Off Walls Off Pedestals

Nota Kecil kepada A. Shukri & Jack Hansen, dan ‘Symbiose’

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on March 21, 2011

Waktu: Suatu awal pagi atau lewat senja (ketika ada sedikit cahaya matahari) di tahun 1001 dan di tahun 2011 pada adegan-adegan tertentu mengikut suka masing-masing.

Tempat: Jalan berkerikil menuju ke Jelling.

Musik latar: lagu rok Immigrant Song oleh Led Zeppelin ketika kapal menghampiri jeti atau scene mula-mula dan terus ke musik kontemporari atau klasikal Denmark.

Seorang perwira Viking yang saya tidak pernah jumpa menepuk-nepuk bahu kawan saya. Perwira itu memakai topi yang dihiasi sepasang tanduk kerbau – gagah walaupun jalannya agak terhenjut-henjut. Kawan saya, yang kelihatan sangat rendah berbanding perwira Viking itu, kelihatan sangat tampan dalam baju Cekak Musang dan Seluar Hitam. Sebilah Golok Kedah tersisip di pinggang. Sekali-kali kelihatan dia menggigil kesejukan.

Mereka rancak berbual.

‘Kito keno gi bui hormak dulu arr. Kawe hormak bena ko Rajo Gorm ni. Bui semangak ko puok-puok kawe. Dio mati lamo doh, tapi gak semangak… semangak! Demo pahe arr… semangak!’

‘Kawe sejuk ni! Dok rajen sejuk gini semo ni…’

‘Okk arr. Koho arr… ni ambik kulit bi’ri ni… semeta ja.’

Salji mulai turun apabila mereka tiba di hadapan laman tugu.

Selamat berpameran sahabat ku.

Poster Symbiose

Jack sedang Mencatan | 2011

* Foto-foto adalah dari fb group Symbiose.

Nota untuk Iskhandar 8: Menjawab Soalan-Soalan Apa, Bagaimana, dan Kenapa dalam Karya Seni melalui Kefahaman ‘Kesatuan Organik’

Posted in Nota untuk Iskhandar by tsabri on March 20, 2011

Iskh di Woksyop | Shah Alam | Awal 1990an

Iskh! Assalamualaika wa rohmatullahi wa barokatuh. Bagaimana hari-hari mu di IKJ? Semuga semuanya baik-baik dan berjalan lancar sepertimana yang dirancang. Ku fikir sekarang Iskh sudahpun perlahan-lahan dapat memahami yang bidang pilihan Iskh itu boleh menjadi sangat luas – mencakupi segenap aspek kehidupan manusia. Iskh akan membuat filem yang hebat: namun kehebatan filem sebagai sebuah karya seni, sebagai satu produk budaya, memerlukan minat yang mendalam, penyelidikan yang menjurus, kefahaman asas pemikiran seni dan budaya serta ilmu-ilmu kemanusiaan yang lain – selain daripada, tentunya aspek-aspek teknikal dan ketrampilan penguasaannya. Dan, semua ini tidak ada jalan mudah kecuali dengan mempunyai kefahaman falsafahnya dan daya kreativiti yang tinggi.

Kali ini kita akan berbicara tentang ‘kesatuan organik’ atau Inggerisnya, organic unity, yang biasanya dapat ditemui pada semua bentuk seni; filem, lukisan, arca, teater, tarian, musik, puisi, novel dan sebagainya. Kesatuan Organik adalah himpunan tiga komponen yang sentiasa hadir dalam setiap karya: iaitu Subjek, Bentuk dan Isi. (Subject, Form and Content). Komponen-komponen ini menghimpun persoalan-persoalan yang boleh difikir dan dibincangkan mengenai sesebuah karya seni itu.

Kadar kepentingan atau kadar banyak dan sedikit pada Subjek, Bentuk dan Isi sebagai satu ‘kesatuan’ komponen tidaklah terhad dan boleh berubah-ubah, maka itu ia disebut sebagai ‘organik’ – ‘kesatuan organik’, tidak terlalu khusus. Kekuatan sesebuah karya seni akan bergantung kepada kukuhnya ‘kesatuan organik’ yang ada padanya.

1.     Subjek: rujukan kepada perkara-perkara yang menjadi persoalan atau yang ingin diketengahkan: tajuk, tema, bahan rujukan (subject-matter) dan isu. Subjek juga kadang-kadang dilihat sebagai ‘konteks’; rujukan kepada sesuatu perkara dengan lebih spesifik. ‘Subjek’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘apa’ mengenai sesebuah karya itu.

2.     Bentuk: rujukan kepada perkara-perkara yang membentuk keseluruhan rupa sesebuah karya seperti elemen dan prinsip rekaan, bahan dan bahantara, dan teknik yang digunakan. Pengolahan ‘Bentuk’ secara kreatif akan menghasilkan apa yang dikatakan sebagai ‘keindahan luaran’. Perkara-perkara yang menjadikan ‘Bentuk’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘bagaimana’.

3.     Isi: rujukan kepada perkara-perkara yang mendasari dan membentuk sesuatu makna pada sesebuah karya; yang mungkin bersifat cerita, mempunyai nilai-nilai budaya dan sejarah, ekspresi dan kritik terhadap keadaan kehidupan – politik dan sosio-ekonomi, atau hanya pernyataan niat dan ekspresi artis terhadap minat, persekitaran dan perkara-perkara yang menjadi tumpuannya. Pengolahan ‘Isi’ yang baik akan menghasilkan apa yang dikatakan sebagai ‘keindahan dalaman’. ‘Isi’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘kenapa’.

