Off Walls Off Pedestals

Nota SERUM 4.6: Peta Dinamika Ideologi SERUM: Sejarah

Posted in Peta SERUM by tsabri on February 25, 2011

Peta Dinamika Ideologi SERUM: Sejarah

Peta Dinamika Ideologi SERUM (Nota 4) menggambarkan enam perkara yang dicambahkan dari kefahaman pembentukan Ideologi SERUM.

Di sini kita perhatikan Sejarah sebagai satu perkara yang saling pengaruh-mempengaruhi pembentukan dan pemantapan ideologi SERUM. Sejarah dapat difahami sebagai satu rekod kejadian peristiwa-peristiwa yang mempengaruhi atau mempunyai pertalian dengan sesebuah negara, institusi mahupun manusia, yang biasanya termasuk keterangan-keterangan sebab dan akibat peristiwa-peristiwa itu berlaku. Mudahnya, sejarah itu satu cabang ilmu yang merekod dan menerangkan peristiwa-peristiwa lalu.

Manusia atau apapun akan melalui masa lalu, masa kini dan masa depannya. Sejarah masa lalu umumnya boleh dijadikan panduan atau pelajaran untuk membaiki atau menambahbaik kehidupan masa kini, sementara masa depan boleh dirancang dan ditentukan mengikut kadar kita. Namun, kita dapati ada dakwaan-dakwaan yang sesetengah pihak (biasanya yang berkuasa) melakukan penyelewengan sejarah dari masa ke semasa untuk kepentingan diri, kelompok atau faham tertentu. Kefahaman asas bagaimana mendekati sejarah boleh membantu kita untuk tidak tersalah tanggap.

Umumnya, sejarah boleh didekati melalui dua cara:

1. Pendekatan Kronologis

Pendekatan ini adalah kefahaman secara berurutan mengikut perjalanan masa/pentarikhan (tahun, dekad, abad). Kita boleh menggunakan cara pengkaedahan Kalendar Greogorian yang membahagikan masa kepada sebelum kelahiran Nabi Isa dan selepasnya: biasanya kita guna dalam Bahasa Malaysia sebagai Tahum Sebelum Masehi (SM) dan Tahun Masehi (M), atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil Before Chirst (BC), Before the Common Era (BCE), atau Before the Christian Era (BCE); dan Common Era (CE) atau Christian Era (CE) atau pun Anno Domini (AD).

2. Pendekatan Bertema

Pendekatan ini menjurus kepada tajuk, tema, isu atau perkara tertentu yang ingin kita bicarakan dengan merujuk kepada mana-mana kejadian atau peristiwa dalam sejarah.
Tajuk/tema/isu/perkara ini umumnya dari ;pengalaman hidup’ kita sebagai individu, kelompok atau masyarakat umumnya (budaya/negara); yang meliputi soal-soal seperti keadaan sosio-ekonomi, politik, pendidikan, kepercayaan beragama atau teknologi.

Kita mungkin terpaksa bergantung kepada rekod-rekod dan penulisan (atau lain-lain dokumen) yang sedia ada untuk mengetahui peristiwa-peristiwa silam, yang mungkin telah diselewengkan di sana-sini, namun kita boleh terus menyelidik dan terus menerus merekodkan perkembangan kita untuk kebaikan masa depan.

Nota SERUM 4.5: Peta Dinamika Ideologi SERUM: Estetika

Posted in Peta SERUM by tsabri on February 23, 2011

Peta Dinamika Ideologi SERUM: Estetika

Peta Dinamika Ideologi SERUM (Nota 4) menggambarkan enam perkara yang dicambahkan dari kefahaman pembentukan Ideologi SERUM.

Di sini kita akan berbicara tentang perkara yang kelima, estetika; iaitu satu cabang dari falsafah yang khusus untuk seni/kesenian dan hal-hal yang berkaitan dengan keindahan (beauty). Umumnya, ia berkaitan dengan ‘citarasa’ (taste) seseorang terhadap objek atau bentuk seni rupa, yang mahu tidak mahu berkaitan pula dengan ‘persepsi’ seseorang, masyarakat dan budaya, serta masa atau zamannya.

