni rupa dan kesusasteraan. Saya mencari-cari juga pemikiran Zakaria mengenai bidang keseni-rupaan dan kesusasteraan yang telah lama diceburinya, walaupun tajuk makalah hanya menjurus kepada pemikiran tentang ‘dunia seni kita penuh dengan pelukis palsu’. Saya percaya satu ulasan pendek atau ringkas mengenai pemikiran Zakaria yang lain akan dapat membantu kita untuk menghadapi ‘dunia seni kita penuh dengan pelukis palsu’ ini.

Pelukis Palsu (& Seni Abstrak)

Dan, akhirnya sampai kita kepada pemikiran Zakaria mengenai ‘dunia seni kita penuh dengan pelukis palsu’ di bahagian-bahagian akhir makalah. Melalui tulisan Johari ini dapatlah disimpulkan yang Zakaria berkata (ayat miring dalam kurungan adalah soalan-soalan yang boleh kita bangkitkan):

  1. Pelukis palsu telah menguasai dunia seni tempatan. (Pelukis palsu? Dunia seni tempatan? Bagaimana? Senario?)
  2. Pelukis palsu ialah pelukis yang tiba-tiba timbul. (Timbul dari mana?)
  3. Pelukis palsu mencari kesempatan untuk mengaut keuntungan. (Yang bukan palsu tidak mahu mencari keuntungan?)
  4. Pelukis palsu tidak memiliki apa-apa pengetahuan tentang seni tetapi berlagak tahu. (Bagaimana yang bukan palsu, tahukah semuanya?)
  5. Pelukis palsu mencuba dan mencuba sehingga mengelirukan khalayak ramai. (Kekeliruan yang semacamana?)
  6. Pelukis palsu suka untuk sama turut menyibukkan diri dalam semua kegiatan seni yang diadakan, (Bagaimana yang bukan palsu, tidak sibukkah juga?)
  7. Pelukis palsu merosakkan seni dengan menjual karya pada harga yang tinggi. (Berapa rendah pula harga karya pelukis bukan palsu?)
  8. Pelukis palsu berbeza dengan pelukis lain yang sememangnya berbakat dan berkarya kerana minat. (?)
  9. Kita dibanjiri seni abstrak tetapi yang tidak mencapai tahap yang sebenarnya. (Apa dan bagaimana tahap seni abstrak?)
  10. Pelukis palsu tidak boleh menjadi seniman dan tidak semua pelukis boleh menjadi seniman. (Apa itu seniman? Apa itu pelukis?)
  11. Masa depan seni lukis yang samar. (Bagaimana samarnya? Kerana ada ‘pelukis palsu’kah?)
  12. Seni tempatan perlu sentuhan dan perhatian pihak kerajaan dan swasta. (?)

Hmm…

Saya mula terganggu dengan kata ‘pemikiran’ yang digunakan sebagai sebahagian dari tajuk makalah ini. Apakah yang dinyatakan Zakaria itu suatu ‘pemikiran’ atau cuma andaian, atau tuduhan semata?

15 Oktober 2010

 

Leave a comment