Off Walls Off Pedestals

Sekarang! : Beberapa Tanggapan Selepas Bakat Muda Sezaman 2010

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on February 14, 2011

Sekarang!

Di depan kita adalah karya-karya artis Bakat Muda Sezaman 2010 (BMS10). Karya penerima anugerah dan yang terpilih untuk diketengahkan sebagai karya-karya artis muda sezaman kita. Apakah yang dipertontonkan atau dipamerkan ini? Bermutukah karya-karya ini, berbanding dengan apa yang kita temui di BMS00, BMS02, BMS04 dan BMS06? Bagaimana dengan kedudukan karya-karya artis muda kita ini berbanding dengan karya-karya dari sahabat sezaman mereka di rantau ini: Singapura, Indonesia, atau Thailand, misalnya sebelum kita melihat lebih jauh ke Timur Jauh, Eropah atau Amerika? Soalan-soalan ini menjadi semakin penting apabila kita mahu melihat yang BMS itu seperti satu forum untuk melahirkan artis-artis penting Seni Rupa Malaysia (SERUM).

Betapa! Nama-nama besar dan aktif dalam SERUM sekarang adalah pemenang-pemenang BMS dekad-dekad 1980an dan 1990an: walau tidak kesemua penerima-penerima anugerah dari dekad-dekad itu yang terus berkarya, malah ada yang terus tidak kedengaran langsung! Mari kita bicara BMS dari tahun 2000 hingga sekarang, 2010. Saya tertarik dengan tempoh ini kerana ia sangat hampir pula dengan maksud ‘sezaman’ di mana kita semua sedang menjalani kehidupan ini, berfikir mengenainya, serta turut sama bertindak balas terhadap sebarang anjakan, perubahan dan cabaran-cabarannya. Dekad 1970an, 1980an dan 1990an boleh dikirakan sudah menjauh, di abad lalu. Sekarang BMS dekad pertama abad ke 21. Sedikit hari lagi kita akan memasuki dekad kedua abad ke 21.

Kita mulakan saja dengan melihat lapuran-lapuran panel juri atau hakim BMS di sepanjang dekad ini. Mendiang Joseph Tan Chan Jin dalam lapuran panel juri BMS00 menulis, ‘Keseluruhannya, pertandingan ini tidak menggambarkan hasil karya yang terbaik pelukis (baca: artis) muda seperti yang diharapkan, mungkin kerana penyertaan yang kurang oleh para peserta.’ (Joseph Tan. 2000). Menulis untuk BMS002, Zanita Anuar membawa nada yang hampir sama: ‘Tahun ini para hakim hampir putus harapan untuk menampilkan pemenang BMS02. Ini adalah disebabkan para hakim secara keseluruhan tidak mengalami apa-apa rangsangan yang baru atau luarbiasa.’ (Zanita. 2002). Terus, Hasnul Jamal Saidon pula mencatatkan, ‘Secara keseluruhannya, kesan rasa eksposisi tahun ini adalah suatu suasana kehadiran yang terasing-asing, terpecah dalam pelbagai kapsul masa yang berbeza tanpa kesepaduan, perkaitan dan kesinambungan… (Hasnul Jamal. 2004), dalam eseinya untuk BMS04. Untuk BMS06 pula, Nasir Baharuddin menulis,’…para juri telah bersepakat pertandingan tahun 2006 tidak mempunyai ‘impact factor’ yang mendokong kepada persoalan inovasi serta perancangan kepada kemajuan senilukis (baca: seni rupa) dan pertandingan BMS itu sendiri.’(Nasir. 2006). Dan terakhir, saya dan kawan-kawan dalam Panel Juri BMS10 turut membuat pandangan yang senada seperti yang tertulis dalam Lapuran Juri BMS10.

Hal-hal yang disebut di perenggan atas boleh dikatakan sebagai suatu gejala utama yang menghiasi setiap BMS dekad pertama abad ke 21 ini. Dan tulisan ini adalah berlatarbelakangkan rasa ‘hilang harapan’, ‘tiada rangsangan’, ‘asing dan terpecah’, ‘tidak ada faktor impak’ dan ‘tidak memenuhi kehendak’ yang disebut pada setiap BMS sepanjang dekad ini. Apakah yang tidak kena? Apakah yang membuat kesemua panel juri atau hakim BMS mencatat rasa yang sedemikian?

