Off Walls Off Pedestals

Nota untuk Iskhandar 8: Menjawab Soalan-Soalan Apa, Bagaimana, dan Kenapa dalam Karya Seni melalui Kefahaman ‘Kesatuan Organik’

Posted in Nota untuk Iskhandar by tsabri on March 20, 2011

Iskh di Woksyop | Shah Alam | Awal 1990an

Iskh! Assalamualaika wa rohmatullahi wa barokatuh. Bagaimana hari-hari mu di IKJ? Semuga semuanya baik-baik dan berjalan lancar sepertimana yang dirancang. Ku fikir sekarang Iskh sudahpun perlahan-lahan dapat memahami yang bidang pilihan Iskh itu boleh menjadi sangat luas – mencakupi segenap aspek kehidupan manusia. Iskh akan membuat filem yang hebat: namun kehebatan filem sebagai sebuah karya seni, sebagai satu produk budaya, memerlukan minat yang mendalam, penyelidikan yang menjurus, kefahaman asas pemikiran seni dan budaya serta ilmu-ilmu kemanusiaan yang lain – selain daripada, tentunya aspek-aspek teknikal dan ketrampilan penguasaannya. Dan, semua ini tidak ada jalan mudah kecuali dengan mempunyai kefahaman falsafahnya dan daya kreativiti yang tinggi.

Kali ini kita akan berbicara tentang ‘kesatuan organik’ atau Inggerisnya, organic unity, yang biasanya dapat ditemui pada semua bentuk seni; filem, lukisan, arca, teater, tarian, musik, puisi, novel dan sebagainya. Kesatuan Organik adalah himpunan tiga komponen yang sentiasa hadir dalam setiap karya: iaitu Subjek, Bentuk dan Isi. (Subject, Form and Content). Komponen-komponen ini menghimpun persoalan-persoalan yang boleh difikir dan dibincangkan mengenai sesebuah karya seni itu.

Kadar kepentingan atau kadar banyak dan sedikit pada Subjek, Bentuk dan Isi sebagai satu ‘kesatuan’ komponen tidaklah terhad dan boleh berubah-ubah, maka itu ia disebut sebagai ‘organik’ – ‘kesatuan organik’, tidak terlalu khusus. Kekuatan sesebuah karya seni akan bergantung kepada kukuhnya ‘kesatuan organik’ yang ada padanya.

1.     Subjek: rujukan kepada perkara-perkara yang menjadi persoalan atau yang ingin diketengahkan: tajuk, tema, bahan rujukan (subject-matter) dan isu. Subjek juga kadang-kadang dilihat sebagai ‘konteks’; rujukan kepada sesuatu perkara dengan lebih spesifik. ‘Subjek’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘apa’ mengenai sesebuah karya itu.

2.     Bentuk: rujukan kepada perkara-perkara yang membentuk keseluruhan rupa sesebuah karya seperti elemen dan prinsip rekaan, bahan dan bahantara, dan teknik yang digunakan. Pengolahan ‘Bentuk’ secara kreatif akan menghasilkan apa yang dikatakan sebagai ‘keindahan luaran’. Perkara-perkara yang menjadikan ‘Bentuk’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘bagaimana’.

3.     Isi: rujukan kepada perkara-perkara yang mendasari dan membentuk sesuatu makna pada sesebuah karya; yang mungkin bersifat cerita, mempunyai nilai-nilai budaya dan sejarah, ekspresi dan kritik terhadap keadaan kehidupan – politik dan sosio-ekonomi, atau hanya pernyataan niat dan ekspresi artis terhadap minat, persekitaran dan perkara-perkara yang menjadi tumpuannya. Pengolahan ‘Isi’ yang baik akan menghasilkan apa yang dikatakan sebagai ‘keindahan dalaman’. ‘Isi’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘kenapa’.

Ketiga-tiga komponen ini, subjek, bentuk dan isi, saling berkaitan dan sentiasa mempengaruhi di antara satu sama lain untuk kekuatan sesebuah karya seni dan menjadikannya cemerlang atau hebat. Perkaitan dan keadaan saling pengaruh mempengaruhi inilah yang dipanggil ‘kesatuan organik’ di dalam sesebuah karya.

Empat gambarajah berikut diharap dapat menjelaskan ‘kesatuan organik’ yang sepatutnya hadir dalam sesebuah karya yang baik.

Untuk latihan nota ini, Iskh boleh pergi menonton sebuah filem sambil memikirkan tentang ‘kesatuan organik’ yang hadir pada filem tersebut. Buat catatan dalam buku nota mengenai perkara-perkara yang ditemui pada komponen-komponen yang dimaksudkan. Atau, Iskh boleh pilih apa saja bentuk seni dan buatlah hal yang sama – fikir tentang ‘kesatuan organik’ dan bagaimana ia mengukuhkan atau melemahkan karya tersebut. Sehingga bertemu lagi. Alhamdulilah.

 

 

Leave a comment