Off Walls Off Pedestals

Sedikit Catatan mengenai Projek ‘Off Walls Off Pedestals’ di Akal diUlu, Hulu Langat, 2002

Posted in Other Works by tsabri on February 28, 2011

1. Pameran di Kebun Anggur

Karya Kanzaki Toyohiko di Noko | 2000

Kawakami-san adalah seorang kawan Juhari M. Said (Juhari), artis seni cetakan kayu yang terkenal. Ketika saya menjadi artis-residen di Fukuoka Asian Art Museum pada tahun 2000, Kawakami-san telah datang memperkenalkan dirinya selepas diberitahu Juhari. Kami bertemu beberapa kali. Pada suatu hari kelepasan, Kawakami-san telah membawa saya melawat sebuah pameran seni rupa di Pulau Nokonoshima yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan feri dari Fukuoka. Pameran yang memuatkan beberapa instalasi itu dibuat di dalam sebuah kebun anggur. Saya dapat melihat karya seni yang diletak di atas pokok, di celah-celah pohon anggur, di hujung padang dan di merata tempat. Saya sangat teruja.

Kawakami-san memperkenalkan saya kepada kumpulan artis yang berpameran di situ. Mereka adalah sahabat baik Kawakami-san, seorang yang meminati seni rupa dan sudah pencen dari kerjanya sebagai seorang pegawai kerajaan. Kami berbual panjang dan timbullah idea untuk mengadakan pameran yang serupa di Malaysia. Kawakami-san sangat gembira kerana dia tahu Juhari mempunyai studio-kebun-kediaman yang boleh dijadikan tempat pameran seperti itu. Dia bersungguh-sungguh meminta saya untuk berbincang dengan Juhari apabila kembali ke Malaysia.

2. Akal diUlu

Sebahagian pemandangan Akal diUlu sebelum OWOP | 2002

Sekembali dari Fukuoka, saya berbincang dengan Juhari. Juhari sangat gembira melihat foto-foto pameran yang saya ambil di kebun Pulau Nokonoshima itu. Kami menyusun rancangan untuk membuat satu projek usahasama di antara artis-artis Malaysia dan Jepun. Projek yang akhirnya saya namakan Off Walls Off Pedestals (OWOP) itu di buat di Akal diUlu, studio-kebun-kediaman Juhari seperti cadangan Kawakami-san. Akal diUlu terletak di Hulu Langat, di perkampungan bahagian belakang Institut Kemahiran Belia Negara, Dusun Tua. Terdapat berbagai pohon buah-buahan di Akal diUlu, seperti rambutan, durian, manggis, pisang, sukun dan lain-lain. http://www.juharisaid.com/

3. Projek

Juhari telah meminta Salmah Abu Mansor (Salmah), seorang kawan yang juga kenalan Kawakami-san, untuk mengurus perjalanan OWOP terutamanya soal pendanaan kerana OWOP sebenarnya adalah ‘projek sendiri’ sesama artis. Salmah berpengalaman dalam mengurus projek-projek kesenian. Saya mengurus soal-soal konsep projek dan urusan artis, sementara Juhari menyediakan tempat pameran.

OWOP: Katalog Buatan Sendiri | 2002

Seramai 19 orang artis terlibat dengan OWOP. Lima orang artis dari Fukuoka dan selebihnya artis Malaysia yang menyertai sebagai artis perseorangan dan berkumpulan. Artis-artis Jepun ialah Akira Inoue, Katsu Murakami, Masaki Kidera, Maya Shuto dan Toyohiko Kanzaki. Artis Malaysia pula terdiri dari Juhari, Zulkifli Yusoff, Chong Yong, Helena Song, Noor Azizan Paiman dan Zainal Abidin Musa sebagai artis perseorangan; sementara saya dan Mastura Abdul Rahman sebagai satu kumpulan, Saubin, Ivan dan Hanafiah sebagai satu kumpulan lain, dan Hafiz, Roslisham dan Iruadee sebagai satu lagi kumpulan.

Pengurusan kewangan projek adalah sangat sulit kerana dana yang sedikit lagi terhad. Kawakami-san banyak mengeluarkan sumbangan terutamanya untuk mengurus artis-artis Jepun. Sebenarnya Salmah mendapat bantuan kewangan dari sebuah pertubuhan persahabatan Jepun, tetapi hal ini tidak dipersetujui oleh pihak artis Jepun. Mereka mempunyai pendirian yang berlainan dengan pertubuhan itu dan tidak mahu terlibat dengannya. Kami tidak dapat berbuat apa-apa melainkan meneruskan projek dengan sumber kewangan yang sangat terhad.

4. Karya dan Apresiasi

Karya Kanzaki Toyohiko di OWOP | 2002

Karya Juhari di OWOP | 2002

Karya artis Jepun di OWOP sangat kemas dan teratur dari segi gubahan yang disatukan dengan alam sekeliling Akal diUlu. Warna-warna terang seperti kuning, jingga dan ungu dari instalasi mereka saling bertindihan dengan hijau alam sekeliling. Karya artis Malaysia pula tidak kurang hebatnya, tetapi lebih kepada karya yang berbau ‘konseptual’ seperti karya Paiman yang berupa sebuah khemah, karya Saubin, Ivan dan Hanafiah yang bercerita tentang melihat filem di tapak perkemahan, dan karya Zainal yang berupa ikatan-ikatan tali di sebatang pokok. Penduduk tempatan berpeluang mendekati dan mempelajari seni rupa dan budaya dengan lebih dekat.

5. Pengalaman Berharga

Penduduk kampong bermain kompang semasa perasmian OWOP

Sebagai salah seorang yang bertanggung-jawab mengurus OWOP, saya terpaksa menyatakan rasa tidak puas hati dengan perjalanan keseluruhan projek OWOP kerana banyak kekurangan dan kelemahan terutamanya soal dana. Tidak banyak yang dapat kami lakukan untuk memuaskan hati semua artis. Kadang bila terfikir mengenainya, saya boleh berkata yang ia adalah sebuah projek yang kurang berjaya walaupun tidaklah gagal sepenuhnya. Banyak jerih yang dilalui oleh saya, Juhari, Kawakami-san dan Salmah untuk menjayakan OWOP. Namun walau apapun, ia adalah suatu pengalaman yang sangat berharga.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s