Kita boleh bahagikan kefahaman estetika kita sekurang-kurangnya kepada 3 jenis pendekatan:

1. Pendekatan Estetika Objektif atau Objektivisme:

Idea estetika (keindahan) pada pendekatan ini umumnya berada di dalam objek atau bentuk seni rupa itu sendiri.

Perhitungan artis melalui gubahan dan isi kandungan (form & content) karyanya membina nilai-nilai estetika pada bentuk keseluruhan karya itu. Perhitungan artis dan nilai estetika yang muncul itu turut mempengaruhi atau dipengaruhi oleh persepsi masyarakat dan zaman di mana karya itu dihasilkan; sehingga kadang-kadang ia boleh menjadi seperti satu persepsi yang konvensional – dipersetujui dan dikongsi oleh sesuatu masyarakat di suatu tempat dan di suatu masa/zaman.

2. Pendekatan Estetika Subjektif atau Subjektivisme:

Idea estetika ini umumnya bergantung kepada minat dan citarasa seseorang. Seseorang itu dianggap ‘bebas’ atau boleh berbeza persepsi dengan orang lain. Nilai estetika tidak berada di dalam bentuk seni lagi, tetapi ada pada audiennya. Idea ini biasanya digambarkan melalui ungkapan: Keindahan itu ada pada Penglihatan Pemerhati (Beauty is in the Eyes of the Beholder).

Pendekatan ini umumnya kurang memberi perhatian kontekstual kepada nilai estetika yang ada pada objek atau bentuk seni kerana citarasa atau persepsi peribadi atau kelompok diberi keutamaan terlebih dahulu.

3. Pendekatan Estetika Relatif atau Relativisme:

Idea estetika ini adalah percubaan untuk merapatkan kedua-dua pendekatan terdahulu, dengan mengambil kira perhitungan artis/kelompok, sejarah atau budaya dari mana karya itu dihasilkan, dan hubungannya dengan citarasa sendiri dan juga persepsi-persepsi lain.

Pendekatan ini memberi ruang kepada kepentingan kedua-dua pendekatan terdahulu, disamping kemungkinan menemui idea-idea baru untuk menambah-baik apresiasi seni rupa. Aktiviti penyelidikan menjadi penting di sini untuk kita memahami objektiviti dan subjektiviti sesuatu bentuk seni itu serta hubungan (persamaan & perbezaan) di antara keduanya.

Nota SERUM 4.4: Peta Dinamika Ideologi SERUM: Apresiasi

Posted in Peta SERUM by tsabri on February 23, 2011

Peta Dinamika Ideologi SERUM: Apresiasi

Peta Dinamika Ideologi SERUM (Nota 4) menggambarkan enam perkara yang dicambahkan dari kefahaman pembentukan Ideologi SERUM.

Di sini kita akan berbicara tentang perkara ke empat, iaitu, Apresiasi.

Apresiasi di sini bermaksud suatu penerimaan (recognition) kita terhadap sesuatu bentuk yang dinikmati secara saksama. Ia merangkumi cara atau kaedah yang boleh kita gunakan untuk menikmati sesuatu bentuk seni rupa itu. Apresiasi disini juga juga boleh disamakan dengan suatu proses penghayatan.

Di sini kita bahagikan proses apresiasi itu kepada tiga peringkat:

1. Deskripsi:

Peringkat ini adalah keperluan untuk mengetahui keterangan-keterangan asas mengenai sesebuah karya. Ini adalah untuk menjawab: bentuk apakah ini? Apakah tajuknya? Siapa yang membuat nya? Bila dan di manakah ia dibuat? Berapa besar atau kecil, atau berapa lama? Bagaimana gubahannya? Ada peristiwa atau apa-apa signifikan lain yang boleh ditemui?

Pengetahuan atau perhatian kepada perkara-perkasa asas seni rupa dan sejarah seni rupa amat membantu pada peringkat ini.

2. Intepretasi:

Peringkat ini lebih terarah kepada keupayaan seseorang audien untuk membuat tafsiran-tafsiran berdasarkan pengalamannya, Biasanya, pada sesebuah karya terdapat tanda-tanda yang boleh dijadikan isyarat atau ‘clue’ kepada sesuatu yang cuba diketengahkan oleh artis. Ini mungkin boleh ditemui pada tajuk karya atau imej-imej dominan yang terdapat pada karya. Literatur berkaitan karya atau artisnya boleh membantu pada peringkat ini.

