Off Walls Off Pedestals

Lawatan Pameran: ‘Kehilangan’ di Pameran Malaysian Art Friends

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on August 24, 2010

Kulit Depan Katalog Malaysian Art Friends

Nota ini terbit dari kunjungan ke Majlis Pelancaran Buku 30 Art Friends: Appreciating Southeast Asian Art (30AF) dan Pameran Malaysian Art Friends: Highlights from 15 Private Collections (MAF15), pada Jun 26, 2010 dan juga menghadiri sesi perbincangan pada Julai 3, 2010 di BSLN.

Tahniah kepada kolektor-kolektor SERUM yang persahabatan mereka dinamakan Malaysian Art Friends (MAF) itu.
_______
Bila saya berpeluang ke sesebuah pameran seni rupa, saya mengingatkan diri bahawa itulah masanya untuk mendapat pengalaman estetika yang baru: yang boleh membuat saya jadi reflektif dan juga spekulatif bila berdepan dengan berbagai bentuk dan isi kandungan karya sekaligus pameran itu secara keseluruhannya. Saya akan mencari sesuatu yang dapat menyemarakkan imaginasi saya, baik sesuatu itu terletak dalam objektif dan kerangka konseptual pameran, tanda-tanda yang ditonjolkan melalui tajuk atau imajan yang diketengahkan, atau pun pada naratif yang dapat saya tanggap. Jadi, saya akan memastikan pendengaran dan penglihatan saya bersedia untuk membuat penilaian yang saksama.

Pameran MAF15 di BSLN itu menarik saya mencari sesuatu seperti yang disebut. Saya mahu belajar tentang peranan kolektor, apa yang mereka simpan dan bagaimana mereka menyumbang kepada SERUM. Kolektor-kolektor ini adalah sebahagian daripada Manusia SERUM (lihat Nota 3: Peta Dinamika SERUM). Mereka lazimnya bertempat di hujung atau akhir perjalanan sesebuah karya seni sebagai pemilik. Jadi, bila mereka sepakat untuk membuat pameran karya-karya milik mereka, minat khalayak SERUM sewajarnya tertarik.

Saya teringat kepada beberapa idea lazim yang sering diperkatakan dalam perbincangan seputar karya seni dan pamerannya apabila MAF15 mula kedengaran.

1. Kehilangan Pertalian:

Sesebuah karya itu dikatakan akan ‘hilang pertalian’nya dengan artis bila ia sudah siap, apa lagi kalau ia ‘terus keluar’ dari studio untuk menyertai sesebuah pameran atau dibeli pengumpul seni. ‘Kehilangan’ yang dimaksudkan di sini adalah artis tidak lagi dapat menguasai keseluruhan isi kandungan atau ‘semangat’ yang selama ini dicanainya. Audien pula akan mengambil peranan mengikut citarasa atau pandangan masing-masing. Paling-paling artis hanya dapat membekalkan tanda-tanda yang mungkin dapat dikenali audien. Ada juga artis yang menyediakan pernyataan (statement) secara bertulis untuk memberitahu apa yang dibawa karya itu. Interpretasi terhadap karya itu mula bertukar tangan dan menjadi berbagai.

Dalam konteks ini, ‘kehilangan’ yang disebut itu sebenarnya juga adalah satu ‘pengkayaan’ kepada isi kandungan atau makna yang asalnya dicetus oleh artis. Karya akan menjadi sarat dengan interpretasi-interpretasi baru dari audien yang datang dari berbagai latarbelakang. Makna atau isi kandungan karya akan menjadi berlapis-lapis. ‘Kehilangan’ atau terputusnya hubungan artis dengan karyanya itu sebenarnya ‘memperkayakan’ lagi makna pada sesebuah karya itu.

2. Karya Koleksi Peribadi Keluar ke Pameran:

Bagaimana pula dengan MAF15, yang bahan-bahannya didatangkan dari koleksi peribadi kolektor-kolektor seni yang bergabung di bawah nama MAF ini? Apakah perkara ‘kehilangan/pengkayaan’ seperti yang disebut berlaku? Bagaimana?

