Off Walls Off Pedestals

Nota untuk Iskhandar 8: Menjawab Soalan-Soalan Apa, Bagaimana, dan Kenapa dalam Karya Seni melalui Kefahaman ‘Kesatuan Organik’

Posted in Nota untuk Iskhandar by tsabri on March 20, 2011

Iskh di Woksyop | Shah Alam | Awal 1990an

Iskh! Assalamualaika wa rohmatullahi wa barokatuh. Bagaimana hari-hari mu di IKJ? Semuga semuanya baik-baik dan berjalan lancar sepertimana yang dirancang. Ku fikir sekarang Iskh sudahpun perlahan-lahan dapat memahami yang bidang pilihan Iskh itu boleh menjadi sangat luas – mencakupi segenap aspek kehidupan manusia. Iskh akan membuat filem yang hebat: namun kehebatan filem sebagai sebuah karya seni, sebagai satu produk budaya, memerlukan minat yang mendalam, penyelidikan yang menjurus, kefahaman asas pemikiran seni dan budaya serta ilmu-ilmu kemanusiaan yang lain – selain daripada, tentunya aspek-aspek teknikal dan ketrampilan penguasaannya. Dan, semua ini tidak ada jalan mudah kecuali dengan mempunyai kefahaman falsafahnya dan daya kreativiti yang tinggi.

Kali ini kita akan berbicara tentang ‘kesatuan organik’ atau Inggerisnya, organic unity, yang biasanya dapat ditemui pada semua bentuk seni; filem, lukisan, arca, teater, tarian, musik, puisi, novel dan sebagainya. Kesatuan Organik adalah himpunan tiga komponen yang sentiasa hadir dalam setiap karya: iaitu Subjek, Bentuk dan Isi. (Subject, Form and Content). Komponen-komponen ini menghimpun persoalan-persoalan yang boleh difikir dan dibincangkan mengenai sesebuah karya seni itu.

Kadar kepentingan atau kadar banyak dan sedikit pada Subjek, Bentuk dan Isi sebagai satu ‘kesatuan’ komponen tidaklah terhad dan boleh berubah-ubah, maka itu ia disebut sebagai ‘organik’ – ‘kesatuan organik’, tidak terlalu khusus. Kekuatan sesebuah karya seni akan bergantung kepada kukuhnya ‘kesatuan organik’ yang ada padanya.

1.     Subjek: rujukan kepada perkara-perkara yang menjadi persoalan atau yang ingin diketengahkan: tajuk, tema, bahan rujukan (subject-matter) dan isu. Subjek juga kadang-kadang dilihat sebagai ‘konteks’; rujukan kepada sesuatu perkara dengan lebih spesifik. ‘Subjek’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘apa’ mengenai sesebuah karya itu.

2.     Bentuk: rujukan kepada perkara-perkara yang membentuk keseluruhan rupa sesebuah karya seperti elemen dan prinsip rekaan, bahan dan bahantara, dan teknik yang digunakan. Pengolahan ‘Bentuk’ secara kreatif akan menghasilkan apa yang dikatakan sebagai ‘keindahan luaran’. Perkara-perkara yang menjadikan ‘Bentuk’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘bagaimana’.

3.     Isi: rujukan kepada perkara-perkara yang mendasari dan membentuk sesuatu makna pada sesebuah karya; yang mungkin bersifat cerita, mempunyai nilai-nilai budaya dan sejarah, ekspresi dan kritik terhadap keadaan kehidupan – politik dan sosio-ekonomi, atau hanya pernyataan niat dan ekspresi artis terhadap minat, persekitaran dan perkara-perkara yang menjadi tumpuannya. Pengolahan ‘Isi’ yang baik akan menghasilkan apa yang dikatakan sebagai ‘keindahan dalaman’. ‘Isi’ adalah untuk menjawab pertanyaan ‘kenapa’.

Ketiga-tiga komponen ini, subjek, bentuk dan isi, saling berkaitan dan sentiasa mempengaruhi di antara satu sama lain untuk kekuatan sesebuah karya seni dan menjadikannya cemerlang atau hebat. Perkaitan dan keadaan saling pengaruh mempengaruhi inilah yang dipanggil ‘kesatuan organik’ di dalam sesebuah karya.

