Off Walls Off Pedestals

Zulkifli Yusoff: Menandai Ahmad dalam Marak Semangat Bernegara

Posted in My Artist-Friends by tsabri on February 20, 2011

Kulit Depan Katalog Zulkifli Yusoff: Negara Ku. BSLN. 2010

Pendahuluan

Saya tiada pilihan terbaik melainkan menulis tulisan ini dengan adunan beberapa pendekatan seperti biografi dan malah juga otobiografi sendiri untuk bercerita mengenai Zulkifli Yusoff (selepas ini, Zulkifli), serta sedikit apreasiasi kontekstual terhadap karya-karya, proses berkarya dan juga persekitarannya. Selain daripada tulisan-tulisan orang lain dan saya sendiri untuk rujukan, tulisan ini juga terbina dari wawancara secara bersekemuka dan di alam maya dengan Zulkifli, kawan-kawan dan pembantu serta pelajarnya. Ia juga hasil pengalaman saya berdepan dengan karya-karya Zulkifli sejak dari awal penglibatannya dalam Seni Rupa Malaysia (SERUM) hinggalah kepada ‘Negara Ku’.

Kemunculan Zulkifli dan karya-karyanya, samada dalam bentuk lukisan, arca, catan, cetakan, instalasi dan media campuran, sejak akhir 1980an hingga kini telah menjadi satu fenomena yang boleh dijadikan satu batu-tanda dalam perkembangan SERUM. Ooi Kok Chuen (2008), salah seorang penulis SERUM yang penting, memberikan Zulkifli satu gelaran yang menggambarkan kedudukannya yang fenomenal ini: ‘supernova-in-orbit-somewhere’, atau boleh diterjemahkan sebagai ‘supernova-di-dalam-orbit-di-suatu-tempat.’ Deretan hadiah dan penghargaan kerja seni dari dalam dan luar negera, kekerapan aktiviti berpameran, karya-karya yang dihimpun dalam koleksi beberapa muzium seni di Asia, ulasan-ulasan penulis mengenai perkembangan dan pencapaiannya, dan juga sumbangannya yang besar dalam bidang pendidikan seni rupa; yang semuanya tersusun dalam catatan riwayat hidup Zulkifli, adalah diantara bukti-bukti arkib yang menyokong kehadiran fenomenal seorang seniman hebat ini.

Saya bahagikan tulisan ini kepada beberapa bahagian: Bahagian 1 adalah perlukisan suasana studio, bengkel dan persekitaran yang menjadi tempat di mana Zulkifli berkarya sambil terus menerus belajar menyuburkan proses pengkaryaannya. Ini penting untuk memahami bagaimana ‘tempat’ boleh menjadi satu faktor kepada perjalanan ‘supernova’ ini di dalam ‘orbit’nya, Bahagian 2 adalah soroton kepada ‘Ahmad’ yang digunakan Zulkifli sebagai metafora utama dalam karya-karya bernada kiasan dan sindiran, dan juga berstailkan abstrak ekspresionisme di tahun-tahun 1990an, yang saya kira banyak membentuk kemunculan ‘Negara Ku’ ini, dan terakhirnya, Bahagian 3, adalah apresiasi terhadap ‘Negara Ku’ secara menyeluruh.

1 Ingatan dari Beberapa Studio-Bengkel dan Bilik Kuliah Zulkifli Yusoff

Senerio 1: Shah Alam | Awal 1990an

Kami tiba ketika Zulkifli sedang sibuk membuat cetakan digital dengan komputer dan mesin pencetaknya. Itulah kali pertama saya melawat Zulkifli di studionya. Arwah Hamdan Mohd Nor dan Riaz Ahmad bersama saya tengahari itu.

‘Lihat ini, Tengku. Saya sedang bereksperimen dengan komputer. Menarik. Saya nak tengok kemampuan teknologi baru ini dalam proses berkarya… Saya kagum dengan Pak Mail (Arwah Ismail Zain), dia merintis seni komputer di Malaysia melalui Digital Collage nya, lihat Tengku, kita boleh buat macam-macam dengan teknologi ini… saya kena pindahlah Tengku, kena cari tempat yang lebih luas. Saya nak buat arca dan instalasi juga,’ Zulkifli bercerita sambil menunjukkan hasil cetakannya.

Mesin pencetak berbunyi terus. Beberapa lukisan akrilik dan dakwat tergantung di dinding. Beberapa golong kertas lukisan dan kanvas tersandar di penjuru dinding.

