Off Walls Off Pedestals

Under Deconstruction 2012

Posted in Uncategorized by tsabri on February 2, 2012

Jeri dalam Kenangan: Sebuah Cerpen Mengenai Cinta

Posted in My Artist-Friends by tsabri on June 27, 2011

Ahmad Azhari, lebih dikenali sebagai Jeri, adalah seorang sahabat-artis yang sudah meninggal dunia. (Lihat Belasungkawa untuk Hero Pop SERUM). Ramai yang tidak tahu, selain melukis, Allahyarham juga rajin menulis. Berikut adalah sebuah cerpen tulisan beliau, terbit dalam majalah ‘Fantasi’ bulan Julai 1992.

______

KIRANYA CINTA ITU UNTUK DIBERIKAN, KENAPA IANYA BEGITU SUKAR, MAMA?

VINCENT VAN GOGH MEMOTONG TELINGANYA LALU DIHANTAR KEPADA MARILYN MONROE. MARILYN BEGITU TERHARU DAN MENINGGALKAN SEGALA YANG ADA PADANYA – KARIER, KOLAM RENANG, SENYUMAN BERAHI, TELEFON, KEMATIAN DAN SEMUANYA, LALU PERGI KE SELATAN PERANCHIS UNTUK BERSAMA VINCENT VAN GOGH.

Apakah mereka di dalam kegembiraan yang berpanjangan? Tidak, tiada siapa yang tahu. Tapi mereka cuma BERPURA hidup dalam keriangan. Dan setelah semua keadaan menjadi kepuraan, pura-pura gembira adalah hampir sama dengan kegembiraan sebenar.

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Bila dia membuka bungkusan dan terjumpa telinga, Marilyn terharu dalam senyuman.

Marilyn Monroe meletakkan telinga itu di dalam kotak ROSEWOOD di atas meja soleknya. Dia selalu mengeluarkan telinga itu dari kotak dan membelainya, merasakan kehangatannya dan menggigil ketawa.

Sekali, pernah telinga itu dijadikan loket di rantai peraknya dan memakainya ke parti. Dia selalu mengharapkan agar dapat menulis perkataan “TERIMA KASIH” kepada tuan punya telinga itu, tapi tak pernah dapat berbuat demikian.

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Beberapa minggu kemudian, bungkusan itu dikembalikan kepada Vincent van Gogh dan tertulis ‘PENERIMANYA SUDAH TIADA’.

Vincent van Gogh membuat penyelidikan dan didapati benar. Di dalam penyelidikannya didapati Joe DiMaggio memesan ros merah untuk diletakkan di kubur Marilyn Monroe setiap tiga hari sekali untuk selamanya. Bukan hanya sepanjang hidup Joe DiMaggio dan bukan hanya di zaman kegemilangan Hollywood, filem dan hari pengkebumian, tapi selamanya.

Vincent van Gogh bersandar kepada mahkota epileptik BUNGA MATAHARI dan katanya, “Selepas dunia berakhir, Joe DiMaggio akan memperolehi wang pulangannya.”

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Marilyn Monroe memotong salah satu dari telinganya dan mengirimkan kepada Vincent van Gogh. Vincent van Gogh memotong jari kakinya dan mengirimkan kepada Marilyn Monroe. Mariyn Monroe menghantar satu jari kakinya sebagai balasan. Kemudian, Vincent van Gogh memotong kelopak mata dan mengirimkannya. Sebagai balasan dia menerima kelopak mata dari Marilyn Monroe. Maka terjalinlah persahabatan yang intim antara mereka. Mereka bertukar-tukar jari manis, lidah dan pusat. Suatu hari, Vincent van Gogh memotong hatinya dan terburu-buru menghantarnya ke Hollywood, tapi Marilyn Monroe merasa bosan dengan segalanya dan lari ke Tijuana bersama Warren Beatty.

Vincent van Gogh berasa hampa, tetapi tidak terperanjat kerana dapat menduga tentang permainan cinta.

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Tidak lama kemudian, Marilyn Monroe terbang ke Paris, memandu kereta yang disewa ke selatan Perancis dan memanggil Vincent van Gogh.

Melalui perkenalan formal, Marilyn Monroe mengeluarkan sekotak kek HOSTESS TWINKIES. Kerana kek hostess twinkies selalu diletakkan berpasangan, seperti koyot, gorilla dan paus yang membunuh dan burung bangau. Hostess twinkies adalah sahabat dalam kehidupan, jadi mereka makan seorang satu.

Selesai makan, Marilyn Monroe mencapai bakul jahitan, mengeluarkan jarum dan benang yang berwarna hijau dan menjahit telinga Vincent van Gogh di tempat asalnya.

“Itu dia,” katanya sambil menjilat krim di tepi mulutnya. “Itu dia budak nakal. Lain kali kalau hendak memberi sesuatu sebagai tanda kasih, ingatkan cara kuno Yahudi. Tidak kelam kabut, lebih bermakna dan mudah diterima.”

“Ingat, kepada manusia adalah telinga, pada anggota adalah pancaindera.”

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu menghantar kepada Marilyn Monroe. Telinga yang terpotong mengingatkan Marilyn Monroe tentang bulan sabit. Beberapa jam dia membuat perkiraan menerusi cahaya bulan.

Lalu menelefon Vincent van Gogh.