Empat gambarajah berikut diharap dapat menjelaskan ‘kesatuan organik’ yang sepatutnya hadir dalam sesebuah karya yang baik.

Untuk latihan nota ini, Iskh boleh pergi menonton sebuah filem sambil memikirkan tentang ‘kesatuan organik’ yang hadir pada filem tersebut. Buat catatan dalam buku nota mengenai perkara-perkara yang ditemui pada komponen-komponen yang dimaksudkan. Atau, Iskh boleh pilih apa saja bentuk seni dan buatlah hal yang sama – fikir tentang ‘kesatuan organik’ dan bagaimana ia mengukuhkan atau melemahkan karya tersebut. Sehingga bertemu lagi. Alhamdulilah.

 

 

Nota untuk Iskhandar 7: Memberi Makna kepada Objek dan Tindakan

Posted in Nota untuk Iskhandar by tsabri on February 14, 2011

Iskh di Petang Hari | 1996 | Klang

Assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh. Semuga sentiasa sihat dan rajin mengikuti kuliah. Kali ini kita akan berbicara tentang seni: apakah yang dikatakan seni? Hal ini patut difikir kerana sebagai seorang manusia kreatif atau pengkarya seni, kita harus tahu benar apa yang sudah, sedang dan akan kita lakukan. Tentu saja kita tidak mahu apa yang dilakukan itu menjadi sia-sia.

Seorang artis muda baru-baru ini memberitahu Ku yang seni itu adalah segala-galanya –art is everything. Everything is art. Benarkah?

Seni bukanlah sesuatu yang asing bagi manusia. Ia tidak berada di luar diri. Ia lahir, tumbuh atau muncul dari fikiran dalaman, ilham, perasaan dan pengalaman kita. Apabila kita tersentuh dengan sesuatu fikiran dalaman, ilham, perasaan atau pengalaman itu, dan mahu pula berkongsikannya dengan orang lain; maka pada saat itulah ‘seni’ akan bermula.

Keinginan untuk berkongsi membawa erti yang kita harus membuat atau mengadakan suatu objek / bentuk, ataupun membuat sesuatu tindakan yang boleh difahami oleh orang lain. Objek atau tindakan itu selalunya akan melalui suatu proses rekaan atau desain untuk membolehkan ia berkomunikasi.

Ilustrasi di bawah adalah gambaran situasi yang disebut;

Mari kita dekati illustrasi ini dari bawah, dan jangan dilupakan apa yang telah dinotakan selama ini;

1.     Baris 1 memberi tumpuan kepada pengkarya seni / manusia kreatif (pelukis, pengarah filem, novelis, koreografer atau fotografer dan siapa saja yang membuat objek dan tindakan seni). Peranan, sikap, tugas dan tanggung-jawab pengkarya tetap harus diperhatikan. Kita harus sentiasa ingat yang kita ini dicipta dalam posisi vertikal, mempunyai daya intelek, emosi dan spiritualiti. Kita yang membuat, memikirkan dan juga mengurus. Kita harus sedar akan adanya objektiviti, subjektiviti dan relativiti apabila kita terlibat dalam aktiviti kesenian / kebudayaan; yang sememangnya berkaitan pula dengan estetika.

2.     Baris 2 memberi gambaran pertumbuhan seni sebagai suatu proses sekaligus produk atau hasil samada dalam bentuk objek (lukisan, arca, filem atau novel dan apa saja bentuk seni) ataupun tindakan (teater, tarian atau seni perfomen dan sebagainya.) Proses seni muncul dari dalam diri. Kita akan menggubah idea ke dalam suatu rekaan atau desain; dengan menggunakan berbagai elemen, bahan dan teknik sehinggalah terjadi atau terciptanya sesuatu bentuk seni / karya seni itu.

Dan kesemua ini sewajarnya pula berada dalam suatu paradigma yang sentiasa beranjak dan terus berkembang.