Ketiga-tiga komponen ini, subjek, bentuk dan isi, saling berkaitan dan sentiasa mempengaruhi di antara satu sama lain untuk kekuatan sesebuah karya seni dan menjadikannya cemerlang atau hebat. Perkaitan dan keadaan saling pengaruh mempengaruhi inilah yang dipanggil ‘kesatuan organik’ di dalam sesebuah karya.

Empat gambarajah berikut diharap dapat menjelaskan ‘kesatuan organik’ yang sepatutnya hadir dalam sesebuah karya yang baik.

Untuk latihan nota ini, Iskh boleh pergi menonton sebuah filem sambil memikirkan tentang ‘kesatuan organik’ yang hadir pada filem tersebut. Buat catatan dalam buku nota mengenai perkara-perkara yang ditemui pada komponen-komponen yang dimaksudkan. Atau, Iskh boleh pilih apa saja bentuk seni dan buatlah hal yang sama – fikir tentang ‘kesatuan organik’ dan bagaimana ia mengukuhkan atau melemahkan karya tersebut. Sehingga bertemu lagi. Alhamdulilah.

 

 

Pemikiran Naser Baharuddin mengenai SERUM (2)

Posted in My Artist-Friends by tsabri on March 14, 2011

Terus…

5 Taburan Penanda dan Tertanda

Naser | 2011

Mari kita buat satu analisa awal keatas pemikiran Naser seperti yang dicetuskan di bahagian 1 dahulu. Analisa ini bertujuan untuk lebih memahami pemikirannya itu serta kaitan dengan perkembangan SERUM hari ini. Di sini saya membentuk, atau menyesuaikan (appropriate), satu jadual dari gabungan idea analisa semiotika dan senario SERUM; dan menabur ‘tanda-tanda’ yang dapat dikesan dari pemikiran Naser kepadanya.

Dengan ‘analisa semiotika’, saya bermaksud satu pendekatan atau kaedah analisa yang didasarkan dari studi atau penyelidikan terhadap makna; yang lazimnya dihadirkan oleh perkataan, imajan, bunyi, bauan, tindakan ataupun objek. Semua ini boleh menjadi suatu ‘tanda’ jika kita berusaha memberi makna kepadanya. Dengan mengetahui dan memahami ‘tanda-tanda’ kita berharap dapat memahami sesuatu perkara itu dengan lebih baik, dalam hal ini: pemikiran Naser dan perkembangan SERUM.

Jadual yang dibentuk adalah, sebahagiannya, didasarkan dari idea Ferdinand de Saussure, seorang ahli bahasa (linguist) berbangsa Swiss, http://en.wikipedia.org/wiki/Ferdinand_de_Saussure, yang mengesyorkan bahawa sesuatu ‘tanda’ itu terbentuk dari dua unsur, iaitu signifier (signifiant) dan signified (signifié). Signifier, yang di sini saya istilahkan sebagai ‘penanda’, selalunya merujuk kepada bentuk – ‘benda’ atau ‘perkara’; sementara signified, yang saya sebut sebagai ‘tertanda’, biasanya adalah rujukan kepada konsep yang dibentuk dari ‘penanda’ tadi. Kedua-dua ‘penanda’ dan ‘tertanda’ inilah yang membentuk sesuatu ‘tanda’  atau memberi makna kepada ‘tanda’ itu – yang dapat difahami oleh seseorang, sekumpulan atau sesebuah masyarakat dari suatu budaya. Rujukan lanjut http://en.wikipedia.org/wiki/Sign_(semiotics).

Saya fikir pendekatan semiotika ini sesuai sebagai awalan untuk memahami pemikiran Naser secara lebih meluas; kerana secara dasarnya pun, Naser sendiri boleh dikatakan sedang mengkedepankan permasalahan ‘ketiadaan makna’ dalam SERUM. Jadual yang disediakan patut dianggap sebagai satu percubaan awal: pertukaran di dalam jadual yang melibatkan pertambahan dan pengeluaran perkara-perkara dijangka akan berlaku, sehingga kita boleh kira-kira bersetuju dengan rangka konseptualnya secara menyeluruh. Saya suka berfikir yang olahan jadual dari pemikiran Naser ini berkembang untuk kita lebih faham dan terus bertindak dengan sewajarnya untuk kecemerlangan SERUM (yang sudah kehilangan ‘derum’nya, mengikut Naser).

Berikut adalah jadual yang terhasil dari ‘apropriasi’ analisa semiotika dengan taburan pimikiran Naser.

BMS: Bakat Muda Sezaman

AEM: Abstrak Ekspresionisme Malaysia

BSLN: Balai Seni Lukis Malaysia

SERUM: Seni Rupa Malaysia

Jadual di atas mempunyai lima kolum dan lima baris. Setiap kolum merujuk kepada perkara-perkara besar yang boleh kita katakan sebagai ‘sub-tajuk’, sementara baris pula adalah catatan dan huraian mengenai sub-tajuk yang diperkatakan. Baris ke empat tidak mempunyai sebarang catatan dan huraian. Ia sengaja dibiarkan kosong pada masa ini dengan cadangan menambah atau mengisinya apabila kita mendapat idea baru sepanjang perbincangan, yang saya kira sudah mendapat respon yang menggalakkan dari Naser sendiri.

