Off Walls Off Pedestals

Interlok & Interloking: Antara Mengukir Blok Marmar dan Sejarah

Posted in Uncategorized by tsabri on May 22, 2011

1 Interloking

Dua buah arca Henry Moore (Moore) muncul dalam ingatan apabila novel Interlok karya Abdullah Hussain (Abdullah) dibakar sekumpulan orang pada awal 2011 lalu. Arca-arca itu ialah Two Piece Sculpture No.10: Interlocking, berukuran panjang 91.4 cm dibuat dari gangsa pada tahun 1968; dan Interlocking Two Piece Sculpture, berukuran panjang 315 cm dibuat dari marmar putih di antara tahun 1968 – 1970. Ingatan ini muncul kerana tajuk-tajuk yang diberi berbetulan atau hampir sama, dan ini mengembangkan minat saya untuk memahami maksud perkataan interlock atau yang diMelayukan menjadi ‘interlok’ itu, serta kaitannya dengan novel Interlok.

Kenapa beberapa golongan dari kaum India itu marah benar dengan Interlok? Kenapa Interlok dijadikan sebuah teks kajian untuk pelajar-pelajar SPM? Kenapa dan bagaimana Abdullah menulis Interlok? Dan, saya juga terkenang bagaimana Moore menghasilkan ‘interloking’ pada kedua-dua arcanya itu. Walau berbeda saiz dan bahan, namun kedua-duanya membawa idea interloking yang boleh difahami sebagai suatu cantuman dua atau banyak bahagian yang mengukuhkan. Keadaan interloking yang mengukuhkan itu boleh diamati pada bentuk keseluruhan kedua-dua arca tersebut.

Saya juga teringat kepada dua autobiografi Abdullah, Terjebak dan Sebuah Perjalanan, apabila hal ini berbangkit. Kedua-dua autobiografi itu penuh dengan interloking Abdullah pada zaman mudanya dengan berbagai orang, cerita, peristiwa, tempat dan budaya dari awal hingga pertengahan abad ke20 – period yang kurang lebih sama dengan yang dijadikan sebagai latar masa Interlok. Saya menemui dua pengalaman menarik Abdullah dengan kaum India di dalam dua autibiografi ini. Interloking Abdullah dengan kaum India harus disebut di sini kerana yang tidak berpuas hati dengan Interlok sehingga terjadinya insiden pembakaran itu, adalah sebahagian besarnya dari kalangan mereka.

Di dalam Sebuah Perjalanan, Abdullah secara spesifik menyebut; Daripada persahabatan saya dengan orang-orang India di kedai gunting itulah maka saya mulai tertarik dengan negeri Kerala yang terletak di pesisir barat India. Sebab semua tukang gunting itu datang dari sana. Saya rakamkan kisah kawan-kawan saya itu di dalam Interlok. (1). Dan sebelum itu, dalam Terjebak, Abdullah menulis; …Seorang Tamil kawan baikku telah kasihan melihat aku dan kawan-kawan lain tidak makan, lalu diajaknya kami makan di sebuah kedai nasi Tamil yang masih di buka. Ia menyuruh kami berpakaian seperti orang India, agar taukeh kedai itu mau menjualkan nasinya kepada kami, kerana kalau diketahui kami bukan orang India maka ia enggan menerima kedatangan kami. (2)

Di dalam Interlok, Musa, Maniam dan Chin Huat dipertemukan oleh Abdullah supaya interloking berlaku. Masing-masing membawa cerita suka duka kehidupan zaman penjajahan di Asia pada awal hingga ke pertengahan abad ke20. Masing-masing meninggalkan tempat asal untuk berada di tanah semenanjung yang sudah banyak kali bertukar nama panggilannya ini; kecuali Musa yang digambarkan sebagai telah menetap di sini sebagai orang Melayu – tapi siapa tahu Musa juga asalnya dari tempat jauh, mungkin dari Sumatera, Jawa, Maluku atau Kemboja? Siapa tahu…

Moore sangat mengutamakan bahan untuk membuat arca. Dia hanya memilih yang terbaik samada dari kayu, batu atau marmar; dan begitu rapi sekali mengendalikan teknik tuangan gangsa. Dalam kerja mengukir, Moore biasanya bermula daripada sebuah blok kayu, batu atau marmar yang perlahan-lahan dibentuk kepada gubahan yang diingininya. Ini boleh dilihat pada Interlocking Two Piece Sculpture. Gambaran interloking itu sudah ada dalam fikirannya, dia hanya perlu membebaskan bentuk itu daripada blok marmar putih yang dipilihnya sahaja.