Pandangan tentang apakah seni atau definisi seni itu sentiasa saja berubah. Namun ada beberapa perkara umum yang juga sentiasa mengiringi atau mendampingi pandangan-pandangan itu. Mari kita perhatikan beberapa definisi seni yang dicatat oleh sebilangan sarjana, filosuf dan dari sebuah kamus.

1.     Seni itu adalah rakaman intelek dan emosi dari suatu sikap atau pengalaman yang dipersembahkan secara peribadi. – James A. Schinneller.

2.     Seni adalah kualiti atau mutu perbuatan dan apa yang dibuat… hasil seni – seni bina, catan / lukisan, arca, dan puisi – bukanlah satu karya seni. Karya bermula apabila seseorang terlibat dengan karya sehingga hasilnya adalah satu pengalaman yang digemari kerana terdapatnya suatu unsur yang memuaskan lagi tersusun. – John Dewey.

3.     Seni berlaku apabila seseorang (atau sesiapa saja) mengambil apa saja bahan dan menjadikan darinya suatu pernyataan yang boleh ditanggapi. – Thomas Hoving.

4.     Seni adalah kualiti, produksi, atau ekspresi dari sesuatu yang indah, menambat hati atau lebih dari kepentingan / signifikan yang biasa – The American College Dictionary.

Deinisi-definisi di atas mungkin ada perbedaan di antara satu sama lain, namun ada beberapa perkataan (seperti yang digaris) yang membayangkan ianya terus-menerus berbicara tentang pemikiran, pengalaman, perbuatan, dan keindahan. Seni sebagai satu proses dan hasil adalah suatu aktiviti memberi makna. Sebagai sebuah produk budaya, seni itu harus membawa makna, idea, nilai dan ianya juga harus mempunyai daya komunikatif.

Cari kurang lebih lima definisi seni dari orang atau sumber yang berbeda. Perhatikan persamaan idea di antara kelima-lima definisi yang ditemui itu. Terima kaseh.

Alhamdulilah.

 

Nota untuk Iskhandar 6: Mendekati Estetika melalui Penjenisan Umum

Posted in Nota untuk Iskhandar by tsabri on February 14, 2011

Iskh Berfikir | 1991/92 | Shah Alam

Assalamualakum wa rohmatullahi wa barokatuh.

Kali ini kita bicara tentang falsafah, tepatnya falsafah kesenian atau disebut orang, estetika; atau mudah lagi hal-hal yang berkaitan dengan ‘kesenian’ dan ‘keindahan’. Perkara ini menjadi penting kerana keindahan, atau rasa indah itu sememangnya rapat dengan manusia, apa lagi kepada manusia kreatif yang saban ketika berkarya, berbicara dan menghayati bentuk-bentuk seni dan juga budaya amnya.

Sebagai satu kata, estetika berasal dari bahasa Greek,aisthetikos, yang bererti ‘indah (cantik), sensitif, dan punya upaya perasaan (sentient)’; yang didasari pula dari aisthanomai, yang membawa erti ‘saya tanggap atau rasa (I perceive, feel, sense)’. Estetika mula digunakan sebagai satu istilah dalam persuratan moden kira-kira di tahun 1735, oleh seorang filosuf Jerman, Alexander Baumgarten, di dalam tulisan-tulisannya.

Menanggapi estetika adalah satu hal yang boleh saja menjadi rumit, kerana kita akan menemui berbagai pandangan, pendapat dan juga kritikan yang banyak; malah boleh berlarutan pula kepada hal-hal lain yang berkaitan dan saling berhubungan. Ia merentasi masa atau sejarah, dan kebudayaan-kebudayaan dari masyarakat yang berbagai. Tentu saja ia memerlukan rujukan, bacaan dan perbincangan lanjut jika mahu didalami secara saksama. Namun, di sini, Ku hanya akan berbicara secara umum tentang bagaimana kita boleh mendekati atau memahami estetika secara mudah – sebagai pengenalan.