Saya berteori yang ‘kehilangan/pengkayaan’ ini berlaku sekurang-kurangnya dua kali: pertama, ketika karya-karya itu keluar dari studio artis yang menghasilkannya (bila dibeli oleh kolektor), dan kedua ketika karya-karya itu keluar dari koleksi anggota MAF untuk pameran ini. Koleksi MAF adalah milik peribadi anggota-anggotanya. Masing-masing mempunyai cerita tersendiri mengenai koleksi mereka. Namun, apabila mereka mengambil keputusan untuk mempamerkan karya-karya pilihan mereka kepada umum, mereka tidak sepenuhnya lagi bertanggung-jawab atas bagaimana sesuatu interpretasi dibuat atau akan dibuat. Audien bebas untuk datang menikmati sambil ‘melapiskan’ lagi sebuah makna kepada karya dan pameran yang sudah ‘berlapis-lapis’ itu.

3. Pameran dan Pembogelan Minda:

Saya suka juga mengaitkan satu lagi idea mengenai pameran atau aktiviti berpameran dalam seni rupa. Kalau tidak silap ingatan saya, Arwah Ismail Zain (harap betulkan jika salah) pernah menulis kurang lebih yang aktiviti berpameran itu sepertinya kita membuka pakaian di tengah khalayak ramai – kita ‘membogelkan minda’ atau apa yang kita fikirkan/tanggapi untuk tontonan ramai. Idea ‘pembogelan minda’ ini berlaku pada setiap bentuk interaksi manusia sesama manusia maupun manusia dengan objek, apalagi dalam bentuk pameran. Dalam kata mudah, setiap pameran atau karya yang hendak dipamerkan itu harus betul-betul bersedia untuk berdepan dengan berbagai kritikan dan interpretasi. Persediaan ini tidak lain untuk terus memberi kualiti kepada apa yang dilakukan, dan juga untuk mengisi ‘kehilangan’ yang terjadi di antara artis dan karyanya bila karya itu keluar dari studionya, serta ‘kehilangan’ di antara kolektor dengan karya ‘milik’nya bila ia dipamerkan kepada umum.

Sebelum ke MAF15, saya berkesempatan membelek-belek buku 30AF di rumah kawan saya, Zainal Abidin Musa. Buku itu seperti sebuah katalog besar: ada esei, ada portret kolektor berserta deskripsi atau biografi ringkas mereka, ada karya-karya pilihan dari koleksi mereka dan juga catatan kolektor mengenai karya-karya pilihan mereka. Bagus, sebuah penerbitan yang bagus – ia mendokumen kesukaan dan pengalaman 30 kolektor Malaysia dan Singapore. Cukupkah dengan itu? Saya mula membentuk beberapa persoalan – apa signifikan karya-karya pilihan kolektor atau buku 30AF itu dengan perkembangan SERUM? Bagaimana kedudukan karya-karya itu dalam SERUM, kerana karya-karya itu telah diterbitkan dan bakal dipertontonkan pula. Saya akur dengan design sebuah buku seperti 30AF itu: ia wajar seperti sebuah katalog – dimulakan dengan esei pengenalan atau perbincangan mengenai apa yang dikandungkan dan memuatkan satu persatu profail kolektor, karya pilihan dan pernyataan mereka.

Saya ke majlis pelancaran 30AF dan MAF15.

Majlis diperantarakan hampir keseluruhannya dalam Bahasa Inggeris, kecuali Tan Sri Kamarul Ariffin, tetamu kehormat majlis yang melancarkan buku dan merasmikan pameran, memilih untuk berucap dalam Bahasa Melayu. Saya secara peribadi suka majlis itu diperantarakan dalam Bahasa Melayu, apalagi ia dibuat dalam BSLN dan disebut sebagai salah satu dari program-programnya.

Saya memasuki galeri pameran. Saya berlegar menatap bahan pameran (karya) dan cuba menghadamkan semuanya. Saya berlegar beberapa kali. Saya keluar sambil bertanyakan diri pengalaman estetika apa yang saya perolehi. Apa yang saya temui untuk menjustifikasi idea-idea ‘karya dan pameran ‘yang saya bentuk sebelum ke MAF15 tadi? Saya masuk ke galeri lagi.