Kalau ikut urutan perbincangan dari bahagian 1 pemikiran Naser ini, kita boleh mulakan dari kolum keempat, Tanda, yang saya juga rujuk kepada perspektif. Kolum ini berkaitan dengan rumusan dari ‘masalah-masalah’ yang disebut Naser di bahagian 1; iaitu Perspektif Pengetahuan Seni dan Perspektif Pengurusan Seni. Saya kira kedua perspektif ini sesuai dijadikan ‘tanda’ dalam membaca pemikiran Naser, mengambil kira bentuk-bentuk produk budaya yang sememangnya membawa berbagai makna seperti yang tersenarai di kolum kelima, Penyelidikan & Tindakan.

Tanda, dibentuk oleh ‘penanda’ dan ‘tertanda’ yang saling berkaitan. Kolum kedua, Penanda, memuatkan bentuk-bentuk yang ‘menandakan’ tanda di kolum keempat. Penanda-penanda ini merupakan permasalahan yang disebut Naser boleh ditemui dalam SERUM. Terus, kolum ketiga, Tertanda, adalah konsep asas yang terbina atau dibina dari penanda-penanda di kolum kedua. Dan, jika dituruti lagi, penanda-penanda di kolum kedua itu juga timbul dari kolum pertama, Peristiwa & Peranan: iaitu rujukan kepada peristiwa-peristiwa dalam SERUM di sepanjang sekurang-kurangnya dua atau tiga dekad terdahulu, dan peranan pelaku SERUM dalam peristiwa-peristiwa itu.

6 … Hasrat dan Tindakan

Pemikiran Naser, dari jadual dan perbincangan ringkas ini, sebenarnya cenderung kepada suatu gambaran perkembangan SERUM yang negatif. Tanda-tanda yang ditimbulkan adalah dari perkara-perkara yang boleh membantut malah membunuh perkembangan sihat. Dan ini tidak lain terbit dari kejahilan sikap dan tiada kompetensi diri seperti yang diutarakan Naser. Benarkah begitu? Jika benar, maka SERUM akan menuju zaman gelapkah ia?

Saya harap Naser terus menghujahkan permasalahannya berserta dengan contoh-contoh yang dapat menyakinkan SERUM. Jadual yang dipapar tidak akan bermakna apa pun jika taburan tanda negatif terus berlaku. Pelaku-pelaku SERUM sejati mustahil akan membenarkan SERUM kehilangan jatidiri. Mari.

Pemikiran Naser Baharuddin mengenai SERUM (1)

Posted in My Artist-Friends by tsabri on March 9, 2011

Naser | 2011

1 Naser Baharuddin

Saya mengenali Naser Baharuddin (Naser) sejak awal 1980an ketika sama-sama belajar di Jabatan Seni Halus, Kajian Seni Lukis & Seni Reka, ITM, Shah Alam. Naser adalah seorang artis yang tekun, rajin berpameran dan pernah memenangi hadiah Bakat Muda Sezaman (BMS). Beliau meneruskan pendidikan seninya di Amerika Syarikat (AS) di akhir 1980an. Sekembalinya dari AS, Naser mengajar di sebuah kolej seni swasta, menjadi Pengarah Galeri Shah Alam untuk beberapa ketika, dan kini beliau adalah seorang pensyarah di Universiti Putra Malaysia. Dia juga pernah dilantik sebagai ketua juri untuk BMS pada tahun 2006.

Selain melukis, Naser juga dikenali sebagai seorang yang prihatin dengan perkembangan SERUM. Dia sering membuat kritikan-kritikan yang selalunya dianggap ‘pedas’ oleh kebanyakan artis dan peminat seni rupa. Naser beranggapan yang rata-rata artis Malaysia kebingungan dengan halatuju kalau tidakpun kehilangan. Dia merasakan karya-karya artis Malaysia gagal memberi sesuatu yang bermakna; pendekatan berkarya samada dari segi tema atau metodologi misalnya, dikatakannya tidak berubah dan berada di takok lama.

Jalur fikiran Naser tidak dapat difahami dengan mudah kalau hanya bergantung kepada tulisan atau komentarnya sahaja. Tulisan Naser biasanya agak sukar difahami – kita sering terpaksa membaca beberapa kali untuk kadang-kadang memahami perkara yang mudah. Gaya bahasa dan penulisannya sering melompat-lompat dan boleh menjadi kabur. Saya rasa ini adalah satu kelemahan yang patut dibaiki segera supaya suatu penilaian yang lebih saksama boleh dilakukan. Cara terbaik memahami fikiran Naser setakat ini adalah duduk mendengar beliau bercakap dan bertanyakan terus apa-apa yang menjadi persoalan.

2 Tulisan Ini

Tulisan ini cuba menyorot pemikiran Naser terhadap perkembangan SERUM. Ia dirumus dari berbagai tulisan, komentar, renungan dan perbualan kami terhadap berbagai tanda dan perkara yang mewarnai perkembangan SERUM sejak dari awal perkembangan hingga kini. Adalah diharap tulisan ini dapat membantu kita memahami pemikiran Naser dengan lebih baik.

3 Masalah-Masalah dan Ulasan

Di sini saya senaraikan tujuh perkara yang disebut Naser dalam responsnya terhadap pos saya, ‘Seketika bersama Naser Baharuddin’. Perkara-perkara ini disebut oleh Naser sebagai ‘masalah’. Huraian ringkas pada setiap ‘masalah’ adalah dari Naser sendiri dengan sedikit editing gaya bahasa oleh saya.

