Off Walls Off Pedestals

Nota Kecil Untuk Literatur SERUM: Majalah & Komik sebagai Literatur SERUM di Dekad 1980an & 1990an

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on June 12, 2011

Beberapa majalah komik Fantasi tahun 1980an & 1990an di Khutubkanah Kancil Moden.

 

 

 

 

 

 

 

 

Perkembangan Literatur SERUM

–       Memahami apakah Literatur SERUM … | Esei Kuratorial & Katalog Pameran | Buku | Tulisan Majalah & Jurnal | Ulasan Mingguan & Berita | Penerbitan Popular: Majalah & Komik

–       Memahami peranan Literatur SERUM

Period Diselidiki

–       Dekad 1980an & 1990an. [Masa dinamik masyarakat Malaysia dengan permasalahan identiti & budaya, industrialisasi dan kemunculan Era Maklumat]

Penerbitan Popular (yang berkaitan Literatur SERUM): Majalah & Komik

–       Majalah Terbitan Dewan Bahasa & Pustaka: Dewan Budaya

–       Majalah & Komik dari Penerbit Penerbit Creative Enterprise: Gila-Gila & Majalah Fantasi http://ms.wikipedia.org/wiki/Majalah_Gila-Gila , http://cesb.net.my/

–       Majalah & Komik terbitan penerbit lain.

Idea Awal (Soalan)

–       Kepentingan majalah, komik dan penerbitan popular lainnya sebagai satu bentuk hasilan budaya yang mempengaruhi halatuju dan perkembangan budaya masyarakat. [Rujukan-rujukan sokongan – contoh di Malaysia].

Fokus: Majalah Fantasi

–       Esei-esei mengenai SERUM: Artis, Pameran & Estetika

–       Berita, Ulasan & Catatan Lain mengenai aktiviti SERUM

–       Penulis-penulis SERUM.

–       Idea SERUM (seperti idea ‘era pluralis’ oleh Muliyadi Mahamod)

–       Illustrasi – lukisan, catan, arca, cetakan, poster, fotografi, kraft dan lain-lain bentuk SERUM.

Kaedah

–       Analisa Kandungan & Studi Banding

Nota Kecil kepada A. Shukri & Jack Hansen, dan ‘Symbiose’

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on March 21, 2011

Waktu: Suatu awal pagi atau lewat senja (ketika ada sedikit cahaya matahari) di tahun 1001 dan di tahun 2011 pada adegan-adegan tertentu mengikut suka masing-masing.

Tempat: Jalan berkerikil menuju ke Jelling.

Musik latar: lagu rok Immigrant Song oleh Led Zeppelin ketika kapal menghampiri jeti atau scene mula-mula dan terus ke musik kontemporari atau klasikal Denmark.

Seorang perwira Viking yang saya tidak pernah jumpa menepuk-nepuk bahu kawan saya. Perwira itu memakai topi yang dihiasi sepasang tanduk kerbau – gagah walaupun jalannya agak terhenjut-henjut. Kawan saya, yang kelihatan sangat rendah berbanding perwira Viking itu, kelihatan sangat tampan dalam baju Cekak Musang dan Seluar Hitam. Sebilah Golok Kedah tersisip di pinggang. Sekali-kali kelihatan dia menggigil kesejukan.

Mereka rancak berbual.

‘Kito keno gi bui hormak dulu arr. Kawe hormak bena ko Rajo Gorm ni. Bui semangak ko puok-puok kawe. Dio mati lamo doh, tapi gak semangak… semangak! Demo pahe arr… semangak!’

‘Kawe sejuk ni! Dok rajen sejuk gini semo ni…’

‘Okk arr. Koho arr… ni ambik kulit bi’ri ni… semeta ja.’

Salji mulai turun apabila mereka tiba di hadapan laman tugu.

Selamat berpameran sahabat ku.

Poster Symbiose

Jack sedang Mencatan | 2011

* Foto-foto adalah dari fb group Symbiose.

Nota Kecil kepada… Diri Sendiri! Har har har!

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on March 5, 2011

Saya terbangun dari sebuah mimpi. Mimpi ngeri!

Aku seorang yang bertanggung-jawab mengeluarkan semua arahan. Semua perintah! Perintah ku harus dijalankan sesegera dan sebaik mungkin. Tidak ada soal-soal lagi. Aku adalah Kuasa! Aku diktator!