Sejarah

Kita kembali sejenak ke tahun 1999, di abad lalu, ketika Balai Seni Lukis Negara (BSLN) membuat pameran Imbasan Bakat Muda Sezaman 1974 – 1997. Pameran yang berupa satu penyelidikan dan penilaian terhadap pencapaian penerima-penerima anugerah BMS sejak mula ia diadakan 36 tahun dahulu itu menghimpunkan karya-karya yang memenangi anugerah dan terbaru, pada ketika itu. Zanita Anuar dalam tulisan kuratorialnya merumuskan tiga ciri penting yang dikira boleh ‘membentukkan kemajuan dan halatuju BMS’. Ciri-ciri yang dimaksudkan ialah, ‘1) Penapisan Pelukis (baca: artis) Baru Keluaran Institusi, 2) Ciri Rekonstruksi Konsep Budaya, dan 3) Ciri Penerokaan Media’. (Zanita. 1999).

Makanya, kecemerlangan dan juga kelemahan BMS dekad-dekad 1970an, 1980an dan 1990an patut sekali dijadikan sandaran sejarah oleh artis-artis muda SERUM, atau yang mahu berforum di BMS. Sampai sekarang karya-karya artis BMS dari dekad-dekad itu, seperti antara lain karya Long Thien Shih, Ruzaika Omar, Mustapha Haji Ibrahim, Siti Zainon Ismail, Zulkifli M. Dahalan, Lee Kiang Seng, Ponirin Amin, Sharifah Fatimah Syed Zubir, Fauzan Omar, Zakaria Awang, Amron Omar, Nasir Baharudin, Rafie Ghani, Jalaini Abu Hassan, Awang Damit, Mastura A. Rahman, Wong Hoy Cheong, Kungyu Liew, Tan Chin Kuan, Fauzin Mustaffa, Zulkifli Yusoff, Bayu Utomo Radjikin, Ahmad Shukri Mohamed, Noor Azizan Rahman Paiman, Chuah Chong Yong, Hasnul Jamal Saidon, Fadzil idris dan Nur Hanim Khairuddin, sekadar menyebut beberapa nama, tetap segar dalam apresiasi karya-karya SERUM dan terus berkembang pula mengharungi zaman. Pernyataan ini bukanlah pula hendak menghukum yang karya-karya dekad  2000an ini sangat buruk dan tidak seperti karya artis-artis BMS dahulu, namun pernyataan-pernyataan panel juri BMS 2000an yang disebut harus diberi perhatian serius, bukan sahaja untuk artis muda, tetapi semua yang terlibat dalam SERUM.

Ciri Rumusan dari Imbasan BMS 1974 – 1997 dan Pengalaman BMS10.

Mari kita lihat rumusan Zanita mengenai ciri-ciri penting ‘yang membentuk kemajuan dan halatuju BMS’ seperti yang disebut. Saya bermaksud hendak memadankan tanggapan-tanggapan yang saya perolehi dari berdepan dengan karya-karya BMS khususnya BMS10, dengan ciri-ciri BMS yang dirumus Zanita itu.

Ciri pertama yang disebut Zanita adalah berkaitan dengan pendidikan seni: artis baru keluaran institusi pendidikan seni. Sememangnya artis-artis BMS lahir dari institusi-institusi pendidikan seni, samada di tanahair atau diluar negara, kecuali beberapa orang artis pemula BMS seperti Mustapha Haji Ibrahim dan Zulkifli M. Dahalan yang belajar sendiri. Rata-rata artis BMS belajar seni rupa secara formal dan kemudiannya ada pula yang menjadi pengajar, serta ada yang meneruskan pelajaran hingga ke peringkat ijazah kedoktoran sambil terus-menerus berkarya. Ada yang menceburi bidang-bidang lain tetapi tetap berkarya, dan yang membanggakan ada yang berjaya menjadi artis sepenuh masa, namun pertalian dengan pendidikan seni boleh dikatakan tidak putus.