  1. Masalah Ruang – Ruang SERUM masih tertutup dari pandangan-pandangan dan diskusi – penggiat hanya mahu dipuja dan dipuji, tidak suka dikritik atas alasan pengkritik pun tak suka dikritik.
  2. Masalah Pengurusan – dijalankan oleh orang yang bukan pakar.
  3. Masalah Kefahaman – ramai yang masih kurang faham apa itu seni – contoh pernyataan ‘karya-karya saya berjiwa Islam, berbentuk kontemporari dengan rupa abstrak ekspresionisme yang berunsur Melayu’ lebih kepada supaya kelihatan beridentiti dan global, tapi …dikhuatiri akan ‘sesat.’
  4. Masalah Kepentingan – peluang kepada projek-projek seni hanya diberikan kepada kawan-kawan …bukan atas ‘elemen’ kajian, itu sebab stretcher yang herot pun kata hebat, sebab yang buat ada gelaran…
  5. Masalah Tiada Penyelidikan – buat karya seni atas dasar stroke macam mana, masalah bitumen dan charcoal. Gambar cantik – kefahaman antara illustrasi dengan membuat catan masih serong… illustrator-painters… ini yang banyak.
  6. Masalah Kewangan – ada duit tapi banyak membazir untuk benda yang kurang berfaedah seperti pertandingan membuat kek, graffiti mural, pertandingan menghias bunga dan seumpamanya, konon menyemarakkan seni kepada masyarakat.
  7. Masalah Banyak Beri Muka – kesian artis… kita kena bantu dia… itu sebab senang ditipu oleh kolektor yang tidak bertanggung-jawab.

Biarlah saya membuat ulasan ringkas terhadap masalah-masalah yang disebut Naser terlebih dahulu: Masalah pertama yang disebut Naser, Ruang, adalah lebih kepada gambaran sikap artis. Artis dikatakan tidak suka menerima kritikan. Masalah kedua pula, Pengurusan, adalah pernyataan Naser terhadap kakitangan pihak pengurusan seni; yang sebenarnya kurang jelas – pengurusan yang mana? Kerajaan atau swasta atau kedua-dua sekali? – siapakah yang dikatakan ‘bukan pakar’ itu – ia boleh membawa maksud tidak cekap, atau dilakukan oleh orang-orang yang kurang tahu mengurus soal-soal kebudayaan, seni rupa. Masalah ketiga, Kefahaman, adalah pernyataan Naser bahawa ramai yang terlibat dengan seni rupa tidak faham dengan berbagai aspek berkaitan; beliau di situ merujuk kepada pernyataan SAJ jika saya tidak silap, lihat http://www.visualcrackers.com/2009/12/melihat-karya-seniman-negara-syed-ahmad.html.

Masalah keempat, Kepentingan, boleh dibaca sebagai seperti suatu ‘sindiran’ Naser kepada sesuatu pihak yang tidak pula disebut mengenai pengagihan sesuatu projek berkaitan dengan seni rupa. Huraiannya juga menyentuh komentar saya mengenai bingkai atau stretcher sebuah catan SAJ https://tsabri.wordpress.com/2011/03/02/seketika-bersama-naser-baharuddin-mengenai-syed-ahmad-jamal-gunung-ledang-dan-abstrak-ekspresionisme-malaysia/ . Masalah kelima, Tiada Penyelidikan, juga seperti suatu ‘sindiran’ kepada hasil kerja artis-artis yang dipanggilnya sebagai illustrator-painters; yang hanya mementingkan teknik ‘stroke’, dan bahan ‘bitumen’ dan ‘charcoal’. Masalah keenam, Kewangan, melihat Naser mempersoalkan bagaimana peruntukan kewangan digunakan; dan masalah ketujuh, Banyak Beri Muka, juga seperti suatu ‘sindiran’ kepada artis, pihak galeri samada kerajaan atau swasta, dan juga kolektor seni rupa.

4 Dua Perspektif dan Etika Kritikan

Daripada ‘tujuh masalah’ yang disenaraikan, kita boleh saja mudahkan ia menjadi hanya ‘dua masalah’ kerana semuanya boleh dikelompokkan secara umum kepada dua:

  • Masalah 1 – Ruang, boleh dikelompokkan bersama dengan Masalah 3 – Kefahaman, dan Masalah 5 – Tiada Penyelidikan. Masalah-masalah yang disebut adalah menjurus kepada soal kefahaman mengenai berbagai aspek pengetahuan seni rupa dan budaya amnya. Kita namakan saja kelompok ini sebagai Perspektif Pengetahuan Seni.
  • Masalah 2 – Pengurusan, boleh dikelompokkan bersama dengan Masalah 4 – Kepentingan, Masalah 6 – Kewangan, dan Masalah 7 – Banyak Beri Muka. Masalah-masalah dalam kelompok ini adalah berkaitan dengan soal-soal pengurusan. Kita boleh namakan kelompok ini sebagai Perspektif Pengurusan Seni.

Dan, kalau mengikut huraian Naser terhadap ‘masalah-masalah’ yang disenaraikannya, kita tidak boleh lari dari nada sinis yang berbentuk ‘sindiran’ kepada orang perorangan mahupun organisasi yang terus-terang disebutnya ataupun tidak. Pendekatan Naser berhujah membuat ramai orang berasa jengkel, dan ini diakui oleh Naser sendiri, namun begitulah – kepedasan ‘kritikan’ akan terus menebal sehingga kritikan itu dianggap boleh ‘membunuh’, jika artis terus ‘melarikan diri’ dari kritikan dan ‘tidak dapat menerima’ bahawa kritikan itulah yang membuat mereka dapat menghasilkan karya-karya besar. Dan, pihak pengkritik harus terus dapat memberi idea-idea yang membina dengan hujah dan butiran yang saksama – tidak hanya yang berupa ‘sindiran’, ‘tohmahan’ atau ‘andaian’ semata.