Peringkat ini adalah kurang lebih untuk menjawab soalan-soalan yang bedasarkan ‘kenapa’ dan ‘bagaimana’. Perhatian kepada hubungan dengan perkara-perkara seperti sejarah, falsafah, anthropologi dan lain-lain ilmu sosial dapat membantu kita membuat intepretasi yang lebih baik.

3. Evaluasi.

Peringkat ini adalah di mana kita boleh membuat keputusan samada sesebuah karya itu memuaskan atau sebaliknya. Keputusan kita boleh saja bersifat menghakim (judgmental), namun pengalaman-pengalaman yang diperolehi di dua peringkat terdahulu patut sekali dijadikan asas penghakiman/penetapan. Adalah lebih baik evaluasi terhadap sesuatu karya itu dilakukan secara penerangan (explanatory) agar banyak pihak yang boleh mendapat faedah.

Pengetahuan kepada asas kritikan seni rupa serta pemikiran-pemikiran berkaitan seni dan budaya akan banyak membantu usaha membuat satu evaluasi yang baik

Nota SERUM 4.3: Peta Dinamika Ideologi SERUM: Sifat Bentuk

Posted in Peta SERUM by tsabri on February 22, 2011

Peta Dinamika Ideologi SERUM: Sifat Bentuk

Peta Dinamika Ideologi SERUM (Nota 4) menggambarkan enam perkara yang dicambahkan dari kefahaman pembentukan Ideologi SERUM.

Di sini kita akan membicarakan perkara ketiga yang terbit dari Ideologi SERUM, iaitu Sifat Bentuk. Sifat Bentuk ini boleh difahami sebagai unsur-unsur yang mendasari keberadaan dan rupa sesuatu bentuk itu.

Saya gunakan sebuah jadual berkolum 3 dan berbaris 4/5 untuk menjelaskan Sifat Bentuk dan unsur-unsurnya. Di kolum pertama adalah Dimensi: nama sifat bentuk, kolum kedua ialah Ruang: jenis-jenis ruang di mana sesuatu bentuk itu wujud, dan terakhir kolum 3 adalah Elemen Asas: elemen asas rekaan lazim yang digunakan untuk menyatakan keberadaan sesuatu bentuk itu. Sementara barisan pada jadual tersebut adalah penerangan setiap jenis sifat bentuk mengikut ruang keberadaan dan elemen asas rekaan yang lazim.

1. Bentuk bersifat 1D: 1D di sini bukan merujuk kepada ‘sempitnya pemikiran atau persepsi’ seseorang, tapi adalah gambaran kepada bentuk yang tidak dapat dilihat, atau masih belum kelihatan. Ia berada di ruang imaginatif dan hanya dapat difahami/ditanggapi secara agakan atau gambaran yang bermain di minda/pemikiran sahaja. Di antara contoh bentuk 1D ialah idea, khayalan, ataupun mimpi.

2. Bentuk bersifat 2D: Bentuk 2D muncul di atas permukaan yang mempunyai ukuran panjang dan lebar seperti permukaan kertas atau kanvas. Sesuatu imej pada bentuk ini adalah tidak ‘real’ – ia hanyalah sebuah ilusi atau konsepsi tampak sesuatu objek di atas permukaan, yang diwujudkan melalui elemen-elemen asas rekaan seperti garisan, rupa, tonal, jalinan atau warna. Contoh bentuk 2D ialah lukisan, catan, illustrasi atau poster.

3. Bentuk bersifat 3D: Bentuk 3D adalah ‘real’. Ia wujud di ruang nyata. Kita boleh menyentuh, mengelilingi atau mengangkatnya (jika tidak berat). Antara elemen-elemen asas rekaan 3D ialah isipadu, jirim, keberatan dan fizikaliti (seperti garisan atau rupa fizikal). Contoh bentuk 3D ialah arca, objek-objek nyata atau produk-produk rekaan.