Membaca tulisan-tulisan Allahyarham Redza Piyadasa, T.K. Sabapathy dan SN Syed Ahmad Jamal mengenai perkembangan SERUM di dekad-dekad 1970an, 1980an dan 1990an, kita akan menemui pernyataan-pernyataan yang menyakinkan mengenai motivasi, apresiasi dan estetika yang mendampingi karya-karya artis BMS ini serta kaitan pengaruh pendidikan seni formal yang diterima dari institusi-institusi seni. Pengaruh modenisme pada dekad-dekad ini amat tebal dengan berbagai penonjolan gaya yang ternyata dipinjam dari Seni Moden seperti gaya Surrealisme, Vitalisme, Abstrak Ekspresionisme, Seni Konseptual, Pop Art dan lain-lain, selain daripada penggunaan imajan atau tema tempatan, serta juga Seni Islam yang ternyata lahir dari institusi-institusi seni. Sementara dekad 1990an pula memperkenalkan kita kepada Seni Instalasi dan Seni Multimedia, antara lain.

Di BMS10 juga saya menemui hal ini, dan memanglah mereka semuanya belajar seni rupa secara formal. Ada yang belajar di peringkat sarjana dan kedoktoran. Ada juga yang sudah menjadi pengajar atau pensyarah seni rupa di institusi-insitusi seni tempatan. Sebelum bertemu dengan artis-artis BMS10 bersama karya-karya mereka di hari penilaian, saya membuat andaian yang mereka akan dapat menerangkan karya mereka dengan baik; sungguhpun membaca pernyataan-pernyataan artis yang mereka kepilkan dalam folio cadangan agak menggusarkan. Rata-rata pernyataan artis yang dikepilkan itu kurang membayangkan kefahaman dan keupayaan akademik seperti yang diharapkan. Saya bermaksud untuk menyatakan yang di BMS10, idea-idea mengenai perkembangan dan kandungan sesebuah karya itu tidak dapat disusun dengan baik; lalu tentulah penjelasan bertulis mengenainya menjadi agak bercelaru.

Terus apabila wawancara diadakan, saya mula mendengar hujah-hujah yang menggambarkan kurangnya rujukan dan penyelidikan yang dibuat dalam mempersiapkan karya. Ramai yang menjadi defensif apabila pernyataan atau penjelasan mereka dicabar, atau bila diminta membuat penjelasan lanjut dengan mengemukakan alasan dan rujukan yang relevan. Dan tidak kurang pula yang membuat pernyataan-pernyataan janggal atau salah. Semangat antar disiplin, kebijakan lokal, teknologi, kesedaran global dan daya persembahan yang disebut Zanita (2002b) dalam BMS02 hampir tidak dapat ditemui.

Dan ini membuat saya menyoal: Bagaimana mereka belajar? Apa yang mereka belajar sebagai pelajar seni? Bagaimana bentuk kurikulum yang diajarkan? Soalan-soalan ini terus menghantui saya apabila saya teringat cerita seorang kawan akademik, ahli sejarah seni dan juga pelukis, yang baru-baru ini dijemput sebagai penilai undangan untuk penilaian akhir karya-karya pelajar diploma seni rupa di sebuah universiti. Beliau bercerita tentang ketiadaan mata-pelajaran teori termasuk sejarah seni dalam kurikulum peringkat diploma itu. Jadi, di depan saya adalah hasilan dari kurikulum yang sebegitu: tidak ada atau  kurangnya latarbelakang sejarah seni, estetika, maupun apresiasi seni rupa, apatah lagi ilmu-ilmu kemanusiaan yang lain seperti antropologi, sosiologi, atau pun studi budaya.

Saya percaya yang mata-pelajaran teori atau kemanusiaan yang berkaitan dengan seni rupa dan budaya amnya amat perlu, tidak kira pada peringkat pembelajaran mana sekali pun, untuk membentuk dasar pemikiran artis-artis kita supaya dapat menghasilkan karya-karya yang jelas bermutu. Mana mungkin belajar seni rupa tanpa mengetahui sejarah perkembangan dan rujukannya, apatah lagi dalam keadaan sezaman yang pesat dengan perkembangan ilmu pengetahuan dalam semua aspek kehidupan? Kita percaya yang kurikulum pendidikan seni di universiti-universiti bukanlah untuk menghasilkan juruteknik seni rupa dan tidak pula berbentuk vokasional!