“Adakah bulan mempunyai makna tertentu?” Dia bertanya.

Vincent van Gogh memikirkan soalan itu dan memutuskan ianya soalan bodoh.

Albert Camus menulis satu soalan yang serius. “Apakah boleh membunuh diri atau tidak?” Tom Robins menulis satu soalan yang serius iaitu. “Adakah masa terakhir sudah bermula?” Camus benar-benar bangun di sebelah katil yang salah. Robins mungkin terlupa untuk mengunci jam locengnya. Hanya ada satu soalan yang serius: SIAPA YANG TAHU BAGAIMANA MEMBUAT CINTA SEJATI? Berikan jawapan kepada ku dan aku akan beritahu sama ada engkau boleh atau tidak mengambil nyawa sendiri.

Beritahu ku, agar aku bersihkan minda mu mengenai bermulanya hari terakhir. Beritahu ku, agar dapat ku jelaskan bahawa bulan mempunyai makna tertentu.

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Paul Gauguin kebingungan.

“Itu adalah perasaan buruk, Vincent,” kata Gauguin. “Beratus tahun dari sekarang, selepas kau mati dan hilang, engkau hanya diingati tentang memotong telinga daripada kecantikan dan kejujuran lukisan mu.”

Daripada celah balutan, Vincent van Gogh menjeling Paul Gauguin dan tersenyum. “Jangan bimbang,” katanya. “Seni akan mengawal keseniannya. Dan apa dunia nak kata selepas kematian ku, bukanlah urusan ku. Yang menjadi urusan adalah HIDUP. Yang menjadi urusan adalah CINTA.

Hari berikutnya, Paul Gauguin menyembelih isterinya dan pergi ke Tahiti.

“Kesian Gauguin,” keluh Vincent van Gogh. “Dia hanya faham sebahagian daripada cakap ku.”

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Tiba-tiba dia berfikir dua kali dan merasa sedih yang amat sangat.

“Oh, kenapa aku percaya sangat,” tanyanya. “Telingakan lebih berharga. Bagaimana kalau dia tak suka telinga? Baik hantar sesuatu yang lebih baik. Sepatutnya aku menghantar kentang, ubat gigi atau lakaran berus yang menceritakan tentang cinta. Aku tahu telinga hanya membuatkannya rasa terharu. Patutlah mereka memanggil ku Vincent van Gauche. Aku yang menghancurkannya.” Di dalam kegelisahan, dia menerima satu nota, “Kehadapan tuan,” pembukaannya, “Terima kasih banyak kerana dompet sutera.” Vincent van Gogh rileks, dia tersenyum luas dari telinga kiri hingga ke… oooops.

Vincent van Gogh memotong telinganya. Dia mahu menghantarkannya kepada Marilyn Monroe, tapi tak tahu bagaimana nak buat.

Dia tak mahu untuk menghantarnya sendiri. Mereka tidak mengenali antara satu. Atau menghantarnya ke studio Marilyn Monroe, tentu wanita itu akan membuangnya. Bolehkah dipercayai keretapi ekspress atau DHL atau securicor yang dikawal dengan senjata api?

Telinga adalah tanda cinta Vincent van Gogh. Tidak dapat menghantarnya dengan cara biasa, lalu menghantarnya melalui seekor burung gagak.

Rujukan:

Marilyn Monroe: Lagenda bangsa Yahudi.

Vincent van Gogh: Semua orang yang tahu, tahu.

Paul Gauguin: Sahabat van Gogh yang banyak melukis wanita Tahiti berbogel.

Albert Camus/Tom Robbins: Penulis/Pemikir.

Joe DiMaggio: Teman lelaki Marilyn Monroe sebelum mati.

* Foto Vincent van Gogh, Marilyn Monroe & Joe DiMaggio adalah dari Wikipedia.

Some Notes on Going to School at Tengku Mahmud School, Besut, Terengganu: 1968 – 1980

Posted in With Friends by tsabri on June 20, 2011

Tengku Mahmud School (TMS), Besut, Terengganu.

1968 – 1980.

Determination Leads to Success: TMS’s motto.

It was where and when my formal education began. I was seven years old then. I knew no kindergarten, but  I heard there were six year-old children being sent to sit in Standard 1 as ‘temporary’ students. During the primary years, Standard 1 to Standard 6, I remembered that our classes were relocated several times to wait for new buildings and other such facilities. TMS has its own interesting history. It was established in January 1954 as Besut Government English School, the first English medium school in Besut. The name was later changed to TMS in August the same year after being officiated by the Sultan Terengganu. It became Besut’s first secondary school in 1958. The school’s administration was divided into two, primary and secondary, in 1965. Today, 2011, the school (secondary) is known as Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud.

Primary years were introductions to the world – learning new things and meeting new friends. I was attracted to the school’s library. I knew that there were many exciting things, matters and people in the books. My involvement with the books resulted in an unfortunate event: the public caning for stealing library books! Harhar… that morning the school’s bell rang for a long time. Students were called to assemble. After some announcements, a long list of names was called and one by one we lined up to receive the cane_ including the head boy and some prefects too! Harhar… what a public event it was! We really learnt some painful lessons.

Official Opening Reception in 1954.

