Off Walls Off Pedestals

Seketika bersama Naser Baharuddin mengenai Syed Ahmad Jamal, Gunung Ledang dan Abstrak Ekspresionisme Malaysia

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on March 2, 2011

Suatu ketika, Naser Baharuddin (Naser), sahabat saya yang juga seorang artis dan akademik, telah menulis mengenai karya Seniman Negara Syed Ahmad Jamal (SAJ) di dalam blognya http://www.visualcrackers.com/ Berikut adalah respons saya:

1

Hmmm… sebuah lagi cerita tentang Abstrak Ekspresionisme dan Warisan Agong Melayu! ‘Karya-karya saya berjiwa Islamik dan berbentuk kontemporari…’ (terjemahan dari pernyataan SAJ – my works have an Islamic soul and a contemporary form).

Syed Ahmad Jamal | Gunung Ledang | 1978

Hmmm… Maka Tiara Jacquelina pun menaruh kepercayaan kepada Saw Teong Hin untuk menyuruh Ahmadi Hassan berjualan dan berpantun di birai pantai Melaka yang selalu kedatangan perahu kapal rakit dari luar yang di birai pantai itu jugalah teradanya enam tujuh buah binaan berupa warung atau kedai berjualan entah apa entah sayur juga. Mana pelabuhan Melaka empayar tersohor untuk kapal Tiara Jacquelina yang bergelar Gusti Putri Retno Dumillah berlabuhan?

Maka tiba-tiba M. Nasir yang banyak mencipta lagu cinta-cintaan itu pun mendongak ke atas lalu terlihat olehnya Gunung Ledang yang sekarang sudah bersegi tiga! Bersegi tiga kah Gunung Ledang? Mat Rohko? Klipok Sti? Han Hohme? Sapo dio tu? Puok mano ni Tuoh? – Seorang sahabat Hang Tuah dari Kelantan pun bertanya. Harharhar… !

Hmmm… karya-karya saya berjiwa Islamik dan berbentuk Kontemporari…hmmm.. Apa yang dapat kita pelajari dari ayat atau ini? Mahu apa dia berkata demikian?

2

Saya sering tidak dapat membaca karya-karya SAJ dengan baik kecuali menghubungkannya dengan keterpesonaan artis Malaysia kepada Abstrak Ekspresionisme Amerika yang tidak sudah-sudah itu – malah lebih dari itu juga kepada Seni Islam atau apa saja isme yang dikatakan menjadi inti (essence) kepada pengkaryaan seseorang artis. Betapa tidak – sedang Abstrak Ekspresionisme Malaysia yang dimunculkan bersama karya-karya SAJ, A. Latif Mohidin, Ibrahim Hussein dan lain-lainnya di tahun 1960an, kita juga akan menemui Abstrak Ekspresionisme di tahun 1990an dengan kehadiran Yusof Ghani dan lain-lainnya.

Persoalannya juga – apabila SAJ mengatakan – ‘my works have an Islamic soul’ – apakah dia teringat akan datuk nenek moyangnya? Juga, Yusof Ghani, teringatkah dia kepada kawan-kawannya di India? Dan pernahkah Sulaiman Esa masuk belajar di woksyop miniatur Parsi untuk melukis figura? Juga, pernahkah Tiara Jacquelina bertapa di Gunung Ledang lalu mendapat ilham untuk menjadi Puteri Gunung Ledang? Harhar…

Perkara-perkara yang saya sebut sering bermunculan apabila saya cuba membaca karya-karya SAJ. Nampaknya tanda dan penanda yang digagas oleh Saussure itu menjadi bertindihan, malah berlumba pula untuk mengakui yang ini yang benar – itu yang salah! Perlu apa Willem de Kooning menari di Malaysia? Perlu apa Chritine Hakim mengiringi Gusti Putri Retno Dumillah sampai ke puncak Gunung Ledang?

Membaca karya-karya SAJ – saya amat terkesan dengan ‘karya’nya sebagai Pengarah BSLN di dekad 1980an. Ketika itu BSLN meriah – saya jadi sedikit nostalgik; betapa acara-acara perasmian pameran sentiasa terpenuh: dengan beraneka jenis kueh-muehnya, dan kita berbaris-baris dengan bas ITM. Dan karya-karya yang dipamer sentiasa menjadi perbualan. Lalu saya jadi sedikit kurang senang apabila melihat sebuah karya catan besar SAJ (terlupa pula apa tajuknya), sedikit herot bingkai atau stretchernya terpamer di BSLN. Sebuah catan besar Seniman Negara terherot bingkai asas nya! Disengajakan? Atau tiada siapa yang peduli?

3

Ok _ada dua hal yang boleh direnungi mengikut kata Naser apabila membaca kenyataan SAJ: Karya-karya saya berjiwa Islamik dan berbentuk kontemporari.

  • Hubungan Islam dengan bentuk kontemporari: Islam itu satu cara hidup, Ad-din. Mudahnya, ia adalah cara mana manusia yang dianugerahi akal itu menjalani hidupnya di  bumi; menurut pedoman atau aturan yang ditetapkan Allah S.W.T Apa kehendak Allah apabila menurunkan KitabNya? Bagaimana Rasul-rasulNya merealisasikan kehendakNya? Jadi, artis Muslim itu wajarnya punya tujuan. DAN, apa itu bentuk kontemporari? Apa bentuk kontemporari bagi SAJ? Abstrak Ekspresionisme Amerika? Apa bentuk kontemporari bagi saudara Naser sendiri? Pada saya?
  • Keherotan Kuratorial: Ini suatu hal yang membuat SERUM menjadi lekeh. Suatu bentuk kursus kuratorial sudah sampai waktunya diperkenalkan di universiti-universiti tempatan.

Satu lagi pernyataan SAJ yang menarik untuk dibaca – “As a painter, I want to capture the essence and immortalize it in painting.” Atau, as an artist, I want to capture the essence and immortalize it in my works, menjadi, kalau diterjemah: sebagai artis, saya ingin mendapatkan saripati dan mengabadikannya ke dalam karya-karya saya.

… hmm, Apa essence itu? Saripati?

4

“As a painter I want to capture the essence and immortalize it in (my) painting.”

Apa yang dikatakan ‘essence’ itu? Apa perkataan Melayu yang boleh kita gunakan untuk menterjemahkan ‘essence’? – saripati, intipati, perkara yang paling asas? Bagaimana rupa dan bentuk saripati atau intipati itu? Bentuknya tidak berubah-ubah? Atau akan berlainan atau berubah tergantung kepada keadaan tempat, masa atau seseorang? Ini penting kerana sebagai seorang pencatan (painter), SAJ  dan artis lain yang bersependapat mahu mendapatkan essence untuk diabadikan ke dalam catan-catan mereka! Apa sebagai penghayat atau audien, kita telah menemui saripati yang telah diabadikan itu? Mana?

Catatan diatas ditulis sebelum Naser menutup hal ‘Islamic soul’ dan ‘contemporary form’ dengan merumuskan bahawa kondisi SERUM tidak berubah – serupa dari dulu hingga kini; hanya penyataan gaya dari penyelidikan ilmiah yang membosankan (bosan kerana tiada ada apa yang menarik – exciting?). Atau dalam kata lain, perkembangan SERUM tidak ‘exciting’ – begitu?

…terus. Saya teringat akan baris karangan SAJ dalam makalahnya pada pameran Seni Lukis Malaysia 30 Tahun dalam tahun 1987. Katanya – ‘Malaysian Art starts now!’ Apa yang ‘Now’nya di tahun 1987? Dan apa juga yang ‘Now’nya sekarang? Abstrak Ekspresionisme?

(Malaysian) Art is Dead! Begitukah kemudiannya? Harharhar…

Naser di BSLN | 2011

Halatuju Seni Rupa Malaysia (Nota Tahun 2003)

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on March 1, 2011

BSLN: Balai Seni Lukis Negara

BMS: Bakat Muda Sezaman

Seperti yang dicatat, pada 19 & 26 Februari 2011 yang lepas, BSLN telah menganjurkan sebuah Bicara Seni khusus membicarakan persoalan ‘pendirian’ dan ‘halatuju’ artis dan karya BMS. Berikut adalah nota yang saya buat berkaitan dengan ‘halatuju’ pada tahun 2003. Saya dapati apa yang dibincangkan di Bicara Seni BMS, terutamanya pada 26 Februari itu, tidak ada bezanya dengan apa yang saya notakan pada tahun 2003 dahulu.

Halatuju SERUM

Kita berada di zaman globalisasi. Pertemuan dan perbauran antara berbagai ide dan perkara sedang rancak berlaku kerana banyak sempadan dan dinding telah diroboh atau ditembusi. Yang tidak berdaya ditindas, ditinggalkan atau paling tidakpun dijadikan bahan kajian oleh pihak yang mampu dan penuh daya. Dimana kita? Dimana Seni Rupa Malaysia (SERUM)?

SERUM adalah salah satu jelmaan dari semangat berdirinya negara Malaysia sejak 46 tahun yang lalu. Sikap toleran dan demokratis masyarakat Malaysia yang terdiri dari beraneka kepercayaan, bangsa dan suku kaum itulah yang menciri dan memaknai SERUM sehingga kini. Bentuk kesenian masa lalu dan masyarakat asal, sebelum Malaysia, menyediakan banyak peluang perkembangan dan terus hidup bersama dengan ide-ide masyarakat mendatang, disamping pengaruh-pengaruh internasionalisasi abab ke 20.

Perkembangan SERUM, yang tidak sampai setengah abab ini pun lagi, sebenarnya masih pada peringkat awal perkembangan – baru dalam mengatur langkah, masih dalam proses pembuatan dan pengukukuhan landasan. Dan, dalam proses awal yang penuh cabaran ini, kita kerap diajukan dengan persoalan-persoalan yang dianggap besar seperti halatuju dan bentuk SERUM.

Semestinya persoalan-persoalan ini penting dan wajar dibincangkan, namun setakat ini tidak banyak usaha-usaha yang dapat dilihat sebagai membina. Yang banyak adalah suara-suara tidak puas hati, kekecewaan, pesimisme, penuh prasangka dan saling tuduh-menuduh. Dan, yang ada pula serba tidak kena, tidak cukup itu tidak kemas ini, sehingga terkesan kejahilan dan kurangnya ilmu kita. Telah tersasarkah kita? Telah tersalah jalankah kita? Tidak tahu dan tidak kenalkah kita dengan bentuk sendiri?