Kita boleh membahagikan estetika kepada tiga jenis atau bentuk yang umum, iaitu;

1.     Estetika Objektif atau disebut juga Estetika Objektivisme

2.     Estetika Subjektif atau Estetika Subjektivisme

3.     Estetika Relatif atau Estetika Relativisme.

1.     Estetika Objektif / Objektivisme – Estetika itu berada di dalam objek atau karya seni. Ia payah malah tidak berubah, hinggakan sesuatu penilaian boleh dibuat secara mutlak ke atas mana-mana karya atau bentuk seni dari mana dan masa bila pun. Apa yang dikatakan ‘indah’ itu tetap dan ada pada karya itu sendiri. Jika hilang sesuatu unsur yang sepatutnya menjadikan sesuatu bentuk itu indah, maka bentuk itu dipandang sudah tidak indah lagi.

2.     Estetika Subjektif / Subjektivisme – Estetika itu berada pada tanggapan seseorang pemerhati atau penghayat. Barangkali ungkapan ‘keindahan itu terletak pada mata orang yang memerhati (Beauty is in the eyes of the beholder)’ sesuai untuk pandangan estetika jenis ini. Ia bersifat peribadi, boleh berubah, dan boleh saja dicabar kerana semua pandangan dan respons harus dianggap samarata. Apa yang dikatakan ‘indah’ itu berada pada pandangan atau citarasa pemerhati, bukan lagi pada karya.

3.     Estetika Relatif / Relativisme – Estetika itu terhasil dari gabungan dan interaksi kedua-dua pandangan objektivisme dan subjektivisme. Di sini objek atau karya seni itu harus ditafsir mengikut bentuk dari mana, siapa dan masa bila ia dibuat. Ia tidak lagi semata-mata bergantung kepada kemutlakan yang ada pada bentuk dan subjektiviti yang ada pada pemerhati. Menanggapi apa yang dikatakan ‘indah’ melalui pendekatan ini memerlukan perhatian yang lebih luas dan saksama.

Jadi, apabila kita berbicara tentang estetika, samada yang dipadan dengan lukisan, catan, arca, instalasi, seni multimedia, filem, tarian, puisi, novel, musik atau apa saja bentuk seni, maka pendekatan-pendekatan umum seperti di atas amat berguna sekali untuk kefahaman yang lebih berkesan. Pengetahuan tentang estetika akan dapat mempertingkatkan ketrampilan berkarya dan juga apresiasi tentang kesenian / kebudayaan seluruhnya.

Perhatikan beberapa filosuf* yang tergambar di bawah. Mereka ini ada berbicara tentang estetika. Buat catatan ringkas mengenai karya-karya besar berserta pandangan mereka mengenai estetika. Mereka ini hanyalah sekadar contoh, terdapat ramai lagi filosuf samada dari dunia Barat atau Timur yang berbicara tentang estetika. Terima kasih.

Alhamdulillah.

*Imej filosuf adalah dari http://en.wikipedia.org/wiki/

Plato | 429–347 SM

Aristotle | 384 BC – 322 SM

Immanuel Kant | 1724 - 1804

David Hume | 1711 - 1776

George Santayana | 1863 - 1952

Nota untuk Iskhandar 5: Pembuat, Pemikir dan Pengurus

Posted in Nota untuk Iskhandar by tsabri on February 14, 2011

Iskh & Intan | 1997/8 | Klang

Assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh. Ingatlah bahawa kita ini semuanya makhluk ciptaan Allah S.W.T. Kita tidak akan dapat menandingi ciptaan Al-Kholiq, Yang Maha Mencipta. Tapi sebagai ciptaan Nya yang sempurna, kita telah dibekalkan dengan akal: yang telah kita rangkumkan pada nota-nota ini sebagai intelek, emosi dan spiritualiti. Jadi, wajar saja kita tidak rosakkan kesempurnaan ciptaan Al Kholiq itu dengan pemikiran dan pendekatan yang bersifat ‘horizontal’ seperti haiwan.