Jika Moore memulakan arca-arcanya dari blok-blok kayu, batu atau marmar, Abdullah juga boleh dikatakan berbuat demikian. Dia memulakan Interlok dari sebuah blok sejarah yang berlatarbelakangkan period tertentu di tanah semenanjung ini. Dari blok sejarah yang dialaminya sendiri itu dikeluarkan Musa, Maniam, Chin Huat dan lain-lain sehinggalah ditamatkannya dengan peristiwa kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Namun, blok yang diukir menjadi Interlok itu adalah dari blok yang sudah tersedia dari sebuah peraduan mengarang novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) idea Allahyarham Tun Abdul Razak (Tun Razak), ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Peraduan mengarang novel itu adalah sempena sambutan sepuluh tahun Malaysia merdeka pada tahun 1967. Peraduan mengarang novel itu juga memberikan blok-blok sejarah untuk diukir oleh Arena Wati menjadi Sandera, Aziz Jahpin menjadi Pulanglah Perantau, dan Kathijah Hashim menjadi Merpati Putih Terbang Lagi. Kita mungkin tidak akan dapat membaca Interlok jika DBP tidak menganjurkan peraduan itu!

2 Membedakan Kesenimanan?

Har har har. Tidak. Saya tidak bermaksud untuk membedakan kesenimanan Abdullah dengan Moore. Masing-masing mempunyai cara dan pendekatan yang tersendiri, apalagi Abdullah seorang novelis dan Moore pula dikenali sebagai seorang pengarca – dan tentu saja apreasi ke atas bentuk novel dan arca memerlukan pendekatan yang lebih komprehensif di antara keduanya. Saya cuma ingin menyusuri maksud interlok atau interloking – yang akhirnya membuat segolongan kaum India di Malaysia membantah, marah dan membakar Interlok. Moore dan arca-arcanya hanya hadir sebagai ‘pengukuh’ kepada maksud perkataan ‘interlok’ dan ‘interloking’ sahaja. Perhatikan apa yang dicatat oleh Moore;

Pebbles and rocks show Nature’s ways of working stone. Smooth, sea worn pebbles show the wearing away, rubbed treatment of stone and principles of asymmetry. Rocks show the hacked, hewn treatment of stone, and have a jagged nervous block rhythm. Bones have marvelous structural strength and hard tenseness of form, subtle transition of one shape into the next and great variety in section. Trees (tree trunks) show principles of growth and strength of joints, with easy passing of one section into the next… Shells show nature’s hard but hollow form (metal sculpture) and have a wonderful completeness of single shape.  (3)

Pemerhatian Moore terhadap alam sekeliling sangat tajam. Dia melihat batu-batan, tulang, kayu dan cengkerang; lalu belajar dari semua itu. Dia meng’interlok’kan unsur semulajadi dari objek-objek itu menjadi gubahan-gubahan arcanya. Hal ini juga berlaku kepada Abdullah dan semua pengkarya lain biarpun dalam keadaan dan konteks yang berbeda.

Latar kehidupan Abdullah penuh dengan interloking: dia hidup sebagai kanak-kanak dalam latar yang berbaurkan unsur animisme, Tuk Lang saya dan beberapa orang lain yang pernah mengikutinya ke laut telah pernah melihat hantu itu yang dipanggil naik ke atas perahu oleh datuk saya. (4), internasionalisme di Asia Tenggara awal abad ke20 ketika zaman remaja, Saya juga suka menonton filem-filem adventure seperti filem King Kong. Pertama kali filem King Kong itu datang ke Alor Setar para penonton menyerbu sahaja masuk ke dalam panggung tanpa membeli tiket lagi… (5), dan antikolonialisme Asia Tenggara di pertengahan abad ke20 ketika awal dewasanya, Sebagai seorang anak muda yang sedang berkobar-kobar dengan semangat kebangsaan, maka saya telah bercakap tentang sifat-sifat perjuangan dan sendi kekuatan sesuatu bangsa dalam mencapai kemajuan, dengan memetik ucapan pemimpin India yang terkenal Lal Ripat Rai… (6), yang akhirnya di dalam Interlok, diterjemahkan serba sedikit melalui watak Seman, Balakrisnan dan Yew Seng dan beberapa orang lain.