There was also what was called the Express Class, where one could skip a year of study because of good performance. But my 1968’s batch was somehow not counted under the scheme; it was only for our juniors. And, later there were ‘express’ students joining our class. There was also the Standard Five Assessment Exam. My primary years at TMS ended in 1973. Whilst many remained at TMS, continuing the secondary education, there were some who left TMS for other secondary schools outside Besut. Those with good results were given scholarships to study at places like MARA Science Junior College (Maktab Rendah Sains MARA), and Sekolah Menengah Sains.  I went to Sultan Sulaiman Secondary School in Kuala Terengganu with a few TMS friends.

I went back to study at TMS in 1975. I again saw people from my primary years, and there were also new friends – largely from Remove Class, a class designed to accommodate non-English medium primary students from the Sekolah Rendah Kebangsaan and Primary Chinese. I had my Lower Certificate of Education, 1976, and Malaysian Certificate of Education, 1978, as well as the Higher School Certificate, 1980, at TMS. The Form Six class that I was in at TMS – I couldn’t really remember whether it was the first or second batch (?!!). And again, together with friends from primary TMS 1968 – 1973, as well as secondary TMS 1974 – 1978, there were new friends from other secondary schools in Besut who came to have their Form Six at TMS.

We went through many shifts and changes in our learning experiences: Ejaan Lama to Ejaan Baru Bahasa Melayu, Bahasa Melayu to Bahasa Malaysia to Bahasa Melayu (?), Tulisan Jawi to Tulisan Rumi, English to Malay mediums, and many more. It was indeed an experience. My special thanks to all teachers, workers and friends of TMS 1968 – 1980. TMS is always in my heart.

* illustrations from http://eportal.smktmbesut.net/

Nota Kecil Untuk Literatur SERUM: Majalah & Komik sebagai Literatur SERUM di Dekad 1980an & 1990an

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on June 12, 2011

Beberapa majalah komik Fantasi tahun 1980an & 1990an di Khutubkanah Kancil Moden.

 

 

 

 

 

 

 

 

Perkembangan Literatur SERUM

–       Memahami apakah Literatur SERUM … | Esei Kuratorial & Katalog Pameran | Buku | Tulisan Majalah & Jurnal | Ulasan Mingguan & Berita | Penerbitan Popular: Majalah & Komik

–       Memahami peranan Literatur SERUM

Period Diselidiki

–       Dekad 1980an & 1990an. [Masa dinamik masyarakat Malaysia dengan permasalahan identiti & budaya, industrialisasi dan kemunculan Era Maklumat]

Penerbitan Popular (yang berkaitan Literatur SERUM): Majalah & Komik

–       Majalah Terbitan Dewan Bahasa & Pustaka: Dewan Budaya

–       Majalah & Komik dari Penerbit Penerbit Creative Enterprise: Gila-Gila & Majalah Fantasi http://ms.wikipedia.org/wiki/Majalah_Gila-Gila , http://cesb.net.my/

–       Majalah & Komik terbitan penerbit lain.

Idea Awal (Soalan)

–       Kepentingan majalah, komik dan penerbitan popular lainnya sebagai satu bentuk hasilan budaya yang mempengaruhi halatuju dan perkembangan budaya masyarakat. [Rujukan-rujukan sokongan – contoh di Malaysia].

Fokus: Majalah Fantasi

–       Esei-esei mengenai SERUM: Artis, Pameran & Estetika

–       Berita, Ulasan & Catatan Lain mengenai aktiviti SERUM

–       Penulis-penulis SERUM.

–       Idea SERUM (seperti idea ‘era pluralis’ oleh Muliyadi Mahamod)

–       Illustrasi – lukisan, catan, arca, cetakan, poster, fotografi, kraft dan lain-lain bentuk SERUM.

Kaedah

–       Analisa Kandungan & Studi Banding

Addendum: Pameran Maya 1990

Posted in My Artist-Friends by tsabri on June 8, 2011

… melanjuti pos yang lepas mengenai saya dan kawan-kawan, yang kononnya dipanggil sebagai kumpulan ‘Maya’. Alhamdulilah, akhirnya saya menemui juga pamplet pameran ‘Maya’ dalam arkib yang tidak pernah dapat disusun dengan baik itu secara tidak sengaja. Di sini saya lampirkan pamplet tersebut berserta dengan foto-foto karya kami.

Pandangan 1

Pandangan 2

Pengumuman Pameran

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Karya-karya kami yang dicetak dipamplet dan di antara yang dipamerkan. Keterangan foto tidak mengandungi ukuran:

Siri Larangan | Cat Minyak | Ahmad Shukri Elias

Kuda | Cat Minyak | Young Jeffery Mohd Idrus

Tidak Bertajuk | Cat Minyak | Riaz Ahmad Jamil Ahmad

Tidak Bertajuk | Cat Minyak | Suhaimi Abdul Wahab

Mister J | Cat Minyak | Hanafiah Waiman

Si Penidur | Kayu | Tsabri Ibrahim

Kumpulan Maya? Siapa? Kami? Harhar…

Posted in My Artist-Friends by tsabri on May 24, 2011

Nota: Tulisan ini adalah seperti pengenalan ringkas sebuah biografi sekumpulan artis yang ‘tidak bernama’. Mereka banyak menyusahkan guru-guru mereka semasa menjadi pelajar seni – justeru dianggap tidak mungkin mempunyai masa depan yang cerah! Harhar… Mereka jarang berpameran – justeru sering pula dianggap sudah tidak berkarya lagi. Begitulah.