Halatuju tetap ada di depan. Soal kemana, bagaimana dan macamana rupa halatuju itu tentulah bergantung kepada kerja-kerja kita. Namun, semestinya semua harus sedar dan terus memunafaatkan waktu dan ilmu. Kita kini bersama-sama bersaing dengan masyarakat dari kebudayaan-kebudayaan besar yang telah lama matang.

Tsabri Ibrahim

March 2003

Inside: Continued Lessons (view 4) | 2004 | Rumah Air Panas, K. Lumpur

Sekarang! : Beberapa Tanggapan Selepas Bakat Muda Sezaman 2010

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on February 14, 2011

Sekarang!

Di depan kita adalah karya-karya artis Bakat Muda Sezaman 2010 (BMS10). Karya penerima anugerah dan yang terpilih untuk diketengahkan sebagai karya-karya artis muda sezaman kita. Apakah yang dipertontonkan atau dipamerkan ini? Bermutukah karya-karya ini, berbanding dengan apa yang kita temui di BMS00, BMS02, BMS04 dan BMS06? Bagaimana dengan kedudukan karya-karya artis muda kita ini berbanding dengan karya-karya dari sahabat sezaman mereka di rantau ini: Singapura, Indonesia, atau Thailand, misalnya sebelum kita melihat lebih jauh ke Timur Jauh, Eropah atau Amerika? Soalan-soalan ini menjadi semakin penting apabila kita mahu melihat yang BMS itu seperti satu forum untuk melahirkan artis-artis penting Seni Rupa Malaysia (SERUM).

Betapa! Nama-nama besar dan aktif dalam SERUM sekarang adalah pemenang-pemenang BMS dekad-dekad 1980an dan 1990an: walau tidak kesemua penerima-penerima anugerah dari dekad-dekad itu yang terus berkarya, malah ada yang terus tidak kedengaran langsung! Mari kita bicara BMS dari tahun 2000 hingga sekarang, 2010. Saya tertarik dengan tempoh ini kerana ia sangat hampir pula dengan maksud ‘sezaman’ di mana kita semua sedang menjalani kehidupan ini, berfikir mengenainya, serta turut sama bertindak balas terhadap sebarang anjakan, perubahan dan cabaran-cabarannya. Dekad 1970an, 1980an dan 1990an boleh dikirakan sudah menjauh, di abad lalu. Sekarang BMS dekad pertama abad ke 21. Sedikit hari lagi kita akan memasuki dekad kedua abad ke 21.

Kita mulakan saja dengan melihat lapuran-lapuran panel juri atau hakim BMS di sepanjang dekad ini. Mendiang Joseph Tan Chan Jin dalam lapuran panel juri BMS00 menulis, ‘Keseluruhannya, pertandingan ini tidak menggambarkan hasil karya yang terbaik pelukis (baca: artis) muda seperti yang diharapkan, mungkin kerana penyertaan yang kurang oleh para peserta.’ (Joseph Tan. 2000). Menulis untuk BMS002, Zanita Anuar membawa nada yang hampir sama: ‘Tahun ini para hakim hampir putus harapan untuk menampilkan pemenang BMS02. Ini adalah disebabkan para hakim secara keseluruhan tidak mengalami apa-apa rangsangan yang baru atau luarbiasa.’ (Zanita. 2002). Terus, Hasnul Jamal Saidon pula mencatatkan, ‘Secara keseluruhannya, kesan rasa eksposisi tahun ini adalah suatu suasana kehadiran yang terasing-asing, terpecah dalam pelbagai kapsul masa yang berbeza tanpa kesepaduan, perkaitan dan kesinambungan… (Hasnul Jamal. 2004), dalam eseinya untuk BMS04. Untuk BMS06 pula, Nasir Baharuddin menulis,’…para juri telah bersepakat pertandingan tahun 2006 tidak mempunyai ‘impact factor’ yang mendokong kepada persoalan inovasi serta perancangan kepada kemajuan senilukis (baca: seni rupa) dan pertandingan BMS itu sendiri.’(Nasir. 2006). Dan terakhir, saya dan kawan-kawan dalam Panel Juri BMS10 turut membuat pandangan yang senada seperti yang tertulis dalam Lapuran Juri BMS10.

Hal-hal yang disebut di perenggan atas boleh dikatakan sebagai suatu gejala utama yang menghiasi setiap BMS dekad pertama abad ke 21 ini. Dan tulisan ini adalah berlatarbelakangkan rasa ‘hilang harapan’, ‘tiada rangsangan’, ‘asing dan terpecah’, ‘tidak ada faktor impak’ dan ‘tidak memenuhi kehendak’ yang disebut pada setiap BMS sepanjang dekad ini. Apakah yang tidak kena? Apakah yang membuat kesemua panel juri atau hakim BMS mencatat rasa yang sedemikian?

Sejarah

Kita kembali sejenak ke tahun 1999, di abad lalu, ketika Balai Seni Lukis Negara (BSLN) membuat pameran Imbasan Bakat Muda Sezaman 1974 – 1997. Pameran yang berupa satu penyelidikan dan penilaian terhadap pencapaian penerima-penerima anugerah BMS sejak mula ia diadakan 36 tahun dahulu itu menghimpunkan karya-karya yang memenangi anugerah dan terbaru, pada ketika itu. Zanita Anuar dalam tulisan kuratorialnya merumuskan tiga ciri penting yang dikira boleh ‘membentukkan kemajuan dan halatuju BMS’. Ciri-ciri yang dimaksudkan ialah, ‘1) Penapisan Pelukis (baca: artis) Baru Keluaran Institusi, 2) Ciri Rekonstruksi Konsep Budaya, dan 3) Ciri Penerokaan Media’. (Zanita. 1999).

Makanya, kecemerlangan dan juga kelemahan BMS dekad-dekad 1970an, 1980an dan 1990an patut sekali dijadikan sandaran sejarah oleh artis-artis muda SERUM, atau yang mahu berforum di BMS. Sampai sekarang karya-karya artis BMS dari dekad-dekad itu, seperti antara lain karya Long Thien Shih, Ruzaika Omar, Mustapha Haji Ibrahim, Siti Zainon Ismail, Zulkifli M. Dahalan, Lee Kiang Seng, Ponirin Amin, Sharifah Fatimah Syed Zubir, Fauzan Omar, Zakaria Awang, Amron Omar, Nasir Baharudin, Rafie Ghani, Jalaini Abu Hassan, Awang Damit, Mastura A. Rahman, Wong Hoy Cheong, Kungyu Liew, Tan Chin Kuan, Fauzin Mustaffa, Zulkifli Yusoff, Bayu Utomo Radjikin, Ahmad Shukri Mohamed, Noor Azizan Rahman Paiman, Chuah Chong Yong, Hasnul Jamal Saidon, Fadzil idris dan Nur Hanim Khairuddin, sekadar menyebut beberapa nama, tetap segar dalam apresiasi karya-karya SERUM dan terus berkembang pula mengharungi zaman. Pernyataan ini bukanlah pula hendak menghukum yang karya-karya dekad  2000an ini sangat buruk dan tidak seperti karya artis-artis BMS dahulu, namun pernyataan-pernyataan panel juri BMS 2000an yang disebut harus diberi perhatian serius, bukan sahaja untuk artis muda, tetapi semua yang terlibat dalam SERUM.

Ciri Rumusan dari Imbasan BMS 1974 – 1997 dan Pengalaman BMS10.

Mari kita lihat rumusan Zanita mengenai ciri-ciri penting ‘yang membentuk kemajuan dan halatuju BMS’ seperti yang disebut. Saya bermaksud hendak memadankan tanggapan-tanggapan yang saya perolehi dari berdepan dengan karya-karya BMS khususnya BMS10, dengan ciri-ciri BMS yang dirumus Zanita itu.

Ciri pertama yang disebut Zanita adalah berkaitan dengan pendidikan seni: artis baru keluaran institusi pendidikan seni. Sememangnya artis-artis BMS lahir dari institusi-institusi pendidikan seni, samada di tanahair atau diluar negara, kecuali beberapa orang artis pemula BMS seperti Mustapha Haji Ibrahim dan Zulkifli M. Dahalan yang belajar sendiri. Rata-rata artis BMS belajar seni rupa secara formal dan kemudiannya ada pula yang menjadi pengajar, serta ada yang meneruskan pelajaran hingga ke peringkat ijazah kedoktoran sambil terus-menerus berkarya. Ada yang menceburi bidang-bidang lain tetapi tetap berkarya, dan yang membanggakan ada yang berjaya menjadi artis sepenuh masa, namun pertalian dengan pendidikan seni boleh dikatakan tidak putus.

Membaca tulisan-tulisan Allahyarham Redza Piyadasa, T.K. Sabapathy dan SN Syed Ahmad Jamal mengenai perkembangan SERUM di dekad-dekad 1970an, 1980an dan 1990an, kita akan menemui pernyataan-pernyataan yang menyakinkan mengenai motivasi, apresiasi dan estetika yang mendampingi karya-karya artis BMS ini serta kaitan pengaruh pendidikan seni formal yang diterima dari institusi-institusi seni. Pengaruh modenisme pada dekad-dekad ini amat tebal dengan berbagai penonjolan gaya yang ternyata dipinjam dari Seni Moden seperti gaya Surrealisme, Vitalisme, Abstrak Ekspresionisme, Seni Konseptual, Pop Art dan lain-lain, selain daripada penggunaan imajan atau tema tempatan, serta juga Seni Islam yang ternyata lahir dari institusi-institusi seni. Sementara dekad 1990an pula memperkenalkan kita kepada Seni Instalasi dan Seni Multimedia, antara lain.

Di BMS10 juga saya menemui hal ini, dan memanglah mereka semuanya belajar seni rupa secara formal. Ada yang belajar di peringkat sarjana dan kedoktoran. Ada juga yang sudah menjadi pengajar atau pensyarah seni rupa di institusi-insitusi seni tempatan. Sebelum bertemu dengan artis-artis BMS10 bersama karya-karya mereka di hari penilaian, saya membuat andaian yang mereka akan dapat menerangkan karya mereka dengan baik; sungguhpun membaca pernyataan-pernyataan artis yang mereka kepilkan dalam folio cadangan agak menggusarkan. Rata-rata pernyataan artis yang dikepilkan itu kurang membayangkan kefahaman dan keupayaan akademik seperti yang diharapkan. Saya bermaksud untuk menyatakan yang di BMS10, idea-idea mengenai perkembangan dan kandungan sesebuah karya itu tidak dapat disusun dengan baik; lalu tentulah penjelasan bertulis mengenainya menjadi agak bercelaru.