Ciri kedua yang disebut Zanita ialah ‘Rekonstruksi Konsep Budaya’. Budaya atau kebudayaan setiap kelompok, kaum, masyarakat atau sesuatu tempat itu memang sentiasa beranjak kalau tidakpun berubah mengikut kesesuaian masa dan kemajuan mahupun kemunduran cara hidup manusia. Dan golongan artis seni rupa, seperti juga pengkarya yang lain termasuk penulis, penyair atau penari dan pemusik, terus menerus membawa segala imajan, tanda dan simbol dari masyarakat dan masa di mana mereka berada atau mewakili dalam bentuk dan kandungan yang berbagai. Artis yang kita bicarakan di sini adalah mereka yang mendapat pendidikan formal dari institusi seni di tanahair; dan yang melanjutkan pendidikan mereka luar negara terutamanya di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Mereka mengenengahkan pengalaman-pengalaman yang dikutip dan idea-idea yang tumbuh dari apa yang dipelajari mereka, selain tentunya pengaruh serta tarikan persekitaran. Ya. Lalu apa yang kurang dan masalahnya?

Pengalaman dekad 1970an, 1980an dan 1990an dalam perkembangan SERUM banyak ditandai dengan peristiwa-peristiwa seperti pameran Mystical Reality, Kongres Kebudayaan Nasional, Seminar Akar Peribumi, Penerapan Nilai-nilai Islam dan Era Pluralis yang menjadi latarbelakang pembinaan kurikulum pendidikan seni, dan suasana serta proses pengkaryaan ramai artis SERUM. Samada peristiwa-peristiwa yang disebut mendapat kritikan dan pandangan yang berbeza, namun dalam konteks karya seni kita dapat menemui karya-karya hebat yang membawa identiti tempatan dan sezaman di period itu. Artis-artis BMS 1980an seperti Nasir Baharuddin, Mastura A. Rahman, Haron Mokhtar, Romli Mahmud, Zulkifli Yusoff, Tan Chin Kuan dan Kungyu Liew misalnya, berjaya menghasilkan karya-karya yang bernada atau bersemangat tempatan. Mereka ini membuat penyelidikan dengan melihat kembali kepada imajan sejarah, budaya dan masyarakat mereka dengan latarbelakang yang beraspirasikan peristiwa-peristiwa yang disebut.

Sekarang. Merujuk kepada literatur BMS dekad ini, saya secara peribadi berpandangan yang tidak banyak karya menarik yang mewakili sezamannya SERUM kecuali beberapa buah dari hasil tangan Yap Sau Bin, Fadzil Idris dan Mohd Fuad Arif. Di BMS10 saya tidak menemui karya yang dapat menarik perhatian saya secara peribadi. Saya berasa kesal melihat karya-karya yang boleh menarik minat tetapi berada dalam tahap yang serba tidak cukup.

Ciri Rekonstruksi Konsep Budaya yang digariskan Zanita itu kurang terserlah dalam karya-karya BMS dekad 2000an, terlalu sedikit. Tema dan makna yang dibina agak kurang menyakinkan kalau di banding dengan persekitaran dan kondisi posmodenisme serta perbauran dispilin ilmu pengetahuan, sepertimana yang berlaku dan selalu dikupas pula oleh Hasnul Jamal Saidon dalam tulisan-tulisannya. Banyak karya menjadi bentuk-bentuk cliché yang dirujuk dari artis-artis internasional, samada dari majalah-majalah seni rupa dan Internet, tanpa memikirkan sangat tentang tanggung-jawab dalam aktiviti pembinaan makna yang dilakukan serta kesannya kepada pembinaan tamadun bangsa atau negara di abad ini.

Saya percaya untuk menjadi cemerlang, manusia SERUM, terutamanya artis-artis muda, harus mempunyai disiplin, motivasi dan aspirasi yang tinggi untuk mendalami apa yang diselidiki atau diperkatakan. Mereka harus mempelajari sejarah dan budaya tempatan, dan terbuka kepada persoalan-persoalan sezaman dengan waras. Tapi: sudah berapa kalikah perkara-perkara sebegini disebut, dibahas, dihujah dan diterbitkan dalam SERUM? Kenapa misalnya, setiap panel juri di sepanjang BMS dekad ini cenderung memulakan lapuran mereka dalam nada kecewa apabila melihat karya-karya BMS? Tidak adakah perubahan?