‘Macamana Kumpulan Maya sekarang? Sudah lama tidak kedengaran, sudah tidak aktif kah?’

Saya tidak pasti siapa yang bertanya – sudah lupa. Kumpulan Maya? Ahh, rupa-rupanya yang bertanya ingin mengetahui perkembangan kami… tapi Kumpulan Maya? Tidak ada. Tidak ada Kumpulan Maya. Kami tidak pernah menamakan diri kami begitu. Tapi, ada sebuah pameran yang dinamakan ‘Pameran Maya’, kurang lebih begitulah. ‘Pameran Maya’ melibatkan kami enam orang – saya, Ahmad Shukri Elias (Shukri), Suhaimi Abdul Wahab (Suhaimi), Riaz Ahmad Jamil (Riaz), Hanafiah Waiman (Hanafiah) dan Young Jeffery (Young). Pameran itu diadakan di GaleriWan, ketika itu terletak di CitySquare, Kuala Lumpur, tahun 1990.

Perkataan ‘maya’ muncul apabila kami mencari-cari nama atau tajuk pameran yang sesuai – yang boleh menggambarkan perwatakan, aspirasi atau gaya karya kami. Seseorang mencadangkan ‘maya’: logiknya mudah, cuma buang ‘tidak’ dari ‘tidak bermaya’ – yang membawa erti lesu atau tidak bertenaga. Jadi, kalau ‘maya’ – ia bererti gagah, ada tenaga. Tanpa banyak soal – kami semua setuju dengan ‘maya’ dengan erti ‘tenaga’ atau energy dalam Inggerisnya. Dari mana asal perkataan ini? – tanya seseorang. Mungkin Sanskrit – seseorang pula menjawab. Maka Sanskrit pun Sanskritlah jadinya – dan ini akhirnya tercatat dalam pamplet pameran (pamplet ini sudah hilang dari simpanan saya).

Maklumat masih lambat ketika itu – tidak ada kamus online atau Wikipedia seperti sekarang. Sebulan dua lepas itu barulah saya tahu yang Sanskrit ‘maya’ ialah ilusi, illusion, – ‘alam maya’, ‘ruang maya’ atau ‘secara maya’. Harhar… Sejak itu, saya mencatat ‘Pameran Berkumpulan 6 Artis’, ‘6 Artists Group Exhibition’ apabila merujuk kepada pameran ini di dalam autobiografi saya, bukan ‘Pameran Maya’ lagi.

Jadi, tidak ada Kumpulan Maya itu. Kami rapat atas dasar sejarah – sama-sama belajar seni halus di, ketika itu, Institut Teknologi MARA, dari 1982 hingga 1986. Selepas tamat belajar: saya, Suhaimi, Riaz dan Young berkongsi studio di Hulu Kelang, Shukri membuka sebuah studio-galeri-kelas seni di Damansara, dan Hanafiah berkarya di studionya di Jenjarom. Tahun 1988, saya kembali ke Jerteh dan balik semula ke Lembah Kelang selepas kira-kira setahun. Young ketika itu melukis potret di Pasar Seni. Riaz di Kelang. Hanafiah di Jenjarom. Shukri sudah berpindah ke Shah Alam dari Damansara. Suhaimi datang tinggal bersama saya di Shah Alam. Semua orang berkarya dan masing-masing mempunyai sejumlah karya yang bagus. Maka timbullah idea untuk berpameran. Melalui Yusuf Ghani, yang sering datang menjenguk, kami diperkenalkan kepada Wong Mei Wan, pemilik GaleriWan. Kalau tidak silap, GaleriWan ketika itu masih pada peringkat awal pembukaannya.

Kami sama-sama meminati gaya ekspresionisme – terutamanya Riaz, Shukri, Suhaimi dan Hanafiah yang memang melukis secara ekspresionis. Gaya Young ada sedikit berbau surrealisme, tapi ada unsur humor yang tersendiri, sedang saya dengan arca-arca bergaya vitalisme. Unsur ‘tradisi atau peribumi’, yang hangat pada ketika itu, 1980an & 1990an, datang secara natural: kadang-kadang di antara palitan berus deras dan tompokkan warna-warna garang itu, kita akan menemui juga beberapa concerns yang dekoratif sifatnya. Soal ‘tradisi atau peribumi’ ini jelas ditemui dalam arca-arca saya. Artis-artis Die Bruker dan Blaue Reiter – Ekspresionisme Jerman menjadi rujukan kami, selain Salvador Dali, Pablo Picasso, Alberto Giacometti, Constantine Brancusi dan Henry Moore. Abstrak Ekspresionisme Amerika tidaklah sangat menjadi kesukaan atau keutamaan kami ketika itu. Kami amat rajin melukis: kalau Riaz itu, kerjanya melukis saja – tidak kira atas apa dan dengan apa, siang atau malam. Kami ke mana-mana dengan sketchbook. Di kalangan artis Malaysia, kami lebih tertarik dengan karya-karya Abdul Latif Mohidin, Zulkifli Dahlan atau Zulkifli Buyong berbanding dengan yang lain-lain. Kami juga terlibat dengan pendidikan seni. Semua dari kami pernah menjadi ‘pensyarah sambilan’ di merata sekolah seni.