Saya seperti memasuki buku tebal 30AF. Kalau di dalam 30AF, setiap kolektor akan diberi beberapa muka surat; di MAF15 pula, setiap kolektor di beri ruang atau dinding yang khas memuatkan karya-karya pilihan mereka. Ada ruang masing-masing dan setiapnya disertakan pula dengan teks dinding pernyataan kolektor. Saya rasa saya sedang memasuki buku tebal 30AF yang saja diterjemahkan ke dalam sebuah pameran!

Saya mengharapkan pengalaman yang lain dari ‘memasuki’ sebuah ‘buku’. Saya mahu merasakan dinamika karya-karya yang selama ini dianggap peribadi itu. Saya mahu melihat karya-karya itu menjadi bebas: ‘menghilangkan pertalian’ dengan pemiliknya buat seketika selama pameran ini. Tapi saya tidak menemui ini.

Saya ke majlis perbincangan MAF15. Perbincangan ini diperantarakan lagi dalam Bahasa Inggeris. Panelis yang terdiri dari anggota MAF bercerita tentang pengalaman mereka mengumpul seni rupa, dan spesifik lagi mengenai karya-karya pilihan mereka yang dipamerkan. Saya tidak dapat memusatkan perhatian kerana gangguan teknikal – masalah teknikal dalam majlis-majlis kita rupa-rupanya belum dapat dibereskan dengan baik lagi.

Mengikut orang kuat MAF, Pakharuddin Sulaiman, usaha ini (30AF, MAF & MAF15) hanyalah langkah permulaan MAF untuk menyemarakkan SERUM. Banyak lagi usaha dan langkah yang perlu dibuat, yang memerlukan sokongan dari pencinta-pencinta SERUM. Dan menurutnya lagi, semua ini dibuat dalam keadaan keterbatasan waktu.

Saya menyokong penuh usaha MAF, dan saya percaya juga manusia SERUM yang lain juga menyokong. Sebagai sokongan ikhlas, saya berikan beberapa soalan yang boleh kita fikirkan demi kebaikan bersama:

1. Langkah pemula harus betul dan rapi kalau tidakpun hebat: Apa yang kalian (MAF) kejarkan? Dalam perlumbaan apakah MAF?

2. Kalian memilih sendiri karya dari koleksi peribadi untuk dipamerkan: Semata untuk memperagakan taste atau kesukaan kalian sajakah?

3. Bagaimana peranan kurator pameran? Bebaskah mereka membuat kerja-kerja kuratorial? Kerja kuratorial yang bagaimanakah sesuai untuk membuat pameran karya-karya koleksi kalian?

4. Apakah topik yang dibicarakan semasa sesi perbincangan benar-benar memberi manafaat kepada perkembangan SERUM atau cuma pengkisahan kalian dengan karya-karya pilihan?

Lawatan Pameran: Pameran Kepada Mu Kekasih Sempena Ramadhan 1431 di Balai Seni Lukis Negara

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on August 23, 2010

Kulit Depan Katalog Pameran

Bercerita Tentang Kekasih, Pengalaman Bersama Kekasih Atau Rayuan Seorang Manusia yang Dilanda Kebingungan?: Satu pandangan Mengenai Pameran Kepada Mu Kekasih, Sebuah Pameran Seni Rupa Sempena Ramadhan 1431H, di Balai Seni Lukis Negara, 20HB OGOS 2010.