Senario 2: Kampong Sungai Pinang, Klang | 1997

Saya ke studio Zulkifli pagi itu untuk berbincang mengenai instalasi yang akan kami bina di Kassel, atas jemputan Projektgruppe Stoffwechsel, Kassel, Jerman.

‘Lihat ini, Tengku,’ Zulkifli menghulurkan tangan kanannya, menunjukkan jari-jarinya, ‘lihat, sudah keras jari-jari saya! Saya melukis terus!’

‘Huh, ada lekuk bekas berus… Saya tidak pernah sangsi dengan kamu, Zul!’

‘Mari, mari tengok catan-catan baru saya dulu… Ini semua cerita-cerita Ahmad. Ahmad merosakkan bangsa! Perosak budaya! Mabuk dengan keseronokan melayan nafsu sendiri tanpa memperdulikan kiri-kanan! Mari!’

Pada masa itu Zulkifli sedang sibuk dengan ‘Ahmad’; yang dijadikannya sebagai satu metafora untuk melempiaskan rasa tidak puas hati, kecewa dan marah, kerana ‘Ahmad’, menurutnya telah ‘memporak-perandakan kehidupan masyarakat Melayu.’ Dari studio catan kami keluar ke bengkel arca. Di suatu sudut, terdapat sebuah kiln yang dibina untuk membakar arca-arca tanah-liat. Ketika itu juga Zulkifli sedang menyiapkan instalasi ‘Don’t Play During Maghrib’ untuk dipamerkan di sebuah pameran di Venice Biennale, Modernities & Memories: Recent Works from the Islamic World.

Senario 3: Bandar Tanjong Malim | Sekitar 1999

‘Mari saya tunjukkan kamu sekitar bandar Tanjong Malim. Tanjong Malim paling signifikan sebagai bandar pendidikan. Sejak awal kurun ke 20, tahun 1922… Di sini, di bandar inilah lahirnya Pendita Za’ba, Harun Aminurashid, Aminuddin Baki, Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestaman, Ghaffar Baba… Awang Had Salleh…’

Ketika itu Zulkifli sudah berada di Tanjong Malim, menjadi pensyarah di Fakulti Musik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mengajar subjek Lukisan, Asas Seni Rupa dan Seni Arca. UPSI terkenal dengan sejarahnya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi/perguruan yang terawal di Tanah Melayu, melalui berbagai tahap sejarah pendidikan dan ‘diri’nya sendiri sebagai Institut Pendidikan Sultan Idris, Maktab Perguruan Sultan Idris dan Sultan Idris Teachers College.

Pandangan Pameran Negaraku 1, BSLN, 2010

‘Cita-cita saya besar, Tengku. Saya mahu jadi seniman sekaligus seorang pendidik. Kedua-dua ini kuat dalam diri saya. Ini setesyen keretapi. Bayangkan kalau ada banyak painting besar di sini, ada pelajar-pelajar melukis… masyarakat dapat kenal seni dengan lebih dekat… hah, tengok tu, ada kawan-kawan kita sedang minum teh! Ha… kita ke pasar ikan dulu, tempat dari mana datangnya keperluan makanan bandar ini. Kotor. Bagaimana kita hendak ajak masyarakat mengamalkan budaya bersih? Bolehkah melalui Pendidikan Seni? Ini cabaran-cabaran untuk saya, Tengku.’

Senario 4: Studio Taman Bernam, Tanjong Malim: Jun 2010

‘Saya sudah ada beberapa ruang kerja. Di sinilah tempat idea-idea saya berkembang, lihat ini Tengku, Prof. Ramphal menghadiahkan buku ini kepada saya, Malay Sketches oleh Sir Frank Swettenham, cetakan pertama. Katanya, dia dapat ini di Amsterdam…’ Itulah di antara percakapan awal Zulkifli bila saya mengunjunginya petang itu. Zulkifli sedang sibuk membuat persiapan untuk pameran ‘Negara Ku’ di Balai Seni Lukis Negara. Dia menunjukkan studio sutera-saringnya, kemudian di bawa ke rumah sebelah yang dijadikan studio catan, dan akhirnya dibawa ke satu bangunan dua tingkat, di bawahnya bengkel kerja kayu dan besi dan atasnya lagi sebuah studio. Dan di kesemua tempat ini, karya-karya Zulkifli berkembang dan terus berkembang…