Terus apabila wawancara diadakan, saya mula mendengar hujah-hujah yang menggambarkan kurangnya rujukan dan penyelidikan yang dibuat dalam mempersiapkan karya. Ramai yang menjadi defensif apabila pernyataan atau penjelasan mereka dicabar, atau bila diminta membuat penjelasan lanjut dengan mengemukakan alasan dan rujukan yang relevan. Dan tidak kurang pula yang membuat pernyataan-pernyataan janggal atau salah. Semangat antar disiplin, kebijakan lokal, teknologi, kesedaran global dan daya persembahan yang disebut Zanita (2002b) dalam BMS02 hampir tidak dapat ditemui.

Dan ini membuat saya menyoal: Bagaimana mereka belajar? Apa yang mereka belajar sebagai pelajar seni? Bagaimana bentuk kurikulum yang diajarkan? Soalan-soalan ini terus menghantui saya apabila saya teringat cerita seorang kawan akademik, ahli sejarah seni dan juga pelukis, yang baru-baru ini dijemput sebagai penilai undangan untuk penilaian akhir karya-karya pelajar diploma seni rupa di sebuah universiti. Beliau bercerita tentang ketiadaan mata-pelajaran teori termasuk sejarah seni dalam kurikulum peringkat diploma itu. Jadi, di depan saya adalah hasilan dari kurikulum yang sebegitu: tidak ada atau  kurangnya latarbelakang sejarah seni, estetika, maupun apresiasi seni rupa, apatah lagi ilmu-ilmu kemanusiaan yang lain seperti antropologi, sosiologi, atau pun studi budaya.

Saya percaya yang mata-pelajaran teori atau kemanusiaan yang berkaitan dengan seni rupa dan budaya amnya amat perlu, tidak kira pada peringkat pembelajaran mana sekali pun, untuk membentuk dasar pemikiran artis-artis kita supaya dapat menghasilkan karya-karya yang jelas bermutu. Mana mungkin belajar seni rupa tanpa mengetahui sejarah perkembangan dan rujukannya, apatah lagi dalam keadaan sezaman yang pesat dengan perkembangan ilmu pengetahuan dalam semua aspek kehidupan? Kita percaya yang kurikulum pendidikan seni di universiti-universiti bukanlah untuk menghasilkan juruteknik seni rupa dan tidak pula berbentuk vokasional!

Ciri kedua yang disebut Zanita ialah ‘Rekonstruksi Konsep Budaya’. Budaya atau kebudayaan setiap kelompok, kaum, masyarakat atau sesuatu tempat itu memang sentiasa beranjak kalau tidakpun berubah mengikut kesesuaian masa dan kemajuan mahupun kemunduran cara hidup manusia. Dan golongan artis seni rupa, seperti juga pengkarya yang lain termasuk penulis, penyair atau penari dan pemusik, terus menerus membawa segala imajan, tanda dan simbol dari masyarakat dan masa di mana mereka berada atau mewakili dalam bentuk dan kandungan yang berbagai. Artis yang kita bicarakan di sini adalah mereka yang mendapat pendidikan formal dari institusi seni di tanahair; dan yang melanjutkan pendidikan mereka luar negara terutamanya di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Mereka mengenengahkan pengalaman-pengalaman yang dikutip dan idea-idea yang tumbuh dari apa yang dipelajari mereka, selain tentunya pengaruh serta tarikan persekitaran. Ya. Lalu apa yang kurang dan masalahnya?

Pengalaman dekad 1970an, 1980an dan 1990an dalam perkembangan SERUM banyak ditandai dengan peristiwa-peristiwa seperti pameran Mystical Reality, Kongres Kebudayaan Nasional, Seminar Akar Peribumi, Penerapan Nilai-nilai Islam dan Era Pluralis yang menjadi latarbelakang pembinaan kurikulum pendidikan seni, dan suasana serta proses pengkaryaan ramai artis SERUM. Samada peristiwa-peristiwa yang disebut mendapat kritikan dan pandangan yang berbeza, namun dalam konteks karya seni kita dapat menemui karya-karya hebat yang membawa identiti tempatan dan sezaman di period itu. Artis-artis BMS 1980an seperti Nasir Baharuddin, Mastura A. Rahman, Haron Mokhtar, Romli Mahmud, Zulkifli Yusoff, Tan Chin Kuan dan Kungyu Liew misalnya, berjaya menghasilkan karya-karya yang bernada atau bersemangat tempatan. Mereka ini membuat penyelidikan dengan melihat kembali kepada imajan sejarah, budaya dan masyarakat mereka dengan latarbelakang yang beraspirasikan peristiwa-peristiwa yang disebut.

Sekarang. Merujuk kepada literatur BMS dekad ini, saya secara peribadi berpandangan yang tidak banyak karya menarik yang mewakili sezamannya SERUM kecuali beberapa buah dari hasil tangan Yap Sau Bin, Fadzil Idris dan Mohd Fuad Arif. Di BMS10 saya tidak menemui karya yang dapat menarik perhatian saya secara peribadi. Saya berasa kesal melihat karya-karya yang boleh menarik minat tetapi berada dalam tahap yang serba tidak cukup.

Ciri Rekonstruksi Konsep Budaya yang digariskan Zanita itu kurang terserlah dalam karya-karya BMS dekad 2000an, terlalu sedikit. Tema dan makna yang dibina agak kurang menyakinkan kalau di banding dengan persekitaran dan kondisi posmodenisme serta perbauran dispilin ilmu pengetahuan, sepertimana yang berlaku dan selalu dikupas pula oleh Hasnul Jamal Saidon dalam tulisan-tulisannya. Banyak karya menjadi bentuk-bentuk cliché yang dirujuk dari artis-artis internasional, samada dari majalah-majalah seni rupa dan Internet, tanpa memikirkan sangat tentang tanggung-jawab dalam aktiviti pembinaan makna yang dilakukan serta kesannya kepada pembinaan tamadun bangsa atau negara di abad ini.

Saya percaya untuk menjadi cemerlang, manusia SERUM, terutamanya artis-artis muda, harus mempunyai disiplin, motivasi dan aspirasi yang tinggi untuk mendalami apa yang diselidiki atau diperkatakan. Mereka harus mempelajari sejarah dan budaya tempatan, dan terbuka kepada persoalan-persoalan sezaman dengan waras. Tapi: sudah berapa kalikah perkara-perkara sebegini disebut, dibahas, dihujah dan diterbitkan dalam SERUM? Kenapa misalnya, setiap panel juri di sepanjang BMS dekad ini cenderung memulakan lapuran mereka dalam nada kecewa apabila melihat karya-karya BMS? Tidak adakah perubahan?

Persoalan ini sangat berkaitan dengan tradisi keilmuan dan pendidikan SERUM seperti yang disentuh dalam ciri pertama perbincangan kita: artis dan institusi pendidikan seni. Wajar sekali kita menyokong pembinaan kurikulum pendidikan seni yang lebih bermakna dan sesuai pula dengan budaya sezaman di setiap peringkat pembelajaran. Tajuk perbahasan mengenai mutu dengan bilangan atau kualiti dengan kuantiti kembali menghantui dunia pendidikan SERUM. Peranan pendidik dan institusi pendidikan menjadi fokus sekarang kerana dari sinilah artis-artis sezaman SERUM muncul.

Ciri ketiga dan terakhir disebut Zanita dalam eseinya ialah Ciri Penerokaan Media. Ciri ini boleh dianggap sebagai yang termudah untuk dilihat pada karya-karya BMS. Kita sentiasa melihat semangat bereksperimen dan membuat penerokaan melalui media tidak pernah padam dalam BMS; terutamanya bermula di tahun-tahun 1990an apabila munculnya bentuk-bentuk seni instalasi yang beragam, hinggalah kepada penggunaan peralatan elektronik dan multimedia.

Ciri ini sebenarnya membawa tuntutan-tuntutan kepada pengetahuan dan kemahiran teknikal. Seseorang artis tentunya patut tahu benar dengan teknik yang digunakan, atau dalam sesetengah keadaan boleh pula mendapat khidmat nasihat dan pertolongan teknikal dari orang lain, untuk mengolah bahan dan bahantara atau medianya. Rata-rata pencapaian ciri ini pada karya-karya BMS10 adalah membanggakan. Artis-artis muda SERUM tidak mempunyai masalah yang besar dalam memenuhi ciri ini.

Persimpangan yang Banyak Selepas Runtuhnya Berbagai Sempadan

Kita boleh melihat pameran Mystical Reality oleh Allahyarham Redza Piyadasa dan Dr. Hj. Sulaiman Esa di awal 1970an itu sebagai bermulanya kerancakkan menyoal berbagai konvensi dalam aktiviti berkarya di Malaysia. Walaupun dilingkari dengan berbagai kontraversi, namun mereka berdua dengan beraninya membawa elemen-elemen dan gaya Seni Konseptual dalam karya-karya mereka. Mereka mempamerkan bahan jumpa, mengenengahkan pengalaman mereka melalui teks dan objek-objek terpilih, dan juga mengemukakan pernyataan-pernyataan artis yang banyak mempersoal kedudukan karya seni dan estetika SERUM.

Di dekad 1960an dan sebelumnya, permasalahan artis dan karya boleh dikatakan sangat objektif: dimana semuanya tertumpu kepada permasalahan di permukaan kanvas atau di persekitaran bentuk sahaja. Pengkategorian atau penjenisan bentuk menjadi jelas dan perbahasan mengenai estetika hanya berkisar kepada idea atau konsep keindahan yang terlekat pada karya-karya itu semata. Kemunculan Mystical Reality menjadikan estetika mula tidak berada pada karya seni semata-mata. Makna menjadi subjektif di mana setiap orang boleh membuat interpretasi sendiri asal saja hujahan mereka relevan dengan apa yang diboleh didapati pada karya.

Dalam kondisi subjektif sebegini, setiap kelompok pemikiran yang mewakili berbagai idea dan kepentingan akan berusaha untuk menguasai pentas dan menjadi dominan. PerkembanganSERUM di bahagian akhir abad ke 20 mula dipengaruhi dengan idea-idea poskolonialisme seperti permasalahan identiti dan tantangan pengaruh internasionalisme. Globalisme yang dikatakan meruntuh berbagai sempadan dunia moden menjadikan subjektiviti estetika SERUM tidak lagi terbendung. Pandangan sendiri-sendiri tidak lagi dapat dipadan dengan pertumbuhan berbagai aspek kehidupan yang serba cepat malah ada yang secara serta-merta.