Hah! Berbaris di sini. Buat satu baris di sini. Aku mahu satu baris saja! Hah, apa yang kamu ajar kepada budak-budak? Apa? Apa catan? Kenapa budak-budak ni jadi bodoh sampai tak kenal mana catan Patrick Ng mana catan Nik Zainal Abidin? Bodoh! Apa yang kamu ajar? Hah, ke hujung sana _ Hah, ini Abang Mat, bagi penampar lima kali!

Hah! Kamu pula! Kamu ajar apa? Apa? Lukisan? Hmmm… apa yang kamu ajar? Perspektif budak-budak semua tak betul! Hah ini Abang Mat, bagi lima biji juga. Pergi sana! Bangang!

Cis kamu! Kamukan yang mengajar teori?! Teori kepala bapak kamu! Semua fakta tak betul! Semua asyik tak ingat itu, tak ingat ini. Kamu ajar apa? Ni boleh hukum bunuh ni! Penjenayah besar! Apa yang kamu ajar sampai budak-budak tengok buku pun takut? Sialan! Abang Mat! Siapkan cemeti!

Fuhh! Saya ketawa harharharharharharharhar walaupun mimpinya agak ngeri!

Di atas Lebuhraya | Februari 2011

Nota Kecil untuk Bicara Seni BMS 2, 26 Februari 2011

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on February 27, 2011

Skrin Bicara Seni BMS 2 | 26 Feb 2011

1.

Auditorium BSLN kosong bila saya tiba. Jam sudah menunjukan pukul 3 petang. Ada acara lain di foyer BSLN; hampir bubar. Kira-kira 20 minit kemudian auditorium pun mula dipenuhi. Di skrin tertayang:

Halatuju BMS 2010 the young contemporaries –       Dimanakah halatuju kita? Where should we go?

…dengan satu baris ditambah di bawah, dalam kurungan:

{Kemanakah Halatuju kita? Where are we going?} – notes by Tengku Sabri. Feb 19th talk

Ahh, mereka (penyelenggara program Bicara Seni BMS ) memetik sesuatu dari blog saya berkaitan dengan Bicara Seni BMS pekan lalu. Ya. Saya lebih suka ayat, Ke manakah Halatuju… daripada yang berbunyi: Di manakah Halatuju… Halatuju. Saya pasti semua orang mengimpikan halatuju yang baik, yang boleh menggembirakan hati. Namun saya masih bimbang dengan ‘Apakah Pendirian Saya/Kami?’ sepertimana yang diketengahkan pemenang BMS10 pekan lepas. Saya tiba-tiba terfikir yang ‘halatuju’ bukanlah masalah ‘kontemporari’ BMS lagi. Cerita ‘halatuju’ itu sudah banyak kali dibicarakan, malah dari pentas auditorium ini pun saya pernah bercakap dan mendengar tajuk atau tema yang kurang-lebih sama, bukan sekali malah beberapa kali sejak lama dulu. Masih belum ‘puas’ dengan halatuju?

Acara dimulakan. Saubin yang menjadi moderator Bicara Seni BMS 2 petang itu menjalankan tugasnya dengan baik. Dia menyediakan nota dan berbincang dengan ahli panel sebelum program. Dia juga berinisiatif menghubungi Hasnul Jamal Saidon, seorang artis dan akademik yang pernah terlibat dengan BMS sebagai peserta dan juri kemudiannya, bertanyakan mengenai ‘halatuju’ BMS dan lain-lain. Kami – Saubin, Nur Hanim, Faizal Sidek, Badrol dan saya – juga dapat berinteraksi sedikit sebanyak dengan audien melalui soalan atau pandangan dari mereka. Terima kasih U-Wei, Naser, Prof. Madya Ali Abd Rahman, dan lain-lain yang saya memang terlupa dan tidak tahu nama mereka.

2.

Audien Bicara Seni BMS 2 tidak banyak berubah. Pelajar-pelajar yang tadinya mengikuti program di foyer BSLN meramaikan auditorium. Artis-artis BMS10 pun tidak ramai yang hadir – muka yang itu-itu juga. Di mana silapnya? BSLN lagikah perlu dipertanggungjawabkan? Saya kira BSLN sudah menjalankan tugasan BMS10 dengan baik. BSLN menganjurkan BMS10; melakukan proses pemilihan cadangan, memberi masa dan peluang kepada artis untuk menyiapkan dan meletakkan karya, melantik panel juri yang difikirkan sesuai, mengadakan pameran, menerbitkan katalog dan menganjurkan sesi bicara seni. Syabas BSLN. (Rujuk tulisan Erry Arham Azmi: Pengenalan dalam Katalog BMS10, Sezaman, 2010, BSLN.)