Persoalan ini sangat berkaitan dengan tradisi keilmuan dan pendidikan SERUM seperti yang disentuh dalam ciri pertama perbincangan kita: artis dan institusi pendidikan seni. Wajar sekali kita menyokong pembinaan kurikulum pendidikan seni yang lebih bermakna dan sesuai pula dengan budaya sezaman di setiap peringkat pembelajaran. Tajuk perbahasan mengenai mutu dengan bilangan atau kualiti dengan kuantiti kembali menghantui dunia pendidikan SERUM. Peranan pendidik dan institusi pendidikan menjadi fokus sekarang kerana dari sinilah artis-artis sezaman SERUM muncul.

Ciri ketiga dan terakhir disebut Zanita dalam eseinya ialah Ciri Penerokaan Media. Ciri ini boleh dianggap sebagai yang termudah untuk dilihat pada karya-karya BMS. Kita sentiasa melihat semangat bereksperimen dan membuat penerokaan melalui media tidak pernah padam dalam BMS; terutamanya bermula di tahun-tahun 1990an apabila munculnya bentuk-bentuk seni instalasi yang beragam, hinggalah kepada penggunaan peralatan elektronik dan multimedia.

Ciri ini sebenarnya membawa tuntutan-tuntutan kepada pengetahuan dan kemahiran teknikal. Seseorang artis tentunya patut tahu benar dengan teknik yang digunakan, atau dalam sesetengah keadaan boleh pula mendapat khidmat nasihat dan pertolongan teknikal dari orang lain, untuk mengolah bahan dan bahantara atau medianya. Rata-rata pencapaian ciri ini pada karya-karya BMS10 adalah membanggakan. Artis-artis muda SERUM tidak mempunyai masalah yang besar dalam memenuhi ciri ini.

Persimpangan yang Banyak Selepas Runtuhnya Berbagai Sempadan

Kita boleh melihat pameran Mystical Reality oleh Allahyarham Redza Piyadasa dan Dr. Hj. Sulaiman Esa di awal 1970an itu sebagai bermulanya kerancakkan menyoal berbagai konvensi dalam aktiviti berkarya di Malaysia. Walaupun dilingkari dengan berbagai kontraversi, namun mereka berdua dengan beraninya membawa elemen-elemen dan gaya Seni Konseptual dalam karya-karya mereka. Mereka mempamerkan bahan jumpa, mengenengahkan pengalaman mereka melalui teks dan objek-objek terpilih, dan juga mengemukakan pernyataan-pernyataan artis yang banyak mempersoal kedudukan karya seni dan estetika SERUM.

Di dekad 1960an dan sebelumnya, permasalahan artis dan karya boleh dikatakan sangat objektif: dimana semuanya tertumpu kepada permasalahan di permukaan kanvas atau di persekitaran bentuk sahaja. Pengkategorian atau penjenisan bentuk menjadi jelas dan perbahasan mengenai estetika hanya berkisar kepada idea atau konsep keindahan yang terlekat pada karya-karya itu semata. Kemunculan Mystical Reality menjadikan estetika mula tidak berada pada karya seni semata-mata. Makna menjadi subjektif di mana setiap orang boleh membuat interpretasi sendiri asal saja hujahan mereka relevan dengan apa yang diboleh didapati pada karya.

Dalam kondisi subjektif sebegini, setiap kelompok pemikiran yang mewakili berbagai idea dan kepentingan akan berusaha untuk menguasai pentas dan menjadi dominan. PerkembanganSERUM di bahagian akhir abad ke 20 mula dipengaruhi dengan idea-idea poskolonialisme seperti permasalahan identiti dan tantangan pengaruh internasionalisme. Globalisme yang dikatakan meruntuh berbagai sempadan dunia moden menjadikan subjektiviti estetika SERUM tidak lagi terbendung. Pandangan sendiri-sendiri tidak lagi dapat dipadan dengan pertumbuhan berbagai aspek kehidupan yang serba cepat malah ada yang secara serta-merta.