Terus, manusia kreatif itu bagaimana kerjanya, ya? Apa yang dibuatnya? Apa peranannya? Soalan-soalan ini harus dipertanyakan pada setiap masa. Kali ini kita akan melihat bagaimana seseorang manusia kreatif itu berperanan.

Peranan sebagai Pembuat: Seseorang pembuat itu membuat atau menghasilkan sesebuah karya berdasarkan;

  1. Insting (instinct) asas dan eksperimen-eksperimen mudah.
  2. Arahan dan garis panduan.
  3. Ketrampilan teknik (mengenali dan mengendali bahan serta bahantara).

Peranan sebagai Pemikir: Seseorang pemikir itu harus menjustifikasikan karyanya berdasarkan;

  1. Logika dan kefahaman asas terhadap bentuk karyanya.
  2. Pertalian sejarah dan budaya yang mewarnai paradigma kehidupannya.
  3. Falsafah (teori, konsep dan pemikiran) yang sudah sedia ada.

Peranan sebagai Pengurus: Seseorang pengurus harus mampu mempersembahkan karyanya berdasarkan;

  1. Strategi dan program yang dibuat berdasarkan senario semasa.
  2. Pengetahuan tentang kehendak atau citarasa audien (yang tidak semestinya dituruti secara membabi-buta).
  3. Aspirasi untuk menjadi cemerlang dalam bidang yang diceburi.

Ketiga-tiga watak Pembuat, Pemikir dan Pengurus ini wajar sekali berada dalam diri seseorang manusia kreatif, kerana saja kita ini sekaligus membuat, memikirkan dan mengurus.

Beri respon anda dalam sebuah karangan pendek. Terima kasih.

Januari 18, 2011

Putaran Ide(a) Artis Abad 21 | Dakwat atas Kertas | 1995

Nota untuk Iskhandar 4: Kreativiti dan Rupa-Rupanya Tiada Yang Baru di Bawah Mentari Ini!

Posted in Nota untuk Iskhandar by tsabri on February 14, 2011

Iskh di Studionya | Klang | Pertengahan 1990an

Assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh.

Dalam nota yang lepas, kita ada berbicara tentang kreativiti dan manusia kreatif. Apa itu kreatif? Kreasi? Kreativiti? Bagaimana kita boleh memahami perkara-perkara ini?

Kreatif, mudahnya, adalah mempunyai daya atau berkuasa untuk mencipta sesuatu yang baru lagi tulen; dengan menggunakan kemampuan intelek (atau dirujuk sebagai intelijen dalam nota yang lepas), emosi dan spiritual. Ingat intelijen/intelek? Emosi? Dan juga spiritualiti? Ya, kesemua ini diperlukan oleh manusia kreatif dalam proses penciptaan karya atau kerjanya. Intelek, emosi dan spiritualiti itulah daya atau kuasa yang memang sudah ada pada setiap orang.

Mencipta sesuatu yang baru lagi tulen? Ini kenyataan yang berat, malah pada sesetengah keadaan, ia mungkin hampir mustahil. Apa lagi yang hendak dicipta atau direka? Tidak cukup lagikah dengan apa yang sudah ada – yang dapat memenuhi tuntutan-tuntutan ekspresif, gunaan dan juga konseptual manusia?

Ada satu ungkapan Bahasa Inggeris yang berbunyi, kurang lebih: Nothing is new under the sun! There are only combinations and rearrangements (Tidak ada yang baru di bawah mentari ini! Yang ada hanyalah gabungan-gabungan dan susun-semula sahaja). Tidak ada yang baru di bawah mentari ini! Fikirkan tentang keperluan asas bagi seseorang manusia dari sudut kebendaannya.

Manusia itu perlu makanan.

Seorang manusia purba akan keluar mencari makanan – dia akan mengasah kapak atau lembingnya, mengenal-pasti haiwan dan kawasan perburuannya; atau dia akan pergi mencari dan memungut buah-buahan atau sayuran yang boleh dimakan. Dia membawa balik makanan yang diperolehi, dipanggang atau dimakan begitu saja. Dan adakalanya dia juga membahagi-bahagikan makanan itu dengan orang lain, samada ahli keluarga, kawan atau jirannya.

