Off Walls Off Pedestals

Nota Kecil untuk Bicara Seni BMS 2, 26 Februari 2011

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on February 27, 2011

Skrin Bicara Seni BMS 2 | 26 Feb 2011

1.

Auditorium BSLN kosong bila saya tiba. Jam sudah menunjukan pukul 3 petang. Ada acara lain di foyer BSLN; hampir bubar. Kira-kira 20 minit kemudian auditorium pun mula dipenuhi. Di skrin tertayang:

Halatuju BMS 2010 the young contemporaries –       Dimanakah halatuju kita? Where should we go?

…dengan satu baris ditambah di bawah, dalam kurungan:

{Kemanakah Halatuju kita? Where are we going?} – notes by Tengku Sabri. Feb 19th talk

Ahh, mereka (penyelenggara program Bicara Seni BMS ) memetik sesuatu dari blog saya berkaitan dengan Bicara Seni BMS pekan lalu. Ya. Saya lebih suka ayat, Ke manakah Halatuju… daripada yang berbunyi: Di manakah Halatuju… Halatuju. Saya pasti semua orang mengimpikan halatuju yang baik, yang boleh menggembirakan hati. Namun saya masih bimbang dengan ‘Apakah Pendirian Saya/Kami?’ sepertimana yang diketengahkan pemenang BMS10 pekan lepas. Saya tiba-tiba terfikir yang ‘halatuju’ bukanlah masalah ‘kontemporari’ BMS lagi. Cerita ‘halatuju’ itu sudah banyak kali dibicarakan, malah dari pentas auditorium ini pun saya pernah bercakap dan mendengar tajuk atau tema yang kurang-lebih sama, bukan sekali malah beberapa kali sejak lama dulu. Masih belum ‘puas’ dengan halatuju?

Acara dimulakan. Saubin yang menjadi moderator Bicara Seni BMS 2 petang itu menjalankan tugasnya dengan baik. Dia menyediakan nota dan berbincang dengan ahli panel sebelum program. Dia juga berinisiatif menghubungi Hasnul Jamal Saidon, seorang artis dan akademik yang pernah terlibat dengan BMS sebagai peserta dan juri kemudiannya, bertanyakan mengenai ‘halatuju’ BMS dan lain-lain. Kami – Saubin, Nur Hanim, Faizal Sidek, Badrol dan saya – juga dapat berinteraksi sedikit sebanyak dengan audien melalui soalan atau pandangan dari mereka. Terima kasih U-Wei, Naser, Prof. Madya Ali Abd Rahman, dan lain-lain yang saya memang terlupa dan tidak tahu nama mereka.

2.

Audien Bicara Seni BMS 2 tidak banyak berubah. Pelajar-pelajar yang tadinya mengikuti program di foyer BSLN meramaikan auditorium. Artis-artis BMS10 pun tidak ramai yang hadir – muka yang itu-itu juga. Di mana silapnya? BSLN lagikah perlu dipertanggungjawabkan? Saya kira BSLN sudah menjalankan tugasan BMS10 dengan baik. BSLN menganjurkan BMS10; melakukan proses pemilihan cadangan, memberi masa dan peluang kepada artis untuk menyiapkan dan meletakkan karya, melantik panel juri yang difikirkan sesuai, mengadakan pameran, menerbitkan katalog dan menganjurkan sesi bicara seni. Syabas BSLN. (Rujuk tulisan Erry Arham Azmi: Pengenalan dalam Katalog BMS10, Sezaman, 2010, BSLN.)

Mari kita lihat perjalanan BMS10 serta hubungan dengan pesertanya (artis BMS10) dari mula BMS10 disebar kepada umum pada 22 Jun 2010 hingga sekarang, 26 Feb 2011 dan selepasnya – tamat pameran dan pengembalian karya kepada artis BMS10).

No Tarikh Acara/Perkara Artis BMS10
1 22 Jun 2010 Berita BMS10 disebarkan
2 1 Ogos Tarik Tutup Terima Cadangan Karya 84 artis / cadangan diterima
3 20 & 24 Ogos Pemilihan Cadangan Karya oleh Kumpulan Kuratorial BSLN 45 artis / penyertaan melepasi pemilihan
4 1 – 14 November Tempoh Penghantaran & Pemasangan Karya 5 artis menarik diri
5 15 & 16 November Penilaian oleh Panel Juri 4 artis ditolak penyertaan
6 18 Januari 2011 Perasmian & Penganugerahan BMS10 Ramai artis BMS10 kelihatan
7 19 Februari Bicara Seni BMS 1 tak sampai 10 artis BMS10 hadir termasuk pemenang
8 26 Februari Bicara Seni BMS 2 tak sampai 10 artis BMS10 hadir
9 …selepasnya Pameran Tamat

Rajah: Hubungan Peristiwa BMS10 dengan Artis BMS10

Rajah di atas dibuat supaya dapat kita membaca hubungan Artis BMS10 dengan peristiwa BMS10 itu dengan lebih jelas. Maklumat dari nombor 1 hingga 5 adalah dari catatan Kumpulan Kuratorial BSLN yang bertanggungjawab dengan BMS10, sementara nombor 6 hingga 9 adalah pemerhatian rambang dari saya sendiri.