1 Artis dan Ramadhan

Mastura telah dijemput untuk menyertai pameran yang diberi tajuk ‘Kepada Mu Kekasih’ (KMK) di Balai Seni Lukis Negara (BSLN), Ogos – September 2010. Pameran seni rupa ini diadakan sebagai menyambut bulan Ramadhan 1431. Pada 20hb Ogos, perasmian pameran berserta majlis berbuka puasa dan solat tarawih telah diadakan. Mastura telah menghantar sebuah catan bahan campuran, berukuran 4 x 4 kaki, yang diberi tajuk ‘Kalimah yang Baik’. Selain meraikan Mastura dan majlis, saya pergi untuk terus menikmati ‘hidangan estetika’ yang dikemukakan KMK. Ketua Pengarah BSLN, Ambassador Dato’ Mohd Yusof Ahmad, menulis, ‘pameran… diilhamkan bersempena dengan kedatangan Bulan Ramadhan Yang Mulia… Penggiat senilukis (baca: seni rupa) juga terus berkarya sebagai memenuhi tuntutan santapan jiwa seni dan juga sebagai sumber saraan hidup. Maka dijemput sejumlah penggiat seni untuk menzahirkan segala puji-pujian ke atas Keagungan Yang Maha Esa, Pencipta Semesta Alam melalui paparan senilukis (baca: seni rupa) dengan gaya serta inspirasi sanubari yang tersendiri’ (BSLN. 2010).

Kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada BSLN untuk pameran KMK ini. Ada sekurang-kurangnya dua perkara yang patut kita pelajari dari kenyataan Ketua Pengarah BSLN dalam prakata di katalog pameran.

Pertama, tentang seni rupa diterima/difahami sebagai satu bentuk kerja dalam Islam – yang melaluinya kita boleh berusaha untuk membenarkan wahyu Allah S.W.T.

Kaitan seni rupa dengan Islam memang telah lama ada dalam perkembangan SERUM. Artis dan sarjana Dr. Haji Sulaiman Esa misalnya, telah membawa gagasan Seni Islam di dekad-dekad 1980an dan 1990an melalui karya-karya dan kerja-kerja kuratorialnya, dengan merujuk kepada idea pemikir-pemikir Islam semasa seperti Ismail & Lamya’ Faruqi, dan Seyed Hoessin Nasr. Selain itu ada juga artis-artis Melayu/Islam lain yang terus menerus menanggapi ‘idea ketuhanan’ dan Seni Islam dalam stail pendekatan yang berbeza-beza dan tersendiri. Dan kali ini, BSLN telah menyediakan sebuah forum untuk ‘seni Islam’ terus berkembang. KMK divisikan oleh Ketua Pengarah BSLN untuk menjadi ‘sebagai suatu pengisian program tahunan menjelangnya Ramadhan’ (BSLN.2010). Alhamdulilah. Kita dapat berbuka puasa bersama-sama dan bersolat tarawih juga. Dan kita tentunya mahu melihat hal ini berkembang dengan baik – tidak putus dan bukan hanya menjadi acara tahunan pada ‘bentuk’nya sahaja.

Kedua, tentang artis dan karya-karyanya diterima/difahami sebagai memainkan dan mempunyai peranan/tugas/tanggung-jawab besar/penting dalam pembinaan dan perkembangan sesebuah masyarakat/negara/tamadun.

KMK dijadikan sebagai ‘pameran jualan’ di mana artis boleh meletakkan harga di karya-karya mereka, dan 10 persen dari harga jualan akan didermakan kepada tabung kebajikan jika sesebuah karya itu terjual. Idea memasyarakatkan seni berkembang baik dalam KMK ini. Kedua-dua pihak, artis dan kolektor seni rupa, diingatkan tentang keberadaan golongan yang kurang bernasib baik dan sebagainya dalam masyarakat.

2 Idea Kebingungan dalam lagu Kepada Mu Kekasih

Tajuk pameran KMK, diangkat dari tajuk sebuah lagu M. Nasir, komposer dan penyanyi terkenal tanahair. Di hari perasmian, M. Nasir sendiri tampil menyanyikan lagu yang senikatanya ditulis oleh Eunosasah itu. Mari kita hayati ‘faham’ atau idea KMK ini melalui senikatanya. Saya susun senikata lagu secara bebas – mengikut mudah faham, rangkap demi rangkap dengan beberapa tanda baca seperti koma dan tanda soal.

1. Kepada Mu Kekasih / Aku berserah / Kerana ku tahu Kau lebih mengerti / Apa yang terlukis di cermin wajah ku ini / Apa yang tersirat di hati, bersama amali.

2. Kepada Mu Kekasih / Aku bertanya / Apakah Kau akan menerima ku kembali? / Atau harus menghitung lagi segala jasa dan bakti? / Atau harus mencampakkan ku ke sisi tanpa harga diri?