Begitu juga hari ini, seseorang itu akan keluar mencari makanan – dia akan ke pasar, memilih dan membeli bahan makanan untuk dimasak. Ada juga yang membuat stok supaya tidak ke pasar setiap hari. Dan yang punya daya, kerap pula makan di luar, di warung makan atau restoran – ada yang hanya memesan dari rumah. Ada yang menghantar makanan ke rumah jiran, dan ada yang berkenduri.

Manusia itu perlu tempat-tinggal, kediaman.

Seorang manusia purba akan menjelajah dan meneroka kawasan-kawasan tinggi, mencari gua untuk tempat perlindungan. Setelah bertemu dengan lokasi yang difikir sesuai, dia akan membina tempat tinggalnya, berkemungkinan besar dengan bantuan keluarga dan orang lain.

Hari ini orang dengan mudah dapat mencari tempat tinggal melalui iklan-iklan di media massa – atau berkeliling ke taman-taman perumahan yang sudah tersedia dan dalam berbagai bentuk pula. Ada skema-skema pembelian rumah untuk kemudahan pengguna. Ada yang menumpang, menyewa, berumah sendiri, malah ramai pula yang mempunyai lebih dari sebuah rumah.

Manusia itu perlu pakaian.

Seorang manusia purba akan mencari bahan dan teknik terbaik untuk membuat pakaian; dengan tujuan menutup aurat kelamin, melindungi badan dari cuaca dan anasir lain, dan juga keselesaan bergerak. Dia akan belajar membuat atau menjahit pakaian untuk dirinya dan keluarga; dan ada pula yang khusus tahu membuat pakaian akan membuat untuk orang lain.

Dan kemudian, bentuk pakaian berkembang mengikut keadaan tempat dan masa seperti pakaian malam, pakaian berburu atau pakaian pengantin. Kita hari ini boleh memilih pakaian mengikut fesyen kegemaran sendiri di butik-butik mahal atau lelongan murah.

Tidak ada yang baru! Yang baru hanyalah pertambahan daya, kemajuan teknologi dan maraknya keterlibatan hubungan sesama manusia. Proses penggabungan dan susun-semula sentiasa berlaku, apalagi kepada manusia-manusia kreatif. Sebagai seorang manusia kreatif, yang tahu akan kemampuan dan keterbatasan daya intelek, emosi dan spiritualitinya, dan tahu mengurus nafsu; kita harus sedar benar yang ‘tidak ada yang baru di bawah mentari ini’. Kita cuma membuat gabungan-gabungan, menyusun dan menggubah semula apa sudah ada.

Justeru, idea itu berada di mana-mana, dari siapa, apa ,dan bila pun. Kita tidah usah takut dan cemburu kepada pengaruh: terpengaruh atau mempengaruhi. Yang patut kita tahu dan perkuatkan ialah daya intelek, emosi dan spiritualiti. Yang patut kita buat ialah melihat dunia ini dengan seluas mungkin. Bukalah jendela-jendela Iskh yang sebetulnya banyak itu!

Tulis respon anda tentang hal yang dibincang dalam lebih kurang 100 – 150 patah perkataan. Terima kasih.

Januari 17, 2011.

Satu pandangan di Institut Kesenian Jakarta, Indonesia | 2010

Nota untuk Iskhandar 3: Manusia Kreatif dan Anjakan Paradigma

Posted in Nota untuk Iskhandar by tsabri on February 14, 2011

Iskh di tepi Laut China Selatan | 2001

Assalamualaikum wa rohmatullahi wa barokatuh. Semuga Iskh terus rajin memikirkan tentang penciptaan manusia dan alam seluruhnya; dan kejadian-kejadian yang telah dan sedang dibuat manusia.

Kita harus terus mengenali diri kita; kebolehan dan keterbatasan kita sebagai seorang manusia. Hal ini penting, kerana seorang artis itu harus terus menerus mempelajari manusia dan kemanusiaanya. Pengetahuan dan apresiasi yang baik tentang hal ini akan cepat mematangkan seseorang untuk membolehkan dia menghasilkan karya-karya yang baik dan bermakna.