Mari kita lihat perjalanan BMS10 serta hubungan dengan pesertanya (artis BMS10) dari mula BMS10 disebar kepada umum pada 22 Jun 2010 hingga sekarang, 26 Feb 2011 dan selepasnya – tamat pameran dan pengembalian karya kepada artis BMS10).

No Tarikh Acara/Perkara Artis BMS10
1 22 Jun 2010 Berita BMS10 disebarkan
2 1 Ogos Tarik Tutup Terima Cadangan Karya 84 artis / cadangan diterima
3 20 & 24 Ogos Pemilihan Cadangan Karya oleh Kumpulan Kuratorial BSLN 45 artis / penyertaan melepasi pemilihan
4 1 – 14 November Tempoh Penghantaran & Pemasangan Karya 5 artis menarik diri
5 15 & 16 November Penilaian oleh Panel Juri 4 artis ditolak penyertaan
6 18 Januari 2011 Perasmian & Penganugerahan BMS10 Ramai artis BMS10 kelihatan
7 19 Februari Bicara Seni BMS 1 tak sampai 10 artis BMS10 hadir termasuk pemenang
8 26 Februari Bicara Seni BMS 2 tak sampai 10 artis BMS10 hadir
9 …selepasnya Pameran Tamat

Rajah: Hubungan Peristiwa BMS10 dengan Artis BMS10

Rajah di atas dibuat supaya dapat kita membaca hubungan Artis BMS10 dengan peristiwa BMS10 itu dengan lebih jelas. Maklumat dari nombor 1 hingga 5 adalah dari catatan Kumpulan Kuratorial BSLN yang bertanggungjawab dengan BMS10, sementara nombor 6 hingga 9 adalah pemerhatian rambang dari saya sendiri.

Apa yang boleh kita baca? 84 orang sahaja artis muda SERUM yang menghantar cadangan BMS10! Apa kita tidak punya ramai artis muda? Had umur pun dinaikkan sehingga 40 tahun dari 30 dan 35 tahun sejak dekad dulu. BMS yang dikatakan satu-satunya pameran/pertandingan seni rupa ‘berprestij tinggi’ di Malaysia ini cuma dapat menarik hanya 84 penyertaan sahaja?

Kemudian, hanya 45 penyertaan saja yang melepasi pemilihan peringkat pertama oleh Kumpulan Kuratorial BSLN. Hampir separuh. Kenapa banyak penyertaan digugurkan? Membaca tulisan Erry Arham, seperti yang terdahulu disebut, akan menemukan kita dengan soal-soal kualiti karya dan yang parah sekali – soal disiplin. Artis-artis muda kita tidak berdisiplin! Soal disiplin ini juga saya sebut dalam Lapuran Panel Juri BMS10.

Pada hari Perasmian Pameran/Pertandingan BMS10 kita dapat melihat ramai artis BMS10 dan kawan-kawan mereka yang lain. Meriah. Mereka semua menunggu keputusan diumumkan. Dan, apabila tiba pula program Bicara Seni BMS yang diadakan sebanyak dua kali, 19 & 26 Februari, khusus untuk berbicara mengenai karya mereka dan permasalahan seperti pendirian dan halatuju, mereka hampir tidak kelihatan!

Saya juga teringat ulasan Majidi Amir, moderator Bicara Seni BMS1 yang juga Kurator Senior di BSLN, mengenai hal-hal yang akan ditangani selepas karya diturunkan dari pameran – banyak karya lambat malah ada yang tidak diambil kembali oleh artis sehingga menimbulkan masalah-masalah lain.

Peminat BMS | 26 Feb 2011

Saya kira senario yang hampir sama berlaku di sepanjang BMS dekad pertama 2000an. Bacalah laporan dan catatan panel juri BMS sepanjang dekad lalu. Kesemuanya adalah laporan hasil ‘halatuju’ yang dibicarakan di berbagai forum pada abad lalu – 1990an! Dan, hari ini sekali lagi kita cuba membina ‘kerangka halatuju’ daripada ‘pendirian’ yang kelihatannya samar-samar seperti yang ditemui pada Bicara Seni BMS1!

Apa yang boleh kita baca dari semua ini?

3.