Keadaan ini mendorong kepada mekarnya pendekatan yang bersifat relatif, di mana semua perkara diandaikan saling berhubungan dalam kadar atau tahap keakraban masing-masing. Persoalan objektiviti dan subjektiviti digabung menjadikan semuanya hampir sama dari segi kepentingan keberadaan bersama. Persekitaran relativisme ini menuntut keupayaan kita, manusia SERUM, untuk menyerap berbagai pengetahuan dan menghubungkannya pula dalam berbagai perspektif kehidupan. Satu hal yang amat sukar jika sistem pendidikan dan perkembangan intelektual kurang diberi perhatian. Artis SERUM akan terus mengikut sesuatu trend yang dirasakan menarik tanpa mempunyai dasar kefahaman yang jelas. Kondisi antar disiplin, misalnya, tidak akan menjadi lebih bererti jika manusia SERUM terus enggan menerima idea-idea baru, tidak membaca dan berfikir, apalagi tidak mempunyai disiplin dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Modal-modal insan, maklumat dan budaya yang sedia ada tidak akan bertambah malah dikhuatiri akan terus merosot. Tidak mustahil jika berlaku ‘kesesatan’ kerana sememangnya persimpangan yang ada pada hari ini terlalu banyak jenis dan simpang-siurnya.

BMS dan Di Luarnya

Perkembangan SERUM di dekad ini juga tidak hanya bergantung kepada BMS dan program-program lain BSLN sahaja. Banyak lagi aktiviti, projek dan program-program seni rupa yang diadakan oleh artis-artis muda. Kumpulan-kumpulan artis juga tumbuh di sana-sini, membuka studio dan galeri bersama, menganjurkan pameran, dan tidak lupa juga kecenderungan mereka menggabungkan bentuk-bentuk yang melibatkan seni persembahan, musik, multimedia dan sebagainya. Di tengah-tengah kerancakkan ini, terdapat pula program anugerah MEA, Malaysia Emerging Artist, untuk artis-artis muda SERUM yang diterajui of House of MATAHATI dan Galeri Chandan, dengan kerjasama Sokai Gakkai Malaysia dan Gelaran Budaya dari Yogyakarta, Indonesia. Pujian dan sokongan harus diberikan kepada pihak-pihak yang terus menerus terlibat dalam menyemarakkan perkembangan SERUM ini. Artis-artis muda kita mempunyai banyak peluang dan ruang untuk bergerak maju sebenarnya.

Apakah artis-artis muda kita memang sudah bersedia untuk terus maju?

Rujukan:

1.     Hasnul Jamal Saidon. (2004). Demi Masa (Pinjaman) Bakat Muda Sezaman 2004 dalam penerbitan BMS2004, m.s 11. K. Lumpur: BSLN.

2.     Joseph Tan Chan Jin. (2000). Laporan Hakim dalam penerbitan BMS 2000, m.s 9. K.  Lumpur: BSLN.

3.     Nasir Baharuddin. (2006). Laporan Juri dalam penerbitan BMS 2006, m.s 8. K. Lumpur: BSLN.

4.     Zanita Anuar. (1999). Sejarah – Antara Bakat dan Hakikat dalam penerbitan Imbasan Bakat Muda Sezaman, m.s 19 – 20. K. Lumpur: BSLN.

5.     Zanita Anuar. (2002). Demi Masa dalam penerbitan BMS 2002, m.s 3-8 & 3-10. K. Lumpur: BSLN.

Haslin bin Ismail | The Way It All Works (detail) | Instalasi Bahan Campuran | Ukuran Bebas

Helmi Azam bin Tajol Aris | Sudah Terang Lagi Bersuluh (detail) | Instalasi Bahan Campuran dengan Peralatan Elektronik | Ukuran bebas

Diana binti Ibrahim | First Aid Kit (detail) | Arca Bahan Campuran | 30.5 x 35 x 188.5 cm

Tan Nan See | Rupa Malaysia: Jewellery (detail) | Instalasi Fotograf dengan Video | Ukuran bebas

Bakat Muda Se Zaman dan Tema Karya

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on February 14, 2011

Sehari dua ini Pameran & Pertandingan Bakat Muda Se Zaman (BMS), anjuran BSLN, sedang riuh diperkatakan, terutamanya oleh artis-artis muda kita. Penganjur menyemarakkan lagi keadaan dengan mengajak orang ramai untuk mengundi tema yang mana akan dipilih.

BMS mengingatkan saya kpd tahun-tahun akhir 1980an & awal 1990an di mana ianya diadakan setiap tahun. BMS adalah seperti satu pesta / festival di mana kami sebagai pelajar seni akan menanti-nantinya… ramai yang menyertainya, walau tidak semua yang mengharapkan kemenangan. Saya sendiri tidak pernah memenangi apa-apa malah ada penyertaan yang di’reject’ pun. Tapi semua gembira – satu festival. Kami sama-sama meraikan kawan-kawan yang menang. BMS menjadi satu forum di mana semua bertemu _ motivasi amat tinggi. BMS adalah salah satu ‘sekolah’ utama di mana cikal-bakal artis-artis SERUM lahir.

Seingat saya, ketika itu BSLN tidak meletakkan apa-apa tema. Artis-artis muda dan pelajar seni bebas meneroka tema masing-masing; ada yang begitu, ada yang begini, ada yang berjaya, ada yang kurang berjaya dan banyak pula yang langsung tidak bererti apa-apa. Bertungkus-lumus kami berfikir untuk mengkedepankan ide/tema masing-masing. Kami bangga menunjukkan idea atau tema sendiri.

Apabila tema diperkenalkan dalam BMS, saya rasa semangat pesta/festivalnya mula berubah, ditambah pula dengan adanya tahun-tahun yang tidak diadakan BMS. Saya tidak pasti pula bagaimana perubahan itu sebenarnya – samada menjadi lebih baik atau tidak, atau mungkin juga andaian saya semata. Namun suka saya membawa beberapa soalan yang boleh kita sama-sama fikir:-

* artis muda tidak diberi’ kebebasan’ untuk mengemukakan tema sendiri?

* apa penting atau bagusnya ‘tema umum’ diberi oleh pihak penganjur?

* hendak melihat bagaimana artis muda menyelesaikan masalah yang diberi? atau

* hendak melihat bagaimana artis muda menyelesaikan masalah yang dicari sendiri?

* ‘memudahkan kerja’ seperti kerja-kerja penilaian oleh hakim?

8 Jun 2010

Buku, Kurator & Mahalnya Big & Beautiful

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on February 14, 2011
Saya belum membaca buku Malaysian Contemporary Art: The Aliya & Farouk Khan Collection, yang dihebohkan sebagai yang baik (kalau tidak pun terbaik) selepas ReLooking Modern Malaysia Art dalam ‘mendefinisikan perjalanan’ SERUM – maka tidaklah dapat saya komen akan isinya sekarang. Namun di tengah-tengah keriuhan ini, terlintas kepada saya beberapa perkara yang wajar kita notakan – berdasarkan kepada sebuah tulisan Anurendra Jegadeva (J Anu) dan juga komentar-komentar lain di alam maya. 

Tulisan J Anu, Big & Beautiful, (The Star, 6 June 2010) merakamkan yang buku ini sangat ‘penting’ – ‘besar’ samada dari segi saiz, makna kepada SERUM (spt dikatakannya sebagai penerbitan penting selepas ReLooking), malah berat pun dihitung sebagai kriteria kenapa buku ini menjadi penting – big and beautiful. Biarlah sejarah saja yang menentukannya samada benar atau tidak pentingnya buku ini dan perkara-perkara yang berkaitannya– kerana ‘penting’nya buku ini menandakan juga ‘penting’nya himpunan karya-karya SERUM dalam koleksi Farouk & Alia Khan itu.

1. Himpunan yang dikategorikan kepada tujuh – Avantgardist, Just Jai, Eclectic Contemporaries, Empat Persepsi, Matahati, Young Contemporaries & Young Ones – wajar diambil kira sebagai satu ‘proposal’ untuk menandakan perkembangan SERUM. Harapan saya semuga buku ini benar-benar menjelaskan kewajaran pengkategorian ini; yang dikatakan pula telah secara ‘expert’nya disusun untuk menjelaskan kronologi SERUM sejak 30 tahun dahulu.

2. Tajuk tulisan Farouk Khan dalam buku yang big & beautiful itu sangat meresahkan: A Tribute to the Failed Curatorial Process. Kalau saya boleh terjemahkan secara kasar – ‘Satu Penghormatan kepada Proses Kuratorial yang Gagal.’ Proses kuratorial mana yang gagal? Gagalkah curatorial process big & beautiful? Tidak mungkin kerana penerbitan ini dikatakan terbaik sejak ReLooking Modern Malaysian Art. Atau gagalkah curatorial process SERUM selama ini_ selama 30 tahun? Atau yang mana? – walau belum membacanya saya suka mengajak kurator-kurator SERUM, samada di BSLN, galeri swasta atau perseorangan, untuk memikirkan permasalahan yang dikemukakan melalui tajuk tulisan Farouk itu.

3. Komentar-komentar dari alam maya, terutamanya di fb, cenderong kepada suasana yang negatif: cemuhan, rungutan, ejekan dan berbagai lagi yang sewajarnya tidak berlaku (?). Kenapa hal sebegini timbul? Perkara biasa? Tidak perlu ambil kira kerana ia berlaku dalam alam maya? Gambaran sebenar SERUM? Kecewa, kesumat atau apa? Kenapa buku yang dikatakan membawa ilmu itu menjadi mahal tidak terbeli oleh ramai manusia SERUM? Membawa ilmu kah? Mahalkah ia?

Seperti yang saya katakan, saya belum baca buku ini, nota ini muncul dari tulisan J Anu dan reaksi/komentar dari alam maya, dan saya suka berkongsikannya supaya SERUM boleh berkembang sewajarnya untuk kemajuan peradaban kita semua.