Ilustrasi berikut adalah rumusan umum keberadaan seorang manusia.

Manusia itu makhluk yang dibekalkan dengan akal. Dia berfikir, berperasaan dan mempunyai hubungan kejiwaan atau spiritualiti, serta juga mempunyai nafsu. Manusia boleh menjadi terbaik dan terburuk: semuanya bergantung kepada kemahuan dan kemampuan diri mengurus akal: intelijen (atau boleh kita sebut, intelek), emosi dan spiritualiti, serta nafsu. Manusia itu tidak mampu untuk membohongi diri sendiri dan Penciptanya (jika dia percaya kepada Tuhan).

Dalam sains kreativiti, beberapa istilah mengenai perkara-perkara yang disebut muncul di abad ke20: Intelligence Quotient (IQ), Emotional Quotient (EQ), dan Spiritual Quotient (SQ). Kita boleh mengguna-pakai istilah-istilah ini untuk perbincangan kita. Harap dapat dibuat rujukan lanjut mengenai sains kreativiti ini.

Terus, manusia itu mempunyai paradigma masing-masing. Di sini, ‘paradigma’ secara mudah boleh difahami sebagai pengalaman dan persekitaran hidup. Setiap manusia mempunyai pengalaman sejarah, budaya, kepercayaan, minat, pendidikan, teknologi dan kemasyarakatan. Semuanya beranjak dan berubah mengikut pertambahan usia, pertukaran persekitaran, perkembangan teknologi dan sebagainya. Keadaan inilah yang dikatakan sebagai ‘anjakan paradigma’.

Dan, seseorang artis itu harus berani untuk beranjak dan menganjak paradigma masing-masing. Dengan tindakan ini, kita akan menjadi lebih tahu dan sensitif terhadap banyak perkara. Kita tidak akan melihat dunia ini dari satu jendela sahaja. Satu contoh terbaik mengenai anjakan paradigma yang pernah Ku dengar dari salah seorang guru Ku ialah seperti berikut:

Masyarakat Eropah pada Zaman Pertengahan (kurang lebih dari abad ke5 hingga ke15 M) percaya yang bumi ini berbentuk mendatar atau rata. Apabila Christopher Columbus (1451 – 1506 M) mahu belayar mencari benua India (walau yang dijumpainya adalah kepulauan di sebelah benua Amerika), ramai yang tidak percaya malah mentertawakannya. Tindakan Columbus dan peristiwa ‘terjumpanya’ benua Amerika itu kemudiannya telah ‘menganjakkan paradigma’ masyarakat Zaman Pertengahan.

Fikirkan satu atau dua contoh yang dapat menggambarkan fenomena ‘Anjakan Paradigma’. Anda boleh menulisnya dalam satu karangan pendek atau dalam bentuk poin.

Semuga sejahtera.

Januari 17, 2011.

Nota untuk Iskhandar 2: Vertikaliti dan Horizontaliti Ciptaan

Posted in Nota untuk Iskhandar by tsabri on February 14, 2011

Iskh Melukis | Awal 1990an | Shah Alam

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barokatuh.

Iskh,

Terus, sambungan dari nota lepas, seseorang pelajar seni/budaya itu harus pula mengetahui keberadaan dirinya sebagai seorang manusia, secara seperti yang telah diciptakan.

Mudahnya, jika diperhatikan, posisi bentuk manusia itu dicipta secara berdiri menegak, atau vertikal. Ada bahagian atas yang mengandungi kepala, bahagian tengah yang mengandungi badan, dan terakhir bahagian bawah termasuk alat kelamin dan kaki. Ini boleh digambarkan dengan ilustrasi berikut.

Berbeda dengan manusia, haiwan pula boleh dikatakan dicipta dalam posisi asas yang mendatar, atau horizontal. Tidak ada ‘atas’ dan ‘bawah’ dalam posisi mendatar, kecuali hadapan dan belakang. Pembahagian ‘hadapan’, ‘tengah’ dan ‘belakang’ berada dalam keadaan yang selari, mendatar. Ilustrasi berikut dirujuk.