Studio, bengkel, atau apa saja persekitaran adalah ‘tempat’ yang sangat intim lagi istimewa bagi semua artis. Zulkifli sangat memerhatikan hal ini dan sentiasa berusaha menjadikan studio dan bengkelnya lengkap, rapi, kondusif dan ‘hidup’. Di situlah idea-ideanya berkembang: lukisan dan catan dihasilkan, cetakan dibuat atau arca dikimpal, dibakar, dituang atau dicanai. Di situ jugalah terletaknya semua perkakas, alatan, mesin, bahan dan bahantara, berserta dengan perabut seperti meja, bangku, donkeys dan easels. Di situlah berlakunya proses pembuatan karya-karya Zulkifli. Malah, artis dan pendidik ini berkhayal untuk menjadikan Tanjong Malim sebagai sebuah ‘studio terbuka’ seperti dalam senario 3 di atas, yang akhirnya direalisasikan sekitar awal 2000an dan seterusnya dihubungkan dengan interaksi digital seperti melalui blog dan laman Facebook. (Bandar Seni Tanjong Malim. 2010).

Elemen pendidikan juga tidak dapat dikesampingkan dalam perbicaraan mengenai Zulkifli dan karya-karyanya. Di dalam SERUM sendiri malah, elemen pendidikan ini sentiasa membayangi perkembangan kebanyakan seniman dan seninya. Ramai seniman besar SERUM terlibat dengan pendidikan samada menjadi pensyarah sepenuh masa atau sambilan, juga pentadbir di institusi-institusi pendidikan di serata tanah air. Fenomena ini tidak kurang menariknya untuk diselidiki dengan lanjut.

Seperti kemunculan fenomenalnya dalam SERUM, kehadiran Zulkifli di UPSI (baca: pendidikan seni) juga patut diberi perhatian. Disiplin kerja yang sudah melekat dalam dirinya menjadikan Zulkifli seorang pendidik yang sangat memerhatikan soal-soal kelengkapan dan kemudahan pembelajaran. Studio dan bengkel seni rupa di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), UPSI itu banyak dirintis oleh Zulkifli sejak akhir 1990an. Subjek-subjek yang beorientasikan amali memerlukan tempat-tempat serta peralatan yang sesuai – dan semua ini diusahakan oleh Zulkifli secara berperingkat bersama kawan-kawanya. Setelah memenuhi keperluan studio dan bengkel, dan pelajar-pelajarnya pun sudah memperolehi kemahiran asas, Zulkifli membawa pula pelajar-pelajarnya ‘keluar’ bereksperimen dengan ruang sebenar seperti mengadakan Taman Arca dan Taman Batik (2010) di perkarangan FMSP. Di ‘bilik kuliah terbuka’ inilah Zulkifli berkongsi pengalaman dan ilmu dengan para pelajarnya. Di situ juga hasil-hasil pelajarnya dipamerkan. Kemuncak dari ini, Zulkifli kemudiannya membawa pelajar-pelajarnya ‘belajar berkarya’ di tengah-tengah bandar dan masyarakat Tanjong Malim seperti yang diangankannya di dalam senario 3 di atas.

Luasnya studio, bengkel dan dunia pendidikan Zulkifli!

2 Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat

Ahmad adalah nama dari bahasa Arab yang bermaksud ‘terpuji’ atau ‘yang terpuji’. Allah SWT menyebut nama Ahmad ini dalam firmannya, Al-Quran, surat As-Saff ayat 6, yang diterjemahkan sebagai;

Dan ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: ‘Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku – bernama: Ahmad’. Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: ‘Ini ialah sihir yang jelas nyata!’ (al-islam.com. 2010.)

Allah telah menamakan Ahmad sebagai seorang Rasul yang datang bersama bukti-bukti nyata, merujuk kepada Rasulullah Muhammad SAW. Mengikut cerita yang dicatat K. H. Moenawar Chalil (1993): ketika Abdul Muttalib memberi nama Ahmad (Muhammad) kepada cucunya itu, itulah pertama kali nama itu disebut dikalangan masyarakat Arab Quraish. Nama Ahmad bukanlah sebuah nama yang lazim di kalangan mereka pada ketika itu. Sejak itu, nama Ahmad mula dipakai secara meluas dengan tersebarnya Islam ke serata dunia. Ada yang mengambil terus nama Ahmad atau Muhammad, yang dari sini menjadi pula nama-nama seperti Mahamad, Mohamet atau Mohd.