3. Hanya pada Mu Kekasih / Aku tinggalkan jawapan yang belum ku temukan / Yang bakal aku nantikan / Bila malam menjemput ku lena beradu.

4. Kepada Mu Kekasih / Aku serahkan jiwa dan raga, jua segalanya / Apakah Kau akan menerima penyerahan ini? / Apakah Kau akan menerima ku dalam keadaan begini?

Kita boleh melihat rangkap-rangkap lagu KMK sebagai satu doa seseorang yang mencari jawaban kepada persoalan yang menghantui dirinya (?); katakanlah pencari itu bernama AKU. Apakah AKU sedang bertaubat – menyesali perbuatan dan tindakannya dahulu?

Rangkap 1 melukiskan suatu pernyataan bahawa Mu Kekasih (baca: Allah) adalah Yang Maha Mengetahui, Al-‘Alim. Maka inilah AKU ya Allah. Kau mengetahui segala isi hati AKU dan apa yang telah AKU lakukan.

Rangkap 2 pula adalah suatu gambaran was-was AKU terhadap Allah, atau kepada diri AKU sendiri (?). Apakah Allah akan menerima AKU? Siapakah yang ‘harus menghitung segala jasa dan bakti’? Siapakah yang ‘harus mencampakkan ku ke sisi tanpa harga diri’? AKU sendiri atau Allah? Suatu gambaran kebingungan – takut-takut tidak diterima Allah, lalu hitungan di antara ‘jasa bakti‘, pahala (?), dan ‘tanpa harga diri’, dosa (?) kena dibuat semula.

Rangkap 3 agak pasif, mungkin. Kebingungan yang dialami AKU di rangkap 2 ditinggalkan, atau juga dibawa sampai ke waktu tidor? Atau juga rangkap 3 itu bukan pasif, tetapi aktif sebenarnya – AKU terus menerus mencari jawaban kepada persoalan-persoalan tadi, di rangkap 2. Terus menerus bingungkah AKU?

Rangkap 4 pula seolah AKU telah berputus-asa dengan persoalan rangkap 2 dan 3, lalu AKU serahkan segalanya kepada Allah – untuk menerima AKU atau tidak. Menerima untuk ke mana atau sebagai apa – ke syurga dan penghuni syurga?

Saya cenderung untuk melihat AKU yang dilukiskan dalam lagu KMK itu sebagai seorang yang bingung dan sangat mengharapkan Allah untuk menerimanya seada keadaan dirinya. Idea ‘usaha’ AKU supaya diterima Allah tidak dibayangkan dengan jelas dalam senikata KMK – AKU berserah kerana telah bosan dengan penantian kepada jawaban persoalan-persoalan kaburnya (?). Kabur – apakah persoalan AKU sebenarnya? Hanya menyeru kepada Allah, yang AKU anggap sebagai Kekasih, dan seolah ‘mendesak’ Allah supaya menerima AKU seadanya?

Lagu KMK adalah doa atau rayuan seorang AKU yang bingung dan malas untuk berusaha mengikut panduan Allah (baca: Al-Quran), tetapi semata hanya mengharapkan penerimaan Allah. Perihal Allah sebagai Kekasih hanya jelas sebagai Al-‘Alim, Yang Maha Mengetahui, seperti dilukiskan pada rangkap 1 senikata lagu. Rangkap-rangkap lain tidak menjelaskan siapa Kekasih itu kecuali harapan AKU untuk diterima Kekasih.

Saya lebih suka kalau doa Asmaul Husna, yang menyebut nama-nama Allah dijadikan idea atau tema kepada pameran KMK ini, berbanding dengan idea ‘kebingungan’ yang dibawa oleh lagu nyanyian dan ciptaan M. Nasir itu. Dan suka juga saya sebutkan bahawa Ramadhan itu adalah suatu bulan yang menarik. Pada bulan Ramadhanlah turunnya Al-Quran – yang didefinisikan Allah sebagai pentujuk untuk manusia, dan penjelasan kepada petunjuk itu, dan juga pembeda diantara hak dan batil (Al-Quran. 2: 185). Maka marilah sama-sama kita hayati Al-Quran, supaya tidak terus menerus menjadi bingung dan hanya mengharapkan penerimaan Allah semata tanpa usaha.