Saya fikir kita tidak perlu bercakap banyak tentang hal-hal ‘teoritikal’, sekurang-kurangnya buat masa ini jika kita tidak benar-benar bersedia. Yang cenderung kepada hal-hal begini, saya kira wajar sekali mereka terus mendalami kajian masing-masing dan pada masa yang sama berusaha pula untuk memberitahu atau menyebarkan secara mudah sehingga dapat difahami oleh masyarakat umum. Sering saja perbincangan teoritis menjadi lebih banyak membingungkan dari menjelaskan. Soal-soal teori, pemikiran dan estetika seni sebenarnya adalah untuk menjelaskan – namun, mungkin kerana kita tidak tahu tapi pura-pura tahu sedikit sebanyak, atau tidak dapat menjelaskan dengan baik; maka semua persoalan menjadi semakin kabur sehingga menimbulkan rasa bosan, jengkel, dan ini membuatkan artis muda atau siapa saja boleh meminggirkan diri.

Saya percaya sekarang masing-masing harus membuat kerja yang ditugaskan atau dipertanggung-jawabkan dengan sebaik mungkin. Semua orang – artis, kurator, pentadbir, penulis, editor, pendidik dan lain-lain, harus memahami dan sentiasa mempertingkatkan kemampuan diri, serta terus-menerus mempertingkat daya dan kebolehan komunikasi. Sebahagian masalah kita adalah juga soal komunikasi di antara satu satu lain, apalagi dengan masyarakat umum.

Soal pendidikan adalah menjadi keutamaan apabila saya melihat permasalahan sebegini. Di bawah rajah yang dipaparkan di atas tadi adalah ‘pendidikan’. Sistem pendidikan seni yang diajarkan dari peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat sarjana falfasah. Apakah yang diajarkan kepada artis-artis BMS ini? Bagaimana bentuk kurikulum yang dilalui? Apa betul motivasi, aspirasi kecemerlangan dan nilai kemasyarakatan serta kemanusiaan terdapat dalam kurikulum mereka?

4.

Kita tidak mahu bercakap mengenai ‘halutuju’ lagi sepuluh tahun akan datang. ‘Halatuju’ sepatutnya sudah ada dalam diri masing-masing, baik perseorangan mahupun apa bentuk organisasi. Tidak ada salahnya, kalau sekali-sekala kita masuk semula ke kelas lukisan! Setiap garisan mempunyai cerita! Every line tells a story!

Nota Kecil untuk Bicara Seni BMS 1, 19 Februari 2011

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on February 19, 2011

Bicara Seni BMS 19 Feb 2011

BMS: Bakat Muda Sezaman

BMS10: Bakat Muda Sezaman 2010

BSLN: Balai Seni Lukis Negara

SERUM: Seni Rupa Malaysia

1.

BMS 2010 sedang dipamerkan di BSLN sekarang. Ia mengenengahkan karya-karya pemenang dan pilihan oleh artis-artis muda yang menyertainya. BSLN juga menyusun dua program yang dinamakan Bicara Seni BMS; di mana masyarakat umum, khususnya peminat-peminat SERUM, berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan dengan para pemenang dan juri. Bicara Seni BMS yang berlangsung pada 19 Februari membawa tajuk ‘Apakah Pendirian Saya?, dan yang keduanya pada 26 Februari akan membawa tajuk, ‘Dimanakah Halatuju Kita?’

2.

Tajuk, ‘Apakah Pendirian Saya?’ berlegar di kepala beberapa hari sebelum Bicara Seni. Besar dan mustahak sekali bunyinya. Saya fikir ‘pendirian’ di sini rapat dengan soal-soal minat, pengaruh, gaya (style), falsafah dan proses kreatif, dan tentu sekali penjelasan mengenai karya BMS – tajuk ini perlu dijawab oleh artis pemenang BMS10. Saya berharap benar artis pemenang BMS10 yang dipilih itu dapat menyatakan pendirian masing-masing dengan jelas.

3.

Acara bermula dengan setiap seorang artis pemenang naik ke pentas untuk menyatakan ‘pendirian’ masing-masing. Ada yang bercakap bahasa Inggeris dan ada yang dalam bahasa Melayu. Ada yang nampaknya membuat persediaan, dan ada yang nampaknya mempunyai sedikit masalah. Hmm… dan kemudian diteruskan dengan perbincangan bersama pihak juri dengan dimoderatorkan oleh wakil BSLN, Majidi Amir.