4. Bentuk bersifat 4D: Bentuk 4D adalah relatif di antara ruang nyata dan ruang maya, di mana ruang nyata agak pasif berbanding dengan ruang maya. Apa yang ada di ruang nyata hanyalah objek seperti komputer atau projektor, dan juga orang yang menjadi pengguna (users) atau audien. Sementara ruang maya didominasi oleh elemen-elemen asas rekaan yang meliputi masa, cahaya, bunyi, pergerakan dan interaktiviti. Di antara contoh bentuk 4D ialah filem, musik, karya multimedia atau jaringan Internet.

Nota SERUM 4.2: Peta Dinamika Ideologi SERUM: Bentuk & Fungsi

Posted in Peta SERUM by tsabri on February 22, 2011

Peta Dinamika Ideologi SERUM: Bentuk & Fungsi

Peta Dinamika Ideologi SERUM (Nota 4) menggambarkan enam perkara yang dicambahkan dari kefahaman pembentukan Ideologi SERUM.

Fokus kita di sini ialah perkara kedua, Bentuk & Fungsi. Ia adalah tentang bagaimana kita boleh menjeniskan bentuk-bentuk seni yang berbagai itu mengikut fungsi asas atau tujuan ia dihasilkan. Kefahaman ini akan memudahkan kita menikmati sesuatu bentuk seni itu secara lebih saksama.

Umumnya, bentuk-bentuk seni itu boleh dijeniskan kepada tiga mengikut fungsi asasnya.

1. Bentuk Gunaan: Bentuk yang dihasilkan untuk memenuhi keperluan kepenggunaan; samada untuk peribadi, domestik atau industri. Ia berkaitan dengan rekabentuk (designs) yang melibatkan objek-objek rutin untuk memudahkan kehidupan harian dan pekerjaan kita.

Bentuk Gunaan ini termasuklah rekabentuk produk, grafik, tekstil, fesyen dan juga multimedia*. Manusia atau pelaku untuk kebanyakan bentuk-bentuk jenis ini sering dikenali sebagai pereka (designers).

2. Bentuk Ekspresif: Bentuk dihasilkan untuk memenuhi keperluan emosi dan juga rasa ‘indah’ (estetika) seseorang atau sekelompok audien. Suatu hubungan intim di antara audien dengan bentuk jenis ini biasanya terbina melalui perkongsian tanda-tanda dan pengalaman atau luahan yang dipaparkan.

Di antara contoh bentuk yang boleh dimuatkan dalam Bentuk Ekspresif ini ialah lukisan, catan, arca, seni grafis, dan filem*.

3. Bentuk Konseptual: Bentuk yang dihasilkan untuk memenuhi keperluan intelek (dan mungkin juga keperluan spiritual) audien, Ia berupaya menyuburkan dan memgembangkan sesuatu pemikiran; atau dalam keadaan yang lain, boleh juga mencabar pemikiran-pemikiran yang sedia ada.

Bentuk jenis ini adakalanya terbit dari lanjutan apresiasi terhadap Bentuk Ekspresif, tetapi memberi penekanan yang lebih berat kepada soal-soal pemikiran (termasuk misalnya soal ‘kekudusan’ dan ‘isi kandungan’ : Nota 4.1). Instalasi, performen dan seni sosial (social art)* adalah beberapa contoh bentuk jenis ini.

* Hanya beberapa contoh untuk kefahaman. Yang penting di sini ialah ‘fungsi asas’ atau ‘tujuan’ keberadaan bentuk-bentuk seni itu.

Nota SERUM 4.1: Peta Dinamika Ideologi SERUM: Definisi/Persepsi

Posted in Peta SERUM by tsabri on February 21, 2011

Peta Dinamika Ideologi SERUM: Definisi/Persepsi

Peta Dinamika Ideologi SERUM (Nota 4) menggambarkan enam perkara yang dicambahkan dari kefahaman pembentukan Ideologi SERUM.

Pertamanya adalah Definisi/Persepsi, sebagai satu usaha mengenalpasti erti (definisi) dan pandangan (persepsi) terhadap SERUM dan seni rupa umumnya. Perkataan ‘Definisi’ dan ‘Persepsi’ di sini diletakkan secara bergandingan dengan tanda ‘/’ sebagai penanda yang kedua-duanya saling berkait.