Kedua-dua posisi asas ciptaan itu ternyata berbeda; yang tentunya pula membedakan perangai atau sifat-sifat alamiah manusia dan haiwan. Sila fikirkan asas ciptaan seperti yang dinotakan. Tulis sebuah karangan pendek sekitar 100 perkataan untuk menyatakan pandangan dan kefahaman anda.

Berikut adalah dua lakaran yang berkaitan dengan tajuk nota, dibuat di tahun 1995. Terima kasih.

Januari 16, 2011.

Artis Abad ke21 | Model A | Dakwat atas Kertas | 1995

Artis Abad ke21 | Model B | Dakwat atas Kertas | 1995

Nota untuk Iskhandar 1: Soalan-Soalan Awal

Posted in Nota untuk Iskhandar by tsabri on February 14, 2011

Iskh & 'Gus Dur' | Yogyakarta | 2010.

Kepada Iskh.

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barokatuh.

Selalunya Ku akan memberi beberapa soalan untuk dijawab oleh pelajar-pelajar (samada secara lisan atau bertulis, bergantung kepada keadaan) di awal semester pengajian, sejak dari awal penglibatan dalam pendidikan. Sekarang Iskh cubalah jawab pula!

  1. Apakah tujuan anda memilih seni rupa (atau seni multimedia, atau seni halus, atau filem) sebagai satu bidang studi? Apakah cita-cita anda?
  2. Bagaimanakah anda memenuhi waktu? Apa yang anda selalu fikirkan? Ada berfikir atau berbincang mengenai kesenian, atau kebudayaan?
  3. Bagaimana anda mengurus perbelanjaan anda? Ada beli buku? Atau alatan melukis atau yang berkaitan?
  4. Pernah menyertai pameran atau mempersembahkan karya anda? Kerap melawat pameran, galeri atau muzium; atau pentas, atau panggung, atau di Internet? Setakat ini, apakah pameran, pertunjukkan atau tayangan yang paling berkesan kepada anda, dan mengapa?
  5. Ada kenal artis* yang berkaitan? Siapakah artis yang anda minati? Kenapa? Boleh terangkan salah satu karya atau kerjanya yang memberi kesan kepada anda? (*Artis dirujuk kepada perkerja seni, sama pelukis, pengarca, pereka, penari, pengarah filem, dan sebagainya.)
  6. Anda suka membaca? Baca apa? Selalu ke perpustakaan, kedai buku, layari laman web tertentu?

Soalan-soalan ini adalah semakan semula dari Tanpa Tajuk, 2009, mukasurat 144, yang disuaikan mengikut masa dan persekitaran.

Soalan-soalan ini bertujuan untuk membawa pelajar memahami bidang pilihan, dan yang penting, kenal dengan cita-citanya. Pelajar boleh mengetahui kemampuan diri yang sudah sedia ada; dengan terus membina, memperbaiki dan mengurus semua kerangka kerja, serta sedar kepada perkara-perkara yang sedang dan harus dihadapinya.

Soalan-soalan ini subjektif: setiap pelajar mempunyai pandangan, ruang dan motivasi yang berbeza; namun pada masa yang sama ia juga bersifat relatif dengan adanya ruang komunikasi, samada kecil atau besar, dengan banyak perkara seperti persamaan minat, persahabatan, pemikiran dan kebudayaan umumnya.

Pelajar harus berani untuk menjawab kesemua soalan ini.

Harap Iskh dapat memahami relevan soalan-soalan ini dengan bidang studi pilihan. Beranikan diri menjawabnya secara saksama. Ia bersifat peribadi sekaligus terbuka. Iskh boleh saja mengubah, samada mengurangkan atau menambah, soalan-soalan ini mengikut kesesuaian; asal tujuan dasar mengenai kefahaman bidang pilihan, kenal cita-cita, dan langkah-langkah wajar tetap di landasan.

Semuga Iskh sentiasa sejahtera.

Januari 14, 2011