SABAPATHY, T.K. et.all (1994) Vision and Idea: ReLooking Modern Malaysian Art. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

9 Jun 2010

Menyelidik, Melukis & Membaca pada Tahun 1849

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on February 14, 2011

Hikayat Abdullah

Hari ini saya membaca lagi muka surat 75 & 76, dari Hikayat Abdullah, terbitan Pustaka Antara terbitan tahun 1963. Catatan Munsyi Abdullah sebanyak 4 parageraf ini sentiasa menarik perhatian saya kerana ia menimbulkan beberapa persoalan yang saya kira boleh dinotakan.

1. Bagaimana pengurusan sesuatu penyelidikan secara professional (usaha, kaedah, cara mengatasi masalah dll) diadakan?
2. Minat seseorang (Raffles) yang sukakan ilmu itu seharusnya berbagai (interdisciplinary) dan akan cemerlang jika setiap pekerjaan dilakukan dengan penuh azam dan disiplin. Benarkah?
3. Kemahiran melukis/menggambar (M Abdullah menyebutnya sebagai menulis gambar) tidak banyak atau tiada pada orang tempatan (Melayu)?
4. Peluang pekerjaan kepada orang tempatan (Melayu) – pekerjaan yang bagaimana?
5. Kenapa orang tempatan (Melayu) tidak suka membaca dan sanggup pula menjual ‘buku-buku’ yang ada?
6. Kuasa ‘wang’ sentiasa berjaya menarik masyarakat (orang yang tidak punya & tidak pernah kecukupan) kepadanya. Benarkah?

Mari kita perhatikan parageraf-parageraf yang dicatat oleh Munsyi Abdullah di sekitar tahun 1849.

“…Syahdan lagi adalah empat orang diberinya gaji, masing-masing dengan pekerjaannya. Seorang disuruhnya pergi ke hutan mencari jenis-jenis daun, dan bunga-bunga, dan cendawan, dan lumut-lumut, dan barang perkara yang berlain-lain rupanya. Dan lagi seorang disuruhnya mencari segala ulat-ulat, dan belalang, dan jenis-jenis lupu-kupu dan kumbang, dan berbagai-bagai jenis binatang, dan riang-riang, dan lipan dan kalajengking, dan sebagainya. Maka diberinya jarum peniti, disuruhnya cocokan binatang-binatang itu. Dan lagi seorang disuruhnya mencari karangan-karangan, seperti siput berjenis-jenis, dan kepah, dan lokan, tiram, remis dan sebagainya, dalam sebuah bakul. Dan lagi ikan berjenis-jenis. Dan lagi pula seorang pergi mencari binatang-binatang liar, seperti burung-burung, dan ayam hutan, dan rusa, kijang, pelanduk, dan napoh, bengkuang, dan kancil, dan sebagainya.

Dan lagi adalah ia menaruh sebuah kitab besar,maka kertasnya tebal-tebal; maka gunanya kitab itu dimasukkannya segala jenis daun-daun, dan bunga-bunga, dan sebagainya. Bermula maka barang perkara yang tiada boleh dimasukkannya, maka ada ia menaruh seorang Cina Makao. Terlalu pandai menulis gambar-gambar, atau buah atau bunga, ditulisnya seperti hidup, maka disuruhnya tulis akan segala perkara itu. Maka lain daripada ini lagi, adalah pula satu pipa, entah arak entah berandi, ada penuh. Maka barang binatang atau ular, lipan, kalajengking, dan sebagainya, maka hidup-hidup dimasukkannya ke dalamnya itu. Setelah dua hari lamanya, kemudian diambilnya, dimasukkannya le dalam botol. Rupanya, binatang itu seperti hidup juga. Maka menjadi heranlah orang-orang di Melaka melihatkan pekerjaan yang demikian.

Maka pada masa itu banyaklah orang-orang dalam Melaka mendapat faedah sebab mencarikan segala kejadian yang di udara, dan dari bumi, atau dari laut, dari darat, atau dari negeri, atau hutan rimba, baik yang terbang, baik yang merayap, baik yang bertumbuh, baik yang terbit dari tanah, sekalian perkara yang tersebut itu sekaliannya menjadi duit belaka.

Dan lagi pula orang membawa kitab-kitab dan hikayat Melalyupun, entah beberapa ratus jenis, tiadalah teringat. Hampir-hampir habis surat-surat Melayu daripada beberapa zaman, daripada harta nenek-moyang sekalian habis dijualkan, dibawa orang dari mana-mana, sebab mendapat harga baik. Habis dijualkan, tiadalah sadarkan orang-orang yang di belakang kelak menjadi bodoh. Satu surat pun tiada yang dibaca dalam bahasanya sendiri, karena kitab-kitab itu semuanya dalam tulisan tangan. Jikalau kitab dicap tiada mengapa, maka tiadalah tinggal lagi benihnya sampai sekarang. Maka adalah kitab-kitab itu sekelian kira-kira tiga ratus empat puluh, lain daripada jenis-jenis syair dan pantun dan ikat-ikatan dan sebagainya. Dan lagi lain pula dipinjamnya, disuruh salin, ada empat lima orang jurutulisnya yang menyalin sahaja….”

Catatan-catatan Munsyi Abdullah tahun 1849 ini – apakah ia berguna kepada perkembangan SERUM?

12 Jun 2010

Pameran Seni Rupa & Idea Kuratorial

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on February 14, 2011

Elok dulu kita perhatikan beberapa idea mengenai apakah yang dikatakan ‘pameran seni rupa’ dan ‘idea kuratorial’ itu.

1. Pameran Seni Rupa

Pameran Seni Rupa adalah satu ruang di mana objek atau karya seni rupa (bahan pameran) dipertontonkan kepada umum. Ia adalah satu ruang pertemuan di antara bahan pameran dengan audien. Bahan pameran seperti fotogeraf, lukisan, catan, video, instalasi, perfomen, seni multimedia atau arca dari hasil seseorang artis, sekumpulan artis atau koleksi bentuk-bentuk seni rupa tertentu biasanya akan dipamer dalam satu jangka masa tertentu. Umumnya sesuatu pameran itu di adakan di balai seni/muzium seni, dewan pameran atau di galeri-galeri komersial dan persendirian. Sekarang ini pameran seni juga di adakan di luar galeri atau di tempat-tempat lain sejajar dengan perkembangan seni kontemporari yang bersifat eksperimental dan pendekatan-pendekatan yang tidak konvensional.

Dewasa ini, terdapat juga aktiviti-aktiviti lain yang diadakan untuk menyokong sesebuah pameran seperti syarahan dan diskusi mengenai tajuk atau perkara-perkara yang relevan.

2. Idea Kuratorial

Idea Kuratorial merujuk kepada kefahaman tentang siapa dan apakah peranan seorang kurator atau kumpulan kurator yang mengendalikan sesebuah pameran itu. Apakah peranan, tugas dan tanggungjawabnya? Bagaimana proses ‘kuratorial’ yang dilaksanakannya untuk membuat sesebuah pameran?

Kurator/Curator: Latin – cura, care; pengurus/manager; seseorang yang mengurus dan mengenengahkan sesebuah pameran kepada audien. Seseorang kurator boleh bekerja secara bebas atau berkhidmat dengan sesebuah balai/muzium atau galeri seni rupa; berpengetahuan dan berpengalaman dalam seni rupa, estetika dan tema sesebuah pameran; seorang kurator juga bertanggungjawab atas design sesebuah pameran – tema, objektif, isi kandungan dan juga susunan bahan pameran, serta katolog atau penerbitan risalah pameran yang biasanya mempunyai esei/tulisan untuk menjelaskan sesebuah pameran itu.

Perhatian kepada ‘pameran seni rupa’ dan ‘idea kuratorial’ ini memberitahu kita bahawa semuanya – aktiviti berpameran & peranan kurator – adalah perkara-perkara yang wajar diteliti dengan saksama supaya ia menjadi lebih bermakna kepada perkembangan SERUM. Sesebuah pameran seni rupa yang dikurator dengan baik akan memberi pengalaman estetika yang mencabar kepada audien, meningkatkan sesuatu kesedaran atau kefahaman. Sebuah pameran seni rupa harus dilihat lebih daripada hanya untuk mempamerkan karya-karya baru, atau tertentu, dari seseorang atau kumpulan artis.

Praktis kuratorial dalam SERUM tidak banyak diperkatakan orang. Kita perlu menyelidik hal ini kerana peranannya menjadi semakin penting dalam mengadakan sebuah pameran yang baik – yang boleh memberi kepuasan, samada untuk memenuhi tuntutan emosi/ekspresif ataupun konseptual (lihat Nota 4.2: Peta Dinamika Ideologi SERUM: Bentuk & Fungsi) kedua-dua pihak artis sebagai pengkarya (atau kolektor seni, dalam sesetengah keadaan) dan audien sebagai pemerhati. Pameran seni rupa sebagai sebuah ‘ruang pertemuan’ harus dinamik di mana audien akan merasa selesa untuk terus berinteraksi dengan bahan pameran. Ia harus dapat menyediakan idea-idea baru atau idea-idea penemuan semula (rediscovered ideas) untuk dinikmati oleh audien. Dan audien pula dapat mengembangkan pengalaman estetikanya (lihat Nota 4.5: Peta Dinamika Ideologi SERUM: Estetika) disamping terus membantu ‘pembinaan makna’ ke atas bahan pameran.

Pendidikan khusus mengenai praktik kuratorial seni rupa hampir tidak kedengaran di Malaysia. Rata-rata kurator SERUM banyak bergantung kepada pengalaman sesama sendiri dan mempunyai laterbelakang pendidikan dalam sejarah seni dan estetika, ataupun berpendidikan dalam bidang seni rupa. Di antara kurator-kurator SERUM yang terkenal sejak 30 – 40 tahun dahulu ialah T.K Sabapathy, Redza Piyadasa dan Syed Ahmad Jamal. Kita dapat memahami perjalanan sejarah SERUM melalui kerja-kerja kuratorial mereka samada pameran-pameran di Balai Seni Lukis Negara atau di lain-lain tempat untuk memperkenalkan SERUM.

Perkembangan seni rupa dan pamerannya mula menjadi dinamik di akhir abad ke20 dengan kemunculan bahan baru seperti multimedia dan Internet, dan juga pendekatan eksperimental serta pemikiran posmodernisme, dan semua ini tentunya memerlukan proses kuratorial yang lebih kritis untuk mengenengahkan sesuatu pameran. Di pameran-pameran inilah, apa yang telah kita alami, sejak zaman merdeka, 1950an (malah sebelumnya) harus ditonjolkan dengan kematangan sebagai sebuah bangsa/negara yang merdeka. Jatidiri bermula dari keinginan kita untuk memperkemaskan apa saja yang telah kita buat, dan terus membinanya dengan baik dan rapi sesuai dengan apa yang telah kita alami dan pelajari.