Sejak pemikiran seni (seni rupa) diperkatakan orang, kita telah banyak menemui definisi yang berbagai; yang rata-ratanya tertumpu kepada beberapa sudut atau latarbelakang seperti bentuk karya seni, bahan dan teknik, kemahiran dan ketrampilan pembuatnya, pengalaman yang diperolehi daripada menikmati sesebuah karya seni, penjelmaan sesuatu pemikiran, fungsi atau kegunaan sesuatu bentuk seni rupa itu, nilai kerohanian atau juga sebagai sebuah artifak budaya. Latarbelakang pendefinisian yang berbagai ini acap kali pula bertindeh sesama sendiri lalu mengayakan/memeriahkan kandungan makna dan nilai seni itu sendiri (pembinaan, pertambahan dan pengukuhan sesuatu persepsi).

Perbincangan mengenai Definisi/Persepsi atau tindakan mendefinisi dan membina persepsi ini boleh dibahagikan kepada dua tahap utama yang boleh dinamakan sebagai tahap ‘kudus’ dan ‘profan’; yang mana pula saling berkaitan dalam keberadaan sesebuah karya atau bentuk seni itu.

1. Tahap Kudus:
Tahap ini berkaitan dengan keyakinan seseorang terhadap sesuatu idea atau konsep yang (sering) dikaitkan dengan kepercayaan beragama atau pengalaman spiritual/kerohanian. Perbincangan mengenai hal ini boleh saja membawa kita kepada soal-soal mujarad/abstrak seperti ‘jiwa’ (soul) dan ‘isi kandungan’ (content) yang ada pada bentuk seni.

Tahap ini boleh ditandakan melalui tiga perkara;

1.1 Kekuasaan Maha Pencipta: kesedaran kepada kekuasaan Tuhan (Ajaran Ilahi) yang sering dimanifestasikan secara ‘meditatif’ dan juga ‘simbolik’ seperti yang dapat ditemui dalam bentuk-bentuk Seni Islam dan Kristian; juga dalam pemikiran dan bentuk kebanyakan seni primitif dan tradisional dari serata dunia, serta dalam banyak persepsi dan amalan falsafah Timur (Cina, India, Jepun, Asia Tenggara dll.) Kecenderungan ini memberi isyarat atau tanda yang seni itu mempunyai (atau pernah ada) pertalian dengan kekuasaan Tuhan.

1.2 Kemampuan dan Keterbatasan Manusia: seseorang manusia (artis/Manusia SERUM) yang boleh berfikir secara wajar akan mengakui had kemampuan dan keterbatasan yang ada pada dirinya. Kesedaran sebegini akan mempengaruhi tanggapan dan tindakannya tehadap pemikiran dan bentuk seni. Dia akan bermotivasi untuk membaiki diri, menguasai bahan dan teknik, membaiki tingkah laku seharian, dan juga berusaha untuk mempertingkatkan pemikirannya.

1.3 Kesejahteraan Seluruh Alam: seni dan bentuk-bentuk manifestasinya harus menyuguhkan idea-idea tentang kesejahteraan kepada kehidupan dan kemanusiaan itu sendiri. Tindakan apa pun harus bervisikan perdamaian dan toleransi sesama manusia serta alam persekitarannya – seni harus mendamaikan dan tidak merosakkan serta menyuburkan pemikiran-pemikiran yang berguna.

2. Tahap Profan:
Tahap ini boleh difahami sebagai tahap yang mengandungi petanda-petanda yang berkaitan dengan ‘keduniaan’ atau ‘kebendaan’ yang mendampingi sesebuah pemikiran atau bentuk seni itu. Ia merangkumi soal-soal sifat keujudan, unsur-unsur ciptaan dan juga fungsi bentuk seni itu.