Terus-terang, secara keseluruhannya saya tidak dapat memahami ‘pendirian’ artis pemenang BMS10 dengan baik. Pendirian mereka rata-ratanya ‘kurang sampai’ kerana tersekat dengan permasalahan luaran seperti; ketiadaan atau kurang kemasnya struktur perbicaraan yang membuat persembahan menjadi meleret, dan kurang berkesan dalam presentation. Ini adalah di antara kelemahan yang wajar dibaiki segera. Tidak boleh tidak – apa lagi kalau kita sudah boleh berfikir tentang ‘Turner Prize’, tentang ‘memanggil kurator dari luar’, dan juga ‘strategi pemasaran’ untuk karya-karya artis BMS!

Memang benar bukan semua orang boleh bercakap dengan selesa dan baik di depan umum. Saya pun tidak terkecuali. Namun, kalau difikir-fikirkan: kalau kita tidak membuat persediaan dan latihan, selalunya apa yang kita lakukan itu menjadi tidak memuaskan hati. Kita akan kehilangan keyakinan (atau ‘pendirian’!) dan audien akan mudah menjadi bosan apabila melihat kita terkial-kial dengan hujah, lupa atau salah fakta atau mengulang-mengulang perkara yang sama. Kita di dalam sebuah majlis perkongsian maklumat, pandangan atau ilmu.

Peminat BMS

4.

Tajuk berupa soalan ‘Apakah Pendirian Saya?’ ini wajar dijawab oleh semua artis BMS, bukan pemenang saja. Masing-masing artis harus mengukuhkan ‘pendirian’ untuk terus maju. Tapi di manakah mereka? Saya hanya melihat dua tiga orang artis BMS10 sahaja selain dari pemenang. Di mana yang lain? – guru, pelajar, penulis, pensejarah… SERUM?

5.

Pada 26 Februari ini kita akan mendengar pula ‘Dimanakah Halatuju Kita?’ Hmm… saya rasa ia lebih sedap kalau berbunyi ‘Kemanakah Halatuju Kita?’!

20 Februari 2011

Nota Pagi Hari: The Best of Asian Art

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on February 13, 2011

Gambar Profil fb Best of Asian Art | 2010/11

Tadi pagi saya ke laman fb ‘Best of Asian Art’. Ia di antara laman yang saya ‘like’. Ada satu ‘pertandingan’ yang dinamakan ‘LIKE and WIN’, di mana artis boleh menghantar karya masing-masing (dikhususkan untuk karya catan sahaja) untuk di‘LIKE’ oleh sesiapa saja sehingga satu tempoh tertentu. Artis yang mendapat LIKE terbanyak akan memenangi satu iPod Touch!

Saya meminati dan ingin mempelajari apa yang dikatakan sebagai Seni Asia / Asian Art. Ini saya ‘temui’ semasa menjadi residen-artis di Fukuoka Asian Art Museum (FAAM) di awal dekad ini. Saya teruja melihat karya-karya dari negara Asia: ada kelainan atau perbedaan dengan karya dari negara-negara Barat, atau sekurang-kurangnya yang dihasilkan melalui kerangka modenisme. Saya suka melihat karya kawan-kawan seperti Heri Dono, Krisna Murti, Tang Da Wu, Zulkifli Yusoff, Hasnul Jamal dan lain-lain kawan ‘Asia’.

Tapi agak malang di laman ‘Best of Asian Art’ itu saya tidak menemui keAsia-an (Asianness) seperti yang saya temui di FAAM dan pada karya-karya kawan saya itu. Saya hanya menemui tinggalan-tinggalan (malah kotoran) dari modernisme yang terus-menerus mengkhayalkan (dengan cuma iPod Touch sebagai umpan?).

Saya pun bertanya apa itu Seni Asia di chatbox laman Best of Asian Art. Saya dijawab oleh seseorang: Seni Asia itu adalah hasil dari artis-artis Asia dan yang berkarya di negara-negara Asia. Saya balas: Mudah sangat definisi itu. Dia jawab: Itu definisi yang digunapakai di Best of Asian Art, sebuah definisi perniagaan (a business definition). Saya tergaman lalu mencatat: Good luck with your business!

Saya tercari-cari butang ‘Hate’ selain ‘Like’ dan ‘Unlike’ pada laman itu.

Apa saya masih berseronok-seronok dalam kapsul masa yang dibina sendiri?