Nota Kecil kepada… Diri Sendiri! Har har har!

Posted in Nota-Nota Kecil by tsabri on March 5, 2011

Saya terbangun dari sebuah mimpi. Mimpi ngeri!

Aku seorang yang bertanggung-jawab mengeluarkan semua arahan. Semua perintah! Perintah ku harus dijalankan sesegera dan sebaik mungkin. Tidak ada soal-soal lagi. Aku adalah Kuasa! Aku diktator!

Hah! Berbaris di sini. Buat satu baris di sini. Aku mahu satu baris saja! Hah, apa yang kamu ajar kepada budak-budak? Apa? Apa catan? Kenapa budak-budak ni jadi bodoh sampai tak kenal mana catan Patrick Ng mana catan Nik Zainal Abidin? Bodoh! Apa yang kamu ajar? Hah, ke hujung sana _ Hah, ini Abang Mat, bagi penampar lima kali!

Hah! Kamu pula! Kamu ajar apa? Apa? Lukisan? Hmmm… apa yang kamu ajar? Perspektif budak-budak semua tak betul! Hah ini Abang Mat, bagi lima biji juga. Pergi sana! Bangang!

Cis kamu! Kamukan yang mengajar teori?! Teori kepala bapak kamu! Semua fakta tak betul! Semua asyik tak ingat itu, tak ingat ini. Kamu ajar apa? Ni boleh hukum bunuh ni! Penjenayah besar! Apa yang kamu ajar sampai budak-budak tengok buku pun takut? Sialan! Abang Mat! Siapkan cemeti!

Fuhh! Saya ketawa harharharharharharharhar walaupun mimpinya agak ngeri!

Di atas Lebuhraya | Februari 2011

Seketika bersama Naser Baharuddin mengenai Syed Ahmad Jamal, Gunung Ledang dan Abstrak Ekspresionisme Malaysia

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on March 2, 2011

Suatu ketika, Naser Baharuddin (Naser), sahabat saya yang juga seorang artis dan akademik, telah menulis mengenai karya Seniman Negara Syed Ahmad Jamal (SAJ) di dalam blognya http://www.visualcrackers.com/ Berikut adalah respons saya:

1

Hmmm… sebuah lagi cerita tentang Abstrak Ekspresionisme dan Warisan Agong Melayu! ‘Karya-karya saya berjiwa Islamik dan berbentuk kontemporari…’ (terjemahan dari pernyataan SAJ – my works have an Islamic soul and a contemporary form).

Syed Ahmad Jamal | Gunung Ledang | 1978

Hmmm… Maka Tiara Jacquelina pun menaruh kepercayaan kepada Saw Teong Hin untuk menyuruh Ahmadi Hassan berjualan dan berpantun di birai pantai Melaka yang selalu kedatangan perahu kapal rakit dari luar yang di birai pantai itu jugalah teradanya enam tujuh buah binaan berupa warung atau kedai berjualan entah apa entah sayur juga. Mana pelabuhan Melaka empayar tersohor untuk kapal Tiara Jacquelina yang bergelar Gusti Putri Retno Dumillah berlabuhan?

Maka tiba-tiba M. Nasir yang banyak mencipta lagu cinta-cintaan itu pun mendongak ke atas lalu terlihat olehnya Gunung Ledang yang sekarang sudah bersegi tiga! Bersegi tiga kah Gunung Ledang? Mat Rohko? Klipok Sti? Han Hohme? Sapo dio tu? Puok mano ni Tuoh? – Seorang sahabat Hang Tuah dari Kelantan pun bertanya. Harharhar… !

Hmmm… karya-karya saya berjiwa Islamik dan berbentuk Kontemporari…hmmm.. Apa yang dapat kita pelajari dari ayat atau ini? Mahu apa dia berkata demikian?

2

Saya sering tidak dapat membaca karya-karya SAJ dengan baik kecuali menghubungkannya dengan keterpesonaan artis Malaysia kepada Abstrak Ekspresionisme Amerika yang tidak sudah-sudah itu – malah lebih dari itu juga kepada Seni Islam atau apa saja isme yang dikatakan menjadi inti (essence) kepada pengkaryaan seseorang artis. Betapa tidak – sedang Abstrak Ekspresionisme Malaysia yang dimunculkan bersama karya-karya SAJ, A. Latif Mohidin, Ibrahim Hussein dan lain-lainnya di tahun 1960an, kita juga akan menemui Abstrak Ekspresionisme di tahun 1990an dengan kehadiran Yusof Ghani dan lain-lainnya.

Persoalannya juga – apabila SAJ mengatakan – ‘my works have an Islamic soul’ – apakah dia teringat akan datuk nenek moyangnya? Juga, Yusof Ghani, teringatkah dia kepada kawan-kawannya di India? Dan pernahkah Sulaiman Esa masuk belajar di woksyop miniatur Parsi untuk melukis figura? Juga, pernahkah Tiara Jacquelina bertapa di Gunung Ledang lalu mendapat ilham untuk menjadi Puteri Gunung Ledang? Harhar…

Perkara-perkara yang saya sebut sering bermunculan apabila saya cuba membaca karya-karya SAJ. Nampaknya tanda dan penanda yang digagas oleh Saussure itu menjadi bertindihan, malah berlumba pula untuk mengakui yang ini yang benar – itu yang salah! Perlu apa Willem de Kooning menari di Malaysia? Perlu apa Chritine Hakim mengiringi Gusti Putri Retno Dumillah sampai ke puncak Gunung Ledang?