Dalam budaya Melayu tradisional, Ahmad juga menjadi Mamat atau disebut Mat sahaja, dan ada juga yang dipadan dengan nama atau panggilan lain, samada di awal atau akhir nama. Tambahan di awal nama Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat biasanya merujuk kepada pangkat gelaran atau kedudukan: Sultan Ahmad, Tengku Muhammad, Tun Mamat, Nik Mat, Tuan Mohd ataupun Wan Ahmad. Sementara tambahan di akhir nama pula biasanya menggambarkan asal, keturunan, sikap atau perangai Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat ini: Ahmad Perlis, Mamat Kelantan, Mamat Cucu Pak Lah, Ahmad Albab, Ahmad Nisfu, Ahmad Marbawi, Mamat Buaya Tembaga, Mamat Parang Tajam, Mamat Karung Guni, Mat Sentol, Mat Sekodeng ataupun Mat Gian.

The Art Gallery. (1997). Zulkifli Yusoff: Ahmad & Jibul. Penang: The Art Gallery

Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat ini hidup terus dalam masyarakat Melayu sejak dulu: mengetuai rombongan memanjat bukit dan gunung untuk meminang Tuan Puteri Gunung Ledang, membina jambatan merentasi sungai-sungai di merata tempat di Tanah Melayu, mengusung kitab-kitab untuk dijual kepada Raffles, menegur budak-budak yang masih galak bermain sedang maghrib sudah tiba, mengunjungi kelab-kelab malam, minum arak, bermain judi dan perempuan, mendapat biasiswa kerajaan untuk belajar di luar negeri, mengejar jawatan di hampir semua jabatan kerajaan dengan berbagai cara dan helah, menipu dan menggelapkan wang yang diamanahkan, mengerjakan ibadat haji berkali-kali dan menangis di depan Ka’abah dan sangat dermawan pula, mendapat gelaran terhormat tetapi tidak tahu tugas dan tanggung-jawab… Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat ini terus menerus hidup dalam masyarakat Melayu hingga ke hari ini: dari Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Kuala Lumpur hinggalah ke Yan di Kedah, Jerteh di Terengganu, Mentakab di Pahang, Tanjong Malim di Perak, ataupun Labis di Johor.

Zulkifli mendengar, melihat dan mengetahui Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat ini di sepanjang hidupnya. Di awal zaman persekolahan pada akhir 1960an dan awal 1970an, Zulkifli sudah melihat mereka-mereka ini secara dekat. Ayahnya, Cikgu Yusoff, adalah seorang guru sekolah rendah yang mengajar Seni Lukis, Tulisan Rumi, Ilmu Alam, Tata Rakyat dan Pendidikan Jasmani di Sekolah Kebangsaan Yan yang kini bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam. Cikgu Yusoff juga pernah menjadi Pengerusi Persatuan Belia 4B Kampong Titi Serong, Yan. Cikgu Yusoff yang diceritakan Zulkifli sebagai suka bersiul lagu-lagu patriotik ini, turut memberi dan mendapatkan buku-buku untuk dibaca oleh belia-belia persatuannya. Dia juga kerap dirujuk untuk penerangan-penerangan lanjut mengenai sesuatu dasar kerajaan pada ketika itu. Belia 4B ini akan berkumpul di rumah jiran Cikgu Yusoff apabila ada sesuatu mesyuarat atau acara. Dan sebagai Zulkifli yang kanak-kanak, dia sudah mula tahu adanya Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat yang sukakan jawatan itu-ini, yang berebut-rebut jawatan dengan berbagai helah, dan juga ada yang bekerja keras untuk kejayaan sesuatu rancangan.

Perhatian dan minat Zulkifli kepada seni rupa memang terbentuk sejak zaman kanak-kanak. Dia murid kepada ayahnya sendiri, Cikgu Yusoff, dan Cikgu Yusoff ini mempunyai almari buku yang di dalamnya terdapat Art Today (Tsabri. 2009). Dari Art Today itulah Zulkifli belajar mengenal seni rupa; dan baru-baru ini diceritakan kepada saya semasa di darjah 5, dia sudah meniru ‘Girl in the Mirror’ karya Pablo Picassso dari dalam Art Today itu. Zulkifli mula menanam cita-cita untuk menjadi seorang seniman semasa zaman sekolah menengahnya. Zulkifli menjadi Pengerusi Kelab Seni Lukis Sekolah dan banyak menghabiskan masa di perpustakaan, membelek buku-buku dan majalah Dewan Budaya, terutamanya – mencari artikel-artikel yang berkaitan dengan seni rupa. Arwah Ibrahim Hussein, seniman terkenal tanahair yang berasal dari daerah yang sama, mula mendapat perhatian masyarakat setempat sebagai ‘anak Pak Hussein yang terkenal kerana melukis’, dan ini mendorong Zulkifli untuk menurut jejak seorang ‘Ahmad’ dari Yan yang telah membuktikan bahawa Malaysia juga mempunyai Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat yang mampu bermain di pentas antarabangsa; bukan Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat yang terpesona dan leka dengan keseronokan lalu berubah menjadi Ahamad yang ‘bodoh-sombong’!