10 Februari 2011

Nota Kecil untuk Artgeng

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on February 13, 2011

Gambar Profil fb Artgeng | 2010/11

Saya terbangun dari sebuah mimpi.

Berpuluh-puluh artis lelaki dan wanita, tua dan muda, berbaris di suatu padang yang luas. Tidak jelas pula waktunya samada pagi, tengahari, petang atau malam. Tapi semuanya berbaris.

Ada artis sepenuh masa dan setengah masa. Ada yang bergelar doktor, malah yang professor dan professor madya pun ada – yang ada ijazah sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil lagilah ramai, dan tentunya juga yang belajar sendiri. Semuanya berbaris dengan mengepit atau menjinjing folio masing-masing. Ada yang ketawa. Senyum. Ada yang kelihatan tidak begitu pasti, dan ada yang nampak begitu yakin sekali.

Loceng berbunyi. Seseorang yang di hadapan sekali melangkah masuk ke dalam sebuah bilik kecil di hujung padang itu. Kelihatan ada keraguan di wajahnya.

Di pintu bilik kecil itu tertulis:

TEMUDUGA WAJIB UNTUK MENCARI ARTIS SERUM YANG TIDAK PALSU YANG AKAN MEMBANGUNKAN NEGARA DALAM BIDANG KESENIAN

Kemudian terdengar di corong pembesar suara soalan dari penemuduga yang tidak dapat dilihat oleh orang lain, kecuali artis yang memasuki bilik kecil di padang luas itu. Ya, soalan dari penemuduga dihebahkan ke seluruh padang luas itu.

‘Berapakah harga bingkai catan anda ini?’

‘Berapa luaskah dinding ruang tamu rumah anda?’

‘Adakah anda mandi terlebih dahulu sebelum anda mula melukis atau berkarya?’

21 Disember 2010

Nota Kecil untuk Cikgu Noraida dan Kawan-kawannya

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on February 13, 2011

Saya terbangun dari sebuah lagi mimpi.

Seorang Guru Seni berlenggang-lenggok membawa segala macam perkakas lukisan yang dimuatkan ke dalam sebuah bakul rotan yang besar. Berjalan di batas sawah menuju ke sebuah jalan besar. Tiba-tiba di belakangnya berderet pula sebarisan pelajar dan kawan-kawan Guru Seni. Mereka semuanya mengusung segala macam perkakas lukisan juga. Mereka semuanya bernyanyi riang:

Begholek Godang Begholek Godang

Begholek Godang Begholek Godang

Begholek Godang Begholek Godang

Godang!

Godang!

Godang!

Begholek Godang Begholek Godang

Begholek Godang Begholek Godang

Begholek Godang Begholek Godang

SERUM SERUM SERUM

SERUM SERUM SERUM

Begholek Godang Begholek Godang

Syabas kepada Cikgu Noraida dan kawan-kawan, serta pelajarnya.

Marilah terus kita sama-sama mewarnai kehidupan ini.

Hidup SERUM!

Foto dari koleksi Cikgu Noraida.

15 Oktober 2010

Kain Rentang Begholek Godang

Cikgu Noraida

Melihat Robot

Nota Kecil untuk Cikgu Ahamad Fauzi dan Anassuwandi Ahmad

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on February 13, 2011

Saya terbangun dari sebuah mimpi.

Seorang Artis Sepenuh-masa dari Kedah sedang mengadu tentang pintu-pintu dan kebocoran di Balai Seni Negeri. Seorang Guru Seni membawa pelajar dan kawan-gurunya membuat pameran di Balai Seni Negeri itu juga. Malam sebelum perasmian, Balai Seni Negeri itu ditimpa ribut dan hujan lebat. Semuanya tercabut dan dibasahi. Artis Sepenuh-masa, Guru Seni, kawan-guru dan pelajar-pelajar semuanya gembira. Mereka mandi beramai-ramai, membawa bunga-bunga untuk sambutan pameran yang berwarna-warni. Tiba-tiba Artis Sepenuh-masa berkata kepada Guru Seni, ‘Saya minta diri dulu, Cikgu. Air dah naik tu, saya kena pergi tengok perangkap-perangkap saya!’

Kepada Cikgu Fauzi & Anas:

Syabas atas usaha kalian.

Semoga terus kita sama-sama memberi sumbangan.

Hidup SERUM!

Saya juga guna foto-foto anda di sini.

14 Oktober 2010

Bunga-bunga

Perangkap

Guru Seni & Artis