Kita tidak boleh lagi memberi alasan tidak punya masa jika pameran menjadi tidak kemas, atau saja-saja berpameran untuk mengisi apa-apa kekosongan program. Pameran hari ini harus mampu mengajak audien untuk berfikir, atau sekurang-kurangnya jadi tertarik dengan idea-idea yang diketengahkan. Idea perkongsian maklumat, atau apapun melalui pameran seni rupa akan menjadi lebih menarik, dinamik, jika kurator-kurator SERUM memberi perhatian serius kepada permasalahan ini.

Dan juga, artis serta kolektor yang mempamerkan karya milik mereka harus menghormati peranan atau kerja-kerja kuratorial seorang kurator. Artis atau kolektor di sini dilihat tidak wajar untuk terus menerus campur tangan seperti mahu sesuatu karya itu dipamerkan mengikut kehendak mereka sahaja. Sesebuah pameran seni rupa itu harus dilihat sebagai ‘karya’ seseorang kurator yang menyusunnya.

12 Julai 2010

Saya Suka Balai Seni Lukis Negara!

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on February 14, 2011

Katalog Kenangan BSLN 1988

Ini seperti satu surat. Saya tulis khusus untuk Balai Seni Lukis Negara (BSLN). Agak peribadi bunyinya, mungkin. Semalam saya menulis sebuah nota yang agak ‘keras’ mengenai ‘Pameran Kepada Mu Kekasih’ yang sedang berlangsung di BSLN sekarang ini. Namun, saya percaya saya harus menulis seperti itu: kerana itulah yang saya rasa dan nampak dengan jelas. Soal orang setuju atau tidak, suka atau tidak, dengan apa yang saya tulis itu; tidak jadi hal kepada saya. Saya tulis dengan harapan dapat tengok yang lebih baik. Dan surat ini pula saya tulis bukan untuk mengimbangi ‘nada keras’ nota itu, tetapi adalah satu penghormatan (atau tribute) kepada BSLN. BSLN memang bermakna kepada saya dan semua artis Malaysia. Saya suka BSLN!

BSLN,

Di antara tempat yang saya akan pergi jika ke Kuala Lumpur ialah BSLN. Saya melawat BSLN di Jalan Ampang, di Jalan Sultan Hishamuddin dan sekarang di Jalan Tun Razak. Saya mengunjunginya sebagai seorang budak sekolah, seorang remaja, seorang pelajar seni, seorang artis, seorang guru seni, dan sekarang sebagai seorang yang sudah setengah abad usianya. Saya menghabiskan masa berjam-jam di dalam galeri-galeri BSLN; kadang berteman, kadang berseorangan. Saya suka BSLN!

Sebagai seorang artis, karya-karya saya pernah ditolak untuk menyertai pameran di BSLN. Bukan sekali – adalah dua tiga kali. Karya-karya saya juga ada yang diterima masuk pameran, diterbitkan dalam katalog dan penerbitan lain BSLN, dan ada juga yang dibeli oleh BSLN untuk Himpunan Tetap. Di BSLNlah saya dan kawan-kawan, juga artis Malaysia yang lain menerima ujian-ujian awal untuk menjadi seorang artis. Saya suka BSLN!

Sebagai seorang penulis dan kurator kecil-kecilan (sebab belajar sendiri), saya sudah beberapa kali diundang untuk bercakap di dalam oditorium BSLN. Di situlah antara tempat saya belajar untuk bercakap secara terbuka – ada yang saya anggap berjaya dan ada yang tidak. Tulisan-tulisan saya juga pernah diterbitkan dalam katalog-katalog pameran terbitan BSLN. Saya juga pernah menjadi kurator untuk sekurang-kurangnya dua pameran di BSLN, ‘Kembara Tenggara: Pameran Karya-karya Baru Pemenang Bakat Muda Sezaman (1997)’ dan ‘Ulek Rasa: Pameran Artis-artis Terengganu (2006)’. Pada Julai tahun ini juga, saya menjadi kurator sebuah pameran kecil rakan-rakan Faculty of Creative Multimedia, Multimedia University, ‘Shadows on Layers of Meaning’, sempena Inno-Fest 2010 di Galeri Reka, BSLN. Terima kasih atas peluang-peluang itu. Saya suka BSLN!

Sebagai seorang guru pula, saya selalu juga membawa pelajar-pelajar saya ke BSLN untuk mendedahkan mereka kepada berbagai bentuk seni rupa. Saya membawa anak-anak kami dan menerangkan kepada mereka itu ini di galeri-galeri BSLN. Saya juga ada membawa kawan-kawan dari sebuah grup jurukamera amatur yang masih belum bernama ke BSLN, dan mendedahkan mereka kepada seni rupa. Saya banyak belajar dan mengajar di BSLN. Malahan, sebelum kahwin dulupun, saya selalu bertemu-janji dengan Mastura di BSLN! Saya suka BSLN!

Saya pernah bercita-cita untuk menjadi kurator di BSLN. Pada hujung 1980an atau barangkali awal 1990an, saya pernah menghadiri temuduga untuk jawatan itu! Tetapi saya gagal kerana ternyata saya tidak dapat menguasai ‘iklim komunikasi rasmi’ dengan baik – saya malu-malu dengan gagap saya yang pekat lalu tersenyum dan tersengih saja sudahnya! Har! Har! Har! Kegagalan itu tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada saya. Saya tetap pergi ke BSLN. Saya suka BSLN!

Dulu, akhir 1980an, BSLN tidak ada ramai kurator. Seingat saya hanya Wairah Marzuki dan Sharifah Fatimah Syed Zubir – itupun kalau saya tidak silap (harap Kak Pah atau sesiapa betulkan jika silap). Pameran-pameran di BSLN ketika itu banyak dikuratorkan oleh Syed Ahmad Jamal, Redza Piyadasa dan T.K Sabapathy. Saya ingat juga kepada pameran-pameran yang dikuratorkan oleh Tamyez Bajuri, Zakaria Ali, Dzul Haimi M Zain dan Zabas. Semua berbekas di hati; saya dapat belajar, mengembangkan pengalaman estetika dan juga etika sebagai seorang artis. Saya suka BSLN!

Sekarang kita sudah satu dekad dalam abad ke 21, BSLN sudah ada ramai kakitangan, termasuk pasukan kurator dan penolong kurator. Bangunan tambahan pun sedang dibina. Saya tidak tahu berapa ramai kakitangan sekarang; ramai yang saya tidak kenal – tapi saya tetap kenal dengan beberapa orang lama. En. Yuarajah dan saya akan tetap bersalaman dan bertanya-kabar apabila bertemu dari sejak di Jalan Sultan Hishamuddin. Kalau tidak silap, saya sudah berkenalan dengan dia sejak di Jalan Ampang lagi. Kemudian ada Yusuf Marsidin seketika, malah Azizan Paiman pun pernah berkerja di BSLN. Saya suka BSLN!

Saya sangat mengharapkan BSLN terus mempertahankan keberadaanya sebagai sebuah institusi seni rupa yang unggul. Saya percaya BSLN mampu mempertahankannya, malah berkembang maju untuk kebudayaan dan peradaban Malaysia. Saya suka BSLN!

Sepanjang dekad lalu, secara sedar atau tidak sedar kadang-kadang, minat saya terhadap kritikan seni dan estetika, juga sastera, telah menjadikan saya seorang penulis. Saya menulis mengenai seni rupa dan budaya amnya. Menulis bermakna juga saya harus memerhati, menganalisa, mengkritik dan menyaran kepada pembaikan; walau tidak semuanya betul atau benar atau tepat belaka. Karya dan pameran di BSLNlah yang menjadi rujukan utama saya. Kerja-kerja dokumentasi pun nampaknya berlaku di BSLN. Saya tiada niat lain selain mahu melihat yang terbaik saja dari BSLN. Saya suka BSLN!

Semoga BSLN sentiasa maju jaya. Saya suka BSLN! Dan saya pasti bukan saya saja yang suka BSLN.

Kalau meniup seruling bambu,

Dibawa berteduh lepaslah letih;

Kalau hidup saling membantu,

Mana yang keruh lekaslah jernih.

24hb Ogos 2010.

Cyberjaya.

Situasi Perbandingan dalam ‘Aku dan Al-Malik Fahd’

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on February 14, 2011

Aku dan Al-Malik Fahd, Media Campuran atas Kanvas, 1998

Saya tertarik dengan sebuah catan bertajuk ‘Aku dan Al-Malik Fahd’ (A&M) yang dipamerkan di Pameran Kepada Mu Kekasih (Yang Maha Esa) (KMK), anjuran Balai Seni Lukis Negara (BSLN) sempena menyambut kehadiran bulan Ramadhan 1431 baru-baru ini. Catan ini adalah hasil karya sahabat saya, Fadzil Idris (Fadzil). Catan bahan campuran termasuk tanah atas kanvas,  berukuran 4 x 4 kaki, berbingkai ke’emas’an, dan dibuat pada tahun 1998 ini tampak ‘segak dan bersahaja’ dalam keriuhan pameran KMK yang disebut itu.

Mari kita baca catan ini:

Dua figura manusia tanpa wajah memakai pakaian ihram – otomatik membawa kita kepada ibadah haji di Mekah yang berlangsung setiap tahun di bulan Zulhijjah tahun Hijiriah – seorang lebih tinggi hampir satu kepala dan mempunyai sejemput janggut dan agak mendedahkan bahagian dadanya. Ada seakan bayangan di belakang figura-figura itu, latar belakang gelap – menonjolkan putih pakaian dan warna tubuh figura di tengah keseluruhan gubahan. Mewakili siapakah kedua-dua figura ini?

Aku dan Al-Malik Fahd. Siapa aku? Siapa Al-Malik Fahd?

Aku: Fadzil sendiri sebagai artis – yang menghasilkan catan ini, atau kitakah yang menjadi aku apabila membaca catan ini?