Tahap ni boleh ditandakan melalui tiga perkara;

2.1 Bentuk Indah: Setiap bentuk seni itu membawa idea ‘indah’, yang walaupun tidak semestinya semua pihak akan bersetuju dengan sesuatu idea ‘indah’ itu kerana ia bergantung pula kepada faktor-faktor seperti masa/zaman, tempat dan kebudayaan masyarakat dari mana bentuk seni itu muncul. Keindahan atau idea ‘indah’ pada bentuk seni itu banyak bergantung kepada kemahiran menggubah dan ketrampilan teknik artis yang menghasilkannya.
(Idea ‘indah’ ini akan dinotakan dengan lanjut dalam perkara Estetika yang turut membentuk Ideologi SERUM).

2.2 Bentuk Berguna: Setiap bentuk seni itu seharusnya berguna, samada untuk memenuhi tuntutan kegunaan harian, perasaan atau juga pemikiran.
(Idea ‘berguna’ ini akan dinotakan dengan lanjut dalam perkara Jenis & Fungsi Bentuk yang turut membentuk Ideologi SERUM)

2.3 Bentuk Bermaklumat: Setiap bentuk seni itu membawa maklumat samada secara literal mahupun secara abstrak melalui metafora atau kiasan-kiasan. Pemerhati (audien) yang berkesedaran akan menggunakan maklumat-maklumat yang ada pada bentuk seni itu untuk membuat tafsiran-tafsiran yang seterusnya pula menjadikannya lebih bermakna dan bernilai.

Kedua-dua tahap yang mengandungi perkara-perkara seperti yang ditandakan itu sememangnya berkaitan dan sama-sama membentuk keberadaan sesebuah bentuk seni itu. Ini secara mudah boleh difahami sebagai pertalian di antara bentuk (form) dan isi kandungan (content).

* Tahap Profan berkaitan dengan Bentuk, dan Tahap Kudus berkaitan dengan Isi Kandungan.

* Kedua-dua Bentuk & Isi Kandungan. atau Profan & Kudus itu ada pada setiap bentuk seni.

* Tindakan memberi definisi, juga membina persepsi, terhadap seni dan bentuknya harus mengambil kira kedua-dua tahap ini.

* Sebuah catatan dari Dr. Azly Rahman, seorang penulis dan teoris-sosial, mengenai seni barangkali boleh direnung bersama dalam usaha memberi definisi/persepsi kepada SERUM dan seni amnya.

‘Art must not merely mirror the beauty of nature, imitate life, advance postmodern sensibilities, ignite the revolt of the masses, portray screams of consciousness within, but all these and more, it must bring humanity back to the cave and to de-evolve into beings whose true nature is visible – ar. 2010.

Nota SERUM 4: Peta Dinamika Ideologi SERUM

Posted in Peta SERUM by tsabri on February 21, 2011

Peta Dinamika Ideologi SERUM

Peta Dinamika Ideologi SERUM ini adalah lanjutan pertama dari tiga unsur asas yang dikemukakan sebagai mempengaruhi dinamika SERUM: Ideologi, Persekitaran dan Manusia SERUM (lihat Nota SERUM 3: Peta Dinamika SERUM)

Ideologi: satu sistem kepercayaan, nilai dan idea yang membentuk sesuatu ‘pandangan’ / falsafah SERUM.

Ideologi SERUM boleh dilihat sebagai mempunyai sekurang-kurangnya 6 unsur:

1. Definisi/Persepsi: Satu usaha untuk mengenal-pasti erti (definisi) dan pandangan (persepsi) tentang apa yang dimaksudkan sebagai Seni Rupa dan SERUM.

2. Bentuk & Fungsi: Penjelasan mengenai bentuk seni rupa melalui penjenisan bentuk mengikut fungsinya.

3. Sifat Bentuk: Penjelasan mengenai sifat-sifat fizikal sesuatu bentuk yang mempengaruhi keberadaan serta ruang di mana ia wujud/berada.

4. Apresiasi: Penjelasan suatu kaedah umum untuk menikmati sesuatu bentuk pilihan.

5. Estetika: Penjelasan pendekatan bagaimana menanggapi sesuatu bentuk pilihan dari sudut makna dan nilai keindahan.

6. Sejarah: Pengetahuan tentang perkembangan sesuatu (SERUM) melalui peristiwa, tokoh, pemikiran, tema atau artifak yang berkaitan, serta juga bidang-bidang lain seperti kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.

