Off Walls Off Pedestals

Jeri dalam Kenangan: Sebuah Cerpen Mengenai Cinta

Posted in My Artist-Friends by tsabri on June 27, 2011

Ahmad Azhari, lebih dikenali sebagai Jeri, adalah seorang sahabat-artis yang sudah meninggal dunia. (Lihat Belasungkawa untuk Hero Pop SERUM). Ramai yang tidak tahu, selain melukis, Allahyarham juga rajin menulis. Berikut adalah sebuah cerpen tulisan beliau, terbit dalam majalah ‘Fantasi’ bulan Julai 1992.

______

KIRANYA CINTA ITU UNTUK DIBERIKAN, KENAPA IANYA BEGITU SUKAR, MAMA?

VINCENT VAN GOGH MEMOTONG TELINGANYA LALU DIHANTAR KEPADA MARILYN MONROE. MARILYN BEGITU TERHARU DAN MENINGGALKAN SEGALA YANG ADA PADANYA – KARIER, KOLAM RENANG, SENYUMAN BERAHI, TELEFON, KEMATIAN DAN SEMUANYA, LALU PERGI KE SELATAN PERANCHIS UNTUK BERSAMA VINCENT VAN GOGH.

Apakah mereka di dalam kegembiraan yang berpanjangan? Tidak, tiada siapa yang tahu. Tapi mereka cuma BERPURA hidup dalam keriangan. Dan setelah semua keadaan menjadi kepuraan, pura-pura gembira adalah hampir sama dengan kegembiraan sebenar.

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Bila dia membuka bungkusan dan terjumpa telinga, Marilyn terharu dalam senyuman.

Marilyn Monroe meletakkan telinga itu di dalam kotak ROSEWOOD di atas meja soleknya. Dia selalu mengeluarkan telinga itu dari kotak dan membelainya, merasakan kehangatannya dan menggigil ketawa.

Sekali, pernah telinga itu dijadikan loket di rantai peraknya dan memakainya ke parti. Dia selalu mengharapkan agar dapat menulis perkataan “TERIMA KASIH” kepada tuan punya telinga itu, tapi tak pernah dapat berbuat demikian.

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Beberapa minggu kemudian, bungkusan itu dikembalikan kepada Vincent van Gogh dan tertulis ‘PENERIMANYA SUDAH TIADA’.

Vincent van Gogh membuat penyelidikan dan didapati benar. Di dalam penyelidikannya didapati Joe DiMaggio memesan ros merah untuk diletakkan di kubur Marilyn Monroe setiap tiga hari sekali untuk selamanya. Bukan hanya sepanjang hidup Joe DiMaggio dan bukan hanya di zaman kegemilangan Hollywood, filem dan hari pengkebumian, tapi selamanya.

Vincent van Gogh bersandar kepada mahkota epileptik BUNGA MATAHARI dan katanya, “Selepas dunia berakhir, Joe DiMaggio akan memperolehi wang pulangannya.”

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Marilyn Monroe memotong salah satu dari telinganya dan mengirimkan kepada Vincent van Gogh. Vincent van Gogh memotong jari kakinya dan mengirimkan kepada Marilyn Monroe. Mariyn Monroe menghantar satu jari kakinya sebagai balasan. Kemudian, Vincent van Gogh memotong kelopak mata dan mengirimkannya. Sebagai balasan dia menerima kelopak mata dari Marilyn Monroe. Maka terjalinlah persahabatan yang intim antara mereka. Mereka bertukar-tukar jari manis, lidah dan pusat. Suatu hari, Vincent van Gogh memotong hatinya dan terburu-buru menghantarnya ke Hollywood, tapi Marilyn Monroe merasa bosan dengan segalanya dan lari ke Tijuana bersama Warren Beatty.

Vincent van Gogh berasa hampa, tetapi tidak terperanjat kerana dapat menduga tentang permainan cinta.

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Tidak lama kemudian, Marilyn Monroe terbang ke Paris, memandu kereta yang disewa ke selatan Perancis dan memanggil Vincent van Gogh.

Melalui perkenalan formal, Marilyn Monroe mengeluarkan sekotak kek HOSTESS TWINKIES. Kerana kek hostess twinkies selalu diletakkan berpasangan, seperti koyot, gorilla dan paus yang membunuh dan burung bangau. Hostess twinkies adalah sahabat dalam kehidupan, jadi mereka makan seorang satu.

Selesai makan, Marilyn Monroe mencapai bakul jahitan, mengeluarkan jarum dan benang yang berwarna hijau dan menjahit telinga Vincent van Gogh di tempat asalnya.