Malaysia, as most of you well know, is a multi-racial, multi-religious and multi-cultural country. It is a meeting place of the great cultures of the great countries of Asia – of India, China and the Malay-Polynesian region of Asia. Also in comparatively recent history, Malaysia has been the subject of cultural impacts and influences by countries of the Middle East and by European countries. Therefore Malaysia can be truly said to be the melting-pot of the cultures of the great world.  (7).

Abdullah boleh dikatakan menerima blok sejarah untuk menulis Interlok secara langsung. Multi-racial, multi-religious dan multi-cultural menjadi latar Interlok walau cuma watak-watak dari kaum Melayu, Cina dan India sahaja ditonjolkan sebagai mewakili kaum-kaum utama.

3 Belanga yang Menggelegak

Karya-karya interloking Moore jelas dan terancang. Idea dan estetika interloking berada di dalam arca-arca itu. Novel Interlok pula membawa idea interloking yang begitu mengkagumkan – yang berlaku di antara watak, persekitaran atau tempat, apa lagi yang dilatari dengan sejarah atau sesuatu peristiwa. Sebagai pembaca, kita bebas pula menghubungkan atau membuat interloking baru dengan pengalaman-pengalaman lain. Abdullah benar-benar menjadikan pengalaman hidupnya sebagai rujukan besar untuk menulis Interlok. Abdullah memang pandai bercerita.

Illustrasi kulit depan Interlok edisi khas Sasterawan Negara, DBP, 1996, adalah sebuah catan bertajuk Ayah dan Angkasawan, karya Allahyarham Ibrahim Hussein, seorang artis terkenal Malaysia yang juga adik kepada Abdullah. Saya fikir interloking yang ada pada Interlok itu terus berkembang melalui Ayah dan Angkasawan pula! Keadaan interloking yang menarik ini tidak perlulah ‘dibakar’ kerana saja sebahagian dari kita gagal memahaminya lalu menjadi marah. Belajarlah semula dan sedarlah bahawa interloking itu tidak membosankan malah mampu pula mencambahkan idea-idea baru!

Rujukan:

1.     Abdullah Hussain. (1984). Sebuah Perjalanan. Kuala Lumpur: DBP. Halaman 346.

2.     Abdullah Hussain. (1977). Terjebak. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara. Halaman 1 – 2.

3.     Moore, H. in Mitchinson, D. & Stallabras, J. (1992). Henry Moore. S. A: Ediciones Poligrafa

4.     Abdullah Hussain. (1984). Sebuah Perjalanan. Kuala Lumpur: DBP. Halaman 15.

5.     Abdullah Hussain. (1984). Sebuah Perjalanan. Kuala Lumpur: DBP. Halaman 126.

6.     Abdullah Hussain. (1984). Sebuah Perjalanan. Kuala Lumpur: DBP. Halaman 218.

7.     A. Karim Haji Abdullah. (Ed.) (1987). Pemikiran Tun Razak tentang Bahasa, Sastera dan Budaya. Kuala Lumpur:                  Dewan Persuratan Melayu Pahang. Halaman 76.

One Response

Subscribe to comments with RSS.

  1. Noraida said, on May 22, 2011 at 3:58 pm

    Sangat menarik penulisan ini yang mengupas isu semasa dalam konteks kesenian (seni rupa dan seni sastera). Saya nak tulis ‘jarang sekali’ tapi sebenarnya saya ‘tidak pernah’ berjumpa pelukis/pengarca yang boleh menulis dengan baik sekali.


Leave a comment