Keadaan ini mendorong kepada mekarnya pendekatan yang bersifat relatif, di mana semua perkara diandaikan saling berhubungan dalam kadar atau tahap keakraban masing-masing. Persoalan objektiviti dan subjektiviti digabung menjadikan semuanya hampir sama dari segi kepentingan keberadaan bersama. Persekitaran relativisme ini menuntut keupayaan kita, manusia SERUM, untuk menyerap berbagai pengetahuan dan menghubungkannya pula dalam berbagai perspektif kehidupan. Satu hal yang amat sukar jika sistem pendidikan dan perkembangan intelektual kurang diberi perhatian. Artis SERUM akan terus mengikut sesuatu trend yang dirasakan menarik tanpa mempunyai dasar kefahaman yang jelas. Kondisi antar disiplin, misalnya, tidak akan menjadi lebih bererti jika manusia SERUM terus enggan menerima idea-idea baru, tidak membaca dan berfikir, apalagi tidak mempunyai disiplin dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Modal-modal insan, maklumat dan budaya yang sedia ada tidak akan bertambah malah dikhuatiri akan terus merosot. Tidak mustahil jika berlaku ‘kesesatan’ kerana sememangnya persimpangan yang ada pada hari ini terlalu banyak jenis dan simpang-siurnya.

BMS dan Di Luarnya

Perkembangan SERUM di dekad ini juga tidak hanya bergantung kepada BMS dan program-program lain BSLN sahaja. Banyak lagi aktiviti, projek dan program-program seni rupa yang diadakan oleh artis-artis muda. Kumpulan-kumpulan artis juga tumbuh di sana-sini, membuka studio dan galeri bersama, menganjurkan pameran, dan tidak lupa juga kecenderungan mereka menggabungkan bentuk-bentuk yang melibatkan seni persembahan, musik, multimedia dan sebagainya. Di tengah-tengah kerancakkan ini, terdapat pula program anugerah MEA, Malaysia Emerging Artist, untuk artis-artis muda SERUM yang diterajui of House of MATAHATI dan Galeri Chandan, dengan kerjasama Sokai Gakkai Malaysia dan Gelaran Budaya dari Yogyakarta, Indonesia. Pujian dan sokongan harus diberikan kepada pihak-pihak yang terus menerus terlibat dalam menyemarakkan perkembangan SERUM ini. Artis-artis muda kita mempunyai banyak peluang dan ruang untuk bergerak maju sebenarnya.

Apakah artis-artis muda kita memang sudah bersedia untuk terus maju?

Rujukan:

1.     Hasnul Jamal Saidon. (2004). Demi Masa (Pinjaman) Bakat Muda Sezaman 2004 dalam penerbitan BMS2004, m.s 11. K. Lumpur: BSLN.

2.     Joseph Tan Chan Jin. (2000). Laporan Hakim dalam penerbitan BMS 2000, m.s 9. K.  Lumpur: BSLN.

3.     Nasir Baharuddin. (2006). Laporan Juri dalam penerbitan BMS 2006, m.s 8. K. Lumpur: BSLN.

4.     Zanita Anuar. (1999). Sejarah – Antara Bakat dan Hakikat dalam penerbitan Imbasan Bakat Muda Sezaman, m.s 19 – 20. K. Lumpur: BSLN.

5.     Zanita Anuar. (2002). Demi Masa dalam penerbitan BMS 2002, m.s 3-8 & 3-10. K. Lumpur: BSLN.

Haslin bin Ismail | The Way It All Works (detail) | Instalasi Bahan Campuran | Ukuran Bebas

Helmi Azam bin Tajol Aris | Sudah Terang Lagi Bersuluh (detail) | Instalasi Bahan Campuran dengan Peralatan Elektronik | Ukuran bebas

Diana binti Ibrahim | First Aid Kit (detail) | Arca Bahan Campuran | 30.5 x 35 x 188.5 cm

Tan Nan See | Rupa Malaysia: Jewellery (detail) | Instalasi Fotograf dengan Video | Ukuran bebas

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s