Disiplin, kasih sayang keluarga, cintakan ilmu, minat, eksperimen dan penyelidikan, bakat merancang dan berorganisasi, penguasaan bahan, bahantara dan teknik, pengalaman mengenal Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat dalam masyarakatnya, dan juga motivasi diri serta aspirasi kecemerlangan yang tidak pernah padam, adalah perkara-perkara yang menjadikan Zulkifi seorang seniman sekaligus seorang pendidik. Zulkifi membawa idea-idea ‘terpuji’ ke tengah-tengah khalayak dan masyarakat – mengikuti putaran ‘orbit’nya, menyinari dunia kependidikan pelajar-pelajarnya.

3 Permai dan Indahnya Negara Ku!

Sebagai seorang pendidik, Zulkifli terikat dengan kefahaman dan disiplin formalistik seni rupa dalam praktiknya. Setiap gubahan memaparkan kemahiran menggubah yang tinggi. Penggunaan elemen dan prinsip asas rekaan dimunafaatkan sebaik mungkin sehingga kita, pemerhati, boleh merasakan adanya suatu kesan keseimbangan yang menyenangkan pada gubahan-gubahannya, baik yang bersifat 2-dimensi mahupun 3-dimensi. Proses sesuatu karya dihasilkan juga terpengaruh dengan pendekatan akademik: di mana sebelum memulakan kerja dia akan memastikan ada tema, subjek atau isu yang jelas untuk dikupas dan diketengahkan, kemudian dia mencari motif atau tanda yang relevan dengan tema/subjek/isu pilihan untuk dikaji, kemudian dia akan membuat beberapa lakaran untuk menyesuaikan motif/tanda pilihan dengan gubahan yang akan dihasilkan, dia juga mungkin kemudiannya merujuk kepada karya-karya sendiri atau orang lain untuk terus mendapat gubahan yang terbaik, sesudah berpuas hati dengan persediaan bahan, bahantara, cadangan teknik serta beberapa cadangan gubahan, barulah dia memulakan kerja-kerja studio atau bengkel. Hal ‘ketelitian’, ‘ketrampilan’ dan ‘kemasan kerja’ dalam proses berkarya Zulkifi ini terkesan melalui karya-karya yang dimuatkan dalam pameran ‘Negara Ku’ ini.

Mengenai isi kandungan atau apa yang menjadi gagasan Zulkifli dalam ‘Negara Ku’, saya suka menghubungkan karya-karya Zulkifli dengan suatu persembahan ‘wayang’. Saya melihat banyak naratif atau keadaan yang memungkinkan sesuatu bentuk pengkisahan/penceritaan dibawa Zulkifli dalam karya-karyanya. Watak-watak yang semestinya Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat itu, samada disedarinya atau tidak, ditonjolkan dengan penuh gaya didalam ruang atau pentas yang direka bersesuaian dengan personaliti watak-watak, teks-teks yang dipersembahkan kadang seperti graffiti kadang seperti ‘pernyataan yang terpahat’ untuk menegaskan sesuatu idea atau peristiwa, dan juga tajuk-tajuk yang diberikan seperti ‘Aku, Ayah dan Lagu Patriotik’, ‘Kebun Pak Awang’ atau pun ‘Kedai Gunting Rambut Bunga Raya’ – semuanya menjadikan Zulkifli seperti seorang dalang yang sedang ‘menghidupkan’ cerita-ceritanya.

Pandangan Pameran Negaraku 2, BSLN, 2010

‘Negara Ku’ secara saksama juga adalah otobiografi Zulkifli: dia menangkap imajan, tanda, atau kebiasaan masyarakat yang dilihat dan didengarnya dari Yan, Shah Alam, Kelang, hinggalah ke Tanjong Malim dan tentunya juga tempat-tempat lain yang dilawati atau disinggahinya, lalu diluahkan semuanya menjadi kolaj-kolaj sejarah dan sosio-budaya sebuah negara bernama Malaysia. Dekad 1960an & 1970an Malaysia adalah zaman awal ‘pengisian kemerdekaan’ negara, di mana pihak kerajaan yang memerintah bertungkus-lumus memenangi hati rakyat dengan berbagai rancangan masa depan di samping mempertahankan rakyat dan budayanya dari diresapi anasir-anasir yang tidak diingini – dan Zulkifli melalui zaman ini bersama semangat Cikgu Yusoff, Belia 4B Kampong Titi Serong dan kawan-kawan yang bernama Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat.