Kami bersikap sangat keras dengan seni – begitulah. Kami tidak mendengar sebarang teguran – apa lagi dengan idea-idea untuk ‘mencantikkan karya’ supaya mudah dibeli kolektor. Kami tidak peduli kalau karya kami tidak dibeli atau tidak diminati orang. Kami tidak berapa peduli dengan pameran; tidak beria-ia untuk menyertai mana-mana pameran atau pertandingan melukis. Kami berkarya terus atas rasa cinta kami dengan seni. Kekayaan atau kesenangan hidup bagi kami adalah terus dapat berkarya. Saya adalah seni! – begitu jawab saya dengan ‘sombong’nya kepada seorang penulis apabila dia meminta pandangan mengenai seni! Terkejut dia… Harhar…

Sekarang: saya masih mengajar, juga Hanafiah dan Shukri. Saya membuat lukisan, instalasi, karya-karya konseptual dan menulis. Hanafiah dan Shukri juga terus berkarya – ketika saya menulis ini, Shukri baru saja kembali dari berpameran di Copenhagen, Denmark. Suhaimi tinggal di Langkawi, banyak mengembara ke Thailand dan Indochina – banyak membuat catair selain dari catan-catan minyaknya. Young tinggal di kampongnya dekat Ipoh – mengusahakan sebuah ladang ternak kambing, selain terusan melukis. Riaz pula agak susah untuk dihubungi – seperti menghilang diri, tapi tidak dengan seni. Kami percaya Riaz juga terus berkarya.

Kumpulan Maya tidak ada. Tidak pernah wujud. Harhar…

Interlok & Interloking: Antara Mengukir Blok Marmar dan Sejarah

Posted in Uncategorized by tsabri on May 22, 2011

1 Interloking

Dua buah arca Henry Moore (Moore) muncul dalam ingatan apabila novel Interlok karya Abdullah Hussain (Abdullah) dibakar sekumpulan orang pada awal 2011 lalu. Arca-arca itu ialah Two Piece Sculpture No.10: Interlocking, berukuran panjang 91.4 cm dibuat dari gangsa pada tahun 1968; dan Interlocking Two Piece Sculpture, berukuran panjang 315 cm dibuat dari marmar putih di antara tahun 1968 – 1970. Ingatan ini muncul kerana tajuk-tajuk yang diberi berbetulan atau hampir sama, dan ini mengembangkan minat saya untuk memahami maksud perkataan interlock atau yang diMelayukan menjadi ‘interlok’ itu, serta kaitannya dengan novel Interlok.

Kenapa beberapa golongan dari kaum India itu marah benar dengan Interlok? Kenapa Interlok dijadikan sebuah teks kajian untuk pelajar-pelajar SPM? Kenapa dan bagaimana Abdullah menulis Interlok? Dan, saya juga terkenang bagaimana Moore menghasilkan ‘interloking’ pada kedua-dua arcanya itu. Walau berbeda saiz dan bahan, namun kedua-duanya membawa idea interloking yang boleh difahami sebagai suatu cantuman dua atau banyak bahagian yang mengukuhkan. Keadaan interloking yang mengukuhkan itu boleh diamati pada bentuk keseluruhan kedua-dua arca tersebut.

Saya juga teringat kepada dua autobiografi Abdullah, Terjebak dan Sebuah Perjalanan, apabila hal ini berbangkit. Kedua-dua autobiografi itu penuh dengan interloking Abdullah pada zaman mudanya dengan berbagai orang, cerita, peristiwa, tempat dan budaya dari awal hingga pertengahan abad ke20 – period yang kurang lebih sama dengan yang dijadikan sebagai latar masa Interlok. Saya menemui dua pengalaman menarik Abdullah dengan kaum India di dalam dua autibiografi ini. Interloking Abdullah dengan kaum India harus disebut di sini kerana yang tidak berpuas hati dengan Interlok sehingga terjadinya insiden pembakaran itu, adalah sebahagian besarnya dari kalangan mereka.

Di dalam Sebuah Perjalanan, Abdullah secara spesifik menyebut; Daripada persahabatan saya dengan orang-orang India di kedai gunting itulah maka saya mulai tertarik dengan negeri Kerala yang terletak di pesisir barat India. Sebab semua tukang gunting itu datang dari sana. Saya rakamkan kisah kawan-kawan saya itu di dalam Interlok. (1). Dan sebelum itu, dalam Terjebak, Abdullah menulis; …Seorang Tamil kawan baikku telah kasihan melihat aku dan kawan-kawan lain tidak makan, lalu diajaknya kami makan di sebuah kedai nasi Tamil yang masih di buka. Ia menyuruh kami berpakaian seperti orang India, agar taukeh kedai itu mau menjualkan nasinya kepada kami, kerana kalau diketahui kami bukan orang India maka ia enggan menerima kedatangan kami. (2)

Di dalam Interlok, Musa, Maniam dan Chin Huat dipertemukan oleh Abdullah supaya interloking berlaku. Masing-masing membawa cerita suka duka kehidupan zaman penjajahan di Asia pada awal hingga ke pertengahan abad ke20. Masing-masing meninggalkan tempat asal untuk berada di tanah semenanjung yang sudah banyak kali bertukar nama panggilannya ini; kecuali Musa yang digambarkan sebagai telah menetap di sini sebagai orang Melayu – tapi siapa tahu Musa juga asalnya dari tempat jauh, mungkin dari Sumatera, Jawa, Maluku atau Kemboja? Siapa tahu…