3 Susunan Pameran KMK: Seperti di dalam Gua dan Bazar Ramadhan?

Ruang Pameran 1

Pendengaran dan penglihatan saya menjadi hampir tidak seimbang apabila memasuki ruang pameran KMK. Gelap. Itu reaksi estetika saya yang mula-mula. Hampir kesemuanya berlatar-belakangkan hitam. Katanya sebab itu adalah bekas ruang pameran video dan kesuntukkan masa untuk menyediakan ruang lain. Karya-karya banyak – memenuhi ruang Galeri Reka yang kecil berbanding dengan ruang-ruang pameran lain di BSLN. Ruang galeri dipenuhi pula dengan dinding pameran mudah-alih yang disusun seperti labirin tidak sudah – dan semuanya gelap, kelabu tua atau hitam, juga, memuatkan karya-karya. Saya rasa lemas _ karya-karya tidak dapat ‘bernafas’ dengan baik; saya tidak dapat menikmati sesebuah karya dalam jarak sejauhmana sekalipun kerana karya yang bersebelahan akan mengganggu.

Ruang Pameran 2

Lalu, kebingungan visual berlaku – dan ini mengganggu untuk menanggapi karya-karya yang dipamer. Saya bertemu banyak kaligrafi Arab (…sehinggakan kurator pameran menulis, ‘kebanyakan pelukis (baca: artis) mengambil jalan mudah dengan menggunakan kaligrafi sebagai pendekatan untuk menyampaikan maksud tema…), corak-corak Arabes dan Batik, dan tidak terkecuali juga palitan ekspresionisme dan hawa seni konseptual. Namun tidak ada satu pun karya yang dapat saya nikmati secara saksama kerana hirok-pikok susunan bahan dan ruang pameran.

Ruang Pameran 3

Hirok-pikok ini juga terbawa dengan karenah pengunjung yang menjadi audien KMK pada petang perasmian itu. Bagus – BSLN sudah berjaya membawa masuk ramai orang dari berbagai golongan masyarakat. Ada yang membelek dan menekan-nekan karya yang tergantung. Ada yang terpinga-pinga melihat karya itu karya ini. Saya jadi teringat kepada Bazar Ramadhan di tempat saya.

4 Idea Proses Kuratorial Yang Gagal: Jangan Dibiarkan Berterusan

Saya tiada niat untuk merendah-rendahkan apalagi mentertawakan sesiapa. Maafkan saya jika ternyata saya melebih-lebihkan _ namun saya tidak mahu melihat apa yang dikatakan ‘Failed Curatorial Process’ itu berlaku (boleh rujuk Nota Rampai SERUM (2): Buku, Kurator & Mahalnya Big & Beautiful dan Nota Rampai SERUM (5): Pameran Seni Rupa & Idea Kuratorial di Tsabri Facebook Notes. 2010), terutamanya dalam pameran-pameran anjuran BSLN.

Marilah sama-sama kita renungi dan pelajari pameran KMK ini supaya tidak terus menerus gagal. Visi KMK amat baik – usaha sudah ada, sama-samalah kita mengisinya dengan cara atau proses kuratorial yang mampu mendidik dan melestarikan kesenian di negara ini, Malaysia.

Salam Ramadhan dan Selamat Aildil Fitri 1431.

Rujukan:

1. Ambassador Dato’ Mohd Yusof Ahmad (Ed.) (2010). Kepada Mu Kekasih (Yang Maha Esa). Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

2. _ (1971). Terjemahan Al-Quran. Madinah: Mujamma’ Malik Fahd Li Thiba’at Al Mush Haf Asysyarif & Kementerian Urusan Agama Islam, Wakaf, Da’wah dan Irsyad Kerajaan Saudi Arabia .

UNDER DECONSTRUCTION / SEDANG DIDEKONSTRUK

Posted in Uncategorized by tsabri on August 23, 2010

SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK SITE IS UNDER DECONSTRUCTION LAMAN SEDANG DIDEKONSTRUK