Membaca karya-karya SAJ – saya amat terkesan dengan ‘karya’nya sebagai Pengarah BSLN di dekad 1980an. Ketika itu BSLN meriah – saya jadi sedikit nostalgik; betapa acara-acara perasmian pameran sentiasa terpenuh: dengan beraneka jenis kueh-muehnya, dan kita berbaris-baris dengan bas ITM. Dan karya-karya yang dipamer sentiasa menjadi perbualan. Lalu saya jadi sedikit kurang senang apabila melihat sebuah karya catan besar SAJ (terlupa pula apa tajuknya), sedikit herot bingkai atau stretchernya terpamer di BSLN. Sebuah catan besar Seniman Negara terherot bingkai asas nya! Disengajakan? Atau tiada siapa yang peduli?

3

Ok _ada dua hal yang boleh direnungi mengikut kata Naser apabila membaca kenyataan SAJ: Karya-karya saya berjiwa Islamik dan berbentuk kontemporari.

  • Hubungan Islam dengan bentuk kontemporari: Islam itu satu cara hidup, Ad-din. Mudahnya, ia adalah cara mana manusia yang dianugerahi akal itu menjalani hidupnya di  bumi; menurut pedoman atau aturan yang ditetapkan Allah S.W.T Apa kehendak Allah apabila menurunkan KitabNya? Bagaimana Rasul-rasulNya merealisasikan kehendakNya? Jadi, artis Muslim itu wajarnya punya tujuan. DAN, apa itu bentuk kontemporari? Apa bentuk kontemporari bagi SAJ? Abstrak Ekspresionisme Amerika? Apa bentuk kontemporari bagi saudara Naser sendiri? Pada saya?
  • Keherotan Kuratorial: Ini suatu hal yang membuat SERUM menjadi lekeh. Suatu bentuk kursus kuratorial sudah sampai waktunya diperkenalkan di universiti-universiti tempatan.

Satu lagi pernyataan SAJ yang menarik untuk dibaca – “As a painter, I want to capture the essence and immortalize it in painting.” Atau, as an artist, I want to capture the essence and immortalize it in my works, menjadi, kalau diterjemah: sebagai artis, saya ingin mendapatkan saripati dan mengabadikannya ke dalam karya-karya saya.

… hmm, Apa essence itu? Saripati?

4

“As a painter I want to capture the essence and immortalize it in (my) painting.”

Apa yang dikatakan ‘essence’ itu? Apa perkataan Melayu yang boleh kita gunakan untuk menterjemahkan ‘essence’? – saripati, intipati, perkara yang paling asas? Bagaimana rupa dan bentuk saripati atau intipati itu? Bentuknya tidak berubah-ubah? Atau akan berlainan atau berubah tergantung kepada keadaan tempat, masa atau seseorang? Ini penting kerana sebagai seorang pencatan (painter), SAJ  dan artis lain yang bersependapat mahu mendapatkan essence untuk diabadikan ke dalam catan-catan mereka! Apa sebagai penghayat atau audien, kita telah menemui saripati yang telah diabadikan itu? Mana?

Catatan diatas ditulis sebelum Naser menutup hal ‘Islamic soul’ dan ‘contemporary form’ dengan merumuskan bahawa kondisi SERUM tidak berubah – serupa dari dulu hingga kini; hanya penyataan gaya dari penyelidikan ilmiah yang membosankan (bosan kerana tiada ada apa yang menarik – exciting?). Atau dalam kata lain, perkembangan SERUM tidak ‘exciting’ – begitu?

…terus. Saya teringat akan baris karangan SAJ dalam makalahnya pada pameran Seni Lukis Malaysia 30 Tahun dalam tahun 1987. Katanya – ‘Malaysian Art starts now!’ Apa yang ‘Now’nya di tahun 1987? Dan apa juga yang ‘Now’nya sekarang? Abstrak Ekspresionisme?

(Malaysian) Art is Dead! Begitukah kemudiannya? Harharhar…

Naser di BSLN | 2011

Surat untuk U-Wei: ‘Let’s Have Another War’, Hanyut dan Kedai Buku

Posted in My Artist-Friends by tsabri on March 1, 2011

Berikut adalah sebuah karangan dalam bentuk surat kepada sahabat saya, pengarah filem terkenal, En. U-Wei HjSaari.

Assalamualaka wa rahmatullahi wa barokatuh.

Saudara U-Wei yang baik,

U-Wei di BSLN | 2011

Saya gembira dapat berkenalan dengan saudara. Saya senang bercakap, berkongsi pandangan, bersetuju dan tidak bersetuju tentang perkara-perkara yang kita sama-sama minati. Saya tidak tahu pula samada saudara suka mendengar cerita saya. Namun yang pasti, saya rasa aman dan bebas mengeluarkan pendapat, pandangan, soalan atau jawaban apabila bersama saudara.

Saya mula mengenali saudara di awal 1990an apabila Perempuan, Isteri dan Jalang dan Perempuan, Isteri dan … terbit di media. Aneh bukan? Perempuan, Isteri dan Jalang (PIJ) menjadi Perempuan, Isteri dan … Bahasa adalah suatu hal yang harus diperhatikan kerana ia boleh menjadi amat terbuka, sedang manusia pula ada yang berusaha mencari dan cuba mengekalkan identiti bangsa masing-masing melalui bahasa : Bahasa Jiwa Bangsa! …apa lagi jika bahasa itu ditulis dengan tanda seperti … ini memberi berbagai spekulasi dan boleh saja menjadi ‘tanpa tajuk’!