Moore sangat mengutamakan bahan untuk membuat arca. Dia hanya memilih yang terbaik samada dari kayu, batu atau marmar; dan begitu rapi sekali mengendalikan teknik tuangan gangsa. Dalam kerja mengukir, Moore biasanya bermula daripada sebuah blok kayu, batu atau marmar yang perlahan-lahan dibentuk kepada gubahan yang diingininya. Ini boleh dilihat pada Interlocking Two Piece Sculpture. Gambaran interloking itu sudah ada dalam fikirannya, dia hanya perlu membebaskan bentuk itu daripada blok marmar putih yang dipilihnya sahaja.

Jika Moore memulakan arca-arcanya dari blok-blok kayu, batu atau marmar, Abdullah juga boleh dikatakan berbuat demikian. Dia memulakan Interlok dari sebuah blok sejarah yang berlatarbelakangkan period tertentu di tanah semenanjung ini. Dari blok sejarah yang dialaminya sendiri itu dikeluarkan Musa, Maniam, Chin Huat dan lain-lain sehinggalah ditamatkannya dengan peristiwa kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Namun, blok yang diukir menjadi Interlok itu adalah dari blok yang sudah tersedia dari sebuah peraduan mengarang novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) idea Allahyarham Tun Abdul Razak (Tun Razak), ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Peraduan mengarang novel itu adalah sempena sambutan sepuluh tahun Malaysia merdeka pada tahun 1967. Peraduan mengarang novel itu juga memberikan blok-blok sejarah untuk diukir oleh Arena Wati menjadi Sandera, Aziz Jahpin menjadi Pulanglah Perantau, dan Kathijah Hashim menjadi Merpati Putih Terbang Lagi. Kita mungkin tidak akan dapat membaca Interlok jika DBP tidak menganjurkan peraduan itu!

2 Membedakan Kesenimanan?

Har har har. Tidak. Saya tidak bermaksud untuk membedakan kesenimanan Abdullah dengan Moore. Masing-masing mempunyai cara dan pendekatan yang tersendiri, apalagi Abdullah seorang novelis dan Moore pula dikenali sebagai seorang pengarca – dan tentu saja apreasi ke atas bentuk novel dan arca memerlukan pendekatan yang lebih komprehensif di antara keduanya. Saya cuma ingin menyusuri maksud interlok atau interloking – yang akhirnya membuat segolongan kaum India di Malaysia membantah, marah dan membakar Interlok. Moore dan arca-arcanya hanya hadir sebagai ‘pengukuh’ kepada maksud perkataan ‘interlok’ dan ‘interloking’ sahaja. Perhatikan apa yang dicatat oleh Moore;

Pebbles and rocks show Nature’s ways of working stone. Smooth, sea worn pebbles show the wearing away, rubbed treatment of stone and principles of asymmetry. Rocks show the hacked, hewn treatment of stone, and have a jagged nervous block rhythm. Bones have marvelous structural strength and hard tenseness of form, subtle transition of one shape into the next and great variety in section. Trees (tree trunks) show principles of growth and strength of joints, with easy passing of one section into the next… Shells show nature’s hard but hollow form (metal sculpture) and have a wonderful completeness of single shape.  (3)

Pemerhatian Moore terhadap alam sekeliling sangat tajam. Dia melihat batu-batan, tulang, kayu dan cengkerang; lalu belajar dari semua itu. Dia meng’interlok’kan unsur semulajadi dari objek-objek itu menjadi gubahan-gubahan arcanya. Hal ini juga berlaku kepada Abdullah dan semua pengkarya lain biarpun dalam keadaan dan konteks yang berbeda.

Latar kehidupan Abdullah penuh dengan interloking: dia hidup sebagai kanak-kanak dalam latar yang berbaurkan unsur animisme, Tuk Lang saya dan beberapa orang lain yang pernah mengikutinya ke laut telah pernah melihat hantu itu yang dipanggil naik ke atas perahu oleh datuk saya. (4), internasionalisme di Asia Tenggara awal abad ke20 ketika zaman remaja, Saya juga suka menonton filem-filem adventure seperti filem King Kong. Pertama kali filem King Kong itu datang ke Alor Setar para penonton menyerbu sahaja masuk ke dalam panggung tanpa membeli tiket lagi… (5), dan antikolonialisme Asia Tenggara di pertengahan abad ke20 ketika awal dewasanya, Sebagai seorang anak muda yang sedang berkobar-kobar dengan semangat kebangsaan, maka saya telah bercakap tentang sifat-sifat perjuangan dan sendi kekuatan sesuatu bangsa dalam mencapai kemajuan, dengan memetik ucapan pemimpin India yang terkenal Lal Ripat Rai… (6), yang akhirnya di dalam Interlok, diterjemahkan serba sedikit melalui watak Seman, Balakrisnan dan Yew Seng dan beberapa orang lain.

Malaysia, as most of you well know, is a multi-racial, multi-religious and multi-cultural country. It is a meeting place of the great cultures of the great countries of Asia – of India, China and the Malay-Polynesian region of Asia. Also in comparatively recent history, Malaysia has been the subject of cultural impacts and influences by countries of the Middle East and by European countries. Therefore Malaysia can be truly said to be the melting-pot of the cultures of the great world.  (7).

