Off Walls Off Pedestals

Surat untuk U-Wei: ‘Let’s Have Another War’, Hanyut dan Kedai Buku

Posted in My Artist-Friends by tsabri on March 1, 2011

Berikut adalah sebuah karangan dalam bentuk surat kepada sahabat saya, pengarah filem terkenal, En. U-Wei HjSaari.

Assalamualaka wa rahmatullahi wa barokatuh.

Saudara U-Wei yang baik,

U-Wei di BSLN | 2011

Saya gembira dapat berkenalan dengan saudara. Saya senang bercakap, berkongsi pandangan, bersetuju dan tidak bersetuju tentang perkara-perkara yang kita sama-sama minati. Saya tidak tahu pula samada saudara suka mendengar cerita saya. Namun yang pasti, saya rasa aman dan bebas mengeluarkan pendapat, pandangan, soalan atau jawaban apabila bersama saudara.

Saya mula mengenali saudara di awal 1990an apabila Perempuan, Isteri dan Jalang dan Perempuan, Isteri dan … terbit di media. Aneh bukan? Perempuan, Isteri dan Jalang (PIJ) menjadi Perempuan, Isteri dan … Bahasa adalah suatu hal yang harus diperhatikan kerana ia boleh menjadi amat terbuka, sedang manusia pula ada yang berusaha mencari dan cuba mengekalkan identiti bangsa masing-masing melalui bahasa : Bahasa Jiwa Bangsa! …apa lagi jika bahasa itu ditulis dengan tanda seperti … ini memberi berbagai spekulasi dan boleh saja menjadi ‘tanpa tajuk’!

Di media, saudara dilukis sebagai sesorang yang membawa kelainan dalam perkembangan filem Malaysia. Saya ketika itu belum memahami maksud ‘membawa kelainan’ seperti yang disebut. Saya melihat PIJ: hmm, memang berlainan dengan apa yang selalu ada di tv – saya tidak dapat beda PIJ dengan filem-filem Melayu lain kerana memang saya tidak menonton pun. PIJ dan terus yang lain-lain seperti Kaki Bakar dan Jogho membuatkan saya dan Mastura sering berkomentar mengenai bermacam hal: cerita-ceritanya, pengarahan filem, bagaimana wanita ditonjolkan, soal-soal Melayu dan kemelayuan…

Saya ingat suatu malam melihat saudara di tv sedang berperan sebagai konduktor kepada sebuah orkestra yang berkostum seperti kotak – mungkin sebuah sketsa teater di suatu malam anugerah musik atau filem.

Seorang U-Wei dan karya-karyanya mula menjadi perhatian saya.

Saudara menjadi semakin rapat apabila membuat keputusan untuk menghimpun arca dawai saya, Let’s Have Another War!* Pertama kali saya melihat Lets Have Another War! (LHAW) sebagai sebuah karya orang lain ialah di Kassel dalam Documenta X. Ia adalah sebuah catan hitam putih seorang artis Israel, gambaran satu pertempuran jalanan dan di antara bangunan. Tergambar angkuh dan might Yahudi yang tumbuh dari berbagai keterpesongan itu. Catan itu sederhana besar. Saya tertarik dengan ‘konflik’ yang dipaparkan. Ia membawa saya kepada perbalahan, pergeseran, konflik diri dan kononnya, agama, yang tak sudah-sudah sejak Qabil membunuh Habil kerana seribu satu macam cemburu, atau seawal mula ketika Hawa tergoda dengan ranumnya buah terlarang!

Imej LHAW oleh David Reed dari Documenta X Short Guide

LHAW oleh David Reeb menarik kerana ia real. Saya bayangkan artis itu sendiri yang sedang membedil Arab Palestin. Bunyi letupan pelurunya senada dengan sumpah seranah Yahudi sejak mereka bertanyakan lembu yang bagaimana hendak disembelih. Namun, menurut catatan Short Guide Documenta X 1997: David Reeb pernah melukis sebuah banner PLO di dinding muzium Tel-Aviv semasa pamerannya. Dia diminta memadamkan banner itu dan sebagai hukuman katalog pamerannya tidak diterbitkan. Dan… yang penting dalam konteks Seni Rupa Malaysia – ia amat jauh dengan hasil artis kita yang melukis tangis anak-anak Palestine atau darah merah tersembur di Sabra Shatilla, di Gaza, dari fotogeraf: walaupun sebenarnya David Reeb pun melukis dari fotogeraf!

U-Wei, LHAW yang tergantung dalam himpunan saudara itu lahir dari latarbelakang yang boleh dikatakan ‘hanyut’ – berada dalam keadaan hanyut; dibawa arus; adrift? Sebahagian Yahudi hanyut dengan mitos bunyi lembu ciptaan Samiri; tentera Yahudi hanyut dengan bunyi tembakan dan darah Arab Palestine yang serba malang; artis Malaysia hanyut dengan realiti tema perang derita kebuluran darah yang tidak pernah dialami mereka di dalam pameran amal tabung itu ini demi kemanusiaan!