Di media, saudara dilukis sebagai sesorang yang membawa kelainan dalam perkembangan filem Malaysia. Saya ketika itu belum memahami maksud ‘membawa kelainan’ seperti yang disebut. Saya melihat PIJ: hmm, memang berlainan dengan apa yang selalu ada di tv – saya tidak dapat beda PIJ dengan filem-filem Melayu lain kerana memang saya tidak menonton pun. PIJ dan terus yang lain-lain seperti Kaki Bakar dan Jogho membuatkan saya dan Mastura sering berkomentar mengenai bermacam hal: cerita-ceritanya, pengarahan filem, bagaimana wanita ditonjolkan, soal-soal Melayu dan kemelayuan…

Saya ingat suatu malam melihat saudara di tv sedang berperan sebagai konduktor kepada sebuah orkestra yang berkostum seperti kotak – mungkin sebuah sketsa teater di suatu malam anugerah musik atau filem.

Seorang U-Wei dan karya-karyanya mula menjadi perhatian saya.

Saudara menjadi semakin rapat apabila membuat keputusan untuk menghimpun arca dawai saya, Let’s Have Another War!* Pertama kali saya melihat Lets Have Another War! (LHAW) sebagai sebuah karya orang lain ialah di Kassel dalam Documenta X. Ia adalah sebuah catan hitam putih seorang artis Israel, gambaran satu pertempuran jalanan dan di antara bangunan. Tergambar angkuh dan might Yahudi yang tumbuh dari berbagai keterpesongan itu. Catan itu sederhana besar. Saya tertarik dengan ‘konflik’ yang dipaparkan. Ia membawa saya kepada perbalahan, pergeseran, konflik diri dan kononnya, agama, yang tak sudah-sudah sejak Qabil membunuh Habil kerana seribu satu macam cemburu, atau seawal mula ketika Hawa tergoda dengan ranumnya buah terlarang!

Imej LHAW oleh David Reed dari Documenta X Short Guide

LHAW oleh David Reeb menarik kerana ia real. Saya bayangkan artis itu sendiri yang sedang membedil Arab Palestin. Bunyi letupan pelurunya senada dengan sumpah seranah Yahudi sejak mereka bertanyakan lembu yang bagaimana hendak disembelih. Namun, menurut catatan Short Guide Documenta X 1997: David Reeb pernah melukis sebuah banner PLO di dinding muzium Tel-Aviv semasa pamerannya. Dia diminta memadamkan banner itu dan sebagai hukuman katalog pamerannya tidak diterbitkan. Dan… yang penting dalam konteks Seni Rupa Malaysia – ia amat jauh dengan hasil artis kita yang melukis tangis anak-anak Palestine atau darah merah tersembur di Sabra Shatilla, di Gaza, dari fotogeraf: walaupun sebenarnya David Reeb pun melukis dari fotogeraf!

U-Wei, LHAW yang tergantung dalam himpunan saudara itu lahir dari latarbelakang yang boleh dikatakan ‘hanyut’ – berada dalam keadaan hanyut; dibawa arus; adrift? Sebahagian Yahudi hanyut dengan mitos bunyi lembu ciptaan Samiri; tentera Yahudi hanyut dengan bunyi tembakan dan darah Arab Palestine yang serba malang; artis Malaysia hanyut dengan realiti tema perang derita kebuluran darah yang tidak pernah dialami mereka di dalam pameran amal tabung itu ini demi kemanusiaan!

Makanya, Si Belanda itu pun hanyut dengan harta-karun emas berliannya. Orang yang hanyut tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Logik akal apa pun payah nak menjadi atau tidak berguna. Orang hanyut hanya bergantung kepada nasib semata, mungkin begitulah. Maka Si Belanda itu boleh saja kahwin kerana hanyut dengan emas berlian. Nina juga hanyut dalam deras sungai tropika.

Orang Hanyut! The Boat People! 1970an. Saya menyaksikan Orang Hanyut mendarat di pantai Kuala Besut, Terengganu. Bot yang sarat itu menghampiri pantai dan berhenti kira-kira 200 meter dari tepi pantai. Pasukan keselamatan menembak ke udara – memberi amaran supaya tidak mendarat walaupun sudah ada kem-kem sementara yang dihuni oleh mereka yang tiba dua tiga minggu lepas. Waktu itu hari sudah senja. Dalam gelap senja itu Orang Hanyut mula terjun ke laut dan berenang ke pantai, sedang polis sekali sekala menembak ke udara (buat habis peluru saja, hah!). Ramai orang berkerumun di pantai.

Kemudian saya dengar cerita dari kawan-kawan, Pak Cik Kecok (kecok: loghat Besut/Kelantan untuk tempang) yang tinggal bersendirian di hujung kampong tepi laut itu, yang hitam dan berwajah buruk itu, telah dengan cekap menangkap seorang gadis hanyut yang baru tiba, yang tentunya keletihan dan kelaparan, dan merogolnya di balik semak belakang rumahnya. Gadis hanyut itu kemudiannya dilepaskan dalam kesamaran senja itu… Orang hanyut boleh saja diperkosa oleh seseorang berkaki tempang lagi buruk rupa!

Satu persoalaan muncul apabila saya berfikir tentang ‘hanyut’. Apa yang membuat – memulakan atau puncanya – hanyut? Manusia kah atau alam semulajadi kah atau keadaan kah? Ya, saya tidak dapat sama sekali mengatakan alam atau keadaan yang memulakan hanyut – tidak mungkin arus sungai akan berbalik ke hulu semata-mata untuk mengembalikan yang hanyut, apatah lagi kalau arus lautan! Ya, hanyut ada sangkut-paut dengan arus air, atau hanyut di udara mengikut arus angin seperti layang-layang putus tali…arus air atau angin akan membawa benda atau mungkin  orang kemana saja sehinggalah arus itu terhenti, menjadi perlahan atau boleh saja tiba-tiba menjadi deras!