Penggunaan media-massa secara fungsional oleh kerajaan Malaysia di dekad 1960an dan 1970an berkesan dalam membina persepsi masyarakat, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar, untuk menyokong dasar-dasar dan rancangan yang diatur. Selain dari siaran radio yang digunakan secara meluas, ‘van Jabatan Penerangan’ turut dihantar ke kampong-kampong sebagai pemangkin untuk menjelaskan lagi agenda-agenda kerajaan. Van Jabatan Penerangan ini dinanti-nanti oleh penduduk kampong kerana bersamanya akan datang juga tayangan filem percuma. Dari van-van ini muncullah berbagai agenda kerajaan seperti ‘cara menggunakan baja untuk tanaman padi atau buah-buahan’, ‘penanaman padi dua kali setahun’, ‘perpaduan masyarakat Malaysia’, ‘bahaya pengaruh komunisme’ ataupun ‘Dasar Ekonomi Baru’.

Imajan seperti ‘Bunga Raya’, ‘Perwira Ku’, ‘Kebun Pak Awang’, ‘Fajar di Bumi Permata’, ‘Hamka’ atau ‘Lambang Peace’ digarap Zulkifli untuk mengkisahkan otobiografinya dengan penegasan kepada period dekad 1960an & 1970an sebagai ‘zaman pengisian kemerdekaan’ sebuah Malaysia. Patriotisme bernegara yang ditanamkan oleh seorang bernama Cikgu Yusoff di dalam diri Zulkifli, dan Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat di Kampong Titi Serong, Yan di dekad-dekad tersebut akhirnya mencetus seperti satu konflik bila tiba dekad 1980an dan 1990an. Di dekad-dekad ini, Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat ini mula pandai menjadi ‘bodoh-sombong’ – menjadikan idea bernegera itu seperti suatu perkara yang mudah dengan berbagai slogan bombastik dan glamour murahan. Dan semuanya ditaburkan Zulkifli ke dalam ‘Negara Ku’: samada secara dokumentasi budaya, sejarah, harapan-harapan, kenangan atau perasaan resah terhadap masa depan yang dicorakkan Ahmad, Muhammad, Mamat atau Mat dari serata pelusok Malaysia.

Penutup

Membaca ‘Zulkifli Yusoff dan Negara Ku’nya adalah seperti menatap potret seorang tokoh yang berjasa dalam perkembangan SERUM dan pendidikan tanahair. Ketokohan yang ditandakan dengan disiplin, kerja keras, kebijakan dan azam yang kuat seperti yang diperkatakan dalam tulisan ini, sangat-sangat diperlukan dalam usaha membina dan melestarikan keberadaan sebuah Malaysia, Negaru Ku. Semoga sumbangan dan jasa Zulkifli terus menyinari SERUM dan Malaysia.

Kolaj untuk Zulkifli | 2011

Rujukan

al-islam.com. (2010). http://www.al-islam.com/mal/ (30hb. Jun 2010).

Bandar Seni Tanjong Malim. (2010). http://www.facebook.com/people/Bandar-Seni-Tanjong-Malim/100000721068594 (30hb. Jun 2010).

Batikpark Tamanbatik. (2010). http://www.facebook.com/people/Batikpark-Tamanbatik/100000750378412 (30hb. Jun 2010).

Moenawar Chalil. (1993). Kelengkapan Tarikh Nabi Muhammad SAW. Jakarta:Penerbit Bulan Bintang.

Ooi Kok Chuen. (2008). Bab to the Future atau Manual Bikin Kacang-Cola dengan Sambal Belacan, dalam Wei-Ling. (Ed.). (2008). Zulkifli Yusoff: Icons. Kuala Lumpur: Wei-Ling Gallery. 46 – 56.

Tsabri Ibrahim. (2009). Tanpa Tajuk: Cerita-cerita Seni Rupa. Kuala Lumpur: Tinta Publishers.

Nota: Tulisan ini telah diterbitkan di dalam katalog Zulkifli Yusoff: Negaraku, BSLN, 2010

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s