Nota SERUM 3: Peta Dinamika SERUM

Posted in Peta SERUM by tsabri on February 20, 2011

Peta Pertama: Dinamika SERUM

Ini peta pertama kerangka SERUM, hasil perbincangan yang kita langsungkan sejak Nota 1 dikemukakan. Ia mungkin tidak berapa tepat lagi_ maksud saya ia terus boleh diperbaiki.

Kita dalam satu ‘buih’ (bubble) – yang boleh naik dan turun, terbang (di bawa angin) dan pecah, dan boleh muncul kembali – mungkin dalam bentuk yang lain(?). Tapi tepiannya bergerigi, boleh buat orang tidak senang mungkin – menghimpit dan tajam. Ia irregular – organik – fleksibel. Tiga unsur utamanya, Ideologi, Persekitaran & Manusia saling pengaruh dan mempengaruhi, – seharusnya dinamik, dan boleh saja ‘memancut’ keluar dari ‘buih’ – kerana mungkin terpengaruh atau cuba mempengaruhi ‘buh-buih’ lain…

Peta Dinamika SERUM: Alternatif

5 Jun 2010

Nota SERUM 2: Membina atau Menyusun Kembali Kerangka Wacana SERUM

Posted in Peta SERUM by tsabri on February 20, 2011

Lessons Continued: Hearing the Words, Seeing the Signs and Making the Choice Again and Again (or Some Lessons under the Tree) | 2004 | BSLN, K. Lumpur

Salam. Kita rupanya tidak ketandusan dengan berbagai sokongan, cadangan dan apa saja yang memeta dalam fikiran. Terima kasih_  Bagus sekali dan saya rasa sungguh bangga bersama tuan-tuan yang prihatin dengan perkembangan SERUM.

Terus…
Bila saya bariskan 6 soalan atau persoalan dalam nota 1 terdahulu, saya tidak memikirkannya secara kronologis, soalan-soalan itu boleh saja berubah kedudukkannya. Namun suka saya anjurkan yang soalan-soalan itu (tidak semestinya yang enam itu sahaja) kita bahagikan kepada tiga bahagian / kelompok utama:

1) Ideologi SERUM – merujuk kepada satu sistem kepercayaan, nilai dan idea yang membentuk sesuatu ‘pandangan’ / falsafah SERUM. Atau boleh disebut (jika suka) sebagai ‘teori’ untuk memudahkan perbincangan.

2) Persekitaran SERUM – merujuk kepada ‘kawasan’ / lokasi di mana SERUM muncul dan berkembang, yang boleh kita sandarkan kepada paradigma atau kondisi sejarah, sosial, politik, pendidikan, teknologi, atau lain-lain tanda / penanda yang berkaitan. Atau boleh disebut (jika suka) sebagai ‘praktikal’, ‘praktis’ atau ‘amali’ – merujuk kepada ragam perlakuan, aksi melakukan dan lokasi di mana aksi itu berlaku.

3) Manusia SERUM – merujuk kepada semua penggiat SERUM, kerana mahu tidak mahu, manusianyalah yang akan mencorakkan SERUM, samada sedar atau tidak, yang akan memeriah SERUM atau boleh saja merundumkannya. Atau elemen ‘manusia SERUM’ ini boleh disebut (jika suka) sebagai hasil: seperti, di tangan manusia SERUM lah masa depan SERUM itu, atau juga boleh dikira sebagai akibat / hasil dari Ideologi dan Persekitaran.

Terus, idea kerangka perbincangan (atau wacana atau apa saja) SERUM ini boleh dimudahkan secara begini;

Ideologi SERUM + Persekitaran SERUM + Manusia SERUM

[ Teori + Praktis + (=) Hasil ]

Yang dikemukakan adalah seperti satu premis yang kiranya mudah untuk membantu kelancaran perbincangan / wacana SERUM kita, yang terus dapat membantu kita mengenal-pasti apa saja hal yang boleh dikaitkan dengan SERUM. Kita wajar membenarkan kepelbagaian, keragaman, nonlinearity – namun satu kerangka atau premis asas umum yang mudah boleh digunakan sebagai landasan yang mampu mengawal / moderate tindak-tanduk kita agar tidak kesasar jauh. Lalu saya cadangkan seperti yang diatas: tuan-tuan boleh saja memberi komentar, menambah-baik idea atau juga mencadangkan pendekatan lain.