Apa yang boleh kita baca? 84 orang sahaja artis muda SERUM yang menghantar cadangan BMS10! Apa kita tidak punya ramai artis muda? Had umur pun dinaikkan sehingga 40 tahun dari 30 dan 35 tahun sejak dekad dulu. BMS yang dikatakan satu-satunya pameran/pertandingan seni rupa ‘berprestij tinggi’ di Malaysia ini cuma dapat menarik hanya 84 penyertaan sahaja?

Kemudian, hanya 45 penyertaan saja yang melepasi pemilihan peringkat pertama oleh Kumpulan Kuratorial BSLN. Hampir separuh. Kenapa banyak penyertaan digugurkan? Membaca tulisan Erry Arham, seperti yang terdahulu disebut, akan menemukan kita dengan soal-soal kualiti karya dan yang parah sekali – soal disiplin. Artis-artis muda kita tidak berdisiplin! Soal disiplin ini juga saya sebut dalam Lapuran Panel Juri BMS10.

Pada hari Perasmian Pameran/Pertandingan BMS10 kita dapat melihat ramai artis BMS10 dan kawan-kawan mereka yang lain. Meriah. Mereka semua menunggu keputusan diumumkan. Dan, apabila tiba pula program Bicara Seni BMS yang diadakan sebanyak dua kali, 19 & 26 Februari, khusus untuk berbicara mengenai karya mereka dan permasalahan seperti pendirian dan halatuju, mereka hampir tidak kelihatan!

Saya juga teringat ulasan Majidi Amir, moderator Bicara Seni BMS1 yang juga Kurator Senior di BSLN, mengenai hal-hal yang akan ditangani selepas karya diturunkan dari pameran – banyak karya lambat malah ada yang tidak diambil kembali oleh artis sehingga menimbulkan masalah-masalah lain.

Peminat BMS | 26 Feb 2011

Saya kira senario yang hampir sama berlaku di sepanjang BMS dekad pertama 2000an. Bacalah laporan dan catatan panel juri BMS sepanjang dekad lalu. Kesemuanya adalah laporan hasil ‘halatuju’ yang dibicarakan di berbagai forum pada abad lalu – 1990an! Dan, hari ini sekali lagi kita cuba membina ‘kerangka halatuju’ daripada ‘pendirian’ yang kelihatannya samar-samar seperti yang ditemui pada Bicara Seni BMS1!

Apa yang boleh kita baca dari semua ini?

3.

Saya fikir kita tidak perlu bercakap banyak tentang hal-hal ‘teoritikal’, sekurang-kurangnya buat masa ini jika kita tidak benar-benar bersedia. Yang cenderung kepada hal-hal begini, saya kira wajar sekali mereka terus mendalami kajian masing-masing dan pada masa yang sama berusaha pula untuk memberitahu atau menyebarkan secara mudah sehingga dapat difahami oleh masyarakat umum. Sering saja perbincangan teoritis menjadi lebih banyak membingungkan dari menjelaskan. Soal-soal teori, pemikiran dan estetika seni sebenarnya adalah untuk menjelaskan – namun, mungkin kerana kita tidak tahu tapi pura-pura tahu sedikit sebanyak, atau tidak dapat menjelaskan dengan baik; maka semua persoalan menjadi semakin kabur sehingga menimbulkan rasa bosan, jengkel, dan ini membuatkan artis muda atau siapa saja boleh meminggirkan diri.

Saya percaya sekarang masing-masing harus membuat kerja yang ditugaskan atau dipertanggung-jawabkan dengan sebaik mungkin. Semua orang – artis, kurator, pentadbir, penulis, editor, pendidik dan lain-lain, harus memahami dan sentiasa mempertingkatkan kemampuan diri, serta terus-menerus mempertingkat daya dan kebolehan komunikasi. Sebahagian masalah kita adalah juga soal komunikasi di antara satu satu lain, apalagi dengan masyarakat umum.

Soal pendidikan adalah menjadi keutamaan apabila saya melihat permasalahan sebegini. Di bawah rajah yang dipaparkan di atas tadi adalah ‘pendidikan’. Sistem pendidikan seni yang diajarkan dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat sarjana falfasah. Apakah yang diajarkan kepada artis-artis BMS ini? Bagaimana bentuk kurikulum yang dilalui? Apa betul motivasi, aspirasi kecemerlangan dan nilai kemasyarakatan serta kemanusiaan terdapat dalam kurikulum mereka?

4.

Kita tidak mahu bercakap mengenai ‘halutuju’ lagi sepuluh tahun akan datang. ‘Halatuju’ sepatutnya sudah ada dalam diri masing-masing, baik perseorangan mahupun apa bentuk organisasi. Tidak ada salahnya, kalau sekali-sekala kita masuk semula ke kelas lukisan! Setiap garisan mempunyai cerita! Every line tells a story!

One Response

Subscribe to comments with RSS.

  1. brian dettmer said, on July 24, 2011 at 6:47 pm

    sebab work bms 10 yang menang tak hebat…..work copy….juri pon tak upgrade art since sampai work copy copy boleh menang…….malu je malaysia……by BRIAN DETTMER


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s