Al-Malik Fahd: Siapa Al-Malik Fahd? Secara ‘orang’nya, Al-Malik Fahd adalah raja Arab Saudi yang kelima, meninggal dunia pada tahun 2005. Kenapa dengan Al-Malik Fahd Raja Arab Saudi ini? Semasa pemerintahannya, Al-Malik Fahd menggelarkan dirinya sebagai ‘Penjaga Dua Masjid Suci’, Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid al-Nabawi di Madinah. Dia juga membina pusat pendidikan, perubatan, lapangan terbang, stadium dan berbagai untuk rakyatnya. Dia mendukong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan banyak mendanai projek-projek pembangunan di serata dunia. Dikatakan juga Al-Malik Fahd ini sangat suka kepada kemewahan dan keseronokan hidup. Dia dan rombongan adakalanya bercuti di luar negara selama berbulan-bulan. Dia dikatakan menyokong Saddam Hussein dalam Perang Iran-Iraq 1980 – 88 kerana khuatir rakyat Arab Saudi dipengaruhi Revolusi Iran 1979 yang menjatuhkan monarki Syah Reza Pahlavi. Dia turut tidak mengitktiraf Israel dan menyokong perjuangan rakyat Palestin, tetapi berhubungan baik dengan Amerika Syarikat. Dia kemudiannya membenarkan Amerika Syarikat membina pengkalan perang di Arab Saudi semasa Perang Telok 1990/91 untuk menentang sekutunya dahulu, Saddam Hussein, dan ini juga menjadikan dia dibenci oleh Osama bin Ladin, Al-Qaeda dan gerakan-gerakan Islam lain. Melalui berita-berita yang dikutip, kita tahu Al-Malik Fahd yang ini sentiasa mencampurkan perkara-perkara yang hak dan batil dalam urusan kehidupannya. Penuh drama dan kontraversi juga hidup Al-Malik Fahd ini.

Aku, samada Fadzil, saya atau anda pembaca, seperti mewakili satu pihak. Sementara Al-Malik Fahd di satu pihak yang lain. Atau mungkin anda juga mewakili Al-Malik Fahd – yang menjaga ‘Dua Masjid Suci’ itu, yang boleh bercuti berpesta selama mana yang disuka dan yang menjadi punca ramai orang marah dan membunuh? Dari awal lagi Fadzil telah menyediakan suatu ‘situasi perbandingan’ untuk kita, audien, perhatikan: Ada dua figura berbeza ketinggian dan status – seorang ‘aku’ dan seorang ‘Al-Malik Fahd’. Fadzil mengajak kita berfikir melalui perbandingan. Menarik.

Mari terus kita hubungkan A&M dengan beberapa perkara yang boleh dijadikan sebagai latar untuk terus membaca karya ini.

Peristiwa-peristiwa besar musim haji di Mekah

Banyak peristiwa besar / penting dalam sejarah umat Islam berlaku di Mekah sewaktu musim haji. Antara terpenting ialah lengkapnya penurunan wahyu dari Allah kepada Muhammad Rasulullah, iaitu sebahagian dari ayat 3 dari surah Al-Maidah,  yang antara lain berbunyi: …Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu., dan pidato Muhammad Rasulullah yang terakhir, antara yang terkenal, berbunyi:Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu: Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Apa ‘aku’ menuruti pesan Rasulullah Muhammad ini? Apa ‘Al-Malik Fahd’ menuruti pesan Rasulullah Muhammad ini? Apa ‘Aku’ dan ‘Al-Malik Fahd’ membaca dan memahami Al-Maidah ayat 3 itu?

Ibadah haji salah satu rukun Islam yang lima dan ekonomi

Semua Muslim bercita-cita hendak menunaikan ibadah haji. Hal ini tidak menjadi satu masalah kepada Muslim yang tinggal di Arab Saudi dan berdekatan, tetapi kepada Muslim yang jauh dari Mekah ia agak membebankan terutamanya kos perjalanan dan lain-lain kecualilah kepada yang mampu. Ramai yang menyimpan secara berdikit-dikit dan ada yang menjual harta benda. Namun tidak sedikit juga yang galak meraih keuntungan semasa musim haji – mengurus rombongan, berdagang dan berjual-beli. Berapa puluhan juta binatang ternakan disembelih? Dapatkah semua orang memakannya?

Haji Sekian bin Haji Anu dalam masyarakat Melayu tradisional

Seseorang yang telah menunaikan ibadah haji sangat dihormati dalam masyarakat Melayu tradisional. Jika dia menjadi imam dan mengajar ilmu-ilmu ugama, dia dengan mudah pula akan mendapat gelaran Tuan Guru Haji Sekian-sekian. Dia akan mengajar tentang halal haram itu-ini dan sebagainya. Masyarakat akan menjadikan dia tempat merujuk hal-hal berkaitan ugama dan juga kehidupan harian. Dia dengan mudah juga akan menjadi ketua masyarakat. Betulkah? Ada Tuan Haji yang memang boleh dicontohi, bukan? Ada juga Tuan Haji yang suka berjudi dan memusnahkan perhubungan, bukan?

Fadzil, Artis SERUM yang Gigih

Secara ringkas, Fadzil belajar Seni Rupa pada 1990an di ITM, Shah Alam. Fadzil mula dikenali apabila muncul sebagai salah seorang lima pemenang Pertandingan Seni Phillip Morris peringkat Malaysia dan mendapat Honorable Mention di peringkat Asean pada tahun 1996. Fadzil juga memenangi hadiah-hadiah di pertandingan Bakat Muda Sezaman pada tahun-tahun 2000 dan 2008. Terbaru, Fadzil memenangi hadiah kedua pertandingan catan muralis 1Malaysia di BSLN. Selain artis senirupa, Fadzil juga aktif dalam bidang perfileman. Dia pernah bekerja dengan U-Wei bin Hajisaari dalam filem ‘Jogho’ sebagai Pengarah Seni, dan terlibat dengan berbagai penerbitan filem, dokumentari dan drama. Dia memenangi hadiah Pengarahan Seni Terbaik untuk filem-filem ‘Paloh’ dan ‘Embun’ di Festival Filem Malaysia. Mengenai A&M, Fadzil bercerita bagaimana dia menghasilkan A&M ini pada suatu pagi Hari Raya Idul Adha – dalam kesepian kerana tidak berkesempatan untuk balik ke kampongnya di Kuala Kangsar!

Latar-latar Peristiwa Besar, Ibadah Haji dan Ekonomi, Kedudukan Seorang Haji dalam Masyarakat Melayu dan Fadzil Artis SERUM sepertimana yang ditandakan di atas itu terus membentuk pembacaan kita terhadap A&M. Rata-rata karya dalam pameran KMK itu kelihatannya memuji Allah secara langsung, baik melalui kaligrafi Arab atau kemujaradan corak arabes, malah juga dengan palitan ekspresionisme. Namun A&M tidak begitu, A&M adalah seperti rakaman terima kasih Fadzil sebagai manusia Muslim kepada Allah S.W.T. Fadzil mengajak kita, audien, untuk menyedari akan anugerah Allah yang berharga kepada kita ialah akal. Dan akal ini tentulah akal yang membenarkan wahyu-wahyu Allah. Akal inilah yang digunakan untuk memahami kehidupan ini dan membaikinya supaya menjadi lebih baik. Akal ini berguna untuk kita mencari ketentuan hak dan batil; berguna untuk memilih untuk taat kepada wahyu Allah atau nafsu manusia, untuk mengikuti pimpinan yang benar-benar bertakwa kepada Allah atau yang terus menerus menjaga kemuliaan dan kepentingan diri melalui berbagai cara. Akal yang dipandu wahyu Allahlah yang akan menentukan siapa ‘Aku’ dan siapa ‘Al-Malik Fahd’.

Saya calonkan A&M sebagai karya yang terbaik di pameran KMK itu. Syabas.

Sedikit Tambahan:

Terus, saya juga teringat sebuah lagi karya catan Fadzil yang saya kira mempunyai intensiti yang hampir sama dengan A&M. Catan itu diberi tajuk, ‘Jin Buta’ dan telah diterbitkan di laman facebook Fadzil sendiri. Perhatikan ‘mudahnya’ Fadzil bercerita tentang jin yang dilukisnya di kala azan maghrib berkumandang pada suatu hari di studionya pada tahun 2008.

Jin Buta, Cat Minyak dan Akrilik atas Kanvas, 2008

Saya tertanya-tanya, apa akan terjadi kalau A&M diletak bersebelahan dengan ‘Jin Buta’? Apa agaknya yang akan berlaku kepada ‘Al-Malik Fahd’ atau ‘Aku’ sendiri?

Selamat Hari Raya Idul Fitri 1431. Maaf zahir batin.

*Semua gambar adalah dari koleksi Fadzil Idris.

10 September 2010

Mutan dan Jin di Malaysia pada Tahun 2008

Posted in Nota Rampai SERUM by tsabri on February 14, 2011

Lim Wei-Ling & Kelvin Chuah (Eds.) (2009). Malaysia 365 Days of 2008: Noor Azizan Rahman Paiman. Kuala Lumpur: Wei-Ling Gallery

Mutan dan Jin di Malaysia pada Tahun 2008 atau Paiman dan Jurnal Orang Biasa yang Bergerak Secara Zigzag untuk Mencari Kegemilangan Diri

1 Terima Kasih Paiman

Pertama-tamanya, saya ucapkan terima kasih kepada Paiman (Noor Azizan Rahman Paiman) kerana menghadiahkan monografnya, MALAYSIA 365 DAYS OF 2008, terbitan Wei-Ling Gallery, Kuala Lumpur, 2009, kepada saya. Setelah dibaca dan dilihat akan isinya, maka terpanggillah saya untuk menulis nota ini. Saya pernah menulis tentang Paiman pada tahun 1997, yang diterbitkan dalam Tanpa Tajuk terbitan sendiri, dan kemudiannya diterbitkan semula dalam buku Tanpa Tajuk: Cerita-Cerita Seni Rupa (1), 2009.

2 Monograf Malaysia 365 hari, 2008

MALAYSIA 365 DAYS OF 2008. Hmm… tebalnya 396 halaman tidak termasuk kulit, memuatkan catatan pengenalan oleh Wei-Ling Lim, pengarah Wei-Ling Gallery, tulisan-tulisan Nur Hanim Khairuddin (Hanim), Hasnul J. Saidon (Hasnul) dan Mellissa Kavenagh (Mellissa), pernyataan artis oleh Paiman, catatan ‘curriculum vitae’Paiman dan penghargaan; selain daripada catatan visual dan petikan teks pilihan dari media yang dipilih-catat-lukis oleh Paiman diatas ‘diari muslim’ (2) atau ‘diari Islamik’ (3) tahun 1429H/2009M itu. Semua tulisan adalah berbahasa Inggeris, kecuali teks pilihan dari media yang berbahasa Melayu, pilihan teks terjemahan dari hadis dan Al-Quran serta doa-doa dalam bahasa Arab yang telah tersedia di ‘diari muslim’ – yang menjadi permukaan pilih-catat-lukis Paiman itu.