Maafkan saya U-Wei, semakin panjang pula surat ini! Begitulah… Saudara memberitahu bahawa saudara mempunyai sebuah khutubkhanah yang besar. Orang yang mempunyai khutub-khanah pasti suka membaca… Petang tadi saya selesai membaca Enchantress of Florence. Hebat sungguh Salman Rushdie_ bahasanya, ceritanya boleh menghanyutkan pembaca. Saya di Johor Bharu sekarang. Tadi pagi ikut budak-budak ke satu pusat beli-belah, Kompleks Angsana, untuk melihat-lihat kalau terjumpa sebuah dua buku yang menarik. Tiada ada satu pun kedai buku kecuali yang menjual majalah yang penuh dengan ‘artis’ Malaysia berhari raya dengan berbagai busana dan kek-kek yang manis-manis belaka! …dan saya jadi teringat dengan kedai-kedai buku di merata tempat di Malaysia ini yang telah ‘bertukar’ menjadi kedai alatulis dan buku latihan sekolah bagaimana hendak cemerlang dalam peperiksaan!

LHAW yang tergantung di tempat saudara itu sarat dengan pelbagai konflik diri hasil dari membaca manusia. Bodoh! Hebat betul rupanya bodoh manusia ini. LHAW yang tergantung di tempat saudara itu adalah derivations dari bentuk-bentuk bombs, nuclear warheads and as such yang dicipta untuk membunuh ‘konsep-konsep’ yang berlawanan. Jadi apabila arkitek Jepun, kenalan saudara itu mengaitkan life, energy, man – woman dengan LHAW, saya jadi terpesona dengan daya apresiasi seorang lagi audien.

LHAW yang tergantung di ‘cinema’ saudara itu jadi bertambah lapisan ‘makna’nya…

Setakat ini dulu saudara. Terima kasih.

Alhamdulillahi robbilalamin.

* Semasa surat ini ditulis, saya maseh tidak mempunyai fotogeraf Let’s Have Another War! yang dihimpun oleh U-Wei. Saya akan terbitkannya di sini sebaik saya memperolehinya.

Halatuju Seni Rupa Malaysia (Nota Tahun 2003)

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on March 1, 2011

BSLN: Balai Seni Lukis Negara

BMS: Bakat Muda Sezaman

Seperti yang dicatat, pada 19 & 26 Februari 2011 yang lepas, BSLN telah menganjurkan sebuah Bicara Seni khusus membicarakan persoalan ‘pendirian’ dan ‘halatuju’ artis dan karya BMS. Berikut adalah nota yang saya buat berkaitan dengan ‘halatuju’ pada tahun 2003. Saya dapati apa yang dibincangkan di Bicara Seni BMS, terutamanya pada 26 Februari itu, tidak ada bezanya dengan apa yang saya notakan pada tahun 2003 dahulu.

Halatuju SERUM

Kita berada di zaman globalisasi. Pertemuan dan perbauran antara berbagai ide dan perkara sedang rancak berlaku kerana banyak sempadan dan dinding telah diroboh atau ditembusi. Yang tidak berdaya ditindas, ditinggalkan atau paling tidakpun dijadikan bahan kajian oleh pihak yang mampu dan penuh daya. Dimana kita? Dimana Seni Rupa Malaysia (SERUM)?

SERUM adalah salah satu jelmaan dari semangat berdirinya negara Malaysia sejak 46 tahun yang lalu. Sikap toleran dan demokratis masyarakat Malaysia yang terdiri dari beraneka kepercayaan, bangsa dan suku kaum itulah yang menciri dan memaknai SERUM sehingga kini. Bentuk kesenian masa lalu dan masyarakat asal, sebelum Malaysia, menyediakan banyak peluang perkembangan dan terus hidup bersama dengan ide-ide masyarakat mendatang, disamping pengaruh-pengaruh internasionalisasi abab ke 20.

Perkembangan SERUM, yang tidak sampai setengah abab ini pun lagi, sebenarnya masih pada peringkat awal perkembangan – baru dalam mengatur langkah, masih dalam proses pembuatan dan pengukukuhan landasan. Dan, dalam proses awal yang penuh cabaran ini, kita kerap diajukan dengan persoalan-persoalan yang dianggap besar seperti halatuju dan bentuk SERUM.

Semestinya persoalan-persoalan ini penting dan wajar dibincangkan, namun setakat ini tidak banyak usaha-usaha yang dapat dilihat sebagai membina. Yang banyak adalah suara-suara tidak puas hati, kekecewaan, pesimisme, penuh prasangka dan saling tuduh-menuduh. Dan, yang ada pula serba tidak kena, tidak cukup itu tidak kemas ini, sehingga terkesan kejahilan dan kurangnya ilmu kita. Telah tersasarkah kita? Telah tersalah jalankah kita? Tidak tahu dan tidak kenalkah kita dengan bentuk sendiri?

Halatuju tetap ada di depan. Soal kemana, bagaimana dan macamana rupa halatuju itu tentulah bergantung kepada kerja-kerja kita. Namun, semestinya semua harus sedar dan terus memunafaatkan waktu dan ilmu. Kita kini bersama-sama bersaing dengan masyarakat dari kebudayaan-kebudayaan besar yang telah lama matang.

Tsabri Ibrahim

March 2003

Inside: Continued Lessons (view 4) | 2004 | Rumah Air Panas, K. Lumpur