Wacana atau apa saja yang kita mulakan mengenai SERUM ini masih dalam peringkat awal; kita gubah dulu kerangka asas, kenal-pasti apa saja permasalahannya, research questions, andaian (hipotesis): maka barulah mudah langkah-langkah selanjutnya – bicara kita adalah ‘menemukan-semula’ dan ‘melestarikan’ SERUM.

Nota SERUM 1: Menemukan-semula dan Melestarikan SERUM

Posted in Peta SERUM by tsabri on February 20, 2011

Inside: Continued Lessons | RAP | Kuala Lumpur | 2004

SERUM: Seni Rupa Malaysia
Penggiat SERUM: artis, kurator, penulis, pengkritik, pensejarah, pendidik, pegawai, tuan punya galeri, pekerja galeri, persatuan, kelab, kolektor, dll.
Audien SERUM: peminat, pemerhati, pelajar, dll.

Salam. Ini adalah satu panggilan. Panggilan kepada sahabat-sahabat artis, para penggiat dan audien SERUM semua, untuk sama-sama meluangkan sedikit masa berfikir tentang keberadaan SERUM. Saya kira anda semua setuju yang keberadaan SERUM – perkembangan, kemajuan juga arah tujuannya berada dalam ‘kekuasaan’ kita: kitalah mencorakkan, memeriahkan dan merayakan. Kitalah yang mendabik-dada bahawa kita adalah pejuang-pejuang seni dan budaya – yang punya sumbangan pada pembinaan peradaban bangsa dan negara.

Maka seruan ini adalah suatu usaha untuk ‘menemukan-kembali’ dan ‘melestarikan’ SERUM. Kenapa ‘menemukan-kembali’? Apa sudah hilang – sudah hilangkah SERUM? Kenapa ‘melestarikan’? Apa SERUM sudah terbantut perkembangannya? Tidak punya dayakah SERUM untuk dimeriahkan lagi oleh generasi depan? Konotasi negatif boleh saja digantungkan kepada soalan-soalan yang terbit dan dapat dikembangkan dari tajuk nota ini, seperti:

  1. Artis SERUM tidak membaca; kurang minat dengan soal-soal pemikiran / falsafah / estetika; anggap soal pemikiran adalah tugasan sarjana semata lalu ambil mudah dengan kandungan dan konteks karya yang terhasil; anggapan yang berjaya itu bermakna larisnya karya dibeli kolektor;
  2. Sudah berapa lama dan ramaikah guru-guru terlatih dalam pendidikan seni dari berbagai institusi di Malaysia ini dihasilkan? Bagaimana tahap apresiasi para pelajar kita? Masyarakat kita?
  3. Sudah berapa lamakah Jabatan Pengajian Liberal seperti di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM (dan tentunya juga di institusi-institusi lain) diujudkan – dan sehingga-manakah subjek-subjeknya hanya menjadi subjek sandaran (supporting)? Apa betul subjek-subjeknya membebaskan minda para pelajar untuk terus menjadi kreatif?
  4. Bagaimana dengan sekian banyak kajian-kajian akademik, baik tesis, kertas seminar atau apa saja yang telah dihasilkan oleh sekian ramai kita? Nak lulus jadi sarjana atau doktor falsafah sajakah – naik pangkat gaji lumayan?
  5. Pameran-pameran kita, bermutu kah ia? Apa kurator hidangkan kepada kita?
  6. Apa yang dibeli kolektor-kolektor kita?

… soalan-soalan ini wajar diambil kira, difikirkan oleh kita semua; inilah juga persoalan yang kerap timbul apabila kita cuba membuat perbandingan dengan perkembangan seni rupa di negara-negara lain. Soalan-soalan ini seperti suatu tohmahan, memburuk atau mengejek – mungkin: namun kian tahun ia seperti berubah menjadi andaian-andaian logika – hipotesis atau soalan penyelidikan yang amat menarik untuk dijadikan sebab kenapa SERUM perlu ditemui-semula dan dilestarikan.

31 Mei 2010