MALAYSIA 365 DAYS OF 2008 adalah hasil usaha Paiman memilih teks dari media Malaysia sepanjang tahun 2008. Teks media yang dipilih kebanyakannya adalah dari ucapan atau pernyataan ahli politik, pegawai kerajaan dan juga tokoh masyarakat. (Ya, saya setuju dengan Hanim yang mengaitkan usaha Paiman ini dengan buku kompilasi Amir Muhammad, Malaysian Politicians Say the Darndest Things.(4) ) Paiman kemudiannya melukis makhluk-makhluk ‘mutan dan jin’ (5) pada setiap petikan pilihan hariannya. Seingat saya kalau tidak silap, saya telah bertemu dengan makhluk ‘mutan dan jin’ Paiman ini sejak tahun 1997, semasa pameran dan majlis persandingan beliau yang dinamakan Independent Day di Balai Seni Lukis Negara yang ketika itu berada di Jalan Sultan Hishamuddin. Makhluk ‘mutan dan jin’ Paiman yang saya temui itu berada dalam dunia mereka sendiri (dalam botol? Opps… har har har) – tidak memperdulikan Paiman yang bersanding pada suatu hari di bulan Julai tahun 1997 itu!

Mutan atau Jin Paiman pada 7 November 2008

3 Mutan dan Jin Paiman

… dan begitu jugalah nampaknya dengan mutan dan jin harian tahun 2008 yang dilukis Paiman itu, yang tentunya sudah ‘termutanisasi’ atau ‘dimutanisasikan’. Payah sekali untuk menghubungkan para mutan dan jin harian 2008 dengan petikan teks media harian yang dipilih Paiman itu. Sebagai contoh, apa hubungan seekor mutan atau jin bermata enam berbibir tebal yang tiba-tiba muncul menjengah dari suatu rupa bukit atau busut dengan pernyataan Raja Petra Kamaruddin: I am not a terrorist. I am not a dangerous person. I am just a writer, pada 7 November 2008M / 9 Zulkaedah 1429H? Satira politik? Atau apa? Tidak boleh kah saya cuba mencari hubungan itu?

Lalu secara mudah – semuanya (di antara mutan dan jin dengan pilihan teks media) mungkin tiada hubungan (?) apa-apa kecuali ‘suka’ Paiman saja. Suatu juxtapositionyang memungkinkan apa saja? Keadaan yang tidak menentu? – yang dilapis pula dengan doa-doa Islami, hadis dan petikan ayat Al-Quran? Apakah sebenarnya 365 hari 2008 – yang setiap harinya ada mutan dan jinnya beserta dengan pilihan teks dari media tempatan itu? Hmm… agak mengkagumkan juga untuk saya, memang Paiman ini pandai menimbulkan persoalan.

Secara sepintas, tulisan-tulisan Hanim, Hasnul dan Mellissa dalam monograf itu menggambarkan suatu keadaan atau kondisi posmoden yang berlaku di Malaysia masakini, dengan Paiman sebagai ‘retrospective reporter’ (6) yang berminat untuk menemui pesan-pesan yang terkandung dalam segala macam tanda, petanda, kod, teks atau apa saja hasilan dari masyarakat – yang sedang melalui proses dekontruksi yang akhirnya akan melahirkan ‘zombie-zombie’ yang agaknya dijelmakan melalui mutan dan jinnya: zombie politik, zombie ekonomi, zombie sosial dan tentu juga tidak ketinggalan nantinya, zombie seni rupa (zombie SERUM! Hah!).  Hasnul menyifatkan tindakan Paiman ini sebagai suatu ‘mockery’ kepada iklim politik masakini Malaysia. Sementara Hanim dan juga Melissa menyentuh soal-soal sejarah dan pensejarahan, juga kebanjiran informasi dari media dan hubungannya dengan tindakan Paiman di sepanjang 2008 itu. Memang Paiman ini pandai menimbulkan persoalan!

Halaman Paiman in Person

4 Kemana Kamu Paiman?

… mula-mula mendapat monograf pemberian Paiman itu, saya menyelak mencari pernyataan artis Paiman sendiri sebelum membaca tulisan-tulisan lain. Tulisan-tulisan Hanim, Hasnul dan Mellissa harus dihormati sebagai ulasan kepada tindakan Paiman. Bagaimana dengan Paiman sendiri?

Pernyataan Paiman diletakan dibawah kolum atau bahagian Paiman in Person, halaman 387 dengan gambar Paiman sedang ‘menjual ais-krim’ di suatu sudut berhampiran Fukuoka Asian Art Museum, Fukuoka. Pernyataan Paiman diberi judul ‘The Value of Drawings’ dan ditulis/terbit dalam berbagai jenis dan warna mukataip/font. Saya tuliskan di bawah perkataan-perkataan yang digunakan Paiman, yang menarik perhatian saya dengan huruf besar. Saya membaca:

Mula-mula (perenggan pertama), Paiman bercerita tentang perkembangan dalam aktiviti melukis dengan menggunakan kata DOT (titik), MARK (tanda/kesan), LINE (garisan), DIRECTION (arah), LIFE (kehidupan), SHAPE (rupa), BOUNDARY (sempadan), STRUCTURE (struktur/susunan), POWER (kuasa/tenaga), FORM (bentuk), VALUE (nilai), dan SOCIETY (masyarakat). Kita boleh lihat di sini Paiman mengaitkan aktiviti lukisan dengan LIFE, POWER dan juga SOCIETY, dan disambung pula dengan POWER boleh menjadi korup.

Kemudian, Paiman bercerita tentang HERO (wira), PERFECTION (kesempurnaan), dan FAILURE (kegagalan). Paiman bertanya apakah HERO akan menerima kegagalan? Dia tidak percaya begitu dan dengan sinis mengatakan HERO tidak akan menerima kegagalan (?) kerana (agaknya) HERO tidak akan berbohong kepada diri sendiri.

Terus, Paiman menyebut tentang MEDIA yang digunakan sebagai PROPAGANDA dan permasalahan-permasalahan yang akan timbul berkaitan dengannya. Dan tiba-tiba ada HISTORY (sejarah) dan permasalahannya juga, kembali lagi kepada MEDIA yang kali ini mempunyai nilai-nilai komersial. Dan ada petikan dari IAN HAMILTON yang bercerita tentang PROPAGANDA dan hubungannya dengan patriotisme dan musuh (?).

Terus, Paiman mengutip pula tanggapan LENIN mengenai sejarah yang dikatanya bergerak secara ZIGZAG, tidak lurus. Dan Paiman menggelarkan dirinya sebagai LAYMAN (orang biasa/awam) yang percaya bahawa semua benda atau objek itu dihasilkan secara beralasan (reason).

Terus, Paiman mengutip pula pandangan ALVIN TOFFLER berkaitan dengan imaginasi, dan informasi serta hubungannya dengan POWER.

Kemudian Paiman mengatakan yang idea-ideanya mengenai ART (seni) bergantung kepada GLORY (kecemerlangan/kemasyuran) dirinya sendiri, dan GLORYnya itu adalah JOURNEY (perjalanan/pengembaraan) yang dilaluinya! Paiman juga menyatakan yang dia mencari MEANING (makna).

Terus, Paiman menganggap ART itu adalah mistressnya selama kurang-lebih 20 tahun ini di samping kehidupan bersama keluarganya.

Dan terakhir, Paiman sekali lagi menyatakan bahawa dia adalah cuma seorang LAYMAN bukan THEORIST (Ahli Teori), yang sedang mendokumen sejarah mengikut caranya, yang ditamatkan dengan kata-kata FRANK SINATRA, I did it my way.

Fuh! Memang Paiman ini pandai menimbulkan persoalan!

Banyak sekali perkara yang dinyatakan oleh Paiman melalui pernyataan artisnya di dalam monograf 365 hari itu;

1.     Pengalaman membuat lukisan sambil mengaitkannya dengan kehidupan.

2.     Permasalahan seorang ‘wira’ dengan ‘kesempurnaan’. (Kenapa agaknya ya?)

3.     Permasalahan media, propaganda dan sejarah.

4.     Perjalanan sejarah secara zigzag. (Kenapa agaknya ya?)

5.     Imaginasi dan informasi boleh membentuk kuasa. (Betulkah?)

6.     Kecemerlangan diri sendiri.

7.     Hubungan intim dengan seni.

8.     Secara rendah diri mengaku hanya sebagai ‘orang biasa/awam’ yang merekod atau mendokumen apa yang berlaku menurut media.

Apakah kaitan semua yang saya senaraikan tadi dengan apa yang berlaku selama 365 hari tahun 2008 seperti yang dipilih-catat-lukis oleh Paiman itu?

Nota hujung:

1 Tsabri Ibrahim. (2009). Tanpa Tajuk: Cerita-cerita Seni Rupa. Kuala Lumpur: Tinta Publishers.

2 ‘Diari Muslim’ – terjemahan dari ‘muslim diary’, terma yang digunakan Hanim dalam tulisannya, Media & Politics of History, Memory, Forgetting di dalam MALAYSIA 365 DAYS OF 2008 untuk menamakan jenis diari yang digunakan Paiman sebagai permukaan lukisan-lukisannya.

3 ‘Diari Islamik’ – terjemahan dari ‘Islamic diary’, terma yang digunakan Mellissa dalam tulisannya, 2008: A Strange Odyssey di dalam MALAYSIA 365 DAYS OF 2008 untuk menamakan jenis diari yang digunakan Paiman sebagai permukaan lukisan-lukisannya.

4 Amir Muhammad. (2007). Malaysian Politicians Say the Darndest Things. Petaling Jaya: Matahari Books.

5 ‘Mutan dan Jin’ – terjemahan dari ‘Mutants and Genies’, terma yang digunakan Hasnul dalam tulisannya, Living Hyperview: A Journey across Noor Azizan Paiman’s Surreality di dalam MALAYSIA 365 DAYS OF 2008 untuk menamakan makhluk atau lembaga  yang dilukis Paiman.

6 ‘Retrospective Reporter’ – deskripsi Paiman terhadap dirinya dalam aktiviti pilih-catat-lukisnya selama 365 hari di tahun 2008 itu.

21 September 2010