Abdullah boleh dikatakan menerima blok sejarah untuk menulis Interlok secara langsung. Multi-racial, multi-religious dan multi-cultural menjadi latar Interlok walau cuma watak-watak dari kaum Melayu, Cina dan India sahaja ditonjolkan sebagai mewakili kaum-kaum utama.

3 Belanga yang Menggelegak

Karya-karya interloking Moore jelas dan terancang. Idea dan estetika interloking berada di dalam arca-arca itu. Novel Interlok pula membawa idea interloking yang begitu mengkagumkan – yang berlaku di antara watak, persekitaran atau tempat, apa lagi yang dilatari dengan sejarah atau sesuatu peristiwa. Sebagai pembaca, kita bebas pula menghubungkan atau membuat interloking baru dengan pengalaman-pengalaman lain. Abdullah benar-benar menjadikan pengalaman hidupnya sebagai rujukan besar untuk menulis Interlok. Abdullah memang pandai bercerita.

Illustrasi kulit depan Interlok edisi khas Sasterawan Negara, DBP, 1996, adalah sebuah catan bertajuk Ayah dan Angkasawan, karya Allahyarham Ibrahim Hussein, seorang artis terkenal Malaysia yang juga adik kepada Abdullah. Saya fikir interloking yang ada pada Interlok itu terus berkembang melalui Ayah dan Angkasawan pula! Keadaan interloking yang menarik ini tidak perlulah ‘dibakar’ kerana saja sebahagian dari kita gagal memahaminya lalu menjadi marah. Belajarlah semula dan sedarlah bahawa interloking itu tidak membosankan malah mampu pula mencambahkan idea-idea baru!

Rujukan:

1.     Abdullah Hussain. (1984). Sebuah Perjalanan. Kuala Lumpur: DBP. Halaman 346.

2.     Abdullah Hussain. (1977). Terjebak. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara. Halaman 1 – 2.

3.     Moore, H. in Mitchinson, D. & Stallabras, J. (1992). Henry Moore. S. A: Ediciones Poligrafa

4.     Abdullah Hussain. (1984). Sebuah Perjalanan. Kuala Lumpur: DBP. Halaman 15.

5.     Abdullah Hussain. (1984). Sebuah Perjalanan. Kuala Lumpur: DBP. Halaman 126.

6.     Abdullah Hussain. (1984). Sebuah Perjalanan. Kuala Lumpur: DBP. Halaman 218.

7.     A. Karim Haji Abdullah. (Ed.) (1987). Pemikiran Tun Razak tentang Bahasa, Sastera dan Budaya. Kuala Lumpur:                  Dewan Persuratan Melayu Pahang. Halaman 76.

Percakapan di Melaka, 2011: Potensi Artis Muda & Perjalanan Artistik

Posted in Students and Art by tsabri on May 22, 2011

Pada pertengahan Februari 2011, saya dijemput oleh Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM Melaka untuk memberi sebuah syarahan kepada pelajar-pelajarnya. Saya diberi masa kurang lebih 90 minit, membawa tajuk, ‘Potensi Artis Muda dalam Seni Rupa Malaysia’, dan sebuah tajuk tambahan mengenai perjalanan saya sebagai seorang artis, yang saya namakab, ‘Perjalanan Artistik Tsabri Ibrahim’. Berikut adalah himpunan slaid yang digunakan untuk syarahan tersebut:

Slaid 1

Slaid 2

Slaid 3

Slaid 4

Slaid 5

Slaid 6

Slaid 7

Slaid 8

Slaid 9

Slaid 10

Slaid 11

Slaid 12

Slaid 13

Slaid 14

Slaid 15

Slaid 16

Slaid 17

Slaid 18

Slaid 19

Slaid 20

Slaid 21

Slaid 22

Nota Kecil kepada A. Shukri & Jack Hansen, dan ‘Symbiose’

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on March 21, 2011

Waktu: Suatu awal pagi atau lewat senja (ketika ada sedikit cahaya matahari) di tahun 1001 dan di tahun 2011 pada adegan-adegan tertentu mengikut suka masing-masing.

Tempat: Jalan berkerikil menuju ke Jelling.

Musik latar: lagu rok Immigrant Song oleh Led Zeppelin ketika kapal menghampiri jeti atau scene mula-mula dan terus ke musik kontemporari atau klasikal Denmark.

Seorang perwira Viking yang saya tidak pernah jumpa menepuk-nepuk bahu kawan saya. Perwira itu memakai topi yang dihiasi sepasang tanduk kerbau – gagah walaupun jalannya agak terhenjut-henjut. Kawan saya, yang kelihatan sangat rendah berbanding perwira Viking itu, kelihatan sangat tampan dalam baju Cekak Musang dan Seluar Hitam. Sebilah Golok Kedah tersisip di pinggang. Sekali-kali kelihatan dia menggigil kesejukan.

Mereka rancak berbual.

‘Kito keno gi bui hormak dulu arr. Kawe hormak bena ko Rajo Gorm ni. Bui semangak ko puok-puok kawe. Dio mati lamo doh, tapi gak semangak… semangak! Demo pahe arr… semangak!’