“Itu dia,” katanya sambil menjilat krim di tepi mulutnya. “Itu dia budak nakal. Lain kali kalau hendak memberi sesuatu sebagai tanda kasih, ingatkan cara kuno Yahudi. Tidak kelam kabut, lebih bermakna dan mudah diterima.”

“Ingat, kepada manusia adalah telinga, pada anggota adalah pancaindera.”

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu menghantar kepada Marilyn Monroe. Telinga yang terpotong mengingatkan Marilyn Monroe tentang bulan sabit. Beberapa jam dia membuat perkiraan menerusi cahaya bulan.

Lalu menelefon Vincent van Gogh.

“Adakah bulan mempunyai makna tertentu?” Dia bertanya.

Vincent van Gogh memikirkan soalan itu dan memutuskan ianya soalan bodoh.

Albert Camus menulis satu soalan yang serius. “Apakah boleh membunuh diri atau tidak?” Tom Robins menulis satu soalan yang serius iaitu. “Adakah masa terakhir sudah bermula?” Camus benar-benar bangun di sebelah katil yang salah. Robins mungkin terlupa untuk mengunci jam locengnya. Hanya ada satu soalan yang serius: SIAPA YANG TAHU BAGAIMANA MEMBUAT CINTA SEJATI? Berikan jawapan kepada ku dan aku akan beritahu sama ada engkau boleh atau tidak mengambil nyawa sendiri.

Beritahu ku, agar aku bersihkan minda mu mengenai bermulanya hari terakhir. Beritahu ku, agar dapat ku jelaskan bahawa bulan mempunyai makna tertentu.

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Paul Gauguin kebingungan.

“Itu adalah perasaan buruk, Vincent,” kata Gauguin. “Beratus tahun dari sekarang, selepas kau mati dan hilang, engkau hanya diingati tentang memotong telinga daripada kecantikan dan kejujuran lukisan mu.”

Daripada celah balutan, Vincent van Gogh menjeling Paul Gauguin dan tersenyum. “Jangan bimbang,” katanya. “Seni akan mengawal keseniannya. Dan apa dunia nak kata selepas kematian ku, bukanlah urusan ku. Yang menjadi urusan adalah HIDUP. Yang menjadi urusan adalah CINTA.

Hari berikutnya, Paul Gauguin menyembelih isterinya dan pergi ke Tahiti.

“Kesian Gauguin,” keluh Vincent van Gogh. “Dia hanya faham sebahagian daripada cakap ku.”

Vincent van Gogh memotong telinganya lalu dihantar kepada Marilyn Monroe. Tiba-tiba dia berfikir dua kali dan merasa sedih yang amat sangat.

“Oh, kenapa aku percaya sangat,” tanyanya. “Telingakan lebih berharga. Bagaimana kalau dia tak suka telinga? Baik hantar sesuatu yang lebih baik. Sepatutnya aku menghantar kentang, ubat gigi atau lakaran berus yang menceritakan tentang cinta. Aku tahu telinga hanya membuatkannya rasa terharu. Patutlah mereka memanggil ku Vincent van Gauche. Aku yang menghancurkannya.” Di dalam kegelisahan, dia menerima satu nota, “Kehadapan tuan,” pembukaannya, “Terima kasih banyak kerana dompet sutera.” Vincent van Gogh rileks, dia tersenyum luas dari telinga kiri hingga ke… oooops.

Vincent van Gogh memotong telinganya. Dia mahu menghantarkannya kepada Marilyn Monroe, tapi tak tahu bagaimana nak buat.

Dia tak mahu untuk menghantarnya sendiri. Mereka tidak mengenali antara satu. Atau menghantarnya ke studio Marilyn Monroe, tentu wanita itu akan membuangnya. Bolehkah dipercayai keretapi ekspress atau DHL atau securicor yang dikawal dengan senjata api?

Telinga adalah tanda cinta Vincent van Gogh. Tidak dapat menghantarnya dengan cara biasa, lalu menghantarnya melalui seekor burung gagak.

Rujukan:

Marilyn Monroe: Lagenda bangsa Yahudi.

Vincent van Gogh: Semua orang yang tahu, tahu.

Paul Gauguin: Sahabat van Gogh yang banyak melukis wanita Tahiti berbogel.

Albert Camus/Tom Robbins: Penulis/Pemikir.

Joe DiMaggio: Teman lelaki Marilyn Monroe sebelum mati.

* Foto Vincent van Gogh, Marilyn Monroe & Joe DiMaggio adalah dari Wikipedia.

One Response

Subscribe to comments with RSS.

  1. Noraida Radot said, on August 9, 2011 at 6:58 am

    surrealist?


Leave a comment