Makanya, Si Belanda itu pun hanyut dengan harta-karun emas berliannya. Orang yang hanyut tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Logik akal apa pun payah nak menjadi atau tidak berguna. Orang hanyut hanya bergantung kepada nasib semata, mungkin begitulah. Maka Si Belanda itu boleh saja kahwin kerana hanyut dengan emas berlian. Nina juga hanyut dalam deras sungai tropika.

Orang Hanyut! The Boat People! 1970an. Saya menyaksikan Orang Hanyut mendarat di pantai Kuala Besut, Terengganu. Bot yang sarat itu menghampiri pantai dan berhenti kira-kira 200 meter dari tepi pantai. Pasukan keselamatan menembak ke udara – memberi amaran supaya tidak mendarat walaupun sudah ada kem-kem sementara yang dihuni oleh mereka yang tiba dua tiga minggu lepas. Waktu itu hari sudah senja. Dalam gelap senja itu Orang Hanyut mula terjun ke laut dan berenang ke pantai, sedang polis sekali sekala menembak ke udara (buat habis peluru saja, hah!). Ramai orang berkerumun di pantai.

Kemudian saya dengar cerita dari kawan-kawan, Pak Cik Kecok (kecok: loghat Besut/Kelantan untuk tempang) yang tinggal bersendirian di hujung kampong tepi laut itu, yang hitam dan berwajah buruk itu, telah dengan cekap menangkap seorang gadis hanyut yang baru tiba, yang tentunya keletihan dan kelaparan, dan merogolnya di balik semak belakang rumahnya. Gadis hanyut itu kemudiannya dilepaskan dalam kesamaran senja itu… Orang hanyut boleh saja diperkosa oleh seseorang berkaki tempang lagi buruk rupa!

Satu persoalaan muncul apabila saya berfikir tentang ‘hanyut’. Apa yang membuat – memulakan atau puncanya – hanyut? Manusia kah atau alam semulajadi kah atau keadaan kah? Ya, saya tidak dapat sama sekali mengatakan alam atau keadaan yang memulakan hanyut – tidak mungkin arus sungai akan berbalik ke hulu semata-mata untuk mengembalikan yang hanyut, apatah lagi kalau arus lautan! Ya, hanyut ada sangkut-paut dengan arus air, atau hanyut di udara mengikut arus angin seperti layang-layang putus tali…arus air atau angin akan membawa benda atau mungkin  orang kemana saja sehinggalah arus itu terhenti, menjadi perlahan atau boleh saja tiba-tiba menjadi deras!

Maafkan saya U-Wei, semakin panjang pula surat ini! Begitulah… Saudara memberitahu bahawa saudara mempunyai sebuah khutubkhanah yang besar. Orang yang mempunyai khutub-khanah pasti suka membaca… Petang tadi saya selesai membaca Enchantress of Florence. Hebat sungguh Salman Rushdie_ bahasanya, ceritanya boleh menghanyutkan pembaca. Saya di Johor Bharu sekarang. Tadi pagi ikut budak-budak ke satu pusat beli-belah, Kompleks Angsana, untuk melihat-lihat kalau terjumpa sebuah dua buku yang menarik. Tiada ada satu pun kedai buku kecuali yang menjual majalah yang penuh dengan ‘artis’ Malaysia berhari raya dengan berbagai busana dan kek-kek yang manis-manis belaka! …dan saya jadi teringat dengan kedai-kedai buku di merata tempat di Malaysia ini yang telah ‘bertukar’ menjadi kedai alatulis dan buku latihan sekolah bagaimana hendak cemerlang dalam peperiksaan!

LHAW yang tergantung di tempat saudara itu sarat dengan pelbagai konflik diri hasil dari membaca manusia. Bodoh! Hebat betul rupanya bodoh manusia ini. LHAW yang tergantung di tempat saudara itu adalah derivations dari bentuk-bentuk bombs, nuclear warheads and as such yang dicipta untuk membunuh ‘konsep-konsep’ yang berlawanan. Jadi apabila arkitek Jepun, kenalan saudara itu mengaitkan life, energy, man – woman dengan LHAW, saya jadi terpesona dengan daya apresiasi seorang lagi audien.

LHAW yang tergantung di ‘cinema’ saudara itu jadi bertambah lapisan ‘makna’nya…

Setakat ini dulu saudara. Terima kasih.

Alhamdulillahi robbilalamin.

* Semasa surat ini ditulis, saya maseh tidak mempunyai fotogeraf Let’s Have Another War! yang dihimpun oleh U-Wei. Saya akan terbitkannya di sini sebaik saya memperolehinya.

Leave a comment