‘Kawe sejuk ni! Dok rajen sejuk gini semo ni…’

‘Okk arr. Koho arr… ni ambik kulit bi’ri ni… semeta ja.’

Salji mulai turun apabila mereka tiba di hadapan laman tugu.

Selamat berpameran sahabat ku.

Poster Symbiose

Jack sedang Mencatan | 2011

* Foto-foto adalah dari fb group Symbiose.

Nota untuk Iskhandar 8: Menjawab Soalan-Soalan Apa, Bagaimana, dan Kenapa dalam Karya Seni melalui Kefahaman ‘Kesatuan Organik’

Posted in Nota untuk Iskhandar by tsabri on March 20, 2011

Iskh di Woksyop | Shah Alam | Awal 1990an

Iskh! Assalamualaika wa rohmatullahi wa barokatuh. Bagaimana hari-hari mu di IKJ? Semuga semuanya baik-baik dan berjalan lancar sepertimana yang dirancang. Ku fikir sekarang Iskh sudahpun perlahan-lahan dapat memahami yang bidang pilihan Iskh itu boleh menjadi sangat luas – mencakupi segenap aspek kehidupan manusia. Iskh akan membuat filem yang hebat: namun kehebatan filem sebagai sebuah karya seni, sebagai satu produk budaya, memerlukan minat yang mendalam, penyelidikan yang menjurus, kefahaman asas pemikiran seni dan budaya serta ilmu-ilmu kemanusiaan yang lain – selain daripada, tentunya aspek-aspek teknikal dan ketrampilan penguasaannya. Dan, semua ini tidak ada jalan mudah kecuali dengan mempunyai kefahaman falsafahnya dan daya kreativiti yang tinggi.

Kali ini kita akan berbicara tentang ‘kesatuan organik’ atau Inggerisnya, organic unity, yang biasanya dapat ditemui pada semua bentuk seni; filem, lukisan, arca, teater, tarian, musik, puisi, novel dan sebagainya. Kesatuan Organik adalah himpunan tiga komponen yang sentiasa hadir dalam setiap karya: iaitu Subjek, Bentuk dan Isi. (Subject, Form and Content). Komponen-komponen ini menghimpun persoalan-persoalan yang boleh difikir dan dibincangkan mengenai sesebuah karya seni itu.

Kadar kepentingan atau kadar banyak dan sedikit pada Subjek, Bentuk dan Isi sebagai satu ‘kesatuan’ komponen tidaklah terhad dan boleh berubah-ubah, maka itu ia disebut sebagai ‘organik’ – ‘kesatuan organik’, tidak terlalu khusus. Kekuatan sesebuah karya seni akan bergantung kepada kukuhnya ‘kesatuan organik’ yang ada padanya.

1.     Subjek: rujukan kepada perkara-perkara yang menjadi persoalan atau yang ingin diketengahkan: tajuk, tema, bahan rujukan (subject-matter) dan isu. Subjek juga kadang-kadang dilihat sebagai ‘konteks’; rujukan kepada sesuatu perkara dengan lebih spesifik. ‘Subjek’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘apa’ mengenai sesebuah karya itu.

2.     Bentuk: rujukan kepada perkara-perkara yang membentuk keseluruhan rupa sesebuah karya seperti elemen dan prinsip rekaan, bahan dan bahantara, dan teknik yang digunakan. Pengolahan ‘Bentuk’ secara kreatif akan menghasilkan apa yang dikatakan sebagai ‘keindahan luaran’. Perkara-perkara yang menjadikan ‘Bentuk’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘bagaimana’.

3.     Isi: rujukan kepada perkara-perkara yang mendasari dan membentuk sesuatu makna pada sesebuah karya; yang mungkin bersifat cerita, mempunyai nilai-nilai budaya dan sejarah, ekspresi dan kritik terhadap keadaan kehidupan – politik dan sosio-ekonomi, atau hanya pernyataan niat dan ekspresi artis terhadap minat, persekitaran dan perkara-perkara yang menjadi tumpuannya. Pengolahan ‘Isi’ yang baik akan menghasilkan apa yang dikatakan sebagai ‘keindahan dalaman’. ‘Isi’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘kenapa’.

Ketiga-tiga komponen ini, subjek, bentuk dan isi, saling berkaitan dan sentiasa mempengaruhi di antara satu sama lain untuk kekuatan sesebuah karya seni dan menjadikannya cemerlang atau hebat. Perkaitan dan keadaan saling pengaruh mempengaruhi inilah yang dipanggil ‘kesatuan organik’ di dalam sesebuah karya.

Empat gambarajah berikut diharap dapat menjelaskan ‘kesatuan organik’ yang sepatutnya hadir dalam sesebuah karya yang baik.

Untuk latihan nota ini, Iskh boleh pergi menonton sebuah filem sambil memikirkan tentang ‘kesatuan organik’ yang hadir pada filem tersebut. Buat catatan dalam buku nota mengenai perkara-perkara yang ditemui pada komponen-komponen yang dimaksudkan. Atau, Iskh boleh pilih apa saja bentuk seni dan buatlah hal yang sama – fikir tentang ‘kesatuan organik’ dan bagaimana ia mengukuhkan atau melemahkan karya tersebut. Sehingga bertemu lagi. Alhamdulilah.

 

 

%d bloggers like this: