Off Walls Off Pedestals

Nota SERUM 4.1: Peta Dinamika Ideologi SERUM: Definisi/Persepsi

Posted in Peta SERUM by tsabri on February 21, 2011

Peta Dinamika Ideologi SERUM: Definisi/Persepsi

Peta Dinamika Ideologi SERUM (Nota 4) menggambarkan enam perkara yang dicambahkan dari kefahaman pembentukan Ideologi SERUM.

Pertamanya adalah Definisi/Persepsi, sebagai satu usaha mengenalpasti erti (definisi) dan pandangan (persepsi) terhadap SERUM dan seni rupa umumnya. Perkataan ‘Definisi’ dan ‘Persepsi’ di sini diletakkan secara bergandingan dengan tanda ‘/’ sebagai penanda yang kedua-duanya saling berkait.

Sejak pemikiran seni (seni rupa) diperkatakan orang, kita telah banyak menemui definisi yang berbagai; yang rata-ratanya tertumpu kepada beberapa sudut atau latarbelakang seperti bentuk karya seni, bahan dan teknik, kemahiran dan ketrampilan pembuatnya, pengalaman yang diperolehi daripada menikmati sesebuah karya seni, penjelmaan sesuatu pemikiran, fungsi atau kegunaan sesuatu bentuk seni rupa itu, nilai kerohanian atau juga sebagai sebuah artifak budaya. Latarbelakang pendefinisian yang berbagai ini acap kali pula bertindeh sesama sendiri lalu mengayakan/memeriahkan kandungan makna dan nilai seni itu sendiri (pembinaan, pertambahan dan pengukuhan sesuatu persepsi).

Perbincangan mengenai Definisi/Persepsi atau tindakan mendefinisi dan membina persepsi ini boleh dibahagikan kepada dua tahap utama yang boleh dinamakan sebagai tahap ‘kudus’ dan ‘profan’; yang mana pula saling berkaitan dalam keberadaan sesebuah karya atau bentuk seni itu.

1. Tahap Kudus:
Tahap ini berkaitan dengan keyakinan seseorang terhadap sesuatu idea atau konsep yang (sering) dikaitkan dengan kepercayaan beragama atau pengalaman spiritual/kerohanian. Perbincangan mengenai hal ini boleh saja membawa kita kepada soal-soal mujarad/abstrak seperti ‘jiwa’ (soul) dan ‘isi kandungan’ (content) yang ada pada bentuk seni.

Tahap ini boleh ditandakan melalui tiga perkara;

1.1 Kekuasaan Maha Pencipta: kesedaran kepada kekuasaan Tuhan (Ajaran Ilahi) yang sering dimanifestasikan secara ‘meditatif’ dan juga ‘simbolik’ seperti yang dapat ditemui dalam bentuk-bentuk Seni Islam dan Kristian; juga dalam pemikiran dan bentuk kebanyakan seni primitif dan tradisional dari serata dunia, serta dalam banyak persepsi dan amalan falsafah Timur (Cina, India, Jepun, Asia Tenggara dll.) Kecenderungan ini memberi isyarat atau tanda yang seni itu mempunyai (atau pernah ada) pertalian dengan kekuasaan Tuhan.

1.2 Kemampuan dan Keterbatasan Manusia: seseorang manusia (artis/Manusia SERUM) yang boleh berfikir secara wajar akan mengakui had kemampuan dan keterbatasan yang ada pada dirinya. Kesedaran sebegini akan mempengaruhi tanggapan dan tindakannya tehadap pemikiran dan bentuk seni. Dia akan bermotivasi untuk membaiki diri, menguasai bahan dan teknik, membaiki tingkah laku seharian, dan juga berusaha untuk mempertingkatkan pemikirannya.

1.3 Kesejahteraan Seluruh Alam: seni dan bentuk-bentuk manifestasinya harus menyuguhkan idea-idea tentang kesejahteraan kepada kehidupan dan kemanusiaan itu sendiri. Tindakan apa pun harus bervisikan perdamaian dan toleransi sesama manusia serta alam persekitarannya – seni harus mendamaikan dan tidak merosakkan serta menyuburkan pemikiran-pemikiran yang berguna.

2. Tahap Profan:
Tahap ini boleh difahami sebagai tahap yang mengandungi petanda-petanda yang berkaitan dengan ‘keduniaan’ atau ‘kebendaan’ yang mendampingi sesebuah pemikiran atau bentuk seni itu. Ia merangkumi soal-soal sifat keujudan, unsur-unsur ciptaan dan juga fungsi bentuk seni itu.

Tahap ni boleh ditandakan melalui tiga perkara;

2.1 Bentuk Indah: Setiap bentuk seni itu membawa idea ‘indah’, yang walaupun tidak semestinya semua pihak akan bersetuju dengan sesuatu idea ‘indah’ itu kerana ia bergantung pula kepada faktor-faktor seperti masa/zaman, tempat dan kebudayaan masyarakat dari mana bentuk seni itu muncul. Keindahan atau idea ‘indah’ pada bentuk seni itu banyak bergantung kepada kemahiran menggubah dan ketrampilan teknik artis yang menghasilkannya.
(Idea ‘indah’ ini akan dinotakan dengan lanjut dalam perkara Estetika yang turut membentuk Ideologi SERUM).

2.2 Bentuk Berguna: Setiap bentuk seni itu seharusnya berguna, samada untuk memenuhi tuntutan kegunaan harian, perasaan atau juga pemikiran.
(Idea ‘berguna’ ini akan dinotakan dengan lanjut dalam perkara Jenis & Fungsi Bentuk yang turut membentuk Ideologi SERUM)

2.3 Bentuk Bermaklumat: Setiap bentuk seni itu membawa maklumat samada secara literal mahupun secara abstrak melalui metafora atau kiasan-kiasan. Pemerhati (audien) yang berkesedaran akan menggunakan maklumat-maklumat yang ada pada bentuk seni itu untuk membuat tafsiran-tafsiran yang seterusnya pula menjadikannya lebih bermakna dan bernilai.

Kedua-dua tahap yang mengandungi perkara-perkara seperti yang ditandakan itu sememangnya berkaitan dan sama-sama membentuk keberadaan sesebuah bentuk seni itu. Ini secara mudah boleh difahami sebagai pertalian di antara bentuk (form) dan isi kandungan (content).

* Tahap Profan berkaitan dengan Bentuk, dan Tahap Kudus berkaitan dengan Isi Kandungan.

* Kedua-dua Bentuk & Isi Kandungan. atau Profan & Kudus itu ada pada setiap bentuk seni.

* Tindakan memberi definisi, juga membina persepsi, terhadap seni dan bentuknya harus mengambil kira kedua-dua tahap ini.

* Sebuah catatan dari Dr. Azly Rahman, seorang penulis dan teoris-sosial, mengenai seni barangkali boleh direnung bersama dalam usaha memberi definisi/persepsi kepada SERUM dan seni amnya.

‘Art must not merely mirror the beauty of nature, imitate life, advance postmodern sensibilities, ignite the revolt of the masses, portray screams of consciousness within, but all these and more, it must bring humanity back to the cave and to de-evolve into beings whose true nature is visible – ar. 2010.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s